BAB 9

Romance Series 7141

SUASANA di dalam surau diperhatikan oleh Qahnaf Irfan. Baru hari ini dia dapat melihat semua peralatan yang ada di dalam surau berbanding semalam. Agak besar sebenarnya ruang surau itu. Terdapat rak besar yang menempatkan Al-Quran di barisan atas, Iqra di barisan tengah dan barisan bawah merupakan buku-buku rujukan untuk pelajar tahfiz.

Semuanya nampak teratur. Kedudukan sejadah, tempat penggantung telekung, rak yang menempatakan rehal, lantai mahupun dinding semuanya bersih dan kemas.

Bagus dia orang ni. Pembersih. Puji Qahnaf Irfan dalam hati.

Dia memandang pula segelintir pelajar tahfiz perempuan sedang beratur menunggu giliran untuk mengaji dan dua orang ustazah yang sedang bertugas di belakangnya. Sama seperti pelajar tahfiz lelaki. Satu barisan untuk Iqra dan satu lagi barisan untuk Al-Quran.

Qahnaf Irfan duduk di bahagian yang paling belakang. Orang terakhir katakan. Di hadapannya ada rehal dan di atas rehal ada Al-Quran. Hanya dia seorang sahaja di barisan anak didik Qahnaf Izwan yang akan mengaji Al-Quran.

Encik Hateem pula duduk di sebelah anak sulungnya. Anak-anak didik Encik Hateem mengaji Al-Quran. Hal itu membuatkan Qahnaf Irfan bingung.

Baba ajar budak yang mengaji al-Quran. Kenapa aku disuruh mengaji dengan Iwan sedangkan dia ajar budak yang masih Iqra? Desisnya dalam hati.

Dia menggaru kepalanya yang tidak gatal. Pelik dengan perangai abangnya yang beria ingin dia mengaji dengannya.

"Abang garu kepala tu dah kenapa? Ada kutu?" tegur Fadhian setelah menyedari Qahnaf Irfan sedang menggaru kepalanya.

Dia menjongketkan keningnya. Amboi, suka hati budak ni kata aku ada kutu! Rungutnya dalam hati.

"Tak adalah dik. Rambut abang berkelemumur ni," balas Qahnaf Irfan bersahaja walhal rambutnya langsung tiada kelemumur.

Dia menyarungkan kembali songkoknya di atas kepala.

"Abang mengaji Al-Quran. Kenapa duduk sini? Beraturlah dekat barisan Ustaz Hateem tu," soal Fadhian, bingung.

Soalan Fadhian mengundang tawa kecil Qahnaf Irfan. Budak lelaki itu semakin bingung dengan perwatakan yang ditunjukkan oleh Qahnaf Irfan.

"I am bullied by your ustaz,"

"Hah?" Fadhian mengerutkan dahinya menandakan dia tidak faham akan ayat yang baru dituturkan oleh lelaki dewasa itu.

"Your ustaz is my brother," ujar Qahnaf Irfan dalam Bahasa Inggeris.

Dahi Fadhian masih berkerut tidak faham. Bukannya tak faham apa, cuma tak faham bahasa.

"Bang, cakap Melayulah. Tak pasal-pasal ada orang putih tersesat kat sini," Fadhian sempat bersarkastik.

Sarkastik budak lelaki itu mengundang tawa besar Qahnaf Irfan secara tidak sengaja. Hal itu menyebabkan Qahnaf Izwan menegurnya agar senyap. Lelaki itu menutup mulutnya menahan tawa. Dia membesarkan mata kepada Fadhian kerana telah membuatnya ketawa besar.

"Gara-gara kamulah ni, dik!" ujar Qahnaf Irfan secara berbisik.

"Saya pula. Abang yang gelak tak ingat dunia. Saya cuma ber... apa tu? Serkestik?"

Qahnaf Irfan menepuk dahi.

"Sarkastiklah. Sejak bila wujud serkestik dalam kamus dewan? Hahaha!" gelak Qahnaf Irfan lagi.

Tiba-tiba sebatang marker mendarat di kepala Qahnaf Irfan. Mujur terkena songkoknya sahaja. Itu pun telah menyebabkan Qahnaf Irfan melatah

"Fuh, padu! Cun cun kena songkok aku," gumamnya sendiri.

"Fadhian, pandang depan!" tegas Qahnaf Izwan mengarah anak didiknya.

Encik Hateem hanya membiarkan sahaja gelagat anak sulungnya. Memang wajar pun anak bongsunya dibaling menggunakan marker. Dia menggelengkan kepala seketika lalu menyambung semula tugasnya.

GADIS itu menguap seketika kerana menahan kantuk yang kian menguasai matanya. Sudah hampir lima jam dia menghadap laptopnya untuk menyiapkan tugasan yang tertangguh. Namun, tugasan itu masih belum dapat diselesaikan sepenuhnya kerana ahli kumpulan yang tidak seberapa aktif dalam menyelesaian tugasan yang diberi.

"Tak guna dia orang ni. Bagi aku draf yang salah-salah," omelnya di hadapan laptop itu.

Begitu malang nasibnya kelmarin. Sudahlah dibebel oleh pensyarah kerana tidak membawa bahan pembentangan, ditambah pula diomel kerana membenarkan seorang ahli kumpulannya, iaitu Hafrina keluar tanpa sebab. Dia tidak mampu membantah kerana bantahan akan menyebabkan markahnya rendah. Dia tidak ingin perkara itu berlaku.

Dengan menggunakan tetikus, dia menekan 'save' untuk menyimpan tugasannya di dalam pemacu pena. Kemudian, pemacu pena itu dicabut dari laptopnya. Syazaqi Rulya mengangkat punggungnya dari kerusinya lantas dia mengorak langkah keluar dari biliknya.

Di ruang tamu, kelihatan Hafrina sedang melayan drama cinta yang disiarkan di kaca televisyen. Kakinya disilangkan di atas meja kopi manakala mulutnya lincah mengunyah snek yang baru dibelinya di 7 Eleven tadi. Agak bersepah keadaan di ruang tamu itu. Syazaqi Rulya menggelengkan kepala melihat kelakuan anak dara itu.

Pemacu pena diletakkan di atas meja kopi. Hafrina memandang Syazaqi Rulya yang tersenyum ke arahnya.

"Kenapa senyum-senyum macam tu? Assignment dah siap?" tanya Hafrina persis seorang majikan.

"Justeru aku letak pendrive kat atas meja ni lah tandanya belum siap. Aku nak kau sambung. Aku nak tidur," ujar Syazaqi Rulya.

Serta-merta Hafrina menurunkan kakinya dari meja kopi. Dia berhenti mengunyah keropok.

"Tapi aku mana tahu apa-apa," dia cuba memberi alasan.

Syazaqi Rulya mengecilkan matanya. Nak mengelat nampak?

"Tak ada alasan. Draf yang geng kau bagi semua tak betul. Tak guna betul! Tapi jangan risau, kerja kau cuma salin je kat laptop. Draf aku dah betulkan semuanya," tuturnya.

Tanpa disedari gadis itu telah terlepas cakap.

"Dahlah aku nak tidur. Jangan lupa buat," ujar Syazaqi Rulya seraya meninggalkan Hafrina yang menahan rasa.

Setelah Syazaqi Rulya hilang dari pandangan, Hafrina mengetap bibirnya. Tak guna kau, Ulya! Boleh pula kau cakap geng aku tak guna. Rungutnya dalam hati.

Namun beberapa saat kemudian, dia mengukir senyuman sinis. Dia mengambil alat kawalan televisyen lantas televisyen itu ditutup. Snek dan pemacu pena diambil lalu dibawa naik ke tingkat atas. Hafrina akan selesaikan tugasan itu di dalam biliknya.

Sebelum laptopnya dibuka, dia terlebih dahulu mengeluarkan telefonnya dari seluar pendek yang dipakai. Aplikasi Whatsapp dibuka dan Whatsapp grup khas untuknya dan empat orang rakannya menjadi pilihan. Jarinya pantas menaip sesuatu untuk dihantar dalam grup itu.

Guys... aku ada benda nak bagitahu ni.

TASIK yang kelihatan aman itu dilihatnya sambil tersenyum. Namun senyuman itu tidak lama setelah dia menyedari kini dia berada dalam keadaan serba putih. Dari baju hinggalah kasut, semuanya putih persis busana pengantin. Dia bingung. Dia memandang suasana di sekelilingnya.

Dia tidak lagi berada di rumah. Kini hanya dia seorang sahaja yang berada di sebuah taman yang dia sendiri tidak pasti di mana terletaknya taman itu. Harum taman itu dek bauan yang terhasil dari bunga-bunga yang terdapat di taman serba indah. Dia mengundur ke belakang perlahan-lahan.

"Dekat mana aku ni?" soalnya kepada diri sendiri.

Dia melilau mencari kelibat orang namun hampa. Tiada seorang pun yang berada berdekatannya. Dia semakin buntu. Dia meneruskan berjalan sekitar taman itu.

Tiba-tiba dia terjumpa kelibat seseorang yang sedang mendekatinya. Seorang wanita yang berpakaian serba putih berjalan mendekatinya sambil mengukir senyuman yang amat manis. Dia tercengang seketika melihat kelibat itu.

"O...opah?"

"Ya cucuku. Ni opah," balas wanita yang sudah uzur itu.

"Ma... macam mana opah boleh ada dekat sini?" tanyanya seakan-akan tidak percaya dengan kehidupan realitinya.

Dia langsung tidak menghiraukan seseorang yang berada di sebelah opahnya. Dia hanya diam tidak berkutik di sebelah opah. Hanya mendengar perbualan cucu dan opah sahaja.

Wanita tua itu tersenyum lagi seraya dia memegang dada cucunya. Terasa sejuk dada itu setelah disentuh oleh si Opah.

"Opah wujud di sini sahaja dan opah bawakan seseorang ni," dia menarik lengan itu agar mendekatinya.

Dia terkedu melihat wajah itu walaupun tiada secalit senyuman yang terukir pada wajah itu. Hanya muram bak mangga jeruk sahaja raut wajahnya. Dia cuba mengukir senyuman namun senyumannya langsung tidak dibalas. Dia berasa hampa namun disembunyikan sahaja hampanya itu.

"Subhanallah, opah..."

Belum sempat dia menghabiskan pujiannya, opah terlebih dahulu mencelah.

"Kahwinlah dengan dia. Dialah jodoh kamu. Opah yakin kamu boleh mengubah dia," ujar opah.

Dia terkebil-kebil mendengar kata opah. Wajah itu diamatinya persis orang yang sedang mengimbas sesuatu.

"Masa opah dah sampai. Jaga dia sebaiknya. Assalamualaikum,"

Opah perlahan-lahan mengundur darinya. Dia ingin mengejar namun kakinya bagaikan tersekat di tempat itu.

"Opah... tunggu..."

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience