Along mengangguk dan melangkah lebih rapat ke arah mereka. Baru sahaja ingin mengangkat semula tangannya untuk bersalam, satu penumbuk hinggap di batang hidungnya. Matanya berpinar-pinar dan tubuhnya tidak seimbang lalu rebah. Dia tidak pasti siapa yang menumbuknya. Mungkin Aziz kerana tumbukannya laju sekali.
Along membuka mulut untuk bernafas. Dia berasa hidungnya tersumbat. Disangkakan hingus yang mengalir dan dia cuba untuk mengesat. Namun, cecair merah pekat di tangannya. Ternyata hidungnya telah berdarah.
Dia memandang ke depan. Aziz sedang memegang penumbuk. Zaki menepuk-nepuk bahu Aziz. Mungkin itu caranya mengucapkan tahniah kerana berjaya menumbangkan Along. Betullah, Aziz yang menumbuknya.
“Kamu berpuas hati dengan kata-katamu?”
Suara garau muncul dengan ketawanya juga.
“Orang seperti ini susah untuk dilembutkan, Long. Kamu harusnya keras!”
Along menunduk. Dia juga dapat mendengar derapan kaki Aziz melangkah. Aziz membongkokkan tubuhnya. Mungkin dia ingin mencekik leher Along untuk memaksanya berdiri. Suara itu muncul, “kayu di tepimu!” Along mencapai sebatang kayu yang seperti kayu hoki dengan tangan kanannya dan terus menghayun tanpa melihat. Aziz rebah di tepinya. Tidak berdarah. Mungkin hayunan terkena batang tengkuknya.
“Woi! Apa engkau lakukan?”
Zaki menengking sambil berlari untuk mendapatkan Aziz yang terlentang. Along masih lagi duduk dan melihat saja. Dia juga terkejut melihat apa yang telah berlaku.
“Tunggu apa lagi? Pukullah!”
Suara garau itu menghasut. Taknaklah! Kalau mati bagaimana?
“Habis, kalau Zaki yang memukulmu sebentar lagi?”
Pang! Zaki juga rebah di tepi Aziz.
Share this novel