BAB 3

Romance Completed 7379

Sampai di sekolah, Abon menanti aku di pintu pagar buruk sekolah. Basikalnya aku lihat sukar siap diparkir. Dua lagi budak jahat namun bertubuh kecil seperti aku berdiri beberapa tapak dari tempat Abon berdiri. Itulah Jamil dan Azad. Pesanan emak terimbau.

Aku buat tidak peduli. Jam digital bercorak askar pada pergelangan tangan kiri menunjukkan angka 6.52 pagi. Sebaik melintasi Abon dengan menyorong basikal, dia menegur aku. Tangannya menarik bahu kanan aku supaya menghadapnya.

“Hoi…!”, muka aku berkerut menahan sakit dek kerana bengkak akibat ditumbuk masih belum surut.

“Bon, dia ejek kau Bon.”, si Jamil menebar fitnah.

“Aah Bon, dia buat muka kat kau.”, Azad menambah perisa fitnah yang ditabur Jamil.

Aku merentap kasar tangan Abon lepas dari bahu aku. Aku dapat rasa mata aku panas. Rasa sakit makin menyucuk dan berdenyut-denyut.

“Korang buat apa tu?”, seorang pengawas senior datang menghampiri.

Tiga lagi pengawas bertugas pada pagi itu, tanpa menunggu lama mengheret kami berempat ke muka pengadilan. Aku dapat rasakan lengan aku turut merasa sakit dan kebas. Tapi biarlah, aku lebih rela menghadap guru besar daripada terus bergaduh dengan Abon. Api sengketa antara Abon dan aku menyala kira-kira setahun yang lalu di rumah Ustaz. Abon membuli Azad pada petang itu, dan aku melaporkan hal itu kepada Ustaz.

Sebagai hukuman, Abon dirotan Ustaz. Aku tahu Abon malu apatah lagi seluruh anak-anak mengaji di situ melihat dengan benci. Sejak hari itu, Abon mula mengarahkan perhatian dan tenaganya untuk mencari pasal dengan aku. Kedegilan aku tambah menyakitkan hatinya. Azad selepas kejadian itu menjadi kroni Abon gara-gara takut dikecam Abon, si budak jahat.

Berita aku, Abon, Jamil, dan Azad dihukum berjemur bawah terik mentari cepat sahaja tersebar seluruh kampung. Sudah tiga jam kami berjemur. Malu yang aku tanggung tidak sehebat rasa sakit pada bahu kanan. Tapi aku keraskan hati dan tangan semakin kebas dan kebas. Jamil dan Azad sudah mengeluh dan menangis teresak-esak. Yang masih tegak berdiri ialah Abon. Hatinya sangat keras dan ego. Ekor mata aku memerhati budak lelaki tinggi dan besar itu di hujung barisan melewati tubuh Azad dan Jamil.

“Bon, jom minta maaf dengan cikgu jom…hgh….aku dah nak mati ni Bon…”, Jamil teresak-esak memujuk.

Wajahnya kelat dan gelap dibakar mentari. Aku sendiri terasa panasnya membakar atas kepala. Aku raba rambut, panas. Tiba-tiba Azad jatuh rebah ke bumi. Dan hukuman berakhir apabila Azad diusung ke bilik rawatan. Aku pula berjalan lambat-lambat ke kelas.

Nur Aminah menanti di sebelah tempat duduk aku. Hanya Nur Aminah kawan perempuan yang aku ada. Cikgu Rafa sedang menulis nombor 4 pada papan hitam sebelum dia menghampiri aku dengan perlahan.

“Nur Azima tak apa-apa?”, hanya Cikgu Rafa yang memanggil aku dengan nama penuh.

Aku sengih tawar. “Maaf cikgu, saya lambat masuk kelas.”

“Ok, salin soalan kat papan hitam ni. Awak hantar besok jelah. Pinjam buku Nur Aminah.”

Jari aku terketar-ketar untuk memegang pensel. Nur Aminah yang perasan menarik pensel daripada tangan aku. Buku Matematiknya diselitkan dalam buku latihan aku.

“Tangan kau sejuk Ji.”, aku pun dapat merasakan bibir aku sejuk.

Ada lebih kurang setengah jam lagi sebelum loceng tamat sesi persekolahan berbunyi. Aku tahankan diri. Sebelum keluar dari kelas, Nur Aminah bertanya lagi, “Kau tak apa-apa ke Ji? Aku cakap dengan ayah aku tolong hantar kau sekali eh?”

Aku menolak dengan baik. Tidak mahu aku menyusahkan orang tua itu. Sudahnya Nur Aminah pulang sendiri, dan aku mendapatkan basikal. Sewaktu menggenggam, tangan aku terasa sakit sekali. Sudah hendak dekat jarak aku sedang mengayuh dengan simpang jalan yang Usu akan lalui untuk pulang ke rumah. Langit sedikit berawan menahan sinar terik matahari.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience