Bab 1

Romance Series 7590

Aku memasuki perkarangan rumah yang tertera papan tanda Teratak Adnan di pintu masuk halaman rumah. Dari kejauhan mataku sudah dapat melihat pelbagai jenis pokok bunga yang memenuhi ruang laman.

Orang tua aku memang suka bercucuk tanam. Kontra betul dengan minat anak mereka yang sorang ini. Ada 3 buah kereta sudah terparkir di dalam garaj. Aku tahu semua adik beradik aku sudah tiba di rumah emak.

Walaupun baru 3 bulan tak pulang ke kampung, terasa bagaikan 3 tahun lamanya. Rindu betul! Kalau dulu setiap bulan aku dapat balik, tapi kini keadaan kerja aku yang tak menentu membantutkan niat aku untuk pulang ke sini.

“Assalamualaikum,”aku memberi salam sebelum bergerak ke bonet kereta.

Beg pakaian aku keluarkan sebelum menekan loceng di tiang sebelah tangga rumah.

“Aileen.. Ya Allah, kenapa balik kampung mengejut macam ni?” Riak wajah emak jelas teruja.

Aku beritahu pada emak esok hari aku akan balik kampung. Tapi disebabkan harini kerja aku habis awal, terus saja aku kemas baju dan bergerak pulang. Soal balik kampung ni memang aku tak menyabar.

Tangan emak aku salam sebelum kami berpelukan erat.

“Kerja Leen settle awal. Nak tunggu esok, lama sangatlah, mak,” aku tayang senyum manis. Dengan emak, aku memang suka bermanja.

“Haa, yelah. Jom kita masuk. Ni kalau abah nampak Leen balik lewat macam ni memang ken...,”belum sempat emak menghabiskan bicara, mata kami terpaku pada susuk tubuh abah di muka pintu.

Aku telan air liur. Reaksi wajah abah buatkan aku sendiri kecut perut. Aku paling penakut dengan abah. Antara semua adik-beradik aku, aku rasa cuma aku sorang yang tak berani melawan abah.

Raut wajah abah yang tampak garang dengan sifat tegasnya tulah yang sentiasa membuat lutut aku tak mampu nak lurus kalau tahu abah naik angin. Kalau ada yang tak takut polis pencen macam abah di kampung ni memang aku boleh kasi tabik!

Aku pantas menyalami abah. Mata tajam abah yang merenung aku membuatkan lidah aku bagaikan kaku tak terucap.

“Hah, Leen. Mak kamu kata esok baru kamu balik bercuti. Dah nak masuk maghrib ni tiba-tiba pulak muncul hari ni?”laju abah mengatur ayat.

Bau-bau aku akan dimarah sudah dapat aku hidu. Tapi disebabkan aku memang tak sabar nak balik harini, awal-awal lagi aku dah pasang tawakal dengan reaksi abah.

“Kerja Leen dapat settle awal petang tadi,bah. Tu yang Leen terus balik ke sini,” berhati-hati aku menyusun kata.

“Kalau dah siap kerja petang tu tak adalah awal untuk kamu balik kampung harini. Kamu tu perempuan, Aileen. Balik kampung pula sorang-sorang. Buatnya apa-apa jadi kat tengah jalan, dengan gelapnya lagi, tak ke bahaya. Lain kali tunggu esok pagi je lah nak baliknya,” abah mula meluahkan ketidakpuas hatinya.

Aku memang kenal abah. Memang abah garang. Tapi marahnya pada anak-anak mesti untuk pastikan kami adik-beradik sentiasa selamat. Tambah lagi adik-beradik aku semua perempuan. Bahkan kalau abah nampak kami nak minum air berais pun abah akan larang, sebab kalau dah batuk susah betul nak baik. Abah tak suka anak dia sakit.

Belum sempat aku mengiyakan kata-kata abah, ada suara meriuhkan keadaan. Kak ngah dan Kak long muncul di belakang abah.

“Hei, orang KL dah balik. Ni mesti tak sabar nak ambik turn cuci pinggan kan,” Kak ngah mula tayang bakat loyar buruk. Aku tergelak.

“Amboi, Kak Ngah. Leen baru sampai, dah ada niat nak buli eh,”

Kak ngah aku ni memang jenis kuat loyar buruk. Kak long pula lebih matang orangnya, tapi kalau mood dia terlebih baik dua kali lima jugalah perangai dia dengan Kak Ngah.

“Dah, Aileen. Dah gelap ni. Masuk lah ke dalam. Pergi mandi,” abah mencapai kunci di sebelah pintu.

“Baik, abah”sahutku.

“Ni abang nak ke mana?”tanya emak. Aku masih tercegat di sisi emak.

“Nak ke masjid,”Abah sudah naik atas motor. Helmet disarung di atas kepala.

“Kenduri Hajah Hasna dengan Haji Isa tu abang jadi pergi tak?”

Enjin motor dihidupkan.

“Jadi. Awak bersiap dulu. Nanti lepas maghrib, kita pergi,”

Usai menghabiskan bicara, motor abah mula bergerak keluar dari laman rumah.

“Mak cik Hasna buat kenduri apa mak?”soalku.

Aku kenal dengan kawan baik emak tu. Cuma bila dah bekerja ni aku jarang dapat berjumpa dengannya. Selalu dengar cerita dari emak je kalau aku bersembang dengan emak di telefon.

“Kenduri kesyukuran. Anak nombor dua dia tu baru balik Malaysia. Dapat mengajar kat sini,”aku angguk faham.

“Leen, jom masuk. Nak tengok baby baru Kak Long tak?”ajak Kak Long. Aku tarik senyum lebar.

“Eh, mestilah nak,” Kak long buat aku teruja. Selama ni dapat tengok baby guna video call je. Tak puas!

Ini juga salah satu sebab aku tak sabar nak balik kampung. Ahli keluarga aku makin bertambah sekarang. Kini Kak long dan Abang Farid memiliki dua orang anak, Alisa dan Arian. Kak ngah dan Abang Saiful pula baru seorang anak, namanya Sara. Lagipun mereka baru dua tahun berkahwin.

“Ehh, sebelum jumpa baby, pergi mandi dulu, Leen. Buang dulu virus-virus KL tu baru boleh terkam si Arian tu,”arah emak.

Langkah aku tak jadi ke ruang tamu. Terus aku melencong ke tangga bersama-sama beg pakaian.

Kak ngah dan Kak long yang melihat cuma ketawa. Emak dan abah memang sama-sama tegas sebenarnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience