BAB 7

Fantasy Completed 1723

SEMINGGU KEMUDIAN

Pulau Langkawi masih dikerumuni wartawan seluruh dunia meski kelibat manusia bersayap yang tiba-tiba muncul di pulau lagenda itu tidak lagi memperlihatkan diri. Terlalu banyak teori yang bersifat spekulasi kedengaran di sana sini. Izam dan Halimah, pastinya menjadi sasaran utama walaupun kedua-dua mereka sudah letih bercakap perkara yang sama saban kali diaju soalan oleh para wartawan. Hingga ke satu tahap, mereka adik-beradik berasa sangat-sangat tertekan. Halimah sudah seminggu tidurnya tidak tenteram. Sekejap-sekejap, terjaga di tengah malam.

Halimah cuba melupakan ingatannya terhadap manusia bersayap yang memiliki sepotong mata berwarna biru seperti sebutir sapphiretetapi entah kenapa pada malam ini, bagai ada dorongan dari dalam dirinya untuk mengingati detik-detik pertama pertemuan mereka tempoh hari. Senyuman manusia bersayap itu meski aneh pada pandangan matanya tetapi seakan-akan menyampaikan satu mesej yang kurang jelas.

Tidak mahu terlalu memikirkannya, Halimah ke dapur membancuh segelas susu panas. Lalu dibawa batang tubuhnya ke beranda kondonya yang terletak di tingkat 27. Pemandangan dari atas sana, sedikit sebanyak memberi terapi minda kepada dirinya. Angin sepoi-sepoi bahasa yang menjamah kulitnya, terasa begitu nyaman sekali. Halimah yang berpakaian tidur dari kain jenis satin, berseorangan menghayati keindahan malam sambil mencicip manis dan hangat segelas susu di hujung lidah.

Asyik dirinya menikmati sepinya malam, tidak semena-mena angin yang tadinya bertiup lembut, berhembus kuat. Halimah yang mahu berpatah balik masuk ke dalam kondonya, tidak jadi berbuat demikian apabila kelibat manusia bersayap yang cuba disingkirkan dari kepalanya, terapung-apung di hadapannya. Berhalusinasikah aku? Halimah mengejapkan kelopak matanya berkali-kali. Dan apabila kelibat itu mengibar-ngibarkan sayapnya, Halimah sudah jadi tidak keruan. Gelas yang masih berbaki separuh susu, terlepas dari tangannya.

“Apa kau nak dari aku, ha?” spontan soalan itu yang keluar dari mulut Halimah. Halimah mengigil-gigil ketakutan. Sudahlah dia keseorangan dan berada pula di beranda, apa-apa saja boleh jadi. Dibuatnya makhluk itu menyauk tubuhnya yang kecil itu dan menghilang di balik kepekatan malam, menjerit sehingga hilang suara pun tidak berguna.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience