Completed
7262
Tajuk:Senyaplah!
Penulis: Gayath
Bab 1
Sebaik menamatkan kontrak kerja dengan syarikat kejuruteraan, saya teruja untuk menerima satu lagi tawaran kerja. Dalam keterujaan untuk menerima kerjaya baru di tempat dan persekitaran baru pastinya ada terselit kisah yang tidak enak. Namun kali ini ia amat berbeza. Beza bukan kerana dihimpit masalah nyata tapi diganggu oleh kejadian misteri dan aneh.
Hal ini adalah kejadian beberapa tahun lalu, semasa saya diterima bekerja di sebuah syarikat telekomunikasi tempatan. Untuk kerja dan jawatan yang disandang ini, saya disediakan sebuah rumah banglo besar di sebuah bandar kecil di pantai timur negara.
Banglo konkrit berbentuk klasik ini terletak agak jauh daripada rumah-rumah lain. Suasana sunyi sepi. Saya teruja untuk memulakan kehidupan baru walaupun hanya mendiami kediaman di sebuah bandar kecil. Bagi saya tak apa lah jika perlu menghabiskan masa di sini asalkan dapat menimba pengalaman baru. Lagi pun saya berfikiran positif. Kawasan sekitarnya jujur saya katakan amat menenangkan. Terasa seperti bercuti di rumah homestay pun ada juga.
Setiap hari saya menghabiskan masa yang sangat panjang berada di pejabat menyiapkan tugas-tugas penting dan apabila tiba di rumah saya betul-betul letih dan lesu. Jawatan baru menuntut saya berfikir lebih banyak untuk membuat keputusan. Malah banyak urusan yang melibatkan penilaian dari saya sendiri sebelum boleh satu-satu projek diteruskan.
Pada saya, tidak mengapalah jika perlu bekerja keras kerana memang ini yang saya mahukan sejak dahulu. Kiranya impian jadi kenyataan dalam hal ini. Maka saya terima keadaan ini dengan hati terbuka. apatah lagi saya masih bujang dan tidak ada komitmen lain. Disebabkan itu juga saya nekad meneruskan kehidupan begini.
Biasanya, selepas balik kerja, saya akan terus mandi dan berbaring di sofa ruang tamu sambil menonton televisyen sebelum bergerak ke bilik tidur.
Pada suatu malam, saya telah tertidur akibat terlalu letih. Malam itulah saya bermimpi yang sungguh aneh. Itu adalah kejadian aneh yang pertama kali berlaku sepanjang saya berada di situ. Dalam mimpi itu saya melihat ada suatu lembaga aneh sedang asyik memerhatikan saya tidur. Saya dapat lihat lembaga tersebut hanya berdiri dari satu jarak dekat dan memerhatikan tubuh saya yang terbaring tidur.
Lembaga aneh itu bersandar pada saya dengan wajah yang sangat marah. Wajah lembaga itu kelihatan seperti seorang lelaki tua. Rautnya seperti orang yang sedang marah teramat.
Di dalam mimpi itu saya dapat lihat diri saya sendiri tidak senang dengan tenungan amarah yang diberikan dan saya meronta untuk bangun namun tidak dapat berbuat apa-apa. Bagaikan ada sesuatu yang menghalang.
"Senyaplah!" Itulah perkataan yang saya dengar dengan sangat kuat.
Matanya merenung tajam ke arah saya seolah-olah tidak berpuas hati. Seperti saya ada berbuat salah kepada dirinya. Renungan tajam itu membuatkan saya berasa amat takut dan berpeluh-peluh menahan ketakutan dan berdebar. Beberapa lama saya mencuba akhirnya saya lantas terjaga. Benar, saya seperti baru lepas berlari marathon 10 km atu boleh saya katakan seperti baru lepas dikejar anjing gila dengan peluh yang mencurah-curah dan tidak cukup nafas.
Perasaan saya mula bercampur-baur. Saya merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan rumah banglo lama itu. Tapi sebelum ini tidak ada sebarang gangguan. Saya bimbang itu hanya perasaan takut yang menyelubungi saja. Mungkin gangguan biasa seali-sekala yang diterima seperti orang lain juga. Perasaan saya tidak keruan. Sukar hendak diceritakan.
Saya mengumpul kembali kekuatan dan cuba untuk lelap semula. Namun sukar dek kerana fikiran masih melayang tentang mimpi sebentar tadi. Makanya saya duduk di ruang tamu. Membaca buku sambil duduk di sofa hingga saya terlelap sendiri entah bila, saya juga tidak pasti. Mujur azan Subuh menyedarkan saya.
Share this novel