BAB 8

Romance Completed 7379

SPM berakhir. Keputusan sudah ditangan. Surat tawaran universiti juga sudah ditangan. Baru sekejap tadi Nur Aminah, teman sepermainan sewaktu kecil menelefon dari kampung. Dia akan ke matrikulasi. Aku pula ditawarkan untuk PASUM( Program Asasi Sains Universiti Malaya).

Jalan untuk sampai ke tahap ini bukanlah mudah. Seperti yang aku selalu dengar senior-senior terdahulu berkata : apa yang kau buat itulah apa yang kau dapat.

Suatu pagi di rumah nenek, aku ke pejabat pos. Setelah itu, singgah sebentar di 7 Eleven. Tekak ini tiba-tiba mengidamkan Slurpee. Sewaktu mencari-cari coklat Vochelle sambil membongkok, aku terlanggar seseorang. Secepat kilat aku tegak berdiri. Niat di hati ingin meminta maaf, tetapi tiba-tiba badan aku kaku. Spontan, ayat yang ingin terkeluar tidak terluah. Hanya bunyi liur ditelan menyapa telinga.

Dia pun kaku. Botol 100 Plus di tangan kiri hampir jatuh melorot namun cepat dia menyambutnya. Kesibukan dan bunyi lagu dari stereo premis tidak masuk ke pendengaran. Ruang antara kami bungkam dan sunyi. Bunyi syiling jatuh, mesin daftar tunai keluar masuk, dan mesin pengisar Slurpee di keliling aku terasa tidak wujud. Semuanya terasa lain dan asing. Sebelum orang itu membuka mulutnya.

“Hai.”, itulah nada yang aku pernah dengar hampir enam tahun dulu.

“Hai.”, suasana mula kembali ke alam nyata.

“Jiji?”, nama itu seakan klasik. Aku angguk.

“Akulah…err…Badiuzzaman.”, aku kelipkan mata sekali, cuba mengingat nama itu.

“Abon..Abon.”, dia menegaskan semula.

Lagu Sheila On 7, Berhenti Berharap berkumandang pada corong stereo. Menambah sedikit unsur kekeliruan dalam situasi ini. Coklat Vochelle aku capai sekali gerakan dan kembali mematung di hadapan Badiuzzaman, atau Abon. Aku hampir tidak mengecamnya. Apa yang aku ingat ialah bentuk badan belakangnya yang berlanggar dengan aku tadi. Aku senyum sekali.

“Oh…lama tak dengar cerita.”, Abon sengih.

“Aku balik cuti.”, suaranya semakin besar dan berubah daripada yang aku selalu dengar dahulu.

“Kau cuti sem. Kat mana?”, kaki aku menghentak lantai mengikut irama lagu.

“USM. HBP.”, aku meledak tawa.

“Kenapa kau tak jadi vet ke, penternak ikan ke? Baru kena dengan jiwa kau.”

“Entahlah…”

Dalam perjalanan pulang, aku duduk di tepi tingkap. Bas berjalan dengan lambat kerana kesesakan. Pekan Parit Raja ini kadangkala sama sibuknya dengan di Johor Bahru. Cuma di pekan ini ada sesuatu yang cantik. Ketika melalui jalan sekitar Parit Daun, dan balai polis, pokok-pokok besar di tepi jalan akan menggugurkan bunga.

Penduduk di sini tidak perlu terbang jauh ke Jepun melihat bunga sakura. Di sini pun panoramanya sudah seperti itu. Lorong untuk pejalan kaki di tepi jalan bertaburan dengan bunga berwarna Putih dan Merah Jambu. Di sesetengah kawasan pula bunga-bunga itu bertaburan sampai ke atas jalan besar. Cantik, memang cantik.

Baru hari ini aku tahu, nama sebenar Abon ialah Badiuzzaman. Slurpee yang tinggal separuh aku kacau perlahan. Terasa dunia ini kecil. Masa pula berlalu begitu pantas. Macam baru semalam aku berjumpa Abon. Macam baru semalam bermain dengan Abon, Azad dan Jamil. Macam baru semalam Usu meninggal dunia.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience