Jam di dinding sudah pukul 7.40 petang. Lama juga Along tidur sebelum terjaga. Dia bangkit dan mencapai sehelai tuala. Pakaian dibuka satu persatu sehingga bertelanjang. Kemudian, dia membalut tubuhnya dengan tuala tadi sebelum menuju ke bilik air. Begitulah kehidupannya setakat ini.
Selepas mandi, dia akan membereskan semua kerja rumah yang diberi oleh cikgu. Paling disukai ialah subjek Bahasa Melayu. Hanya perlu mengarang, atau membuat kesimpulan dari satu cerpen yang perlu dibaca. Paling dibenci pula ialah subjek Matematik.
Berdengung kepalanya melihat nombor-nombor. Namun, dibereskan juga. Kadang-kadang, soalan-soalan berbagai, tapi jawaban tidak berubah. Selesai kerja rumah, dia akan melukis di kertas kosong tapi yang jelas, Along ternyata tidak pandai melukis.
“Long, sudah lewat. Tidurlah!”
Along yang sedang asyik melukis terkejut. Terkengsot kerusi yang dia duduki. Suara itu kembali. Along diam. Dia tidak mahu menghiraukan suara itu. Suara itu ketawa!
“Kamu tak boleh mengelak dari aku, Along.”
Mata Along terbuka luas. Bagaimana dia tahu?
“Mestilah aku tahu. Apa yang ada di dalam hatimu, apa yang terlintas di fikiranmu, aku tahu semuanya. Tidak yakinkah lagi engkau bahawa aku adalah engkau?”
Along menekup mukanya ke meja.
Pergilah engkau walau siapa pun kamu! Hati aku mahupun fikiran aku, pergilah! Engkau hanya mengganggu aku!
“Tidak sunyikah engkau? Aku hanya ingin membantu. Engkau boleh bercakap dan berbual dengan aku.”
Tidak! Aku tidak mahu! Dari bercakap dengan suara yang tidak punya rupa, lebih baik aku sunyi! Dan aku senang begini! Diam.
Along mengangkat mukanya. Dipandangnya sekeliling bilik. Tidak ada siapa-siapa. Dia keluar dari bilik untuk melihat ke ruang tamu. Juga tidak ada siapa-siapa. Dia memeriksa setiap pintu dan segenap jendela di dalam rumah, dipastikan semuanya telah berkunci. Dia kembali ke bilik. Lampu ditutup. Gelap. Dia terus menggelongsor masuk ke dalam selimut. Ditekup telinganya dengan bantal. Tidak mahu lagi mendengar suara misteri itu.
Share this novel