BAB 5

Romance Completed 7379

Aku mula terlihat tompok-tompok hitam pada penglihatan, tangan terasa lemah dan badan longlai, sebelum aku terjelepuk jatuh di tepi jalan. Dalam separa sedar, aku terdengar orang memanggil-manggil aku.

“Hoi…hoi!…bangun hoi…mati ke?”, badan aku bergoncang-goncang.

“Jangan buat aku takut…”, mata aku makin berat.

“Hoi bangun…tolong!…hoi maafkan aku hoi.. tolong!”, aku terus tidak sedar.

Dua hari di rumah serasakan setahun. Cuti sakit yang diberi doktor tidak diisi dengan menunggang basikal sekeliling kampung sewaktu musim cuti persekolahan bersama Nur Aminah dan Usu. Bengkak pada bahu kanan semakin surut dan rasa berdenyut sudah hilang.

Mungkin esok aku sudah boleh kembali ke sekolah. Duduk di beranda rumah menantikan Usu pulang dari sekolah begitu menyeksakan kalau tidak ada jalan kampung ini. Basikal buruk yang tersadai di tiang rumah aku perhatikan. Sayu.

Selepas pengsan di tepi jalan, Abon sempat menahan basikal aku daripada menindih badan. Dia mengekori aku. Sebelum pulang hari itu, Nur Aminah memarahinya dan membuka rahsia bahawa bahu aku bengkak. Sebelum ini, dagu aku koyak sedikit terkena kukunya sewaktu menumbuk aku. Nur Aminah pantas mengagak angkara siapa bahu aku jadi begitu.

Abon juga yang menahan kereta Abang Salleh untuk ke hospital. Tiba di hospital, emak mendapat berita aku ditahan di wad. Badan aku diserang demam panas, dan aku pengsan kerana menahan sakit. Usulah yang menahan emak daripada menampar aku sebaik terjaga.

“Kan Jiji masih hidup kak.”, kedua-dua kelopak mata aku pejamkan, menanti tangan emak hinggap pada pipi.

“Akak…”, suara Usu perlahan dan sayu.

Kelopak mata aku buka sebelah dan aku dapat lihat wajah emak tidak beriak, matanya tidak berkata-kata, tangan kanannya jatuh perlahan ke sisi, sebelum aku tersentak sekejap apabila emak memeluk aku. Kuat dan erat. Aku dapat dengar esakan halus emak dan nafasnya terputus-putus. Malam itu, Usu menemani aku kerana emak bekerja pada bahagian malam. Sebelum memejam mata, aku bertanya Usu.

“Abah tak nak tengok Jiji ke Su?”, Usu berhenti menulis dalam bukunya.

“Abah kerja luar Ji. Takkan abah nak berkejar ke sini. Tidurlah.”, peha kanan aku Usu tepuk sekali.

“Abon?”, mata usu dikerling sekilas ke arah aku dan Usu tersenyum.

“Berani ke dia? Ada dia datang ikut sekali masa hantar Jiji ke sini. Lepastu dia baliklah.”, mata aku terkebil-kebil merenung siling, sementara penghuni lain dalam wad ini semuanya sudah dibuai mimpi.

“Besok Usu bawak Abon datang sini boleh?”, suara aku semakin perlahan, dan kelopak semakin memberat.

“Tak takut?”, aku menguap lebar, mata terasa berair.

“Tak….”, dan aku terus terlelap meninggalkan Usu yang perlahan-lahan menyandar pada kerusi, matanya turut dipejamkan.

Mangkuk tingkat yang sudah berdiri atas meja di hujung kaki bergerak ke kiri ke kanan. Tangan yang memegangnya pula seakan-akan tidak mahu dilepaskan. Abon hari ini datang juga dengan memakai seluar kodroi berwarna hijau lumut berpadanan dengan baju kemeja kotak-kotak. Hari ini, Abon kemas dan tidak selekeh.

“Hoi sinilah…”, Abon menurut meninggalkan mangkuk tingkat bersendirian atas meja.

Jarak yang lebih dekat menampakkan lagi penampilannya yang rapi. Aku dapat lihat rambut yang selalunya kering dan kusam dipanggang cahaya matahari kini hitam gelap. Mungkin Abon menyapu minyak rambut. Abon tersipu-sipu apabila aku tidak mempelawanya duduk.

Lantas, dia terus berdiri dengan kedua-dua tangan diselimpang kebelakang. Kepalanya tunduk menekur lantai. Apabila tangan kirinya menggosok-gosok hidung, aku lihat kukunya bersih rapi sudah dikerat. Berniat mengurangkan rasa canggungnya, aku bangkit dari baring dan duduk. Kedua-dua kaki aku lipat.

“Duduk.”, mata Abon menoleh aku sekilas sebelum dia menurut.

Kedua-dua tangan aku panjangkan mencapai mangkuk tingkat. Mangkuk tingkat aku buka dan mangkuk yang paling atas aku lihat berisi kuih donat bergula. Aku sengih lebar. Tanpa mempelawa, aku kunyah donat yang dibawa Abon.

“Sedap. Siapa buat?”, aku bercakap sambil mengunyah.

Abon teragak-agak menjawab.

“Mak aku.”, aku unjukkan mangkuk kepadanya.

“Nak?1,2,3,4,5 campur aku punya ada 6.”, Abon gelisah dan mengeluarkan sesuatu dari poket baju.

“Minta maaf!”, tanpa pamit Abon bangkit dan menuju ke pintu wad.

Tubuhnya berlanggar dengan Usu yang datang dari arah bertentangan. Mereka berbual sekejap, dan Usu membiarkan Abon berlalu. Aku terus mengunyah walaupun terkejut. Aku lihat kertas yang Abon tinggalkan disebelah aku dengan penuh tanda tanya. Surat berwarna merah jambu. Itulah surat yang kemudian Usu bacakan kepada aku.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience