BAB 6

Crime Completed 6056

“Hai long, dari mana kamu ni?”

Ayahnya menegur sebaik sahaja Along melangkah masuk ke dalam rumah. Along gugup terkejut. Dia menjangkakan ayahnya sudah ke tempat kerja.

“Eh, ayah tak kerja ke hari ini?”

Ayahnya mengecilkan mata. Dia berasa hairan dengan pertanyaan Along.

“Ayah kan kerja malam. Sudah sebulan ayah begini, kamu masih lupa?”

Mulut Along ternganga sedikit. Dia seakan baru tersedar. Memang benar fikirannya terganggu dek suara hatinya yang mengacau dirinya sendiri.

“Tapi, masa Along pulang dari sekolah, ayah tak ada.”

Kepalanya yang tidak gatal digaru.

Ayah tersenyum.

“Tu haa, ayah pergi beli barang-barang dapur.”

Kata ayahnya sambil memuncungkan bibir ke arah beberapa beg plastik di atas lantai.

“Kemudian terserempak pula dengan Pak Hamid. Macam-macam dibualkan. Itu yang terlajak balik lambat. Kamu tu, dari mana?”

Ayah melabuhkan punggung di atas satu kerusi rotan yang berlapikkan kusyen.

“Along keluar jalan-jalan, ambil angin.”

Along menghabiskan kata-katanya dan terus menuju ke bilik.

“Sudah solat?”

Tidak dijawab pertanyaan itu.

Along duduk bersila di atas katil. Atap siling rumah dipandang. Dia menghela nafas. Pada ingatannya, kali terakhir dia menunaikan rukun Islam yang ke-dua itu ialah sewaktu ibu masih ada.

Ah, solat? Untuk apa aku solat? Berdiri, duduk, berdiri, dan kembali duduk. Akhirnya, tuhan merampas juga ibu dari aku. Diulang-ulang perkara yang sama, hari-hari. Hujungnya, aku masih lagi dihina dan dikutuk di sekolah. Along memejamkan mata. Dia cuba mengait kembali ingatan bersama ibu. Banyak nasihat ibu yang menceritakan betapa pentingnya solat. Hampir semua nasihat itu dia telah lupa. Yang kekal hanyalah mengenai rumah dan dinding. Tapi hingga sekarang, dia masih lagi tidak mengerti maksud ibunya. Tidak juga mahu mengerti.

“Kalau didirikan rumah, harus ada dinding yang kuat. Tidak dapat masuk binatang-binatang yang bahaya.”

Along tersenyum. Sungguh dia rindu pada ibu. Dia juga rindu pada adiknya walaupun tidak pernah bertemu dan mustahil untuk bertemu lagi. Kalaulah ibu masih ada, kalaulah adik masih hidup, tentu sekali hidupku tidak begini. Dia merebahkan badan ke atas katil. Kalau mereka ada, aku boleh berbual. Aku boleh mengadu pada ibu, ada suara mengganggu aku. Ayah? Tidak. Aku tidak rapat dengan ayah seperti aku dengan ibu. Along terlelap.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience