SYAZAQI Rulya mengorak langkah menuju ke kafeteria di mana Hafrina dan gengnya berada. Tegang sahaja wajahnya pada pagi yang mulia itu. Beg berjenama Nike yang tidak begitu berat digalas pada bahu kanannya.
Kelihatan Hafrina bersama empat orang sahabatnya sedang berkumpul di sebuah meja sambil menikmati kentang goreng dan nuget sebagai sarapan pagi mereka. Mata mereka terarah kepada Syazaqi Rulya yang hampir sampai ke meja mereka.
"Yow, ustazah kita dah sampai guys!" perli Verian.
Syazaqi Rulya menggulingkan matanya. Menyampah dengan perlian Verian. Sudahlah anginnya pada pagi itu kurang bagus, ditambah pula dengan perlian Verian. Memang cari nahas namanya.
Hafrina, Fazriel, Daus dan Raqif mentertawakan Syazaqi Rulya yang raut wajahnya sudah bertukar wajah seposen. Dia sudah syak semalam mereka pasti membawang tentangnya.
"Kau orang ni pakat-pakat membawang pasal aku eh?" soalnya, sengaja buat-buat tak tahu.
"Macam kau tak kenal dengan Hafrina. Raja segala bawang," ujar Daus.
Hafrina sudah mendabik dada. Bangga dengan gelarannya sebagai 'Raja segala bawang'. Tidak disangka-sangka gadis dari Brazil ini seorang yang kuat membawang seperti seseorang yang dah lama menetap di Malaysia. Hanya orang yang betah seperti Syazaqi Rulya sahaja mampu kekal bersahabat dengan raja bawang ini.
Bagi yang tidak betah, sudah tentu gadis berambut sedikit keriting itu dikecam habis-habisan. Namun, ada dia ambil kisah? Langsung tidak. Dia suka akan cara hidupnya seperti ini.
Syazaqi Rulya melabuhkan punggungnya di atas kerusi bersebelahan Verian. Dia mencapai kentang goreng lalu dicicah menggunakan sos cili sebelum masuk ke dalam mulutnya.
"Asal kasar sangat kau kunyah kentang yang lembik tu?" tanya Daus yang sedar Syazaqi Rulya sedang mengunyah kentang goreng itu dengan kasar.
"Sebab tak puas hati!" balasnya sedikit kasar.
"Sebab?" sampuk Verian.
Dia menyedut air Milo aisnya perlahan-lahan.
"Sebab prof. ar! Punyalah aku kelam-kabut berkemas, sekali buka Whatsapp..."
Belum sempat Syazaqi Rulya menghabiskan ayatnya, Hafrina pula yang mencelah.
"Class cancel. Saya ada urusan mustahak," Hafrina mengajuk kembali pesanan yang telah dihantar oleh Profesor Adli.
"Itulah yang buat aku bengang. Mujur kau orang suruh aku datang sini. Tak ada rasa rugi sangat masa aku berkemas," ujar Syazaqi Rulya.
Pin! Pin!
Bunyi hon kereta di depan kafeteria itu menarik perhatian mereka berenam. Hafrina sudah tersengih-sengih melihat sebuah kereta berjenama BMW itu. Dia pantas menyedut minumannya sehingga habis lalu dia menggalas beg sandangnya.
Kelakuan Hafrina diperhatikan oleh rakan-rakannya. Mereka bingung seketika.
"Tak payah buat muka macam tu, guys. Tu teman lelaki aku. Chaw dulu!" ujar Hafrina seraya berlari keanak-anakan menuju ke kereta BMW itu.
Kelihatan seorang lelaki memakai baju T-shirt berkolar berjenama Polo dan berseluar jean. Tidak lupa juga cermin mata hitamnya yang mungkin turut berjenama. Tubuhnya berwarna kuning langsat dan tinggi lampai. Dari jauh sudah nampak rupanya yang tampan kalah ketampanan Daus. Tidak mustahillah Hafrina terpikat dengannya.
"Wah, so handsome!" puji Verian.
Matanya bersinar seperti melihat permata yang berkilau. Tergugat imannya melihat ketampanan itu. Andai sahaja lelaki itu miliknya, tentu dia tidak akan sia-siakan lelaki itu.
"Dahlah kacak, kaya pula tu," tambah Syazaqi Rulya yang turut memerhati gelagat lelaki itu sedang membuka pintu untuk sahabatnya, Hafrina.
"Untung ler kau, Hafrina," ujarnya sendirian sambil mengedipkan mata berkali-kali.
Daus, Fazriel dan Raqif mula menyengetkan mulut mereka tanda cemburu kerana dua orang gadis itu terus-menerus memuji teman lelaki Hafrina. Ingin sahaja mereka menyumbat semua kentang itu ke dalam mulut Syazaqi Rulya dan Verian supaya mereka senyap tetapi mereka tidak tergamak ingin melakukannya.
"Yang pasti dia budak Universiti ni. Tapi aku tak pastilah dia course mana," ujar Raqif bersahaja.
"Kalau kau tahu, kau bagitau aku tau?" pinta Verian.
Raqif menggulingkan matanya. Perempuan ni cakap main lepas sahaja.
"Sanggup nak makan penerajang Hafrina?" tanya Fazriel ingin kepastian.
Verian pantas menggeleng menandakan dia tidak mahu.
"Jadi, jangan gatal nak tahu," pesannya bernada dingin.
Setelah seketika, telefon mereka masing-masing berbunyi menandakan ada pesanan masuk. Mereka membuka telefon masing-masing. Pesanan yang diterima membuatkan lima orang itu terkedu. Lantas, mereka saling berpandangan antara satu sama lain.
Kelas tak jadi dibatalkan. Kelas mula pada pukul 11.00 pagi nanti. Sila bawa bahan pembentangan.
"Ha sudah! Hafrina nampaknya takkan munculkan diri lagi dalam kelas ni," ujar Verian.
"Lantak dialah," ujar Daus dan Fazriel serentak.
Mata mereka tertumpu kepada Syazaqi Rulya. Pandangan mereka membuatkan gadis itu tertanya-tanya. Mana tidaknya, pandangan itu seolah-olah dia sedang membuat kesalahan.
"Kenapa pandang aku macam tu?" tanyanya pelik.
"Kau boleh tanya kenapa kami pandang kau?" soalan Syazaqi Rulya dibalas dengan soalan.
"Dah aku tak tahu, aku tanyalah,"
Mereka berempat menepuk dahi masing-masing. Syazaqi Rulya tersengih bagai kerang busuk walaupun dia bingung melihat mereka menepuk dahi.
"Kau ada bawa bahan pembentangan tak?" tanya Fazriel terus kepada topik utama.
Soalan Fazriel menyebabkan Syazaqi Rulya menepuk dahinya. Dia memohon maaf kepada mereka berempat.
"Aku lupalah kau orang sebab aku kan tinggal dekat rumah parents aku semalam. Sorry," gadis itu tersengih.
"Tak guna kau, Ulya!" pekik mereka berempat sehingga mengundang perhatian mahasiswa dan mahasiswi di kafeteria itu.
POPCORN yang penuh di dalam bekas diambil satu per satu lalu dimasukkan ke dalam mulutnya. Matanya fokus menonton filem World War Z yang ditayangkan di televisyen di dalam biliknya. Dia bersandar di kepala katil manakala kakinya disilangkan di atas katil.
Di sebelahnya, seorang budak lelaki sedang berbaring sambil bermain permainan video Clash Of Clan menggunakan iPad milik Qahnaf Irfan. Senyap sahaja anak kecil itu tidak mengganggu konsentrasi Qahnaf Irfan. Sekali sekala tangan kecil itu turut mengambil popcorn dari bekas yang terletak di tangan Qahnaf Irfan.
Mata Qahnaf Irfan sememangnya tertumpu ke arah televisyen tetapi mindanya tidak. Mindanya asyik terfikirkan gadis yang ditemuinya semalam. Cantiknya ibarat bidadari tetapi malangnya, dia garang. Qahnaf Irfan tersengih sendirian walaupun tiada babak lucu dalam filem itu.
"Kau?" jari telunjuknya ditundingkan tepat ke arah jejaka itu.
"Sa... saya kenal awak ke?"
Qahnaf Irfan mengerutkan dahinya. Wajah itu rasanya dia pernah lihat beberapa hari lepas. Wajah yang sama, kecantikan yang luar biasa. Wajah gadis itu samar-samar dalam benak Qahnaf Irfan. Sukar untuk dia bezakan wajah kelmarin dengan wajah beberapa hari lepas.
"Abang..." panggil Afiq.
Malangnya tiada respon daripada Qahnaf Irfan. Dia masih berada dalam dunianya sendiri.
"Bang... ooo... bang," panggilnya lagi sambil mencucuk-cucuk pinggang Qahnaf Irfan.
Barulah Qahnaf Irfan bangun dari dunianya sendiri. Dia memandang Afiq yang sedang terkebil-kebil melihatnya.
"Ya Afiq? Kenapa?" soalnya.
Afiq mengajukan iPad kepada Qahnaf Irfan. iPad itu tidak dapat dihidupkan lagi.
