BAB 7

Romance Series 7141

SEUSAI sahaja menunaikan solat Isyak, beberapa orang jemaah lelaki mengalihkan penghadang antara lelaki dan perempuan untuk memudahkan kaum Hawa mendengar ceramah yang akan disampaikan oleh Ustaz Aiman Banna. Syazaqi Rulya terkial-kial apabila melihat beberapa orang jemaah perempuan mengeluarkan buku nota kecil mereka.

Mereka ingin mencatat nota yang akan disampaikan barangkali. Dia pula langsung tidak membawa buku nota kecil apatah lagi sehelai kertas kosong. Sudahnya, dia hanya akan menadah telinga dan sudah tentu ilmu yang akan disampaikan nanti ibarat masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Adakah dia akan hafal semua isi itu? Tidak sama sekali!

Dia masih tidak berganjak dari tempat solatnya. Telekung ditanggalkan lalu dia melipat kembali telekung kepada asal seperti mana dia menerima telekung itu daripada ustazah. Selesai melipat telekung, matanya terus memberi tumpuan di hadapan. Dia mengecilkan matanya.

Ustaz Aiman Banna ke tu? Soalnya dalam hati sambil memerhatikan seorang lelaki berusia 50-an sedang berdiri di depan sambil memegang mikrofon. Dia kelihatan sedang berbual sesuatu dengan seseorang yang berada di saf lelaki paling depan. Seketika kemudian dia tersengih.

Apa yang lawak? Cepatlah start sekarang. Jangan nak buang masa aku! Rungut Syazaqi Rulya dalam hati. Dia merengus perlahan.

Dia tersentak apabila bahunya disentuh oleh seseorang. Lantas dia memandang wajah seorang gadis yang sedang tersenyum ke arahnya.

"Akak, pindahlah kat depan. Masih banyak lagi ruang kosong," tegur gadis merangkap pelajar tahfiz itu.

Syazaqi Rulya mengukir senyuman paksa. Dia mengangguk beberapa kali sebagai respon. Dah kena tegur, nak tak nak kenalah pindah. Kalau tak, orang cakap tak pandai jaga hati pula.

"Okey...." Syazaqi Rulya pantas bergerak dengan mengesot sedikit ke depan.

Beberapa orang mak cik dan pelajar-pelajar perempuan tahfiz itu mengukir senyuman manis kepada Syazaqi Rulya sebagai tanda selesa akan kehadiran gadis itu. Dia sekadar membalas senyuman-senyuman itu.
Senyum itu satu sedekah. Tapi kalau tak ikhlas, tiada gunanya juga.

Suasana menjadi senyap seketika apabila bunyi mikrofon diketuk oleh seorang ustaz yang sudah berumur sekadar untuk menguji bunyi mikrofon itu sama ada boleh digunakan atau tidak.

"Testing... testing... 1 2 3,"

"Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh puan-puan dan tuan-tuan serta anak-anak didik sekalian," ucap ustaz yang memakai jubah putih itu.

"Waalaikumussalam warahmatullahi wabaraktuh, ustaz," semua penghuni di dalam surau itu menjawab salam.

Di sebelah kanannya, terdapat seorang lelaki yang memakai kopiah berwarna putih dan jubah yang sama juga. Dia kelihatan sangat tenang dan senyuman yang terukir dari bibirnya itu amat manis tampaknya. Tak lama semut pun singgah dekat bibir dia. Di sebelah kiri ustaz itu pula, terdapat seorang lelaki yang memakai baju Melayu berwarna biru.

Syazaqi Rulya tercengang. Dia kenal sangat dengan lelaki itu. Siapa lagi kalau bukan ayahnya, Encik Faresh.

"Papa?" gumamnya seorang diri.

Kenapa papa berdiri kat sebelah ustaz tu? Timbul satu persoalan dalam minda Syazaqi Rulya.

"Sebelum saya memperkenalkan diri dan dua orang ustaz di hadapan ini, terlebih dahulu saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kerana sudi datang untuk memenuhi slot, iaitu ceramah dan sesi soal jawab bersama Ustaz Aiman Banna,"

"Memperkenalkan saya Ustaz Faie Hateem. Di sebelah kanan saya ini ialah Ustaz Aiman Banna dan di sebelah kiri saya pula ialah sahabat saya, iaitu Ustaz Faresh Ghazali yang merupakan seorang guru mata pelajaran Pendidikan Islam dan Tasawwur Islam di SMK Sierramas. Beliaulah yang usulkan cadangan kepada saya untuk menjemput Ustaz Aiman untuk berkongsi ilmu kepada kalian," ujarnya panjang lebar.

Telinga Syazaqi Rulya tajam mendengar setiap bait perkataan yang dituturkan oleh Encik Hateem walaupun matanya fokus kepada skrin telefon. Tangannya berhenti daripada menaip sesuatu di atas skrin telefon. Pantas dia memandang Encik Hateem dan dua orang lelaki itu. Dia tercengang.

Jadi ni kerja papa rupanya? Haih! Keluhnya dalam diam.

"Tanpa membuang masa, saya menjemput Ustaz Aiman Banna untuk memberi ceramah. Semoga bermanfaat untuk kita semua," ujar Encik Hateem sebagai akhir kata.
Mikrofon diserahkan kepada Ustaz Aiman Banna. Dia menyambut mikrofon itu lalu mengucapkan terima kasih.

Mudanya ustaz tu... Agak-agak berapa umurnya? Syazaqi Rulya berfikir seorang diri.

Handsome juga orangnya. Pujinya lagi dalam hati.

"Assalamualaikum adik-adik, tuan-tuan dan puan-puan yang saya kasihi. Terima kasih kerana sudi datang ke majlis ilmu biasa-biasa ini dan terima kasih juga kepada Ustaz Hateem dan Ustaz Faresh kerana sudi menjemput saya," tutur Ustaz Aiman Banna, ikhlas sebagai pembuka bicara.

"Waalaikumussalam, ustaz," Semua orang di dalam surau itu menjawab salam daripada Ustaz Aiman kecuali gadis bernama Syazaqi Rulya yang sekadar menjawab salam dalam hati.

"Adik-adik semua sihat?" tanya ustaz itu sebelum memulakan ceramahnya.

"Alhamdulillah sihat, ustaz," jawab seluruh pelajar tahfiz itu.

"Wah, nampak bersemangat! Baiklah, tanpa membuang masa, saya akan menyuruh dua orang adik mengedarkan 10 helai kertas kepada kalian secara rawak. Maksudnya, atas pilihan dua orang adik ni," tutur Ustaz Aiman lancar.

Ibu jari Ustaz Aiman Banna dihalakan ke arah seorang budak lelaki yang berusia 13 tahun. Dia menyengih apabila ibu jari ustaz itu dihalakan tepat ke arahnya.

"Siapa nama adik ni? Saya tengok dia tolong Ustaz Hateem tadi," tanya Ustaz Aiman.

Syazaqi Rulya membulatkan matanya. Tolong Ustaz Hateem? Setelah seketika, dia menggelengkan kepalanya.

"Positif, mungkin Ian ada kawan yang tolong dia dan Ustaz Hateem," dia berkata sendirian.

"Fadhian, ustaz," jawab beberapa orang pelajar tahfiz lelaki.

Serta-merta Syazaqi Rulya terpempan. Menyesal pula dia berfikir positif. Janganlah kertas tu sampai dekat aku!

Setelah seketika, Ustaz Aiman Banna mula mencari 'mangsa' seterusnya untuk mengedarkan 10 helai kertas kosong berikutnya. Matanya tertumpu ke arah kaum Hawa iaitu, pelajar perempuan Tahfiz. Syazaqi Rulya boleh menghembus nafas lega kerana dia bukanlah tergolong dalam pelajar Tahfiz.

Beberapa saat selepas itu, jari Ustaz Aiman Banna berhenti ke arah seorang budak perempuan yang bertubuh kecil. Umurnya dianggarkan sekitar 12 tahun.

"Adik yang pakai baju kurung warna kuning tu boleh ke sini?" pelawa Ustaz Aiman Banna.

Budak perempuan itu mengangguk teruja lantas dia mengangkat punggung lalu berjalan menuju ke arah Ustaz Aiman Banna. Dia menerima 10 helai kertas kosong bersaiz 3.5×5.5. Arahan diberikan kepada dua orang budak kecil tersebut.

Fadhian mengedarkan 10 helai kertas kepada kaum lelaki secara rawak manakala gadis kecil itu pula mengedarkan kertas kepada kaum Hawa. Lebih malang lagi, Syazaqi Rulya menerima sehelai kertas itu.
Bengong punya budak! Punyalah banyak lagi akak dalam surau ni aku juga kau pilih! Marahnya dalam hati.

Seramai 19 orang beruntung kerana dapat kertas untuk bertanya soalan yang ada dalam benak fikiran mereka, kecuali gadis yang bernama Syazaqi Rulya. Baginya, nasibnya pada malam itu sungguh malang hanya kerana sehelai kertas kosong jatuh ke tangannya.

"Baiklah, saya beri 10 minit untuk 20 orang yang menerima helaian tadi untuk menulis satu soalan dalam sehelai kertas. Kemudian, saya akan beri tazkirah berkenaan soalan-soalan tersebut," ujar Ustaz Aiman Banna.

Syazaqi Rulya masih terpinga-pinga. Kertas putih itu dia pandang kosong. Soalan? Tiada satu soalan pun yang keluar dari otaknya. Dia memandang seorang budak perempuan yang duduk di sebelah kanannya. Budak perempuan itu kelihatan sugul. Syazaqi Rulya tersenyum kecil. Ini peluangnya!

"Adik, ada soalan nak tanya ustaz?" tanyanya perlahan.

Budak perempuan itu pantas mengangguk. Syazaqi Rulya tersenyum lagi.

"Akak tak ada soalan nak tanya. Nah, kertas ni untuk adik,"

Dia memberikan kertas itu kepada budak perempuan tersebut. Raut wajahnya bertukar gembira. Tahulah dia bahawa budak perempuan itu kelihatan sugul kerana tidak dapat sehelai kertas itu.

JAM dinding di dalam surau sudah menunjukkan pukul 9.30 malam. Mata Syazaqi Rulya sudah mula kuyu namun sesi QnA masih berlangsung. Setakat ini enam soalan sudah dijawab dan dihuraikan oleh Ustaz Aiman Banna. Gadis itu pula mula menguap untuk kali pertama di dalam surau.

Serius kuasa tiga, aku mengantuk!

"Baiklah, sekarang kita sambung soalan yang ke-7," tutur Ustaz Aiman Banna.

Dia mula membuka kertas yang dilipat kecil itu. Kemudian, dia mencapai mikrofonnya kembali.

"Soalannya berbunyi, dah tiga tahun saya tak solat dan sekarang ni saya sedar, ustaz. Soalannya lebih kepada kes dah tiga tahun tak pernah solat. Tak apa, saya akan beri penerangannya," ujar Ustaz Aiman Banna.

Tanpa disedari, Syazaqi Rulya terkedu mendengar soalan itu.

"Berjuta muslim tak solat dalam dunia ini. Tahu?

Tetapi dalam jutaan itu, awak antara sedar yang awak tak solat.
Awak sedar awak tak solat, dan awak rasa menyesal. Tahniah! Bukan berhenti setakat itu sahaja, awak ada rasa ingin berubah menjadi seorang yang tidak tinggalkan solat lagi. Alhamdulillah.

Buktinya? Awak tanya saya soalan ini kepada saya. Bermaksud awak dah bosan hidup berjahiliah dan awak nak hijrah.

Awak nak tahu, Allah letak satu invitation untuk awak. Invitation untuk awak agar awak kembali kepada Dia. Istilah lebih tepat untuk invitation itu ialah hidayah. Benar, Allah telah kurniakan jemputan hidayah kepada awak untuk memasuki jannah-Nya...
Balaslah invitation Allah itu, pergilah tunaikan solat.

Saya tak minta awak buat solat sunat taubat 100 rakaat, dan saya tak expect awak solat 5 waktu sehari semalam, jadi imam, solat paling awal waktu, jemaah di masjid dan lain-lain. Biarlah sedikit demi sedikit.

Mungkin boleh mula dengan solat zohor dahulu? Lama-lama awak akan rasa seronok solat, bukannya sebagai satu beban. Lepas itu inshaAllah awak akan ada rasa nak buat semua solat bahkan ketagih hingga tahap nak buat banyak solat sunat. InshaAllah.

Susah nak solat?
Sebab syaitan dah doktrin awak supaya malas solat. padahal, solat sebenarnya menenangkan jiwa kita dan membuatkan jantung hati kita rasa gembira dan bahagia.

Bagaimana caranya?

Rapat dengan manusia yang dirikan solat.
Jadikan mereka sahabat.
InshaaAllah semuanya akan selesai kerana apabila kita tiada suasana biah solehah untuk solat, kita akan sukar untuk hidupkan rasa ingin solat dalam diri kita.

Contoh mudah, kita nak study hard untuk final exam, tapi kita lepak dengan orang yang play hard untuk dapat piala liga eropah dalam permainan FIFA16. Bagaimana nak dapat semangat belajar kan?
Makanya, rapatlah dengan orang yang cinta solat... InshaAllah, kita pun akan mencintai solat dan akan rasa bersalah untuk abaikan solat," panjang lebar Ustaz Aiman Banna memberi penjelasan.

HATI Qahnaf Irfan tersentuh setelah mendengar penjelasan daripada Ustaz Aiman Banna. Bukan tersentuh sahaja, dia turut terkedu juga. Sungguh ayatnya amat menyentapkan hati. Tapi, orang kata sentap itu bagus kerana hati kita masih ingin menerima nasihat. Qahnaf Izwan memegang bahu adiknya.

"Aku tahu tu soalan daripada kau. Jadi, hadamkan sebaiknya," pesan Qahnaf Izwan.

Qahnaf Irfan menyengetkan mulutnya. Nak kena mulut kau ni. Desisnya dalam hati.

"Mulut kau tu bagi diam sikit boleh tak? Malu aku kalau orang tahu," marahnya bernada seperti berbisik.

Qahnaf Izwan ketawa mengekek mengundang kejengkelan adiknya. Entah apa yang lawak, dia sendiri pun tak tahu!

"Alah, aku gurau je. Janganlah marah, dik," pujuknya walaupun masih terselit tawa.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience