Along memasukkan tubuhnya ke dalam t-shirt berwarna kelabu dan memakai seluar sukan. Dia bermundar-mandir dalam biliknya. Bodoh! Kenapa aku mencabar mereka? Sekarang aku tidak tahu apa yang aku harus lakukan. Ini semua kerana termakan dengan bisikan tersebut. Suara hati? Tapi kenapa tidak seperti dengan apa yang aku mahu? Aku mahu ketenangan. Tapi suara itu memilih perbalahan.
Tidak mengapa. Aku akan bercakap dengan mereka supaya mereka tidak mengganggu aku lagi. Sekeras mana pun hati, pasti lidah mampu melembutkannya dengan kata-kata. Sepertinya batu, akan lekuk juga jika dicurahi air berterusan.
Aziz dan Zaki sudah berada di belakang blok kedai. Mereka sedang bercakap-cakap. Entah apa yang dibincangkan, Along tidak tahu. Dari sebalik tong sampah yang besar ini, Along mengintai mereka. Berputar ligat kepala Along menyusun perkataan-perkataan yang akan diberi kepada mereka.
Along menarik nafas seraya memulakan langkah ke arah Aziz dan Zaki. Dadanya berdebar tapi dibiarkan sahaja. Perasaan gemuruh itu dapat dilihat dari aliran sedikit peluh di dahinya.
“Terima kasih kerana datang.”
Along menelan liur sebelum bercakap. Aziz dan Zaki meliar pandangan mereka kepada Along dari atas ke bawah dan ke atas semula.
“Apa mahumu?”
Zaki bertanya.
“Lekaslah! Panas ni!”
Aziz pula bersuara. Along memandang Aziz sekejap dan memandang Zaki.
“Aku mahu kita berdamai.”
Kata Along. Aziz ketawa.
“Berdamai bagaimana? Kami tidak memerangi kamu.”
Kata-kata Aziz membuatkan Zaki mengangguk beberapa kali sambil ketawa.
“Bukan begitu. Aku mahu kalian tidak menganggu aku lagi di sekolah.”
Liur ditelan lagi. Begitu berat untuk dia melepaskan perkataan itu. Along menyambung, “apa kata kalian?” Zaki mencebik. Aziz mencekak pinggang.
“Sekarang engkau sudah berani memberi arahan?”
Aziz melepaskan cekakan dan melangkah setapak. Along turut melangkah setapak tetapi ke arah belakang.
“Apa lagi mahumu?”
Zaki bertanya. Along tidak menjawab dan sekadar menghulurkan tangan untuk bersalam. Aziz mengerutkan kening sambil tersenyum.
“Kamu terlalu jauh dari kami, bagaimana kami menyambut salam darimu?” Aziz berkata.
Share this novel