"Bateri dah habis,"
Afiq membuat muka sememeh. Faham benar Qahnaf Irfan apabila melihat mimik muka anak sepupunya. Dia mengulum senyuman kecil.
"Tak apa. Abang cas dulu, nanti Afiq main lagi ya?"
Afiq pantas mengangguk tanda bersetuju. Dia turun dari katil bersaiz king milik Qahnaf Irfan.
"Afiq nak cari Afhiza dengan mama," ujarnya.
"Dia orang ada je kat ruang tamu kot. Hati-hati turun tangga," pesan Qahnaf Irfan.
"Okey abang," jawab budak lelaki itu seraya keluar dari bilik tidur Qahnaf Irfan.
Semasa ingin menuruni tangga, Afiq terserempak pula dengan Qahnaf Izwan yang sudah sedia memakai baju Melayu berwarna biru laut dan songkok yang setia di atas kepalanya. Tidak lupa juga beg sandangnya yang berisi kertas dan alat tulis.
"Abang Wan nak ke mana?" petah budak lelaki itu bertanya.
"Abang Wan nak pergi tahfiz. Abang Ipang ada dalam bilik dia kan?" tanya Qahnaf Izwan pula.
Anak kecil itu pantas mengangguk. Comel sahaja anggukan dia membuatkan Qahnaf Izwan mengusap kepala Afiq sebelum berlalu menuju ke bilik Qahnaf Irfan.
"Good boy," pujinya ikhlas.
Pintu bilik tidur Qahnaf Irfan dikuak tanpa diketuk. Qahnaf Izwan menggelengkan kepalanya melihat kelakuan adiknya yang bersandar di kepala katil sambil menonton filem.
"Oi mat salleh, dah solat Asar ke belum?" soalnya.
"Dah," jawab Qahnaf Irfan sepatah.
"Good. Sekarang aku nak kau mandi, lepastu pakailah baju Melayu atau jubah. Kita pergi tahfiz,"
Qahnaf Irfan memandang abangnya. Pelik. Kenapa dia perlu pergi tahfiz sedangkan dia bukan ustaz untuk mengajar anak-anak tahfiz.
"Buat apa aku ikut?" soalnya bingung.
"Ikut jelah. Aku ustaz kau hari ni,"
Mahu tidak mahu Qahnaf Irfan menutup televisyennya lantas mengangkat tubuhnya dari katil. Dia merenggangkan uratnya terlebih dahulu lalu dia mengambil tuala yang disidai di belakang pintunya.
"Cepat sikit," sempat abangnya berpesan.
Qahnaf Izwan menutup pintu adiknya. Dia menuruni tangga lalu pergi ke dapur. Tekaknya terasa kering. Peti ais dibuka lalu air sejuk diambil. Dia mengambil gelas di dalam kabinet lalu air dituangkan ke dalam gelas. Rasa lega di tekaknya sebaik sahaja air itu mengalir menerusi tekaknya.
"Awalnya nak pergi tahfiz," ujar Nayla.
"Haah sebab aku ada kerja sikit nak buat," balas Qahnaf Izwan.
Nayla merupakan sepupu kepada Qahnaf Izwan dan Qahnaf Irfan. Wanita itu juga merupakan mama kepada Afiq dan Afhiza. Mujur wanita itu kenal Qahnaf Irfan sewaktu anak-anaknya terserempak dengan lelaki itu. Kebetulan suaminya kini berada di Indonesia untuk menyelesaikan projek yang tergendala dan dia pula bersama anak-anaknya lebih menghabiskan masa di rumah Encik Hateem.
Nayla mengangguk tanda memahami. Dalam diam, dia kagum dengan sepupunya yang bernama Qahnaf Izwan ini kerana dia boleh membuat dua kerja dalam satu masa. Buktinya, dia telah menjadi CEO kepada syarikat penerbitan yang dia sendiri tubuhkan pada awal tahun, iaitu Syarikat SOD Publication. Sudahlah jadi CEO, dia boleh pula menjadi ustaz di tahfiz.
"Suami kau bila balik?" tanya Qahnaf Izwan.
"Mungkin lima hari lagi," jawabnya.
Kelihatan Encik Hateem berjalan menuju ke dapur. Ingin minum barangkali. Dia melihat anaknya yang sudah sedia untuk ke tahfiz itu seraya tersenyum.
"Baba datang sebelum Maghrib, ya?" pesan Encik Hateem.
Qahnaf Izwan mengangguk.
"Okey baba. Iwan bawa Ipang sekali," pesannya pula.
"Eloklah tu. Ajar dia mengaji nanti," ujar Encik Hateem.
Share this novel