BAB 5

Romance Completed 7379

Tiada apa sangat yang Abon tuliskan dengan tulisan cakar ayamnya. Dia meminta maaf, dan berjanji tidak akan mengganggu aku lagi. Kata Usu, emak Abon juga turut meminta maaf dan menitipkan mangkuk tingkat supaya aku lekas sembuh. Emak Abon baik, tapi anaknya.

“Maafkanlah dia.”, Usu bercakap dengan serius.

Aku angguk dan tersenyum. Namun, aku punya syarat aku sendiri. Pada mulanya Abon nampak ragu-ragu apabila aku nyatakan syarat aku. Dia menoleh Azad dan Jamil. Kemudian berkata, “Yelah…”. aku tersengih lebar. Selepas itu, kawan aku semakin bertambah, bukan hanya ada Nur Aminah dan Usu. Malah, dunia aku lebih luas dengan adanya Abon, Jamil, dan Azad.

Kadang-kadang aku membonceng basikal Abon ataupun Azad sewaktu hujan. Mereka akan mengayuh manakala aku akan memegang payung di belakang. Jamil anak orang berada, basikalnya mahal. BMX. Tetapi, kami tetap berpeluang merasa pengalaman sekejap menunggang basikalnya. Dia hanya tersenyum bangga apabila kami nyatakan betapa seronok perasaan kami.

Dengan menjadi ahli kumpulan Abon, Azad, dan Jamil, aku mula pandai memanjat pokok. Antara mereka bertiga, Abon yang paling mahir. Kami agak mungkin kerana tubuhnya yang tinggi dan besar, tenaganya lebih banyak berbanding kami. Azad selalu mencadangkan Abon berguru dengan si Sazali. Sazali, pembina badan negara. Namun, biasanya Abon akan buat tidak endah.

Setahun selepas itu, mereka bertiga mula sibuk dengan kelas tambahan. Persediaan menghadapi peperiksaan UPSR sedang giat dilaksanakan pihak sekolah. Pada ketika ini, aku selalu pulang sendiri. Hanya pada hari minggu kami berpeluang bermain dan menunggang basikal. Aku masih ingat hari itu hari Sabtu. Azad datang ke rumah aku.

“Jomlah. Bon ajak mandi sungai.”, aku mengerut dahi dan Azad sengih.

“Alah….jomlah…nanti aku tak ajak kau marah.”, aku terus mencapai basikal.

Sesampai di sana, Jamil dan Abon sudah berendam. T-shirt masing-masing ada terhumban dalam bakul basikal. Aku rasakan tiba-tiba pinggang aku meregang. Perut pula rasa sebu dan kembung.

“Hoi !”, aku menoleh apabila Abon memanggil.

“Jap…jap…aku sakit perutlah.”, hujung jari mula sejuk.

Mereka bertiga terus leka berendam dalam kesejukan air sungai. Tiba-tiba aku lihat Nur Aminah makin mendekat dengan basikalnya. Dia tersenyum dan melambai. Aku sengih semula dan turun dari basikal. Rasa sakit aku buat tidak peduli.

“Minah….nak mandi tak? Jomlah…!”, Jamil menjerit dari sungai.

“Taknaklah. Kita tak nak mandi dengan budak lelaki.”, Azad menepuk-nepuk permukaan air sambil menjerit-jerit.

“Mak kau tau tak kau datang sini Minah?”, tangan kanan aku menekan-nekan perut.

“Tau. Mak aku kata kena balik sebelum maghrib.”, aku pandang awan berarak pada langit cerah.

Matahari sedang terpacak atas kepala ketika itu. Aku tidak dapat menahan kerutan pada wajah dilihat jelas oleh Nur Aminah. Dia meraba bahagian bawah perut aku.

“Kat perut ke kat sini yang sakit?”, aku lihat Nur Aminah sudah mengalahkan doktor lagaknya.

Abon aku lihat sudah naik ke tebing. Kakinya digoyang-goyang menjatuhkan air dari seluar pendek. Jamil dan Azad masih terjerit-jerit, menyelam dan berlumba berenang dalam sungai. Abon menuju basikalnya di belakang aku. Soalan Nur Aminah tergantung sepi.

“Ah?…kenapa sakit ek?”, aku bertanya kembali.

“Engkau makan apa tadi? Kau nak berak ke?”, Abon ketawa terbahak-bahak.

Sebelum sempat aku menjawab, aku tersentak apabila Abon memegang bahu aku dan menjerit pendek.

“Eh! Darahlah……”, Abon dibelakang aku berkata kuat apabila terpandang kesan cecair merah pada bahagian bawah T-shirt labuh yang aku pakai.

Nur Aminah ternyata lebih mengerti situasi aku. Dia menutup mata Abon dengan baju Jamil.

“Jangan tengoklah. Malulah dia.”, aku sebenarnya tidak mengerti.

“Minah, aku sakit apa? Aku nak mati ke?”, aku mula rasa cemas bila aku melihat darah pada tangan aku.

Jamil dan Azad yang terdengar jeritan Abon meluru mendapatkan kami bertiga. Jamil pantas menjerit.

“Eh kau datang bulan!….Hahah.”, Nur Aminah menepuk mulut Jamil.

Azad dan Abon kini sudah mengerti. Aku juga. Kata-kata Ustazah Zanariah dalam kelas hadas besar dan kecil terimbau. Ustazah pernah mengatakan orang perempuan boleh tidak solat. Kami semua tersentak. Selama ini, kami tahu neraka akan menanti andai tidak solat. Namun Ustazah Zanariah ketawa kecil sebelum berkata,

“Hanya apabila orang perempuan itu haid. Datang bulan, nifas, wiladah.”. Perlahan-lahan wajah aku terasa panas.

Entah kenapa irama L’Inverno pada bahagian Allegro Non Molto yang aku sering dengar berkumandang dari dalam bilik Usu bergema-gema dalam kepala. Aku rasa malu dan sedikit-sedikit perasaan seperti pemisah antara aku dan geng Abon terbina.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience