BAB 6

Romance Completed 7379

Bermula hari itu, aku seperti sedikit berubah. Mengelak daripada Abon, Jamil dan Azad sudah saban hari aku lakukan sehingga UPSR berakhir dan mereka bertiga ke sekolah menengah. Aku kembali bersendirian bersama Nur Aminah. Usu akan ke universiti dalam sebulan lagi.

“Jangan tak sembahyang. Jiji sendiri yang tanggung dosa. Jangan main sembarangan lagi dengan budak lelaki. Cuba cari kawan perempuan. Usu nak tengok Jiji pakai tudung bila Usu balik cuti semester.”, petang itu Usu sedang menyusun pakaian.

Aku berdiri bersandar pada daun pintu. Berat rasa hati melepaskan Usu pergi. Aku tahu maksud kata-kata Usu. Usu jugalah yang membelikan tuala wanita untuk aku pada ketika haid dahulu. Usu mahu aku menjaga diri sebagai gadis yang baik-baik.

“Tau…”, Usu berhenti mengemas dan menoleh aku.

“Jiji gaduh dengan diorang ke?”, aku angkat kepala.

“Tak….”, Usu sengih.

“Boleh kawan dengan diorang.”, ayam di luar rumah berkokok.

“Usu kata jangan main dengan budak lelaki.”

“Mana ada Usu cakap macam tu.”, aku alihkan mata.

“Maksud Usu, lebih daripada ka-wan. Jiji sekarang bukan macam dulu lagi. Takkan Usu nak kena bagitau semua ni pada Jiji. Dah darjah enam pun.”, aku angguk.

“Abon, Jamil, Azad. Diorang dah besar. Walaupun macam tu, diorang dah besar. Dan diorang tetap lelaki. Tetap le-la-ki.”, wajah Usu serius.

Aku angguk. Angguk lagi. Wajah Usu hari itu redup. Kata-kata Usu masuk ke dalam kepala dan jatuh ke hati. Memang selama ini aku membesar bersama Usu. Sampai sudah Usu tetap menjaga aku. Namun, selepas itu aku harus dapat hidup sendiri. Tanpa Usu. Tanpa kata-kata Usu. Kerana Usu akan pergi. Pergi meninggalkan aku. Pergi yang tidak akan kembali. Selama-lamanya bersama L’Inverno…

Aku terjaga apabila jam loceng di atas meja belajar berbunyi nyaring. 5.58 pagi. Aku merenung siling. Siling yang berbeza daripada yang pernah aku lihat bertahun-tahun dahulu. Ayam kokok tidak akan berbunyi berganti dengan jam loceng. Jalan berturap lengang telah berganti dengan jalan raya dengan kenderaan bertali arus. Aku kini di Johor Bahru. Bandar besar, dan gayanya metropolitan. Liur aku telan.

Air wuduk terasa basah pada hujung rambut dan wajah pada pagi ini. Aku pandang cermin di hadapan. Ada jerawat baru tumbuh di bawah dagu sebelah kiri. Rambut aku kini separas bahu dan bercekak. Wajah kanak-kanak itu telah lama hilang dan luput berganti dengan wajah yang memanjang. Untuk melihat cermin kini aku tidak perlu lagi menggunakan kerusi kecil kerana aku sudah cukup tinggi. Kini semuanya turut berubah. Usu, inilah Jiji yang Usu mahukan.

Selepas solat, set stereo di tepi katil akan berfungsi. Irama L’Inverno mengisi seluruh ruang bilik. Bilik yang berwarna Hijau lumpur. Tingkap yang bertabir kain langsir krim. Baju sekolah tergantung aku capai dan sarungkan pada tubuh. Kemudian berdiri di hadapan cermin panjang setinggi aku. Kini, semuanya memang telah berubah. Pinggang ini sudah ada bentuknya. Dada ini telah menonjol. Kulit ini menghalus dan berbulu. Pinggul membentuk mengundang rasa malu apabila berjalan dibontoti lelaki. Benarlah kata Usu. Aku bukan lagi aku yang dahulu. Ini Nur Azima, bukannya Jiji yang menunggang basikal ke sekolah itu dahulu.

Surat berwarna merah jambu itu masih ada. Masih tersimpan. Tempatnya di dalam laci meja belajar. Aku lipat kemas dan letakkan dalam kotak bersama-sama pelekat magnet yang aku ambil dari peti sejuk. Bibir tersenyum sedikit. Abon. Hanya inilah barang yang pernah Abon beri kepada aku. Surat ketika di hospital dan pelekat magnet ketika…..

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience