BAB 5

Fantasy Completed 1723

“Adik!!!” jerit Halimah penuh perasaan. Tangan kanan Izam terangkat tidak bermaya. Halimah berlari mendapatkan satu-satunya darah daging yang dia ada di dunia ini. Tubuh Izam dirangkul dan kepala pemuda itu dipautnya lembut lalu diletakkan ke riba. Darah yang menyaluti wajah Izam, Halimah sapu dengan telapak tangannya. Airmatanya tidak sudah-sudah mengalir. Kakak mana yang tidak sedih melihatkan adik kandung sendiri dalam keadaan sedemikian rupa. Halimah menggeletar tubuhnya.

“I..I..ZAMMM... o...key... A...kak... jangan ri...sau...” meski dalam keadaan payah hendak mengungkap kata-kata, Izam masih mampu memujuk. Dia tidak mahu kakaknya itu risau berlebih-lebihan. “Dia selamatkan Shu...ib...” luah Izam sebelum perlahan-lahan matanya pejam. Pengsan di ribaan Halimah. Halimah mendongakkan kepalanya ke atas. Sesusuk tubuh tegap berdiri di hadapannya. Halimah terkasima untuk seketika. Lelaki itu punya sayap. Ya, bersayap! Dan matanya berwarna biru seperti sebutir sapphire yang cantik lagi memukau.

“Te...rima kasih selamatkan adik saya...” teragak-agak Halimah hendak melafazkan ucapan terima kasih itu. Pemilik mata biru dan bersayap itu menganggukkan kepala dan tersenyum. Dan kemudian, lelaki itu mengembangkan kedua-dua belah sayapnya sebelum tubuhnya ringan melayang ke udara. Hilang di balik awan. Halimah dan yang lain-lain tergamam tidak percaya. Bunyi siren van ambulans yang berkumandang sejurus itu tidak mengalihkan tumpuan mereka semua dari terus menengadah ke langit. Tetapi kelibat bersayap itu, sayangnya sudah tiada lagi.

Gambar Halimah dan Izam terpampang di muka hadapan semua suratkhabar utama negara. Bahkan kejadian yang berlaku semalam, menjadi viral di laman sosial. Di laman YouTube pula, klip berdurasi dua minit yang sempat dirakam dan dimuatnaik oleh beberapa orang yang sempat merakam peristiwa semalam, menjadi tontonan jutaan manusia dalam beberapa minit cuma. Satu dunia hendak mengetahui akan kesahihan cerita yang cukup sensasi itu. Bahkan, pada hari ini juga kerajaan Malaysia menerima kehadiran rombongan dari pucuk kepimpinan tertinggi pemerintahan dari beberapa buah negara yang memegang kuasa veto dunia.

Nyata, Malaysia sudah menjadi satu fenomena. Kematian seorang lagi juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia turut mengundang simpati masyarakat. Inilah kali pertama dalam sejarah LIMA, terjadinya kemalangan dahsyat ini. Sementara Halimah dan Izam pula dikawal ketat oleh pegawai tentera dan polis negara. Izam yang baru dirawat oleh pihak hospital, menggunakan kerusi roda untuk memudahkan pergerakannya ke mana-mana.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience