“Along! Berapa lama mahu sabar? Engkau lelaki!”
Along tersedar. Dia bingkas bangun dari katil dan melihat ke luar jendela. Beribu kerut di keningnya. Dia berpaling ke katil, ke pintu bilik. Kosong. Dari mana datang suara itu? Ah, usikan tidur barangkali! Sudah menjadi kebiasaan, apabila pulang dari sekolah dia akan tidur sebentar.
Along melangkah keluar dari bilik dan menuju ke dapur. Setelah dibuka saji, terhidang ikan selayang goreng dan sayur masak lemak. Dia tersenyum. Walaupun ibunya telah pergi, Along bersyukur kerana masih mempunyai ayah yang tidak seperti kebanyakan ayah orang lain. Ayahnya pandai memasak malah bagus. Setelah dicedok nasi dari dalam periuk, Along duduk dan menyuap nasi dengan penuh selera.
“Aku tahu, kau dengar suaraku!”
Suapan terhenti. Ibu? Suara itu ketawa.
“Sejak bila ibumu lelaki?”
Along menelan liur. Memang suara itu sebenarnya tidak dikenali malah tidak pernah didengar suara serupa itu. Garau dan jelas. Siapakah kau?
“Along, aku adalah engkau! Bisikan dari hati engkau dan hanya engkau yang dapat dengar!”
Along meletakkan tangan di dada. Apa mahumu?
“Jadilah lelaki!”
Berkerut dahi dan kening. Along tidak mengerti. Apakah dia bukan lelaki? Dia menggosok dagu. Haa! Janggut pun sudah mulai tumbuh. Lelaki apa yang kau mahu? Diam. Fikiran Along bercelaru. Seleranya yang sebelum itu membuak-buak, hilang berterbangan entah ke mana.
Along hanya membiarkan keinginan kaki, menghayun bebas, menuruti sahaja langkah kakinya. Ke mana? Dia sendiri tidak tahu. Fikirannya menerawang jauh, berpintal-pintal, dan berserabut. Suara bisikan itu amat mengganggunya. Oleh kerana itu, dia perlu keluar sekejap dari rumah.
Share this novel