KELOPAK mata Syazaqi Rulya bergerak-gerak apabila dia merasakan wajahnya direnjis oleh air. Habis basah bantalnya dek renjisan air itu. Suara Hafrina kedengaran samar-samar di gegendang telinganya. Seketika kemudian, dia membuka matanya perlahan-lahan.
"Woi, bangunlah!" Hafrina yang geram itu menarik kedua belah pipi milik Syazaqi Rulya walaupun pipi itu tidaklah begitu gebu.
Disebabkan pipinya yang terasa kebas, dia pantas mencelikkan matanya sekali gus mengangkat kepalanya dari bantal. Nafasnya tercungap-cungap persis orang selesai mengikuti marathon lima kilometer. Hafrina pula bingung dengan gelagat Syazaqi Rulya.
"Kau dah kenapa? Baru habis mimpi kena kejar hantu ke?" tanya Hafrina.
Dia menampar perlahan pipi Syazaqi Rulya. Tangannya ditepis oleh gadis itu menandakan pipinya masih lagi terasa kebas.
"Pukul berapa sekarang?" tanya gadis itu, baru sedar ke alam realitinya.
Soalan Hafrina dibiar sepi tidak berbalas. Dia baru tersedar dari mamainya.
"8.30 pagi,"
Serta-merta dia bangun dari katil. Kelas Profesor Adli dah mula! Syazaqi Rulya bergegas mencapai tualanya seraya berlari tergopoh-gapah masuk ke dalam bilik air. Mujur sahaja kepalanya tidak melanggar almari pakaiannya.
"Apahal tak kejut aku!" jeritnya dari dalam bilik air.
Hafrina mengukir senyuman sinis. Plan A sudah berjaya. Dia lambat tak apa, asalkan dia dapat kenakan teman serumahnya.
"Aku dah kejut kau dari pukul 7.30 tapi kau tetap tak bangun!" sahut Hafrina dari luar.
Dia mengangkat punggungnya dari katil lalu keluar dari bilik Syazaqi Rulya. Seronok amat dia mentertawakan gadis itu.
Di dalam bilik air, Dia pantas mengambil berus gigi lalu memberus giginya sekuat mungkin. Kemudian, barulah dia berkumur beberapa kali.
Setelah itu, dia melucutkan pakaiannya. Sempat dia menggaru kepalanya yang terasa gatal. Gatal kerana kelemumur, bukan kerana kutu. Pili paip hujan dia buka lalu dia mula membersihkan dirinya secepat yang mungkin.
Beberapa minit kemudian, dia selesai membersihkan diri. Baru sahaja dia keluar dari bilik air, malangnya, dia jatuh terduduk di hadapan pintu bilik air.
"Aduh, bodoh punya lantai! Sakit pinggang dengan punggung aku!" makinya sambil mengaduh kesakitan.
Mujur sahaja tualanya tidak melorot. Dia bangun perlahan-lahan sambil memegang pinggangnya yang terasa sengal. Sudahlah lambat, pinggang pula sakit. Bertambahlah lambat. Memang kena bebel dengan profesorlah lepasni!
"Woi, dah siap ke belum? Aku pergi dululah," pekik Hafrina dari luar bilik tidurnya.
"Tunggulah aku. Aku malas ar nak drive," balas Syazaqi Rulya.
"Ah, tak ada! Kau lambat sangat!"
Syazaqi Rulya tidak membalas. Sebaliknya dia mengeluh. Baju kemeja berlengan panjang dipakai. Dalam hatinya berharap agar Hafrina membawa tugasan mereka. Nampaknya dia tiada pilihan. Dia terpaksa memandu kereta pada hari itu.
Wajahnya cuma dikenakan solekan nipis sahaja setakat bedak asas dan pelembap bibir. Rambut disikat rapi dan tidak diikat. Dibiar sahaja rambutnya yang beralun itu. Seusai mengemas dirinya, dia mengambil beg sandangnya lalu menggalas beg tersebut.
Sebelum keluar dari rumah, gadis itu memastikan semua plag peralatan elektrik telah ditutup dan dicabut. Kunci kereta yang tergantung di tempat penggantung kunci diambil lalu dia membuka pintu utama.
"Gotcha!" sergah Hafrina yang masih terpacak di depan pintu.
Terhinjut bahu Syazaqi Rulya dibuatnya. Dia menampar kuat lengan Hafrina yang menggelakkannya.
"Kau kata nak pergi dulu?" ujar Syazaqi Rulya bingung.
Pintu utama dikunci. Kunci rumah diletakkan di dalam beg di bahagian yang kecil.
"Mana boleh tinggal member. Sama-sama lambat baru adil," ujar Hafrina.
Pintu kereta dibuka lalu mereka berdua masuk ke dalam perut kereta milik Hafrina.
"Tak guna en kau. Nasiblah aku sayang kau, Frina," balas Syazaqi Rulya.
Tapi aku tak sayang langsung dekat kau, Ulya. Balasnya dalam hati.
Dia memalsukan senyumannya. Enjin kereta dihidupkan. Barulah Hafrina memulakan pemanduannya ke Universiti Kebangsaan Malaysia.
"HOI!" sergah Carl.
Dia memetik tangannya di hadapan sahabatnya yang baru habis belajar di Amsterdam. Lelaki itu masih tidak memberi respon. Dia termenung sambil menongkat dagu di atas meja kafe itu. Carl menjongket kening. Termenung apa dia ni?
Dia mengambil keputusan untuk menjentik telinga sahabatnya. Barulah Qahnaf Irfan memberi respon sepenuhnya. Dia menggelengkan kepalanya tands tersedar dari lamunannya. Dia memandang Carl yang tersenyum sipu-sipu ke arahnya.
"Kantoi termenung sebab angau dengan awek!" sakat Carl sambil ketawa mengekek.
"Diam ah kau! Aku mana ada awek," ujar Qahnaf Irfan.
Carl Harrad, seorang sahabat yang paling rapat terakrab Qahnaf Irfan. Mereka mula rapat sejak Qahnaf Irfan menyambung ijazahnya di Amsterdam bersama Carl Harrad yang turut berasal dari Malaysia. Sebenarnya mereka berdua memang sudah menamatkan pengajian pada hari yang sama tetapi Carl Harrad lebih memilih untuk tinggal di Amsterdam lebih lama berbanding Qahnaf Irfan. Katanya dia ingin menghabiskan masanya di Amsterdam sebelum pulang ke tanah air.
Pada masa yang sama, makanan yang dipesan mereka telah sampai. Haruman nasi lemak membuka selera Melayu Carl. Dia menghidu sepuasnya bauan nasi lemak itu.
"Agak-agak ar nak hidu nasi tu. Kot nasi tu tersumbat dekat lubang hidung kau baru tahu," giliran Qahnaf Irfan pula yang menyakat sahabatnya.
"Dah bertahun lamanya aku tak makan nasi lemak. Rindu siot!" balasnya lantas menjamah nasi lemak yang terhidang di hadapannya.
Qahnaf Irfan menggeleng kepala. Satu sahaja perkara yang belum dilakukan sebelum makan, iaitu doa. Dia amat faham kehidupan mereka di Amsterdam. Seusai sahaja dapat makanan, mereka terus menjamah tanpa membaca doa. Kini, situasi telah berubah. Sebagai seorang sahabat, Qahnaf Irfan perlu menarik sahabatnya untuk berhijrah ke arah yang lebih baik.
"Weh Carl, bacalah doa dulu sebelum makan," pesan Qahnaf Irfan.
Lelaki berambut perang itu berhenti mengunyah. Dia memandang sahabatnya dengan pandangan yang tidak percaya. Terkebil-kebil dia melihat wajah Qahnaf Irfan yang kelihatan suci itu.
"Sejak bila..."
Belum sempat dia menghabiskan ayatnya, Qahnaf Irfan pantas mencelah.
"Tadah tangan," perintahnya dua patah perkataan.
Carl hanya menurut perintah tanpa membantah. Dia menadah tangannya. Qahnaf Irfan mula membaca doa sebelum makan. Seusai itu, barulah mereka menjamu selera bersama-sama.
"Rumah kau dekat mana?" soal Qahnaf Irfan.
Lelaki itu berhenti menyuap makanannya setelah disoal. Dia memandang lelaki di hadapannya itu dengan pandangan yang sukar ditafsir.
"Aku tak ada rumah kat Malaysia," jawabnya selamba.
Terkebil-kebil mata Qahnaf Irfan setelah mendengar jawapan lelaki itu. Dia menyoal lagi.
"Dah tu kau nak tinggal dekat mana?"
"Aku tinggal dengan kau boleh? Untuk sementara je. Lepas aku dah kumpul duit, aku beli rumah aku sendiri," ujarnya.
"Family kau?"
"Dia orang tinggal dekat Dubai. Tinggallah aku sorang dekat Malaysia,"
"Dahtu kenapa kau nak balik kat Malaysia?" Qahnaf Irfan semakin banyak menyoal.
Carl sudah menggaru kepalanya yang tidak gatal. Banyak pula soal pak cik ni.
"Sebab jiwa aku dekat Malaysia. Aku setialah dekat sini. Aku nak hidup berdikari dekat negara ni,"
Qahnaf Irfan mengangguk tanda faham. Kagum pula dia terhadap sahabatnya itu. Dalam mindanya dia mula merancang sesuatu untuk sahabatnya.
"Boleh tak aku tumpang?" tanyanya lagi untuk meminta izin.
Qahnaf Irfan mengukir senyuman manis tanda selesa dengan kehadiran sahabatnya dalam rumah keluarganya. Sungguh dia mengalu-alukan kehadiran Carl.
"Boleh sangat. Dah sambung makan,"
CARL berasa hairan apabila Qahnaf Irfan mengheretnya pergi ke sesuatu tempat, iaitu salon. Dia perasan akan perubahan rambut hitam sahabatnya itu. Kalau dahulu rambutnya berwarna putih, kini rambutnya sudah berubah menjadi warna hitam dan nampak lebih tampan.
Jangan-jangan dia nak suruh aku hitamkan rambut aku juga? Fikirnya dalam hati.
Carl menghentikan langkahnya secara mendadak. Qahnaf Irfan yang perasan sahabatnya seakan-akan ingin mengundur kerana takut akan tempat bernama salon.
"Jangan kata kau nak hitamkan rambut aku?"
"Memang tu pun motif aku bawa kau ke sini," jujurnya sambil membuat muka selamba.
Carl memegang rambutnya seakan-akan tidak ingin melepaskan rambut perangnya. Qahnaf Irfan tersenyum. Faham benar dia akan perasaan itu. Perasaan berat hati. Namun apakan daya, dia terpaksa melakukannya demi kebaikan sahabatnya.
"Carl, tak sah solat kita selagi rambut kita tak dihitamkan. Tolonglah hitamkan. Aku teringin nak berjemaah dengan kau Zohor nanti," pujuk Qahnaf Irfan dengan menggunakan cara lembut.
Dia membuat muka kasihan agar sahabatnya cair melihat muka itu.
"Tapi..."
"Dah tak ada tapi-tapi. Lagipun kalau baba tengok rambut kau ni, aku jamin kau akan kena kejar dengan rotan dia," Qahnaf Irfan cuba menakutkan sahabatnya.
Carl menjungkit bibir tanda tidak percaya. Ada ke patut sebab rambut je kena kejar dengan rotan?
"Tak percayalah,"
"Betul weh. Masa zaman rambut aku warna putih dulu, aku kena kejar oleh baba dengan abang aku. Sakit wo kena belasah guna rotan," Qahnaf Irfan mereka cerita pula.
Carl menjongket kening. Kau ni nak buat cerita budak pun tengok orang dululah Irfan oi. Omelnya dalam hati.
"Cerita kau ni aku kasi 10 bintang. Punyalah aku belajar sampai ke Amsterdam. Sekali balik kena kelentong dengan cerita budak kau. Inilah typical malaysian," komennya sambil menjeling Qahnaf Irfan.
Lelaki itu sekadar tersengih kambing tetapi wajah kasihannya masih ditunjukkan untuk mengambil hati Carl.
Akhirnya Carl mengeluh.
"Okay fine. Aku hitamkan rambut aku,"
Qahnaf Irfan membuat muka teruja tanda pujukannya berhasil.
"Tapi dengan syarat. Tak payah reka cerita budak. Aku dah besar panjang macam kau," ujarnya seraya mengukir senyuman lalu dia maju masuk ke dalam salon.
"Baik bos!”
Share this novel