Completed
7262
Bab 3
Perkara yang terjadi saya diamkan saja kerana saya sendiri tidak pasti apa yang berlaku. Walau pun begitu, ia kerap menggangu fikiran dan sedikit sebanyak konsentrasi saya terhadap apa yang sedang dilakukan juga terganggu kerana minda saya asyik memikirkan apa yang terjadi.
Saya perlu mencari punca semua ini terjadi. Selagi tidak jumpa saya pasti tidak mampu tenteram. Kenal benar saya dengan diri sendiri. Selagi tidak mendapat jawapan selagi itu saya akan mencari gali segala kemungkinan yang menjadi penyebabnya. Barulah saya akan puas hati dan mampu bertenang.
Dalam pada itu banyak juga yang cuba cari dalam buku tentang misteri dan mistik yang mungkin berlaku di sekeliling manusia namun tidak banyak informasi yang dapat saya kumpulkan. Saya hampa namun masih mencari punca. Tidakmungkin saya biar hal ini begitu saja.
Seminggu sudah berlalu. Macam biasa balik rumah saya terus masuk ke bilik tidur. Rutin berjalan seperti biasa. Dan tidak ada lagi gangguan seperti yang saya alami seperti minggu lepas. Saya mula lega sedikit. Mula mempercayai ini cuba gangguan sementara.
Selepas selesai mandi dan solat, saya duduk di birai katil meneliti buku-buku. Beberapa ketika meneliti dan membaca akhirnya mata ini mengantuk juga. Jadi saya putuskan untuk kemas saja buku-buku itu dan masuk tidur.
Sesudah buku di kembalikan ke rak, saya pun baring di katil. Mencari posisi yang selesa untuk tidur.
Tapi, petang itu sebelum melelapkan mata, saya terdengar bunyi tapak kaki persis seperti ada orang sedang berjalan.
TAP! TAP! TAP!
"Siapa tu?"
"Senyaplah! aku nak tidur." Jerit saya.
Mulanya saya fikir mahu abaikan saja. Dan terus melelapkan mata. Tak mahu berfikir apa-apa kerana mata memang sudah mnegantuk benar. Tapi fikiran saya mengatakan sebaliknya. Tak mampu menahan rasa ingin tahu. Sudahnya saya mengalah.
Saya membuka mata dan bangun dari pembaringan. Telinga masih mencari arah bunyi tapak kaki itu. Saya fikir kalau saya cuba lelap sekali pun bunyi itu tak akan pergi selagi saya tak tahu dari mana datangnya. Sudahnya saya kumpul semangat dan berjalan menghampiri pintu.
Bunyi asing itu datangnya dari arah ruang tamu. Tikus? Soal saya sendirian. Tiba-tiba bunyi derap tapak kaki itu hilang. Saya cuba tenangkan hati dan merancang untuk memanggil pembasmi tikus keesokkan hari.
Tapi hati saya pasti itu bukanlah gangguan tikus. Kuat mengatakan bukan tikus kerana ia adalah bunyi derap kaki! Tak mungkin bunyi tapak kaki tikus yang kecil itu boleh menghasilkan bunyi yang cukup kuat! Tidak mungkin.
Lalu, saya berjalan menuju ke dapur untuk mengambil air minuman. Sekali gus mahu melihat jika benar ia adalah gangguan tikus. ( walaupun beberapa hari sebelum ini tidak ada langsung bunyi sedemikian kedengaran).
Untuk ke dapur saya perlu melalui satu lorong kecil untuk ke tempat yang saya tempatkan air masak. Semasa berjalan di lorong kecil menuju ke dapur, saya terus mematikan langkah. Dalam samar cahaya, saya pasti saya bukan mamai atau bermimpi. Saya sedar dan waras tentang apa yang saya lihat di depan mata kini.
Saya terkejut besar. Saya ternampak ada sesuatu sedang berdiri di hujung lorong sempit itu. Kelibatnya hitam dan besar. Dada saya mula berdebar-debar. Mujurlah objek itu menghilang daripada pandangan.
Share this novel