BAB 8

Crime Completed 6056

Waktu rehat, jarang sekali Along makan. Dia hanya merayau-rayau di kawasan sekitar sekolah. Kawasan kegemarannya ialah di tepi bilik stor tempat menyimpan alat-alat sukan. Dia ingin duduk tetapi terlihatkan dua orang murid yang sangat dikenalinya sedang memandangnya. Zaki berjalan laju ke arahnya. Bukk! Bahunya ditumbuk. Dia terpusing sedikit.

Kemudian, bukk! Pahanya pula ditendang dari arah belakang. Along terduduk dan cuba melihat ke belakang, Aziz! Apa lagi mereka ini mahu? Tidak puas lagi mengganggu aku dengan ejek-ejekan, sekarang mahu dipukul-pukul pula?

“Hei, Along! Kau jangan nak berlagak ya di sekolah ini!”

Aziz memulakan bicara. Along memandang ke lantai. Berlagak? Entah bila aku berlagak. Aku jarang sekali menegur siapa-siapa terus dikatakan aku berlagak. Along menggigit bibir. Geram tapi rasa itu hanya ditahan.

“Cakap! Buka mulutmu!”

Suara garau pula yang timbul. Dia mengangkat muka untuk mencari punca suara tersebut. Yang kelihatan hanyalah Zaki dan Aziz. Dan juga beberapa orang pelajar-pelajar lain memerhati mereka dari jauh.

“Oh! Sekarang kau sudah berani memandang kami?”

Zaki menengking. Along memejamkan mata. Suara Zaki tajam menusuk telinga.

“Jangan jadi pengecut, Long!”

Suara garau itu berbunyi lagi. Suara itu ibarat penyokong Along yang berterusan memberi semangat kepada Along.

“Apa aku dah buat? Aku tidak pernah berlagak.”

Along mula membuka mulut. Zaki mengancip giginya. Nampaknya Along sudah berani melawan. Lantaran itu, dia berasa tergugat dan marah.

“Kami selalu dimarahi cikgu sebaliknya kamu selalu dipuji. Jadi, kami memberi peringatan! Engkau jangan berlagak!”

Kepala Along ditolak. Aziz tersenyum melihat perlakuan Zaki.

“Habis, kalian benci aku dipuji?”

Zaki dan Aziz masing-masing terkejut. Mereka langsung tidak terfikir Along akan bercakap lagi.

“Kenapa tidak dipukul saja cikgu yang memujiku?”

Along memandang Zaki dan Aziz. Kolar baju Along ditarik oleh Aziz memaksa dia untuk berdiri.

“Sekarang sudah berani?”

Dush! Aziz menumbuk perut Along sebelum meninggalkan kawasan itu.

Suara garau hadir kembali. Ketawa secara perlahan kemudian berkata,”bagus, Long. Mereka sudah mulai takut padamu.”

Along tidak mempedulikan suara itu. Dia terbaring sambil menekan perut. Sakit, pedih, senak, dan segala macam rasa berkumpul di perutnya. Kuat tumbukan Aziz.

“Ini baru permulaan, Long. Mereka akan kenal siapa engkau selepas ini!”

Pergi kau! Aku tidak mahu dengar suara kau, aku mahu suara ibuku! Ketawa lagi suara garau itu tapi beransur-ansur menjadi perlahan kemudian hilang. Along menggagahkan tubuhnya untuk bangkit sambil menekan perut. Dia mengeluh. Dipaksanya berjalan perlahan menuju ke kelas.

Along tidak dapat memberi fokus di dalam kelas. Gegendang telinganya diketuk oleh tawa Aziz dan Zaki mengejeknya. Mungkin diketawakan kerana dia lembik. Hanya berani melepaskan suara tetapi tidak berani melepaskan tumbukan. Hanya berani di mulut tetapi hati kecut sekecutnya.

“Along, saya mengajar di depan ni. Bukan di atas meja kamu.”

Suara Cikgu Rani memeranjatkan Along. Kata-kata cikgu disambut oleh ketawa yang berderai daripada Aziz dan Zaki.

“Biarkan dia, cikgu. Dia tidak sihat kerana sakit perut. Kesian!”

Zaki bersuara bercampur ketawa yang ditahan-tahan. Cikgu Rani berasa hairan.

“Sekiranya betul dia tidak sihat, kenapa diketawakan?”

Cikgu Rani bertanya.

“Saya ketawa kasihan, cikgu.”

Zaki menjawab sambil melihat ke arah Aziz dan ketawa mereka semakin menjadi-jadi. Cikgu Rani menggelengkan kepala. Macam-macam ketawa ada. Ketawa gembira, ketawa sedih, dan sekarang timbul pula ketawa kasihan. Budak-budak zaman sekarang, direka perkataan-perkataan yang sukar difahami orang lama.

“Baiklah, saya rasa setakat ini sahaja untuk hari ini.”

Semua pelajar mula membuka beg untuk menyimpan buku-buku selepas mendengar Cikgu Rani berkata begitu.

“Along, tunggu apa lagi?”

Tiba-tiba pula suara garau muncul.

“Pergilah!”

Pergi ke mana? Aku nak balik! Suara itu mengeluh.

“Cabar Aziz dan Zaki!”

Cabar? Cabar untuk apa?

“Ajak mereka untuk bertemu agar mereka kenal dirimu. Engkau tidak lembik!”

Ah, tak mahulah!

“Woi, kau ni kenapa? Bercakap seorang diri.”

Aziz menyergah.

“Cepat, Long!”

Suara garau itu muncul. Along berdiri.

“Kalau kalian lelaki, petang nanti jumpa aku di belakang blok kedai di pekan.”

Along berkata sebelum berjalan meninggalkan kelas. Aziz dan Zaki berpandangan sambil memerhati kelibat Along.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience