"AWAL kau bangun harini? Buang tabiat ke?" Perli Syazaqi Rulya seraya melabuhkan punggungnya di atas kerusi.
Roti bakar yang telah siap disapu jem diambil lalu digigit. Dia melihat Hafrina yang sedang menuang teh panas ke dalam cawan. Tiba-tiba je minah ni jadi rajin.
Teko diletakkan di atas dulang seusai sahaja dia menuang teh ke dalam cawan. Cawan kaca itu diajukan kepada Syazaqi Rulya yang masih mengunyah.
"Haah. Aku buang tabiat hari ni sebab lapar sangat. Aku yang masak tup tup kau turun dengan muka yang ada air liur basi lepas tu bantai roti bakar aku. Pengotor benor," bidas Hafrina lantas memasukkan roti bakar ke dalam mulutnya.
Kunyahan Syazaqi Rulya semakin perlahan setelah mendengar bidasan yang dilemparkan oleh Hafrina. Tangan mulusnya pantas mencubit tangan kiri Hafrina yang berada di atas meja.
"Kalau ketam macam tangan kau ni tak sakit langsung," selamba sahaja Hafrina berbicara. Sekuat mana pun dicubit, dia tetap kebal.
Syazaqi Rulya menjuihkan mulutnya. Sekeping roti diambil lalu dikunyah dengan lebih kasar. Tak kisahlah nak tergigit lidah ke apa. Aku geram dengan perempuan ni.
"Semalam kau yang beria sangat nak ajak aku pergi. Kononnya surprise tapi aku yang dapat padah. Nasib aku tak tumbang dalam kelab tu," bebel Syazaqi Rulya.
Hafrina menyembunyikan senyumannya. Kalau bukan sebab jantan tu, kau aku biarkan je mabuk dekat situ.
"Kau yang enjoy sangat minum air tu sampai tak ingat dunia. Sekarang ni kau nak salahkan aku pula?" Dia membuat riak muka tak bersalah.
"Memang salah kau pun,"
Hafrina menggulingkan bebola matanya. Dia mengangkat punggung seraya mendapatkan beg tangannya yang berjenama Gucci itu di atas sofa. Rak kasut didekati lalu dia mengambil kasut tumit tingginya.
"Kau nak pergi mana tu?" Tanya Syazaqi Rulya.
"Pergi Syurga!" Jawab Hafrina bernada kasar.
Pintu dihempas kasar menyebabkan bahu Syazaqi Rulya terhinjut. Amboi kau... Kau yang buat salah, kau yang marah. Kurang ajar betul!
Pergi Syurga? Means? Pergi shopping lah tu. Tak lain tak bukan dengan boyfriend dia yang keberapa ratus. Siapa je tak kenal dengan Hafrina. Satu universiti kenal dengan perangai playgirl gadis itu walaupun baru beberapa bulan dia pindah ke Universiti Kebangsaan Malaysia.
Syazaqi Rulya mengusap rambutnya kejap. Kemudian, dia mengangkat pinggan dan cawan kotor yang telah digunakan lalu dibawa ke sinki di dapur. Dia membasuh pinggan dan cawan itu dengan penuh berhati-hati. Usai membilas, dia meletakkan pinggan dan cawan itu di tempat pengering.
Bajunya semalam dicubit lalu ditarik ke hidungnya. Mukanya berubah masam.
"Busuknya! Baik aku mandi sebelum lalat langau hinggap aku," Syazaqi Rulya pantas berlari keanakan untuk membersihkan dirinya di tingkat atas.
Tuala yang disangkut di belakang pintu dicapai lalu dia pantas melangkah masuk ke dalam bilik mandi. Baju ditanggalkan satu per satu lalu dilemparkan ke luar bilik mandi. Memang sudah menjadi tabiatnya apabila ingin membersihkan diri. Bukan reti nak letak elok-elok di dalam bakul baju kotor.
Shower dibuka. Kedengaran air melimpah di dalam bilik mandi itu disertakan dengan suara Syazaqi Rulya yang sedang bersenandung lagu English. Tindakannya untuk mencapai sabun terhenti apabila telinganya dapat menangkap bunyi seperti periuk jatuh di dapur.
Syazaqi Rulya terkebil-kebil di dalam bilik mandi. Pili shower ditutup lalu dia membalut tubuhnya dengan tuala. Pintu bilik mandi dibuka. Tersembul wajahnya melihat biliknya takut-takut ada yang ceroboh.
"Masa Si Rina tutup pintu tadi, ada tak aku kunci pintu? Atau tikus yang kacau dapur?" Syazaqi Rulya menanyakan soalan kepada dirinya sendiri untuk cuba mengingati peristiwa sebelum dia membersihkan diri.
"Tapi... Mana ada tikus kat rumah ni," dia menjawab soalannya sendiri.
Tanpa melengahkan masa, Syazaqi Rulya mengambil bakul baju kotor yang masih kosong itu lantas dia membuka perlahan pintu biliknya. Dengan langkah berhati-hati dia menuruni tangga. Bibirnya digemam apabila melihat pintu utama terbuka luas.
Ha sudah! Ada orang masuk ke ni? Syazaqi Rulya menilik badannya sendiri.
Dahlah aku seksi sekarang ni. Allah, tolong aku! Doa Syazaqi Rulya dalam hati. Dia perlahan-lahan mendekati dapur. Kosong. Matanya melekat ke arah periuk yang telah selamat mendarat di atas lantai. Mujur sahaja tidak kemik. Bakul kosong diletakkan di tepi. Syazaqi Rulya terpaksa menonggeng untuk mengambil periuk itu.
"Wah, seksinya akak!" Tegur seseorang di belakang.
"Opocot!" Latah Syazaqi Rulya. Kepalanya pantas berpusing ke belakang untuk melihat si 'penceroboh'.
Syazaqi Rulya ternganga kerana melihat si 'penceroboh' kecil itu. Woi! Budak mana tersesat dalam rumah aku ni! Jangan sampai aku cungkil mata kau, dik! Mujur sahaja tualanya tidak terlorot dari badannya.
"Dik... Macam mana adik ada dekat sini. Adik salah rumah eh?" Tanya Syazaqi Rulya. Aduh, malu aku!
"Saya cari abang saya. Tadi saya nampak dia dekat sini. Bila saya panggil, dia lari pula. Mungkin dia masuk dari pintu belakang. Saya cuba buka pintu depan lepastu tak berkunci. Jadi, saya masuk dan saya carilah abang saya," budak berusia lapan tahun itu petah menjelaskan kepada Syazaqi Rulya.
Gadis itu tercengang. Abang dia ada dekat sini ke? Tapi tak nampak kelibat pun.
"Akak tak nampak abang adik pun. Adik salah rumah ni,"
"Afiq!" Laung Qahnaf Irfan dari luar. Lelaki itu terus merempuh masuk ke dalam rumah Syazaqi Rulya tanpa mengetahui keadaan gadis itu.
"Abang..." Budak lelaki itu terkedek-kedek mendekati Qahnaf Irfan.
"Astaghfirullahaladzim!" Qahnaf Irfan pantas mengalihkan matanya daripada terus memandang tayangan percuma daripada Syazaqi Rulya yang berkemban itu.
Fuh, dapat tayangan percuma sekali dengan pakej dosa percuma! Tergugat imannya sebentar tadi.
Syazaqi Rulya pula terjerit kecil apabila melihat jejaka yang boleh tahan kacaknya masuk ke dalam rumahnya.
"Maaf. Saya keluar dulu. Assalamualaikum," ucap Qahnaf Irfan seraya menarik tangan Afiq keluar dari rumah gadis itu. Pintu rumah juga turut ditutup.
"Eh, weh!"
TANGAN diletakkan di atas dahi manakala matanya khusyuk merenung kipas yang berputar sederhana laju di siling. Tiba-tiba sahaja kepalanya serabut memikirkan gadis yang berkemban pagi tadi.
"Kenapa Afiq masuk rumah kakak tu? Nasib baik dia tak telefon polis. Kalau tak mampuslah abang," Qahnaf Irfan menepuk dahinya.
Afiq tersengih menayang gigi.
"Afiq nampak abang cuba masuk rumah akak tu. Afiq kejarlah. Bila Afiq panggil tadi, abang lari. Afiq ingat abang masuk dari belakang," cerita Afiq dengan penuh jelas.
Qahnaf Irfan menjongket keningnya. Seriously? Sejak bila aku pergi ke rumah gadis tu?
"Dia pakai topi yang sama macam abang ke?" Tanya Qahnaf Irfan.
Afiq mengangguk mengiakan.
"Warna hitam?" Tanyanya lagi sekali.
Afiq mengangguk untuk kesekian kalinya. Qahnaf Irfan menggigit bibir bawahnya lantas dia menarik Afiq ke dakapannya. Nasib baik Afiq selamat. Adakah lelaki yang dimaksudkan Afiq tadi cuba untuk menceroboh rumah gadis itu?
Qahnaf Irfan menggelengkan kepalanya berkali-kali. Bayang gadis berkemban itu masih tidak dapat lari dari penglihatannya. Seketika kemudian, dia terpaksa menampar pipinya sendiri untuk mengusir bayangan gadis itu. Fuh, kuat betul penangan dia!
"Auch!" Qahnaf Irfan mengaduh sendiri. Jangan merah sudahlah wahai pipi.
Qahnaf Irfan terperanjat apabila biliknya diketuk secara tiba-tiba. Dia memegang dadanya. Kus semangat. Dia bangun dari pembaringannya lantas membuka pintu biliknya. Susuk tubuh Puan Khadeeja yang sudah terpacak sambil bercekak pinggang itu mengundang sengihan kambing dari bibir Qahnaf Irfan.
"Kenapa umi pandang Ipang macam tu?" Tanya Qahnaf Irfan bersama sengihannya yang tak lekang dari bibir.
"Dah berapa jam kamu terperap di dalam bilik ni, anakandaku?" Tanya Puan Khadeeja bernada perlian.
"Sejak balik tadi, bonda,"
"Ye, bonda tahu. Tapi dah berapa jam sejak anakanda balik tadi?" Puan Khadeeja bertanya sekali lagi.
Qahnaf Irfan menggaru kepalanya yang tidak gatal. Dia memanjangkan lehernya ke belakang untuk melihat jam yang tertera di recorder Astro setelah sekian lama tidak dibayarnya.
Jam 5.30 Petang? Seriuslah Ipang? Qahnaf Irfan memandang uminya kembali.
"Dah... empat jam setengah, umi," jawab Qahnaf Irfan teragak-agak.
Puan Khadeeja menggelengkan kepalanya.
"Kamu ni Ipang... Macam anak perempuan. Anak perempuan pun tak terperap lama-lama macam kamu. Malah dia orang lagi rajin," leter Puan Khadeeja.
Bibir Qahnaf Irfan memuncung. Saja nak manja. Anak bongsu kan?
"Sekali-sekala buat perangai perempuan,"
Tiba-tiba Qahnaf Irfan mengaduh kesakitan. Terasa sengal di perutnya akibat dicubit oleh Puan Khadeeja. Aduh, sedap tampar diri sendiri lepastu kena cubit dengan umi pula.
"Umi, sakitlah," ujarnya sambil mengusap perut yang berlapik baju.
"Padan muka kamu. Lain kali menjawab lagi. Ni kamu pergi ambil jubah yang umi belikan bulan lepas dekat bilik abang kamu," arah Puan Khadeeja.
Anak bongsunya kelihatan terkebil-kebil dengan muka blurnya.
"Untuk apa umi?" Tanya Qahnaf Irfan, ingin tahu.
"Nanti ikut abang kamu pergi ke tahfiz umi. Kita solat Maghrib dan Isyak dekat sana. Kebetulan, hari tu ayah kamu jemput Ustaz Aiman Banna untuk buat ceramah lepas Isyak nanti," Puan Khadeeja memberi penerangan.
Qahnaf Irfan hanya mengangguk tanda menurut perintah sambil membuat jari 'Ok'. Setelah kelibat Puan Khadeeja hilang dari pandangannya, sedikit persoalan timbul dalam benaknya. Nama 'Aiman Banna' sangat tidak biasa didengarinya. Sepanjang dia hidup, dia hanya mengenali Ustaz Azhar Idrus dan Ustaz Kazim Elias sahaja.
Siapa Ustaz Aiman Banna?
Di dalam bilik Qahnaf Izwan, Qahnaf Irfan melabuhkan punggungnya di atas katil abangnya. Dia mengerutkan dahi apabila melihat Qahnaf Izwan yang khusyuk membuat kerja menggunakan laptopnya. Terdapat juga beberapa gumpalan kertas di atas lantai dan helaian kertas di atas meja kerjanya. Qahnaf Irfan mengeluh. Abangnya seolah-olah tidak menyedari akan kehadirannya yang baru merempuh masuk ke dalam bilik itu.
"Iwan!" Panggil Qahnaf Irfan bernada tinggi agar abangnya mendengar panggilannya.
"Hmmm..." Sahut Qahnaf Izwan sepatah. Matanya masih tertumpu kepada laptop.
"Aku nak jubah. Mana jubah aku yang umi belikan bulan lepas?" Soal Qahnaf Irfan.
Qahnaf Izwan memusingkan kepalanya menghadap Qahnaf Irfan. Bibirnya dijuihkan ke arah almari.
"Cari je dalam tu. Aku gantung cantik-cantik jubah adik kesayangan aku,"
Qahnaf Irfan tidak membuang masa. Dia pantas membuka almari baju abangnya. Sehelai jubah berwarna putih dan berbutang yang berkilau diambil. Ya Allah, cantiknya jubah ni.
"Thanks, Iwan. Love you!"
Qahnaf Izwan yang membelakangi adiknya itu menyengetkan mulutnya.
"I do not love you," sengaja dia membalas sedemikian.
Qahnaf Irfan pula tersenyum sinis. Mulut kata lain, hati kata lain. Tengoklah adik siapa kalau bukan Qahnaf Izwan punya adik. Dia melangkah keluar dari bilik abangnya seraya mendekati tangga.
"Umi!" Laung Qahnaf Irfan dari tingkat atas.
"Ya?" Kedengaran suara Puan Khadeeja menyahut.
"Terima kasih sebab belikan Ipang jubah yang gorgeous ni,"
Share this novel