SEMENTARA menunggu pelajar-pelajar tahfiz perempuan selesai mengambil wuduk, Syazaqi Rulya mengeluarkan telefon iPhone 6 miliknya lantas aplikasi WhatsApp dibuka. Dia menggulingkan bebola matanya apabila melihat 100 mesej yang dihantar oleh Hafrina.
Budak ni tak boleh ke kalau tak spam? Pelik dia tak sudah.
Mesej itu dibuka. Tengok! Hampir 90% mesej 'woi' sahaja yang dihantar. Selebihnya dia tulis 'Kau pergi mana?' dan 'Mana kau menghilang,’. Tidak lupa juga disertakan dengan emoji syaitan bertanduk berwajah marah. Eleh, ingat aku kisah kau nak marah ke apa? Tadi pagi bukan kemain lagi merajuk.
Aku balik rumah parents aku.
Send! Baru sahaja Syazaqi Rulya beransur-ansur ingin menutup WhatsAppnya, mesej daripada Hafrina masuk.
Cepatnya minah ni online!
Buat apa?
Jarinya pantas mengetik keypad di atas skrin telefon.
Ada ceramah daripada ustaz mana entah.
Dalam sesaat sahaja greytick bertukar bluetick.
Hmm, sejak bila kau jadi alim? Aku baru nak ajak kau pergi club.
Esok ada kelas woi! Kalau kau lambat, aku tak tolong.
Syazaqi Rulya terus mendapat bluetick. Dia menyimpan telefonnya di dalam poket baju kurung yang terletak di sisi. Tempat mengambil wuduk dia lihat. Pelajar-pelajar tahfiz perempuan sudah semakin berkurangan.
"Saudari, buat apa dekat sini?" Sapa seorang ustazah dari belakang.
Syazaqi Rulya memandang ustazah di belakangnya. Dia mengukir senyuman kecil tetapi tak seberapa ikhlas.
"Saya baru nak ambil wuduk. Tadi saya bagi ruang untuk budak-budak tahfiz dulu," jawabnya.
Ustazah yang berusia lingkungan 50-an itu mendepakan tangan kanannya untuk mempelawa Syazaqi Rulya mengambil wuduk terlebih dahulu. Gadis itu hanya menurut sahaja kerana tidak mahu banyak bercakap.
Dia menyingsing lengan baju kurungnya hingga melepasi siku terlebih dahulu lantas pili air dibuka. Bacaan Basmallah ditutur perlahan lalu kedua-dua belah tangan diletakkan di bawah pili air. Usai sahaja membasuh kedua-dua tangan, dia meneruskan wuduknya dengan berkumuh sebanyak tiga kali. Selesai berkumuh, dia meneruskan mengambil wuduk dengan cermat dan tertib.
SYAZAQI Rulya mencari kelibat ibunya di dalam surau yang sederhana besar itu. Dia memanjangkan tengkuknya untuk mengesan keberadaan Puan Faziha. Seketika kemudian, dia menggaru kepalanya yang berlapik tudung bawal bidang 45. Tempat penggantung khas untuk telekung dipandang kosong. Hanya penyangkut telekung sahaja yang tergantung di penggantung itu. Sudahnya bagaimana dia nak solat kalau tak ada telekung?
“Kenapa kamu jadi tiang bendera dekat sini pula, Ulya?” Bisik Puan Faziha yang tiba-tiba muncul di sebelah anaknya.
Gadis itu pantas menoleh ibunya. Haih, ibu ni buat aku terkejut je. Patutlah cari kat depan tak jumpa.
“Ulya cari ibulah. Nak pinjam telekung,” ujarnya.
Mata Puan Faziha serta-merta membulat. Tangan kanannya pantas mencubit lagi lengan Syazaqi Rulya sehingga gadis itu mengaduh kesakitan.
“Ibu… sakit,” dia memuncung.
“Siapa suruh kamu tak bawa telekung?”
“Ibu tak cakap pun kita akan solat berjemaah dekat sini...”
“Ibu dah cakapkan yang kita ada ceramah lepas Isyak? Maksudnya, kita solat Maghrib dan Isyak dekat sini. Dah, kamu suruh si Ian minta kunci kereta dekat papa. Ibu rasa ada kut telekung spare,” ujar Puan Faziha.
“Ian ada dekat luar?” Tanya Syazaqi Rulya, hairan.
Puan Faziha mengangguk.
“Cepatlah,”
Tanpa membuang masa, Syazaqi Rulya pantas mengorak langkah keluar dari surau lalu menemui Fadhian Darish yang kelihatan sedang menunggu seseorang. Dia mengerutkan dahinya. Budak tu tengah tunggu buah hati ke tunggu durian jatuh dari langit? Desisnya dalam hati.
Dia berasa pelik dengan gelagat Fadhian yang sekejap mendongak melihat langit yang terbentang luas di cakerawala, kemudian melihat ke tempat lain. Sah, budak ni kena sampuk dengan Syaitonnirojim. Dia mendekati Fadhian lalu menyepit telinga budak berusia 13 tahun itu dengan menggunakan penyepit baju yang baru dijumpainya di dalam kereta sebelum sampai ke pusat tahfiz itu.
“Auch!” Fadhian mengaduh seraya mencabut kembali penyepit itu.
Terasa hangat di telinganya ketika penyepit itu dicabut.
“Kau buat apa jadi tunggul reput kat luar surau ni?” Soal Syazaqi Rulya sambil memeluk tubuh.
“Ian tengah tunggu ustaz panggil. Katanya nak minta tolong nanti,” jawab Fadhian.
Matanya masih ralit memerhati dan menunggu isyarat daripada ustaznya.
“Tolong akak kejap,” pintanya.
“Tolong apa?”
“Tolong minta kunci kereta dekat papa. Cepat sikit,” jawab gadis itu.
“Untuk?” Fadhian masih ingin melambatkan masa kakaknya.
Syazaqi Rulya mengecilkan matanya lalu dia berdengus. Banyak tanya pula dia ni!
“Ambil telekung. Eii… cepatlah! Dahlah kereta jauh nun di hujung dunia,” tangannya membuat gaya menghalau adiknya agar pantas masuk ke dalam surau.
Tiba-tiba timbul satu idea dalam benak Fadhian untuk mengenakan kakak kesayangannya. Dia meluruskan perlahan-lahan tangannya ke arah Syazaqi Rulya. Dia membuat mimik muka seperti hantu badut dalam filem IT lalu bersiap sedia untuk menyentuh mana-mana kulit kakaknya. Dia tahu kakaknya sudah mengambil wuduk. Justeru itu, ideanya datang secara tak diundang.
“Warghhh!” Jerit Fadhian dengan nada terkawal lalu berpaling daripada kakaknya dan berlari masuk ke dalam surau.
Syazaqi Rulya yang terkejut itu lantas berundur beberapa langkah ke belakang kerana takut disentuh. Dia menjadi bertambah bengang dengan adiknya itu dek disakat tidak kena dengan masa.
“Bertuah punya budak! Aku karate juga kepala dia nanti,” marah Syazaqi Rulya seorang diri.
Beberapa minit kemudian, Fadhian keluar dari surau bersama segugus kunci di tangannya. Dia menghulurkan kunci itu kepada Syazaqi Rulya.
“Mana terima kasih kak?” Sindir Fadhian kepada kakaknya yang sudah mendapat kunci kereta itu.
Langkahnya terhenti seketika. Syazaqi Rulya memandang adiknya itu lalu menjungkit bibir.
“Terima kasih dah lari ke Ambon,” jawab gadis itu bersahaja.
“Lain kali Ian tak nak tolong kakak,” budak lelaki itu mengugut kakaknya.
Syazaqi Rulya ketawa berdekah. Ugutan yang tak akan makan saman!
“Kisah pula aku. Tak nak tolong sudah,” balasnya seraya meninggalkan Fadhian yang sedang mencebik ke arahnya.
Gadis itu berjalan dengan sungguh pantas untuk cepat sampai ke kereta. Sekali sekala mulutnya lancar mengomel di laluan blok pentadbiran. Mana tidaknya, tempat parkir yang dekat dan kosong masih ada tetapi Encik Faresh tetap ingin memarkir kereta di tempat yang jauh. Kalau nak suruh bersenam pun, biarlah parkir jauh-jauh kalau di taman.
Tak pasal-pasal aku berpeluh. Omelnya dalam hati.
Langkahnya menjadi perlahan apabila melihat seorang wanita bertudung labuh keluar dari ruang pentadbiran. Bilik kerjanya barangkali. Fikir Syazaqi Rulya. Dia masih meneruskan jalannya tetapi terbantut dek sapaan daripada ustazah itu.
“Saudari? Nak pergi mana ni?” Tanya Puan Khadeeja.
Syazaqi Rulya mengulum senyuman. Alahai, ramahnya ustazah ni.
“Saya nak ambil telekung dalam kereta. Tertinggal tadi,” jawabnya.
Puan Khadeeja mengerling jam di pergelangan tangannya yang dilitupi inner. Dia tersenyum kecil.
“Dah nak masuk waktu Maghrib. Tak apa, kita jimat masa. Saya ada telekung lebih. Kamu guna saya punya, okey?” Puan Khadeeja mempelawa gadis itu.
Syazaqi Rulya menggemam bibirnya. Daripada aku penat berjalan, jadi kenapa tidak? Untung aku jumpa dia.
Dia pantas mengangguk setuju.
“Okey, ustazah. Terima kasih banyak-banyak,”
Baru sahaja Puan Khadeeja ingin membalas, suara seseorang terlebih dahulu memanggil wanita itu.
“Umi, baba telefon Ipang dan dia cakap Ustaz Aiman dah datang. Nak Ipang cek jamuan-jamuan dekat kantin?”
Pada masa yang sama, azan berkumandang menandakan telah masuk waktu Maghrib. Syazaqi Rulya pula masih menjadi patung cendana bersama matanya yang membuntang apabila melihat wajah lelaki itu.
"Kau tipu! Aku tak percaya kau!"
"Kau ni serius memang perempuan gila! Tak nak percaya sudah!"
Gadis itu mengetap bibirnya. Tangan kanannya digenggam secara sembunyi menandakan dia sedang menahan geram. Ni kan jantan yang sondol aku guna pintu dekat 7E tadi!
“Tak apa. Nanti umi je yang cek. Ni, kamu tolong ambilkan…”
Belum sempat Puan Khadeeja menghabiskan ayatnya, Syazaqi Rulya terlebih dahulu mencelah perbualan anak dan ibu itu.
“Kau?” jari telunjuknya ditundingkan tepat ke arah jejaka itu.
Qahnaf Irfan hanya terkebil-kebil melihat perempuan di hadapannya kini. Dia mengerutkan dahi. Macam kenal je? Desisnya dalam hati.
“Sa… saya kenal awak ke?”
Pertanyaan Qahnaf Irfan membuatkan darah Syazaqi Rulya menggelegak. Mustahil ada pelanduk dua serupa. Nampak sangat buat-buat tak kenal depan ustazah ni. Dia mendekati lelaki itu dengan wajah yang bengis manakala Qahnaf Irfan pula sedaya upaya mengelak daripada Syazaqi Rulya yang sedang menggenggam penumbuknya.
“Jangan dekat… saya dah ambil wuduk,” pesan Qahnaf Irfan.
Namun Syazaqi Rulya tidak mengendahkan pesanan itu. Dia sangat geram dengan lelaki ini sekarang.
“Aku tak kisah! Aku tengah tak puas hati dengan kau sekarang ni!” marah Syazaqi Rulya.
Sebelum keadaan bertambah tegang, Puan Khadeeja segera meleraikan pertelingkahan yang sedang berlaku antara anak bongsunya dan gadis itu dengan memegang pergelangan tangannya walaupun dia sedang dilanda kebingungan ketika ini.
“Dah… dah! Saudari pun dah ambil wuduk kan? Saya harap kamu tak bertindak keterlaluan,” tegur Puan Khadeeja bernada tegas.
“Ipang, kamu cepat pergi surau,” arah Puan Khadeeja.
Qahnaf Irfan hanya akur seraya meninggalkan uminya dan gadis itu. Dalam perjalanan ke surau, otaknya masih ligat mengimbas kembali memorinya untuk mengecam wajah gadis bengis itu.
“Kamu tunggu sini. Saya ambil telekung untuk kamu. Lepas dapat telekung, jangan merayau pula. Terus jalan ke surau,” Puan Khadeeja memberi pesanan kepada Syazaqi Rulya.
“Ustazah?”
“Saya menyusul kemudian,”
Syazaqi Rulya mengangguk patuh. Sempat dia menghadiahkan jelingan kepada Qahnaf Irfan ketika lelaki itu beransur-ansur meninggalkannya.
Kau tunggu. Aku tak settle lagi dengan kau.
Share this novel