BAB 9

Romance Completed 7379

Macam baru semalam menerima keputusan SPM. Abon pun semakin berubah. Dia nampak lebih matang. Abon yang dahulu seakan sudah hilang ke mana. Cuma perangai malu-malunya yang masih belum hilang. Tiba-tiba aku menjadi begitu tertarik dengan bunga berguguran yang selalu aku lihat ini.

Malam itu, emak menelefon dari Johor Bahru. Katanya akan berangkat ke Pulau Pinang menghadiri seminar. Biarlah. Bagi aku, dunia aku, hidup aku, kini aku yang akan menentukannya. Sakit hati, tidak puas hati sudah lama aku lupakan. Biarlah mereka. Nenek pula aku perhatikan khusyuk betul dengan Buletin Utama. Hanya apabila ada suara orang memberi salam, barulah nenek terkejut dan pantas berdiri. Pintu dibuka dan seseorang menapak masuk setelah dipelawa.

“Ada kat dalam tu ha. Masuklah. Baru habis lipat kain.”, aku pelik, mencuri dengar.

“Siapa?”, perlahan persoalan itu bermain di bibir.

Apabila orang itu sudah di hadapan mata, aku rasa tidak keruan.

“Eh..lupa nak bagitau Ji. Tudung…”, belum sempat ayat nenek habis, aku sudah memecut ke dalam bilik mencari tudung.

Orang itu tersentak sedikit tetapi selepas itu dihela dengan kekehan halus. Sewaktu merapikan tudung, aku teringat kata-kata Usu lagi. Usu nak tengok Jiji pakai tudung. Memang selepas kejadian itu, aku mula menutup kepala. Ketika itu, aku tidak terlalu faham akan batas aurat antara aku dan Abon.

Tetapi kini, perasaan malu, maruah dan perbezaan jantina antara kami membuat aku lebih menjaga aurat dengan hati yang ikhlas. Dahulu Abon hanya budak lelaki, kini dia memang seorang lelaki. Kata-kata Usu terimbau lagi. Aku faham kini maksud kata-kata Usu. Dan diorang tetap lelaki. Tetap le-la-ki.

Tempat duduk di hadapan televisyen sudah berisi dengan tetamu yang seorang itu. Nenek pula duduk di hadapannya. Sebaik melangkah keluar dari bilik, nenek mengarah.

“Ji jerang air panas.”, aku turutkan sahaja.

Menjerang air sebenarnya tidak memakan masa yang lama, tapi aku sengaja melambat-lambat. Apabila tiba di hadapan mereka, nenek sekali lagi meningkah lembut.

“Lamanya anak dara ni buat air.”, aku sengih tidak ikhlas.

Orang itu masih mematung, cuma duduknya sekejap-sekejap berubah. Selepas itu aku duduk di sebelah nenek. Buletin Utama sudah tamat. Nenek bersuara.

“Bon, habis belajarnya bila?”, nenek menyisip teh.

“Lagi empat lima tahun nek. Kenapa?”, mata aku sekejap kearah Abon, sekejap menoleh nenek.

“Tak ada apa, dah besar dah korang semua ni. Tu budak bertuah lagi dua tu belajar apa pula?”, Abon menyisip teh tanpa dipelawa.

“Jamil jadi cikgu. Azad belajar undang-undang. Nak jadi loyar nek.”, ramah Abon melayan nenek bercakap.

“Loyar tu apekebendenya?”, nenek berkerut dahi, aku tergelak kecil.

“Peguam. Alah yang kerja dekat mahkamah tu ha…”, nenek angguk-angguk.

Mata Abon tiba-tiba mengena tepat pada pandangan aku. Aku jadi malu. Abon kini bukan Abon yang dahulu. Aku lebih rasakan di hadapan aku itu ialah Badiuzzaman, bukanlah Abon. Nenek terbatuk-batuk. Rancangan televisyen telah bertukar kepada drama Lestary.

Aku bukannya penonton televisyen tegar. Batuk nenek kedengaran lagi. Abon menuang lagi teh dalam cawan kosong nenek. Cawan dihulur kepada nenek. Nenek menurut dan meneguk beberapa kali. Tetap, batuknya makin teruk. Aku kerut dahi. Abon bingkas berdiri.

“Ambik tudung nenek, kita pergi klinik.”, makin bertambah berkedut dahi aku.

“Nenek memang macam nilah. Tak apa kau baliklah. Aku boleh jaga nenek.”, belakang badan nenek aku tepuk-tepuk.

“Aku tunggu kat dalam kereta.”, nenek sudah Abon papah keluar rumah.

Aku tidak punya pilihan.

Nenek sudah tertidur di tempat duduk belakang. Bunyi dengkur halus-halus mengisi ruang sunyi kereta. Aku tertanya kereta siapakah yang Abon sedang pandu ini. Radio yang terpasang pun hanya sayup-sayup kedengaran. Sebaik nenek tertidur lebih kurang 10 minit lepas, Abon memperlahankan radio.

“Bila kau beli kereta?”, aku takut-takut berani mengeluarkan soalan maut.

“Baru je.”, dia jawab mendatar.

“Banyak duit kau.”, mata aku memandang jalan raya yang semakin lengang.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience