BAB 1

Romance Completed 7379

Aku sudah melalui jalan ini selama 16 tahun. Dan pada tarikh 16 Julai ini masa itu akan bertambah menjadi 17 tahun. Aku dapat merasakan tekanannya di sini-sana. Sebaik aku melangkah keluar melepasi pagar rumah, senario yang sama akan terus berulang. Tidak akan pernah berubah.

Aku bosan dengan abah yang hanyut dengan dunianya. Dunia persekolahan yang mencekik. Peperiksaan yang mengganggu dan bayangan masa silam yang menghantui. Apatah lagi ketika aku lalu di kelas oren itu. Bayangan penghuninya yang sedang beraktiviti. Dada akan menjadi sesak serta merta. Apabila aku sampai dan duduk di gazebo, penghuni-penghuninya juga menghantui aku.

Emak pernah mengajak aku tinggal bersamanya. Sengaja aku tolak kerana tidak sanggup melihat kemesraannya dengan ‘abah’ baru. Aku pelik melihat tindak-tanduk orang dewasa yang berlagak seolah-olah handal menyelesaikan segala masalah. Walhal, mereka sebenarnya mencari masalah sendiri. Dan kemudian aku menjadi mangsanya.

Pagi itu, aku mendapat satu tugasan. Menulis esei. Tidak susah sebenarnya menulis esei. Namun, pagi itu, aku terpempan.

“Kenangan zaman kanak-kanak?”, Cikgu Tan hanya mengangguk. Cikgu Cina ini kemudian tersenyum.

“Tak ada zaman kanak-kanak ke? Saya ingat ada pertaliannya. Zaman kanak-kanak ialah zaman belajar mengenal hidup. Zaman remaja, ya zaman yang sedang awak lalui sekarang ini, hah tentunya untuk menyesuaikan diri pula dengan hidup.”, aku terkedu, lidah terkelu.

Sehari suntuk aku memerah otak. Sekejap termenung, menonggeng, meniarap, tetap juga idea tidak mahu menyinggah. Penat terasa seluruh tubuh badan, aku meneguk air mineral di dapur. Sebaik menutup pintu peti sejuk, mata aku seakan terhenti.

Pelekat magnet dengan lukisan rumah di atas bukit itu menarik perhatian. Sedangkan telah lama pelekat itu tertampal di situ. Fikiran aku menerawang. Jauh merempuh jaluran masa dalam arkib memori. Apabila jari telunjuk kanan menyentuh pelekat itu, cerita lama itu terimbau. Sedikit demi sedikit…

~Imbas kembali~

Matahari semakin terik. Pad menunggang pada basikal apabila aku sentuh terasa panas membakar kulit. Untung sahaja ada pokok besar di sini. Dapat juga menumpang teduh. Beg sekolah warna merah darah yang tersangkut atas dahan pokok aku tenung. Kemudian mengeluh.

Akhirnya, aku cuba menyentuh kulit pokok kasar dan menggerutu, kalau tidak, sampai sudah tidak kan pernah beg itu melayang kepada aku. Kaki kanan aku daratkan sambil mengucap basmalah. Kain sekolah warna biru tua aku singsing sampai ke paha. Ikatan rambut pula sudah lama terlerai selepas pergaduhan tadi. Abon itu memang tinggi dan besar orangnya. Ramai yang tidak percaya umurnya baharu 11 tahun. Kalau tidak bergaduh dengan Abon tadi, pasti sudah lama aku sampai di rumah.

Tenaga aku kerah sampai aku dapat rasakan badan aku sudah melekap pada pokok. Jarak kaki dari tanah pula hanya sejengkal. Bagaimana hendak dicapai beg itu dengan lagak memanjat pokok sebegini. Akhirnya, aku menjerit sendiri.

“Aaaaahhhhhhhhhh….Aaaabonnnnn…..”, mata aku terpejam rapat menahan silau.

Bergema-gema jeritan itu ke pelosok kawanan lalang merimbun.

Tiba-tiba aku terdengar bunyi basikal menghampiri dan ditongkatkan. Refleks mata terbuka sedikit-sedikit. Dari bukaan kecil kelopak mata, aku lihat seorang lelaki dewasa berjalan sambil meletak beg selimpang atas tanah. Dia mencekak pinggang, memandang aku.

“Kenapa?”, rona wajahnya garang dan menakutkan.

Aku telan liur sendiri. Kain tersingkap aku tarik sedikit ke bawah, dan perlahan-lahan kaki menjejak tanah semula. Rambut kusut aku lurut dengan jari ala kadar dengan pantas. Kemudian, aku berdiri tegak di hadapannya. Aku mendongak untuk melihatnya. Ketinggian budak sekolah rendah dalam darjah empat tidak akan mampu menyaingi ketinggian orang dewasa.

“Eh, tak ada mulut ke?”, suaranya meninggi.

Dia berjalan laju ke arah aku dan menepuk debu pada lengan baju, rambut dan, pipi. Aku hanya diam walaupun tubuh aku turut terayun-ayun apabila dia membersihkan debu yang terlekat. Sesudah itu, aku menunjuk ke arah beg yang tersangkut atas pokok. Matanya menurut ke arah yang aku tunjukkan. Dia mengeluh.

“Usu dah cakap jangan kawan dengan budak lelaki. Degil. Bergaduh lagi.”, Usu pantas memanjat pokok, manakala aku hanya memerhati.

Kali ini sahaja sudah empat kali Usu mengingatkan aku tentang isu ini. Usu selalu berkata, budak lelaki kasar, dan Usu tidak mahu aku menjadi kasar seperti mereka. Pernah Usu mencarikan aku kawan perempuan, adik kepada Kak Huda.

Namun, tidak sampai pun satu jam berkenalan, adik Kak Huda menangis hendak pulang. Jarinya luka digilis rantai basikal aku. Selepas itu, Usu tidak pernah membawa Azah, adik Kak Huda berjumpa aku lagi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience