Pagi ini, Along bangun lebih awal dari kebiasaannya. Dia ingin singgah lagi di warung sebelum menuju ke tempat Aziz dan Zaki disembunyikan. Apa yang telah dia lakukan adalah kejam lebih-lebih lagi dari seorang muda sepertinya. Namun, jauh di sudut hatinya masih mempunyai rasa kasihan terhadap mereka. Tidak akan dibiarkan mereka berlapar terlalu lama. Dia bernasib baik kerana sebelum ini dia tidak menggunakan duit belanja yang diberi oleh ayah. Dapatlah dia menanggung makan minum Aziz dan Zaki sehari dua sementara dia memikirkan cara untuk menyelesaikan kemelut yang dialaminya.
Along menggelengkan kepala tatkala terkenangkan apa yang terjadi kelmarin. Dia telah memukul sehingga rebah dua orang muda yang sebaya dengannya. Dia juga telah mengacu pisau ke arah mereka. Padahal, seumur dia hidup, boleh dihitung dengan jari berapa kali sahaja dia pernah memegang pisau.
Menyesal? Itu tidak perlu difikir. Nasi sudah menjadi bubur. Sudah terlambat! Cuma dia terkilan dengan apa yang berlaku. Dia yakin itu bukan kehendak hatinya. Tapi dia dipandu suara hatinya! Keliru. Dia kini sendiri berasa gerun dengan diri. Setelah diikat kemas tali kasut, dia berpaling ke arah ayahnya yang sedang tidur. Moga ayah tidak tahu! Along melangkah.
Erh! Erh! Zaki merengek. Bahu dan tangannya menggoncang kuat. Bergetar-getar tiang di belakangnya. Matanya bengkak. Mungkin lantaran menangis mengenangkan nasib diri ataupun menahan dari tidur kerana berusaha untuk melepaskan diri. Aziz hanya memerhati. Dia tidak berdaya dan masih lagi pening akibat dihentak. Nafas Zaki ditarik dalam. Errhhhhh! Ikatan tangan terlepas.
Selotape yang melekat di mulutnya dibuang. Dia berdiri dan cuba untuk melangkah. Bedebuk! Dia tersadung kakinya sendiri dan jatuh. Dia mengeluh sambil membuka ikatan di kaki. Selepas itu, Zaki mendapatkan Aziz. Selotape dibuka.
“Kau pergi! Aku tidak boleh.”
Aziz menggelengkan kepalanya lemah. Zaki terkejut.
“Kenapa?”
Zaki bertanya sambil membuka ikatan di kaki Aziz.
“Aku tak boleh berjalan. Aku pening. Sudah! Pergi cepat minta bantuan. Aku rasa dia akan datang bila-bila masa saja lagi.”
Aziz menolak Zaki dengan kakinya. Zaki memandang Aziz. Memang Aziz kelihatan lemah. Sangat lemah. Hendak mengangkat kepalanya sendiri juga tidak mampu. Aziz menggerakkan kepala mengarahkan Zaki supaya berlalu. Zaki akur.
Along berjalan di laluan belakang bangunan. Tangan kanannya dihayun. Turut terhayun satu beg plastik yang terisi dengan dua bungkusan makanan dan sebotol besar air minuman. Dari jauh dia memandang ke arah pintu yang ingin dituju. Mata membulat! Pintu kelihatan sedikit terbuka. Dia yakin pintu itu telah ditutup rapat sebelum dia meninggalkan tempat itu semalam. Along berlari laju dan melanggar pintu bilik itu. Aziz terkejut dan memandang Along.
Mata Along meliar melihat sekitar bilik tersebut. Zaki sudah terlepas. Yang tinggal hanyalah seuntai tali panjang yang masih terikat di tiang.
“Mana Zaki?”
Along bertanya dengan kuat. Aziz senyum sinis. Pang! Along menampar pipi Aziz. Dia mencekup muka Aziz dan bertanya, “Zaki ke mana?”
Bibirnya terketar-ketar. Dadanya berombak kencang. Penuh dengan marah, takut, dan geram!
“Dia pergi cari pertolongan.”
Aziz menjawab. Dia juga ketawa sedikit. Ah! Along meraung.
Dia berdiri dan mengambil sebilah pisau di atas rak. Kolar baju Aziz ditarik.
“Habislah engkau!”
Aziz menekankan suaranya yang dipaksa keluar.
“Kenapa kau tak halang dia?”
Along mencekik leher Aziz dan menghempas ke tiang. Batuk-batuk kecil keluar dari tengkuk Aziz. Dia ketawa perlahan.
“Aku yang suruh dia pergi.”
Along terduduk. Bersandar ke dinding.
“Takut?” Aziz bertanya.
“Diam!”
Along kembali menarik kolar baju Aziz. Dia berasa meluat melihat senyuman sinis dari Aziz.
“Habislah kau! Akan dipukul orang-orang kampung.”
Aziz berkata lagi. Kepala Aziz dihantuk ke tiang.
Apa yang dikatakan Aziz tidak mustahil. Tambahan lagi, orang kampung membenci keluarganya.
“Lebih parah, kau akan mati!”
Aziz ketawa.
“Aku kata diam!”
Muncung pisau dihalakan ke leher Aziz.
“Apakah kau suka, kalau Aziz melihatmu dipukul? Setelah engkau menyeksanya. Apakah kau suka, kalau Aziz melihatmu mati di depannya?”
Suara garau muncul. Tidak! Itu tidak akan terjadi. Aku akan lari!
“Lari ke mana? Semua sedang menuju ke sini dan akan mengejar kamu!”
Ah! Habis, apa sekarang? Apa harus aku lakukan?
“BUNUH!”
Terketar-ketar tangan Along. Perkataan itu sangat mengerikan.
“Kau tidak mahu kalah! Jadi bunuhlah dia. Ini mahu hatimu, Along!”
Terdiam. Along sedang bingung. Suara orang kampung bertempikan semakin hampir.
“Cepat, Long. Mereka sedang hampir!” Air mata menitis.
Mata Along merah. Dia menggigit bibirnya. Zap! Zap! Along meraung. Zapp! Darah merembes keluar dari dada Aziz. Mulut Aziz ternganga luas kesakitan. Matanya membesar dan bulat menahan kepedihan dan ngilu di dada.
“Along! Apa Along buat, nak?”
Along berpaling ke belakang. Tiada siapa-siapa. Ibu? Suara ibukah itu? Air mata terus mengalir. Hingus yang turut mengalir dikesat. Along mengikut kehendak hati, ibu.
“Along sudah silap. Fitrah hati manusia itu murni dan bersih. Asal kejadian hati yang baik itu kemudian dicemari godaan syaitan, nak.”
Along ternganga. Dia tidak mengerti. Dia sering mendengar bisikan hatinya. Tapi, ibu! Along sendiri dengar kata hati along, bisikan hati Along!
“Apakah kau lupa nasihat ibu?”
Along menggeleng.
“Masihkah kau ingat nasihat yang mengisahkan rumah dan dinding?”
Along mengangguk berkali-berkali. Dia menangis teresak-esak.
“Along! Rumah itu adalah dirimu. Dinding itu adalah solatmu. Apa kamu solat?”
Along menangis lebih kuat sambil menggelengkan kepalanya.
“Bila rumah tanpa dinding, mudahlah masuk binatang-binatang berbisa. Bila kamu tidak solat, maka mudahlah masuk bisikan dan hasutan syaitan yang akan dibinasa!”
Raungan Along semakin kuat. Suara tempikan orang ramai juga semakin dekat.
“Apa yang sering didengari itu bukan kata hatimu, tetapi bisikan syaitan! Kerana imanmu lemah! Dindingmu rapuh malah tidak ada!”
Along rebah dalam hiba. Dia menangis sambil merenung mayat Aziz. Esakan itu menggambarkan penyesalannya. Aku telah membunuh! Aku terperangkap dengan bisikan syaitan! Ya Allah! Aku sangat bodoh kerana ingkar padamu. Aku sangat bodoh apabila hanya menurut kata hatiku yang sebenarnya bisikan syaitan! Sebetulnya aku harus pohon petunjuk darimu! Pintu bilik terbuka luas. Orang ramai berkerumun masuk. Along pasrah dengan apa yang berlaku. Semuanya bermula dengan kebodohannya. Dia jahil, malah tidak pernah mencuba untuk keluar dari kepompong kejahilan.
Share this novel