BAB 1

Romance Series 7141

“MALAYSIA!” Qahnaf Irfan memekik teruja sambil mendepakan tangannya sebaik sahaja keluar dari pintu B10 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2.

Para penumpang dan pelancong yang lain hanya memandang Qahnaf Irfan dengan pandangan pelik. Hairan dengan tingkah laku jejaka itu.

“Eh, dia ni macam tak pernah datang Malaysia je! Harap je muka Melayu,”

Qahnaf Irfan dapat menangkap suara seseorang sedang mengutuknya. Dia melihat seorang gadis sedang berbisik dengan kawannya. Gadis itu menyangka bisikannya tidak didengari oleh Qahnaf Irfan. Qahnaf Irfan mencebikkan bibirnya.

“Ingat aku tak dengar ke? Suka hati akulah nak memekik ke apa. Buat spoil je,” gumam Qahnaf Irfan sendirian.

Dia membetulkan beg galas di belakangnya lalu mengorak langkah ke tempat pengambilan bagasi. Sampai sahaja dia di tempat pengambilan bagasi, dia pantas mendapatkan troli untuk menyimpan bagasi-bagasi besarnya.

Semasa menunggu bagasi keduanya, Qahnaf Irfan tertarik dengan sebuah bagasi berwarna merah jambu bercorak kartun Barbie yang sedang melepasinya. Dia leka memerhati bagasi itu untuk mengetahui empunya bagasi comel tersebut. Tanpa disedari, bagasi miliknya sendiri telah melepasinya. Qahnaf Irfan menahan tawa saat melihat seorang lelaki berwajah mat salleh yang mengambil bagasi Barbie itu. Hendak dikatakan sudah mempunyai anak, tiada pula si anak mahupun isteri. Qahnaf Irfan membuat andaian bagasi tersebut merupakan milik mat salleh itu.

Akhirnya, dia terpandang bagasi keduanya yang sudah jauh di seberang. Dia tercengang seketika.

“Eh, bagasi aku!”

Setelah mencapai bagasi hijaunya, Qahnaf Irfan seraya mengorak langkah keluar dari lapangan terbang itu. Matanya melilau mencari kelibat seseorang. Dia mengerling jam di tangannya. Matanya membuntang apabila melihat jarum jam itu.

“Pukul 1.00?” Soalnya sendirian.

Qahnaf Irfan memandang matahari yang ingin terbenam di sebelah barat. Sudah tentu hari itu hampir masuk waktu senja. Dia menggaru kepalanya yang tidak gatal. Telefon pintarnya juga menunjukkan pukul satu.

“Ni kan waktu Amsterdam. Apolah,” gumamnya.

“Irfan!” Panggil seseorang dari sebelah kirinya.

Wajah Qahnaf Irfan berubah teruja apabila matanya menangkap susuk tubuh seseorang yang sedang berlari keanakan ke arahnya.

“Izwannnn!” Jerit Qahnaf Irfan seraya memeluk abangnya, Qahnaf Izwan.

“Waalaikumussalam orang Amsterdam. Dah lupa nak bagi salam ke? Dahlah jerit tak tentu hala. Tak hilang lagi perangai suka menjerit,” bebel Qahnaf Izwan berbaur perlian.

“Kau dulu tak bagi salam,” ujar Qahnaf Irfan.

“Sengaja tak nak bagi. Aku nak tengok kau yang bagi salam,” bidas Qahnaf Izwan.

Qahnaf Irfan tersengih. Giginya yang kurang rata itu amat jelas kelihatan.

“Pandai kau mengelak eh? Mana aci… Aduh!” Tiba-tiba Qahnaf Irfan mengaduh apabila kepalanya diketuk oleh abangnya. Dia memandang abangnya dengan pandangan pelik.

“Haa, puas hati aku! Lepastu sibuk nak bagi alasan,” si abang tetap tak ingin mengalah.

“Kau dah kenapa ketuk aku, Wan?” Qahnaf Irfan menyoal sambil mengusap kepalanya yang diketuk oleh Qahnaf Izwan.

Qahnaf Izwan memuncungkan mulutnya ke arah rambut Qahnaf Irfan. Dari tadi lagi dia geram melihat rambut adiknya. Makin teruk pula Qahnaf Irfan sejak menyambung pengajian di negara barat.

“Rambut kau tu ada krim Vanila tumpah dari Amsterdam ke?” Sindiran daripada Qahnaf Izwan membuatkan Qahnaf Irfan ternganga kerana tidak dapat menangkap maksud tersirat abangnya.

“What do you mean, bro?” Tanya Qahnaf Irfan sambil memegang rambutnya.

Qahnaf Izwan mengukir senyuman sinis. Sebuah bagasi milik adiknya diambil lalu ditarik hingga menuju ke tempat letak kereta yang tidak jauh dari lapangan terbang itu. Qahnaf Irfan hanya mengekori langkah Qahnaf Izwan dari belakang sambil menunggu jawapan daripada satu-satunya abangnya itu.

Bonet kereta berjenama Mercedes Benz berwarna hitam dibuka. Qahnaf Izwan cuba memasukkan bagasi adiknya ke dalam bonet. Qahnaf Irfan pantas membantu abangnya yang dalam kesusahan mengangkat bagasi.

“Kau ni harap je jantan. Bagasi pun tak larat nak angkat, noob,”  ejek Qahnaf Irfan.

Qahnaf Izwan menyengetkan bibirnya.

“Kalau kau bawa berlian tak apalah jugak. Ni aku rasa kau bawa batu,” Qahnaf Izwan membidas.

“Mana ada! Saya cuma bawa hati saya untuk awak,” Qahnaf Irfan melenggokan badannya persis seorang Mak Nyah. Suaranya yang garau cuba dilembutkan. Matanya dikedipkan berkali-kali untuk memancing abangnya.

Qahnaf Izwan membuat muka mual sekali gus dengan rasa menyampah akan ayat manis adiknya itu.

“Aku tak cair pun. Geli lagilah ada! Tak pasal-pasal kepala kau aku sekeh nanti. Kalau kau betul-betul lelaki tulen, kau tak akan guna ayat pickupline atau bercakap manis tetapi tak ada hasil. Jatuh martabat kaum Adam,” pesan Qahnaf Izwan panjang lebar lalu tangannya mula menukar gear P kepada gear R untuk mengundurkan keretanya dari tapak parkir itu.

Kemudian, gear R diganti kepada gear D lantas pacuan empat roda itu dipandu keluar dari parkir kereta lalu memecut laju membelah jalan raya meninggalkan kawasan lapangan terbang. Qahnaf Izwan perasan akan adiknya yang asyik menguap dari tadi.

“Kalau dah ngantuk tu tidur jelah. Tak payah nak paksa mata tu,” ujar si abang.

Qahnaf Irfan hanya mengangguk mengiakan kata-kata abangnya. Berat sungguh matanya ketika ini. Apa yang dia bayangkan dalam otak sekarang ini adalah bantal, katil dan selimut di dalam bilik tidur kesayangannya.

QAHNAF Irfan membuka matanya perlahan-lahan apabila merasakan Mercedes Benz abangnya tidak bergerak. Rasanya dia baru melelapkan mata lima minit yang lepas. Mustahil jarak rumahnya terlalu dekat dengan lapangan terbang. Dia memandang hairan ke arah Qahnaf Izwan yang sedang merenungnya.

“Apahal tenung aku rupa nak telan ni?” Qahnaf Irfan menyoal abangnnya.

“Aku bukan tenung kau. Aku tenung uban kat atas kepala kau. Tak sangka adik aku yang baru 26 tahun ni dah beruban,” Qahnaf Izwan menyindir adiknya dengan penuh makna tersirat.

Qahnaf Irfan tercengang. Sekali lagi dia tidak dapat menangkap maksud tersirat Qahnaf Izwan.

“Sebenarnya apa maksud kau, Wan? Dari kat airport lagi kau asyik target kepala aku. Tadi kau kata rambut aku ada krim Vanila tumpah dari Amsterdam. Bila aku pegang, tak ada pulak krimnya. Sekarang ni kau kata pulak rambut aku beruban. Serius aku tak faham,” luah Qahnaf Irfan dengan lurus bendulnya.

Luahan daripada Qahnaf Irfan membuatkan Qahnaf Izwan meletuskan ketawa besarnya itu menimbulkan perasaan semakin bingung dalam kepala si adik. Apa benda yang lawak?

“Adikku, Qahnaf Irfan bin Faie Hateem, sah tak solat kau kalau kau warna rambut daripada asli hitam jadi putih macam krim Vanila jatuh atas kepala kau? Aku tengok kau ni dah teruk sejak duduk kat Amsterdam. Baru tiga tahun kat sana. Kalau sepuluh tahun? Gamaknya kau akan lupa hukum dalam Islam, Ipang,” ujar Qahnaf Izwan bernada serius dan sinis.

Qahnaf Irfan tergamam. Dia mati kata kerana agak sentap dengan soalan abangnya. Sudah terang lagi bersuluh dia tidak menunaikan kewajipannya sebagai seorang muslim yang tulen.
“Aku…”

“Aku nak solat jap. Kau duduk je dalam kereta dan renung semua kesalahan yang kau dah buat sebagai seorang umat Islam. Aku nak adik aku patuh akan perintah Allah SWT bukannya mendekatkan diri dengan maksiat meskipun kau tinggal dekat negara barat yang penuh dengan kebebasan,” Qahnaf Izwan mencelah lantas keluar dari perut kereta untuk menunaikan solat Fardu Maghrib di masjid.

Qahnaf Irfan terkulat-kulat di dalam kereta itu sambil memerhati Qahnaf Izwan yang sedang membuka kasut lalu menjejak lantai masjid. Dia mengetap bibir. Abangnya sering kali masuk ke masjid sedangkan dirinya kerap kali meninggalkan masjid serta mengabaikan suruhan Allah setelah beberapa bulan meninggalkan bumi Malaysia dan jauh daripada keluarga yang kuat pegangan agama.

“Ya Allah, teruknya aku sebagai hambaMu,” Qahnaf Irfan bermonolog sambil meraup wajahnya.

“WEI Ulya!” Lantang suara Juliea memanggil nama sahabatnya melalui skrin laptop Acer milik Syazaqi Rulya.

Gadis itu pantas tersedar dari lamunannya. Dia memandang wajah Juliea yang sedang tersengih menayang gigi ratanya. Hmmm, dah kenal sangat dengan sengih kambing mengembek dia tu.

“Lama sangat ke tunggu aku sampai kau sempat mengelamun depan laptop?” Soal Juliea sambil menopang dagu di atas katilnya.

“Haah. Lama sangat dari 15 tahun yang lalu aku tunggu kau jawab,” seloroh Syazaqi Rulya seraya ketawa kecil.

Hakikatnya baru 15 minit je dia tunggu. Hyperlah kejap.

“Cewah, kau! Nak perli aku agak-agak arr. Aku baru habis mandi tadi. Tu yang lambat jawab. Aku pakai baju, pakai losen, sikat rambut bagi rapi pun dah makan masa berjam-jam. Macamlah kau baru kenal aku semalam,”

Syazaqi Rulya menyengetkan mulutnya tanda menyampah. Menyampah tapi sayang. Gila kalau tak sayang sahabat sejak kecil kan?  Tapi apakan daya, jarak yang beribu batu memisahkan kami. Aku kat Malaysia, dia jauh kat Negara kanggaru.

“How’s your business?” Tanya Syazaqi Rulya.

Serta-merta bibir Juliea menjadi muncung macam itik. Kenapa pulak dia muncung ni?

“Kenapa?”

“Pertama, kau bukan nak tanya khabar aku. Second, it’s not my business but my mom’s business, okay?Ketiga, aku bosan tinggal kat sini urus bisnes mama. Tak aci arr  dia duk dekat Malaysia sedangkan kat sini aku mereput sorang-sorang jaga butik dia. Aku sunyi,” Juliea meluahkan rasa tidak puas hatinya.

Juliea, gadis yang bercita-cita tinggi tetapi impiannya tersekat apabila kemahuan mamanya terpaksa diikutkan semata-mata nak jaga hati seorang wanita bergelar mama. Risikonya, dia rasa sunyi tanpa teman dari Malaysia. Nak tak nak, dia tetap kena ikut arahan mamanya.

“Alololo… Insya-Allah, ada rezeki nanti aku jenguk kau dekat sana. Lagipun kau kan ada kawan minah dengan mat salleh kat sana,”ujar Syazaqi Rulya.

Jelas kelihatan Juliea sedang menjongketkan keningnya. Hailah… Suka sangat buat mimik muka.

“Dey Ulya, kawan dekat Australia ni tak sama macam kawan dekat Malaysia tau. Kau sahabat yang paling aku sayang sedangkan dia orang dekat sini aku layan tak seistimewa macam kau. Kau apa tahu?” Bidas Juliea.

Syazaqi Rulya meletuskan ketawa besarnya. Dia bangga ada sahabat yang setia dan sentiasa menjadi tunjang dirinya, iaitu seorang sahabat yang bernama Juliea Athirah. Dia dan Juliea menjadi sahabat sejak mereka berada di tingkatan dua. Juliealah yang memulakan segala kegilaan sehingga menjadi satu kepala dan akhirnya mereka akrab hingga kini. Kuat sungguh ikatan persahabatan yang tidak pernah main pisau tikam belakang.

“Bodek ler tuu,” seloroh Syazaqi Rulya bernada meleret.

“Kau ni! Tak nak ah kawan kau. Jahat benor mengalahkan Adudu,”

“Kang aku mengadu kat aunty,” Rulya menjelirkan lidahnya.

Mata Juliea terbeliak setelah melihat lidah Syazaqi Rulya seperti ada benda yang melekat. Biar buah betik mak cik ni? Mata aku tak buta lagikan?

“Woii!” Juliea memekik sehingga sahabatnya terperanjat.

“Kau apahal ngok?”

“Kau tindik lidah kau eh?” Juliea memandang tajam Syazaqi Rulya. Jari telunjuknya ditujukan tepat di depan muka sahabatnya.

Syazaqi Rulya mengetap bibirnya setelah ditegur oleh sahabatnya. Adeh… dah kantoi!
“Err… Hehe. Kau baru perasan ke weh? Aku ingat kau dah lama perasan,” Syazaqi Rulya mengukir sengihan palsu.

Juliea mengecilkan matanya menandakan dia tidak berpuas hati dengan perubahan kecil yang muncul dalam diri sahabatnya. Sejak bila pulak dia pandai bertindik?

“Siapa ajar kau bertindik bagai ni? Kau tahu tak tindik lidah atau pusat dan hidung ni hukumnya haram? Setahu aku keluarga kau larang anak-anak dia orang buat benda tak sepatutnya,” Juliea sudah mula membebel.

“Lea, air dah mendidih. Aku tutup dulu. Bye!” Panggilan video ditamatkan secepatnya.

Syazaqi Rulya menghela nafas lega.Bibirnya dicebikkan. Bukan selalu pun aku bertindik. Dia bangun dari katil seraya mengangkat laptopnya lalu diletakkan di atas meja belajar.

Telefon pintar iPhone 6 miliknya dicapai. Kata laluan dimasukkan lantas jari gadis itu menekan contact. Nombor telefon ibunya, Puan Faziha dicari lalu dia mendail nombor telefon ibunya. Beberapa saat kemudian, panggilan dijawab oleh si ibu. Kedengaran suara ceria Puan Faziha melalui corong telefon.

“Waalaikumussalam, ibu. Ulya nak bagitahu ibu yang minggu ni Ulya tak balik rumah. Ulya banyak assignment  yang nak disiapkan,” pesan Rulya.

“Yelah, bu. Nanti semua dah settle Ulya balik rumah,”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience