Along bergegas masuk ke dalam bilik dan menghumbangkan dirinya di atas katil. Bajunya basah dek peluh. Dia membuka baju dan mencampakkan ke atas lantai. Dadanya turun naik, perutnya kembang kempis. Untung ayah tidak ada di rumah.
Kalau tidak? Pasti ayah kehairanan melihat aku seperti dikejar hantu. Fuh! Apa aku dah lakukan. Matikah mereka?
“Jangan fikir terus, Long!”
Along bingkas bangun.
“Sekarang mereka bertambah takut padamu. Engkau bahaya!”
Kalau mereka mati bagaimana? Aku akan jadi pembunuh! Suara garau itu ketawa mengejek.
“Biarkan sahaja. Tiada siapa yang tahu.”
Along menggelengkan kepala. Tidak! Aku akan pergi kepada mereka malam ini.
Along membuka pintu bilik ayahnya. Dia menghela nafas kelegaan. Lampu suluh diambil dan dia kembali ke biliknya. Dia membuka sampul bantal dan mengambil wang kertas yang disimpan kesemuanya dan memasukkan ke dalam poket seluar jeans hitam yang dipakai. Berlari-lari Along meninggalkan rumah. Dia khuatir Aziz dan Zaki mati! Dia harus segera sampai.
Along berjalan perlahan. Dia sudah sampai di laluan belakang bangunan kedai. Dia menyuluh kawasan sekitar. Bimbang juga kalau ada siapa-siapa yang melihatnya. Cukuplah dia seorang yang tahu. Lebih-lebih lagi kalau Aziz dan Zaki mati! Tidak dapat dibayangkan apa yang akan terjadi.
Bagaimana keadaan mereka? Setelah kedua-duanya rebah petang tadi, Along telah menyeret mereka masuk ke dalam bilik yang diisi dengan kelengkapan dapur. Mereka telah diikat. Along berdiri di depan pintu. Di tangan kirinya terdapat satu beg plastik. Sebelum menuju ke sini, dia singgah di sebuah warung untuk membeli makanan.
Pintu ditolak. Kedengaran bunyi orang mengengsot ketakutan. Along menekan lampu suluh dan menghalakan ke arah bunyi itu. Zaki. Kesan darah di telinganya sudah berubah menjadi gelap.
Sedikit hitam. Matanya terbuka luas. Dia hanya mampu merengek kerana mulutnya telah ditutup dengan selotape berlapis-lapis tebalnya. Cahaya lampu suluh dihalakan pula ke arah Aziz. Kepalanya menunduk. Bahu dan tangannya bergerak-gerak seakan cuba melepaskan diri dari ikatan tangan pada sebuah tiang. Kaki turut diikat. Begitu juga Zaki. Diikat dengan cara yang sama cuma pada tiang yang di sebelah. Along berasa lega apabila melihat mereka masih bernyawa.
“Lapar?”
Along menyoal. Kepala mereka diangguk-angguk. Along membelek rak di tepinya. Dicapai sebilah pisau pemotong daging dan sudu. Dia duduk di depan Aziz. Lampu suluh diletakkan di tepi dibiarkan bernyala. Tangan kanan memegang pisau. Tangan kiri membuka bungkusan yang dikeluarkan dari dalam beg plastik. Nasi goreng.
“Siapa bercakap, dia akan makan pisau ni!”
Pisau yang kemas dalam genggaman tangan kanannya diangkat. Zaki menelan liur sambil menggangguk. Along membuka selotape yang terlekat di mulut mereka. Ah! Aziz merengek. Mungkin tercabut bulu-bulu di mukanya yang turut melekat di selotape.
Kemudiannya, mereka masing-masing disuap nasi goreng. Lahap sekali gaya mereka. Walaupun tangan masih lagi terikat, selera diutamakan. Baru sahaja nasi memenuhi ruangan sudu, mulut mereka sudah ternganga. Sehinggakan mereka terbatuk-batuk, terpaksa pula Along menghulurkan air teh o ais bungkus yang perlu disedut melalui straw.
Along bersandar di dinding. Dihalakan lampu suluh ke arah Aziz dan Zaki.
“Kalaulah kalian tidak bertindak kasar, semua ini tidak akan terjadi.”
Along memecahkan kesunyian bilik itu.. Tidak berjawab. Tentu sekali tidak berjawab kerana selotape telah dilekatkan kembali sesudah mereka berdua makan.
“Sekarang, aku susah. Kalian juga turut susah. Bagaimana caranya untuk aku selesaikan semuanya?”
Mulut Zaki bergerak-gerak seakan ingin memperkatakan sesuatu. Matanya bermanik minta dilepaskan. Along mengeluh.
“Oh, bercakap? Sudahlah, aku tidak mahu dengar.”
Along bangkit berdiri.
“Pagi esok aku kembali ke sini sebelum aku ke sekolah.”
Pintu dibuka. Along mengintai-intai ke luar sebelum melangkah meninggalkan bilik tersebut.
Share this novel