CAHAYA matahari yang terpancar pada pagi itu menyebabkan dahi seorang gadis yang memakai baju tidur berwarna biru itu berkerut. Tidurnya yang lena terganggu dek cahaya matahari tersebut. Siapa lagi yang membuka tirai pada pagi itu kalau bukan ibunya, Puan Faziha.
Syazaqi Rulya memusingkan tubuhnya ke sebelah kiri supaya wajahnya tidak terkena cahaya matahari. Dia tidak mahu membuka mata walaupun susuk tubuh Puan Faziha sudah terpacak di hadapannya.
Peha Syazaqi Rulya ditepuk menandakan si ibu menyuruh anak gadisnya bangun. Rasa sakit bagai digigit semut di peha diabaikan oleh gadis itu.
“Ulya, bangunlah nak. Pergi mandi,”
Syazaqi Rulya masih berkeras tidak mahu membuka matanya. Kata-kata daripada Puan Faziha sebentar tadi hanya dibiarkan ditiup angin yang terhasil dari kipas siling di dalam bilik itu.
“Ulya, cepatlah bangun. Nanti dah lambat!” Puan Faziha mula melantangkan suaranya. Bahu anaknya digoncang sedikit kasar untuk memaksa gadis itu bangun.
“Hmm… ibu, bagi Ulya lima minit lagi,” Syazaqi Rulya merengek manakala matanya masih tertutup rapat seolah-olah dia ingin tidur selama lima jam dan bukannya lima minit seperti yang dikatakan.
Kaki dan tangan gadis itu masih sedap memeluk bantal peluk kesayangannya. Puan Faziha bercekak pinggang. Beberapa jam lagi anaknya akan bergelar isteri orang namun perangai keanak-anakan masih lagi dibela. Tak pasal-pasal si suami pula akan dibuli oleh anak gadisnya nanti.
Tak nak bangun ya?
Terbit satu akal yang cerdik dalam minda Puan Faziha untuk membuatkan gadis itu bangun dari pembaringannya. Dia mendekati suis-suis yang terdapat di dinding sebelah kanan pintu bilik anaknya. Suis kipas ditutup. Puan Faziha kembali lagi ke katil Syazaqi Rulya yang sedang berselubung di dalam selimut.
“Ulya, lebih baik Ulya bangun sekarang! Tak ada alasan tak nak bangun. Hari ni kan hari terpenting dalam hidup Ulya,” Puan Faziha masih tidak berputus asa memujuk anaknya. Selimut ditarik sehingga paras dada anaknya.
Terpentinglah sangat! Hari terseksa lagi adalah! Protes anak gadis itu dalam hati.
Syazaqi Rulya menekup mukanya dengan bantal. Rimas dengan paksaan ibunya. Dia masih berdegil.
Ya Allah, kenapalah liat sangat anak aku nak bangun ni. Keluh wanita berusia 40-an itu dalam hati.
“Ulya, tolong kali ni jangan buat hal,” Puan Faziha seakan-akan merayu kepada anaknya. Hendak dimarahi pun sudah tidak berdaya kerana kedegilannya yang tidak dapat dilawan.
Kipas siling dipandang sekilas. Tidak hairanlah dia berasa panas semacam. Rupa-rupanya si ibu telah menutup kipas. Syazaqi Rulya melepaskan keluhan berat. Pagi-pagi lagi sudah mengeluh. Dia meraup mukanya yang sedikit berpeluh.
Begitulah sikap Puan Faziha yang sentiasa cari cara supaya orang di dalam rumah itu bangun dari atas katil. Kalau tak buka tirai, dia akan menutup kipas atau pendingin hawa ataupun kedua-duanya sekali. Jika liat sangat nak bangun, sudah pasti dia akan ambil air dari bilik air lalu direnjis ke muka.
Perlahan-lahan gadis itu bangun dari pembaringannya. Wajah cemberut Syazaqi Rulya menjadi tatapan ibunya pada pagi itu.
“Eloklah tu. Bangun je buat muka seposen tak laku. Memang bertuah,” Sindir Puan Faziha, sedikit terasa hati.
Kenapa? Kenapa lelaki tu hadir dan jadi perosak dalam kebahagiaan hidup aku? Kenapa kau mesti wujud dalam hidup aku? Bala betullah! Syazaqi Rulya memendam amarahnya dalam hati.
“Ibu, Ulya tak nak kahwin dengan jantan tu!” Protes Syazaqi Rulya.
“Jaga bahasa tu, Ulya! Ibu dengan papa tak pernah ajar Ulya biadab. Tak lama lagi dia akan jadi suami Ulya,” Bidas Puan Faziha.
Syazaqi Rulya berpeluk tubuh sambil mencebik tidak puas hati.
Suamilah sangat! Suami atas kertas bolehlah!
Puan Faziha melabuhkan punggungnya di tepi anak gadisnya yang sedang menayang wajah jeruk mangga sepuluh sen. Rambut anaknya yang serabai diusap dengan usapan kasih sayang. Syazaqi Rulya hanya diam tidak berkutik membiarkan ibunya mengusap kepalanya.
“Ibu dengan papa sentiasa ikut kemahuan Ulya. Tolonglah jangan kecewakan kami termasuk bakal mentua Ulya nanti. Kahwinlah dengan dia. Hanya itu permintaan kami,” Puan Faziha bersuara lembut agar hati anaknya turut berlembut.
Gadis itu melepaskan keluhan berat. Umurnya baru sahaja mencecah 24 tahun. Dia masih hauskan kebebasan untuk bersama sahabat-sahabatnya terutama sekali Hafrina, sahabat satu kepala semasa dia serumah dengan Hafrina ketika sedang melanjutkan pengajian di peringkat Diploma. Dia masih belum bersedia untuk menggalas tanggungjawab sebagai seorang isteri.
Mak cik ni pun satu, kenapalah tak beri komitmen dengan aku? Main terima je pinangan ibu dan papa! Kalau bukan sebab kau dah tua, dah lama aku pancung! Rungut Syazaqi Rulya dalam hati.
Tolonglah, aku tak nak kahwin!
“Ibu, Ulya tak nak kahwin. Ulya belum bersedia lagi nak galas tanggungjawab,” Syazaqi Rulya masih gigih memberi alasan.
Puan Faziha menggeleng tanda membantah kata-kata anaknya. Dia tetap inginkan anaknya bersuami pada usia ini.
“It’s too late, Ulya. Pergi mandi cepat! Tak lama lagi Mak Andam sampai,” Ujar Puan Faziha seraya melangkah keluar dari bilik Syazaqi Rulya. Pintu bilik itu ditutup rapat.
Syazaqi Rulya mengusutkan kembali rambutnya yang sudah sedia kusut. Stres bossku! Ibu dengan papa tak pernah nak faham aku!
Dengan rasa berat hati, dia mencapai tuala yang tersangkut di belakang pintu biliknya lalu segera melangkah masuk ke dalam bilik mandi. Tuala disangkut di penyangkut di dalam bilik mandi itu lalu dia melucutkan baju tidurnya satu per satu sebelum membuka pancuran air.
“Aku mandi kerbau jelah. Lantak orang nak kata aku selekeh ke busuk. Macamlah aku kisah!” Monolog Syazaqi Rulya seorang diri.
Share this novel