FAR across the distance
And spaces, between us
You have come to show you, go on...
"On on on on..." Nyanyian Syazaqi Rulya tergendala dek telefonnya menyambung lagu Celine Dion yang sedang dimainkan di radio Lite FM.
Haiyaa... Manyak kacau woo.
Tangan kirinya pantas mencapai telefon di tempat duduk sisi. Earphone dipasang di telinga manakala matanya masih fokus kepada pemanduan. Volume radio dikecilkan sehingga sepuluh.
"Assalamualaikum Ulya," kedengaran suara Puan Faziha dalam talian.
"Waalaikumussalam. Kenapa ibu?" Tanya Syazaqi Rulya.
"Ulya dekat mana tu?" Soalan Syazaqi Rulya dibalas dengan soalan.
"Dekat Damansara. On the waylah ni ibu. Sabar,"
"Ibu tahulah Ulya on the way. Ibu nak minta tolong Ulya pergi beli sampul surat dekat 7 Eleven. Boleh eh?" Pinta Puan Faziha.
Syazaqi Rulya mengembungkan pipinya. Mujur sahaja 7 Eleven tidak jauh dari tempat dia berada kini.
"Boleh ibu. Ulya off dulu," Punat merah ditekan. Dia meletakkan kembali telefonnya di tempat duduk sebelah.
Kenapa ibu suruh aku beli sampul surat? Soalnya dalam hati. Stering kereta Toyota Viosnya diputar ke sebelah kiri agar keretanya memasuki simpang yang menuju ke 7 Eleven.
Tempat letak kereta yang sedikit luas dicari. Syazaqi Rulya tersenyum kecil apabila melihat tempat letak kereta yang kosong dan luas berada tepat di hadapan 7 Eleven. Taklah penat sangat nak jalan nanti. Usai sahaja memakirkan keretanya, dia mematikan enjin. Pintu kereta dibuka lantas dia keluar dari perut kereta. Dia mempercepatkan langkahnya menuju ke 7 Eleven.
Ting!
"Selamat datang," sapa seorang lelaki yang memakai uniform 7 Eleven.
Syazaqi Rulya hanya membalas dengan menghadiahkan senyuman kecil. Dia mendekati rak yang terdapat sampul surat. Satu plastik sampul surat yang bersaiz kecil diambil lalu dibawa ke kaunter pembayaran. Wang kertas bernilai RM 5.00 dibawa keluar dari purse miliknya.
"Terima kasih cik," ucap pekerja lelaki itu.
"Sama-sama," Syazaqi Rulya pantas mengorak langkah ke pintu 7 Eleven itu. Ketika dia sedang memasukkan beg duitnya ke dalam beg, tiba-tiba kepalanya ditolak oleh pintu dari luar menyebabkan dia jatuh terduduk.
"Adoii!" Gadis itu memegang kepalanya yang terasa sakit akibat disondol pintu.
Bukan kepala je, punggung dia pun sakit! Siapa yang buta sangat tak nampak ke ada manusia kat belakang pintu?
"Cik... Maaf, saya tak sengaja!" Lelaki itu mencangkung ingin membantu Syazaqi Rulya.
Dia teragak-agak ingin membantu gadis itu dengan memegang lengannya. Ah, darurat! Tu lah pasal, main lagi telefon.
"Ishh! Lepaslah!" Syazaqi Rulya merentap tangannya.
Gadis itu membetulkan rambutnya yang melekat di mata. Darahnya menggelegak ibarat gunung berapi ingin meletus apabila melihat wajah lelaki di hadapannya ketika ini. Dia mendengus geram.
"Kau lagi?" Jari telunjuk Syazaqi Rulya ditujukan tepat di hadapan batang hidung lelaki itu.
Dia mengerutkan dahinya. Aku lagi?
Syazaqi Rulya bangun lantas mengibas-ngibas bahagian punggungnya untuk mengusir debu. Hakikatnya, tiada ada debu pun di atas lantai itu. Dia memandang lelaki di hadapannya ketika ini dengan pandangan menyinga.
"Kau buta ke apa! Mata letak kat mana? Letak kat lutut atau mata kau memang melekat kat lubang hidung? Tak nampak ke ada manusia kat belakang pintu ni? Tak pasal-pasal kepala aku kena sondol dengan pintu ni. Semalam, adik kau buat hal dekat rumah aku. Hari ni kau pula dok cari pasal dengan aku. Kenapa kau ikut aku? Aku ni ada hutang dekat kau ke?" Tanpa menyelidik, Syazaqi Rulya menghambur amarah dan melemparkan tuduhan kepada lelaki itu secara melulu.
Lelaki itu tercengang. Dia tidak faham apa yang telah dileter oleh gadis di hadapannya ini. Bila masa pula dia ada adik yang masuk rumah dia? Tak pernah tengok pun perempuan ni kat kawasan perumahan tu?
"Apa benda yang kau merepek ni? Aku langsung tak kenal kau. Aku baru tengok muka kau hari ni, dekat sini dan sekarang ni. Apa kaitan dengan aku pasal hal semalam? Aku langsung tak pernah tengok muka kau. Ada hati nak tuduh aku?" Hilang terus panggilan 'cik' kerana perangai aneh gadis ini.
"Kau tipu! Aku tak percaya kau!"
"Kau ni serius memang perempuan gila! Tak nak percaya sudah!"
Syazaqi Rulya mengetap bibirnya menahan geram. Semalam ceroboh rumah orang lepas tu tak nak mengaku bersalah. Dia menolak badan lelaki itu seraya keluar dari 7 Eleven dengan perasaan sebal. Sakai punya orang!
Pintu keretanya dibuka kasar lantas dia membaling kasar plastik yang berisi sampul surat itu di tempat duduk sisinya. Pendingin hawa dihidupkan secepatnya untuk menghilangkan rasa panasnya ketika ini.
"Harap je pakai jubah, tapi mulut macam hantu!" Omel Syazaqi Rulya sambil mengusap bahagian kepalanya yang terkena pintu.
Janganlah benjol wahai kepala.
"YA ALLAH Ulya! Kenapa kamu pakai baju ni sayang oii," Puan Faziha menepuk dahinya tatkala melihat anak perempuannya hanya mengenakan T-Shirt Cheetah Ladies berlengan panjang dan seluar jeans yang agak ketat.
Syazaqi Rulya mengerutkan dahinya. Salah ke pakai baju macam ni? Balik rumah je pun. Bukan nak pergi mana-mana parti atau rumah terbuka.
"Ulya malas nak bersiap, bu. Dah ibu suruh balik petang ni juga," ujar Syazaqi Rulya.
"Ibu suruh Ulya balik sebab Ian jemput kita pergi tahfiz. Lepas Isyak nanti, Ustaz Aiman Banna akan buat ceramah. Rugi kalau tak datang," kata Puan Faziha sambil tersenyum kecil. Syazaqi Rulya terkedu. Ceramah? Err... nak bagi alasan ke tak?
"Tiada bantahan ya Ulya? Nak tak nak anak papa tetap kena pergi," Encik Faresh yang baru muncul dari tingkat atas itu tiba-tiba mencelah.
Alat kawalan televisyen diambil dari meja kopi lalu dia melabuhkan punggungnya di atas sofa single. Siaran Astro Arena menjadi pilihan. Maklumlah sekarang ni musim perlawanan badminton, BWF Indonesia Open 2019.
Rahang Syazaqi Rulya seakan-akan jatuh. Papa dapat baca fikiran aku?
"Ma... mana ada Ulya nak bantah, pa," dia berdalih.
Puan Faziha menepuk perlahan bahu anaknya.
"Dah... dah. Ulya, di dalam bilik kamu tu ada baju kurung warna putih. Gunalah baju tu. Lagipun Ulya dah lama tak jumpa Ian kan?"
Dia mengangguk mengiakan kata-kata Puan Faziha. Rindu pula dekat budak Ian tu. Sanggup benor dia tinggalkan tingkatan satu semata-mata nak tuntut ilmu agama. Berbeza pula dengan dirinya yang lebih memilih akademik.
"Baju kurung warna putih je? Warna lain tak ada ke, bu?" Tanyanya.
Dah macam orang berkabung bila pakai baju putih melepak ni.
"Pakai ajelah. Baju kurung tu ibu baru beli masa keluar dengan kawan ibu hari tu. Ibu jamin Ulya akan jatuh cinta dengan corak dia," Puan Faziha memberi jaminan sambil mengulum senyuman lebar.
Syazaqi Rulya menjongket kening. Dia bukannya minat sangat pakai baju kurung ni. Serius kuasa tiga, pakai baju kurung buat panas je!
Pintu bilik dikuak perlahan. Bauan Lavender kesayangan menerobos masuk ke rongga hidung. Ah, rindunya! Almari pakaian didekati. Reka bentuknya yang moden itu amat kontra dengan tema bilik tidurnya, ditambah pula susunannya yang amat teratur seperti di dalam bilik Mama Zola.
Susunan perabot di dalam bilik ini semuanya idea daripada Puan Faziha. Walaupun usianya semakin meningkat, citarasa dan kepakarannya sebagai bekas interior designer tetap tinggi. Beberapa tahun dahulu, Puan Faziha amat berat hati untuk meninggalkan kariernya. Disebabkan arahan menjadi suri rumah dikeluarkan oleh Encik Faresh, dia terpaksa akur dengan arahan itu.
Pintu almari dibuka. Matanya membulat tatkala mengambil penyangkut baju kurung modennya yang berwarna putih dan bercorak bunga keemasan. Mulutnya pula membentuk huruf 'O' tanda kagum dengan kecantikan baju kurung moden itu.
"Cantiknya!"
Baju kurung itu disuaikan dengan tubuhnya di hadapan cermin. Dia membuat gaya ala diva. Amat sesuai dengan tubuhnya yang langsing dan sederhana tinggi.
Automatik kepala Syazaqi Rulya berpusing menghadap pintu apabila pintu itu dibuka oleh ibunya.
"Ya Allah, budak bertuah ni! Tak siap lagi ke?" Soal Puan Faziha.
Syazaqi Rulya mengukir sengihan kambing.
"Ya... ya... Ulya bersiap sekarang. Ibu tutuplah pintu tu,"
Puan Faziha menjongket kening. Pintu bilik anaknya ditutup perlahan. Pelik-pelik je budak ni.
"ADUH!" Syazaqi Rulya mengaduh apabila terasa lengannya ditampar.
"Kenapa bu? Lambat siap pun kena tampo?" Soalnya sambil mengusap lengannya yang ditampar tadi.
Puan Faziha mengeluarkan sesuatu dari beg tangan berjenama Gucci. Make up removal diberikan kepada anaknya.
"Buang solekan tu, anakku. Kita nak solat dekat sana, bukan nak pergi shopping! Membaziaq ja pakai benda tu," omel Puan Faziha sampai terkeluar loghat utaranya.
Mulut Syazaqi Rulya memuncung. Dia mengorak langkah menuju ke biliknya lagi. Kapas diambil dari dalam laci. Dia menekup kapas itu di mulut make up removal lantas dilap perlahan-lahan di wajahnya.
Beberapa minit kemudian, Bedak, foundation, maskara dan lipstik berjaya ditanggalkan dari wajah. Dia mencapai beg tangannya lantas keluar dari bilik. Dia tercengang apabila melihat seluruh rumahnya sudah sunyi. Dia mencebik.
"Keluar tak tunggu aku pun," monolognya sendirian.
Di dalam kereta, bunyi radio yang memainkan lagu-lagu jiwang memecah keheningan suasana. Syazaqi Rulya mengambil earphonenya lantas disumbat ke telinga. Lagu rancak diputarkan menggunakan telefon tanda dia tidak melayan lagu-lagu jiwang Melayu.
Sekali-sekala dia akan mencuri dengar perbualan Puan Faziha dan Encik Faresh. Aplikasi Snapchat dibuka.
Clik! Sekeping gambar terserlah di skrin telefonnya.
Clik! Sekali lagi dia menggunakan filter lain.
Clik! Dan sekali lagi dengan membuat muka annoying.
Gambar kedua dan ketiga menjadi pilihan untuk dimuat naik dalam media sosial. Aplikasi paling utama untuk dia memuat naik gambarnya ialah Instagram dan kedua utama adalah status Whatsapp. Baginya, itu wajib!
On the way to Tahfiz Miftahul Ulum! Mengikuti ceramah ustaz @AimaanBanna
#HenshinX #ManaMaunya
Posted! Komen sengaja dimatikan agar netizen tidak mengecamnya.
Caption yang sama ditulis di platform Whatsapp pula. Bezanya, tiada tanda hashtag dan tag username diletakkan dalam status Whatsapp.
"Ulya..." Panggil Puan Faziha.
"Ye ibu?"
"Juliea apa khabar? Dah lama tak dengar khabar budak tu," tanya Puan Faziha.
Syazaqi Rulya menggigit bibir. Baru beberapa hari lepas dia bersua muka dengan gadis itu melalui Skype. Tiba-tiba rindu menerjah hatinya.
"She's fine, ibu. Cuma dia sibuk dengan butik mama dialah," balasnya.
"Bila dia nak balik Malaysia? Ibu rindulah dengan dia," sengaja perkataan 'rindu' ditekan untuk mengundang cemburu anak perempuannya.
Syazaqi Rulya menjongket kening. Amboi ibu... nak bagi jealous pun agak-agaklah sikit. Desisnya dalam hati.
"Tak tahu. Ada masa nanti dia datanglah jenguk kita dengan keluarga dia nanti," jawabnya bernada biasa, tidak menunjukkan tanda-tanda cemburu walhal hatinya sedikit cemburu.
Encik Faresh memerhatikan anaknya melalui pantulan cermin pandang belakang. Dia perasan akan anaknya yang telah berubah sedikit demi sedikit sejak berkongsi rumah dengan mahasiswi baharu dari luar negara. Sungguh dia musykil dengan perwatakan anak gadisnya itu. Bukan sahaja perwatakan, penampilannya juga berubah menjadi semakin ketat. Kuat makan ke budak ni sampai baju pun jadi ketat?
"Ulya, papa nak tanya ni,” Encik Faresh mula bersuara setelah lama berdiam diri.
“Tanyalah pa,”
Sebelum Encik Faresh menanyakan soalan kepada anak gadisnya, dia berjeda seketika untuk fokus kepada pemanduannya. Sampai sahaja di lampu isyarat yang masih berwarna merah, dia memandang cermin pandang belakang.
“Sejak budak dari Brazil tu masuk rumah Ulya, dia ada tak ajar perkara yang tak elok dekat Ulya?” Tanya Encik Faresh bernada lembut agar soalannya tidak berbunyi mendesak.
Gadis itu membisu sebelum menjawab soalan yang diutarakan papanya.
Share this novel