“Boleh profesor bersabar? Beri peluang kepada saya untuk bercakap dulu.” Doktor Halimah cuba bertegas lalu disambut rengusan kasar lelaki itu. Profesor Doktor Hisham terasa tercabar. Dia nekad meninggalkan bilik mesyuarat itu dan menyebabkan semua yang masih berada di dalam bilik tersebut terpinga-pinga dengan tindakan tidak profesional itu.
Doktor Halimah mengeluh halus. Nampak gayanya, tertunda lagilah mesyuarat penting itu akibat tiada kata muafakat dan jawapan konkrit yang dapat dirumuskan. Mesyuarat bersurai beberapa minit kemudian. Tinggallah Doktor Halimah dan Profesor Iqbal yang masing-masing memandang tampang antara satu sama lain.
“Awak kena biasakan diri dengan Hisham tu, Halimah. Perangainya sudah saya hadam sejak dulu lagi,” pujuk Profesor Iqbal dengan segaris senyuman di wajah. Doktor Halimah menganggukkan kepala. Dia tidak berkecil hati pun cuma berasa terkilan dan sedikit geram. Setiap orang di dalam mesyuarat itu diberi ruang dan peluang untuk bercakap. Tetapi bila sampai gilirannya, paling tidak berilah dia menzahirkan pandangannya terlebih dulu. Dan kemudian, hendak hentam, hentamlah! Doktor Halimah menyimpan sekelumit rasa tidak puas hati di dalam susuk badannya yang kecil itu.
“Saya tak apa-apa, prof. Hmm... tapi apa yang prof bentangkan tadi, bagi saya secara teorinya betul.” Doktor Halimah berhujah. Profesor Iqbal berlapang dada. Paling tidak, ada seorang yang menyokong pembentangannya tadi.
“Teorinya betul. Timelinenya pun tepat. Tinggal lagi, hukum fiziknya tidak logik. Itu yang Hisham marah-marah. Saya faham.”
“Sejujur-jujurnya, prof fikir terlalu absurd ke apa yang kita sedang berdepan sekarang ni?”
“Awak fikir? Antropologi bukankah bidang awak, Halimah ?” balas Profesor Iqbal sambil tersenyum mesra. Sudahnya, Doktor Halimah ketawa.
“Saya pun hendak pitam memikirkannya, prof. Boleh pecah kepala.”
Share this novel