BAB 3

Fantasy Completed 1723

21 hari sebelum...

Seawal pukul 8.00 pagi, Halimah sudah berada di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri bagi memberi sokongan kepada Izam, adik lelakinya yang merupakan juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia. Izam akan terlibat di dalam pertunjukan udara dan persembahan aerobatik sempena Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa yang berlangsung di Langkawi. Halimah bersama-sama ribuan pengunjung lain yang datang, cukup teruja meski cahaya matahari pastinya tidak lama lagi akan menyebarkan bahang panasnya.

Binokular di tangan, sudah siap-siap dibawa Halimah dari rumah. Khabarnya, Izam akan membuat persembahan duo menggunakan pesawat Extra 300L atau lebih dikenali sebagai Krisakti. Selesai saja lintas hormat pesawat-pesawat pejuang di hadapan tetamu kenamaan, maka bermulalah pertunjukan. Langit biru yang sepi pagi itu digegarkan dengan bunyi enjin pesawat terbang yang menjadikan langit tanpa sempadan sebagai medan membuat persembahan. Aksi maneuver yang ditunjukkan membentuk satu formasi seragam yang mengkagumkan. Ditambah lagi dengan efek bomb burst yang dilepaskan, membuatkan semua yang sedang menonton tergamam. Kedengaran tepukan tangan daripada sebahagian besar pengunjung.

Halimah meneropong aksi udara yang sedang berlangsung tetapi pengamatannya beralih sejenak apabila dengan secara tidak sengaja, dia menggerakkan binokularnya 90 darjah ke kanan. Ada sesuatu yang menarik perhatiannya di situ. Halimah mengejapkan kelopak matanya dan kemudian mengamati lagi akan objek yang dilihatnya. Tidak mungkin dia tersilap pandang. Namun belum sempat Halimah hendak mensahihkan apa yang terzahir di pandangan mata dan menjawab kemusykilan di benaknya, satu bunyi letupan bergempita di udara. Suasana menjadi kecoh tiba-tiba.

Bertempiaran semua orang lari lantaran khuatir perlanggaran di antara dua pesawat Krisakti yang sedang membuat persembahan di udara itu, akan menyebabkan serpihan-serpihan besi pesawat itu terpelanting ke bawah. Halimah terpempan. Dadanya berdebar. Jantungnya berdegup lebih laju dari biasa. Tiada apa yang terlintas di dalam kepalanya sekarang ini melainkan keselamatan Izam. Jeritan para pengunjung yang kedengaran sana sini membuatkan Halimah bertambah panik. Lekas dia melekapkan semula binokular pada kedua-dua belah mata, mengharap si adik berjaya menyelamatkan diri menggunakan payung terjun.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience