Bab 12

Romance Series 7590

Aku menekan butang lif aras pejabat Harraz untuk turun ke aras lobi. Sebentar tadi Harraz meminta aku untuk mengikut dia naik ke biliknya.

Sekali lagi aku berjumpa dengan wanita di kaunter pejabat fakulti tadi. Tersenyum-senyum dia melihat aku masuk lagi ke pejabat itu bersama ‘Dr Harraz’.

Aku cuma membalas senyuman manisnya. Entah apalah yang bermain di fikirannya saat melihat aku kembali lagi.

Saat melangkah masuk ke bilik Harraz, aku lihat meja dan almari bukunya tersusun kemas dengan segala fail dan pelbagai jenis buku. Ibaratnya sejuk saja mata memandang.

Sementara menanti Harraz mencari sesuatu di kabinet buku, aku perhatikan setiap inci ruang pejabatnya. Boleh tahan besar juga untuk menempatkan seorang pensyarah seperti Harraz.

Aku lihat di hujung pejabat terdapat dua pasu berisi pokok yang diletakkan berhampiran tingkap. Rasanya itulah ruangan yang sesuai untuk meletak hiasan pokok supaya mudah pokok tu nak membesar bila terkena cahaya matahari.

Ruang dinding pula tampak menarik dengan penggunaan wallpaper berwarna coklat lembut. Sesiapa sahaja yang melangkah masuk ke dalam bilik Harraz pasti beranggapan Harraz seorang yang kemas dan pandai berhias. Bilik pejabatnya sahaja sudah dihias begini. Bagaimanalah agaknya rupa bilik tidur dia.

Pandangan mata aku beralih ke arah hujung meja. Ada tersusun beberapa bingkai gambar di situ. Aku cuma dapat lihat foto pada bingkai gambar paling tepi. Foto seorang perempuan. Tak lain dan tidak bukan tentunya itu gambar Dhia.

Perhatian aku kembali pada Harraz tatkala tersedar yang dia berpusing ke belakang memandang aku.

“Leen tengok apa?”tanya Harraz. Pandangannya juga dihalakan pada arah tumpuan aku tadi.

“Leen saja tengok gambar,” aku sengih malu. Segan pula bila dia tersedar aku curi-curi tengok foto di mejanya.

Harraz tiba-tiba alihkan kedudukan frame di hujung itu seolah-oleh mahu menutup dari pandangan aku. Ewah, macamlah aku nak tengok gambar Dhia tu sampai terbelah bingkai gambar tu!

Harraz hulurkan beberapa buah buku berkaitan undang-undang sebagai rujukan untuk aku menulis skrip.

“Kalau Leen baca buku ni mungkin Leen lebih faham apa saya terangkan tadi,” ujarnya. Beberapa buah buku tebal di tangannya, pantas aku sambut.

“Terima kasih Harraz,”ucapku ikhlas. Rasa-rasanya banyak juga dia bantu aku hari ni.

Mujur aku dipertemukan dengan pensyarah yang aku kenal. Senang berurusan dengan Harraz. Semua benda dia tak kedekut. Makanan di café tadi pun dia halang untuk aku belanja dia.

Pergi balik dari café tadi pun guna minyak kereta dia saja. Siap dia tolong drive kan lagi. Nasib baik aku tak terlena kekenyangan.

“Sama-sama, Leen. Terima kasih juga teman saya brunch tadi. Next time mungkin kita boleh lunch sama-sama lagi,”dia tarik senyuman manis.

Terserlah lesung pipit di hujung pipinya. Manis pula Harraz ni senyum. Mana-mana gadis pun mesti akan cair kalau tengok.

“No problem, Harraz. Thanks.”balasku. Kemudian aku meminta diri untuk pergi.

SEBAIK sahaja menghidupkan enjin kereta, aku memakai tali pinggang keledar. Safety first!

Beberapa minit selepas memanaskan enjin kereta, aku memulakan pemanduan.

Aku mahu terus pulang ke rumah saja. Rasanya tiada apa-apa urusan lagi di luar. Aku sudah berfikir-fikir apa perkara yang perlu aku buat selepas pulang harini. Syaz pun ada meeting di luar hari ni. Nampak gaya aku seorang sajalah di rumah waktu petang ni.

Semasa kereta aku bergerak dari persimpangan lampu isyarat, aku tersedar ada kereta di belakang yang mengekori rapat kereta aku.

Bila aku intai wajah pemandunya melalui cermin pandang belakang, bayang si pemandu tampak samar-samar sahaja dek kerana cermin kereta yang gelap.

Aku dah tak sedap hati. Siapa pula yang ikut aku ni? Aku tak pernah kenal dengan orang yang memandu Mitsubishi Lancer seperti ini. Nak kata aku berhutang dengan orang, manalah pernah!

Aku rasa sedikit lega bila tak lama kemudian kereta itu menghilang. Jantung yang sempat rasa berdebar tadi kembali berentak normal. Perasaan kau saja tu, Leen. Siapa pula nak ikut kau siang-siang hari ni? Ini bukan drama bersiri gerak khas.

USAI menunaikan solat Isyak, aku buka laptop seraya menekan button on di hujung kiri alat peranti itu.

Lama aku imbas clustering ataupun rangka cerita yang telah aku lakarkan di dalam buku notaku semalam. Sesekali tangan aku yang memegang sebatang pen menconteng dan menambah beberapa idea pada clustering tersebut.

Kebiasaannya sebelum memulakan penulisan skrip, aku akan membuat lakaran dan ringkasan setiap babak.

Ini bagi memastikan proses penghasilan sebuah skrip berjalan dengan lancar, sekaligus mengurangkan risiko berlaku writer’s block atau keadaan di mana penulis kekeringan idea untuk meneruskan karya penulisan.

Jari jemariku mula menari di atas keyboard laptop, menaip cerita dengan idea yang mencurah-curah di minda.

Di kala ini sesiapa pun tidak boleh mengganggu aku. Bahkan aku akan mengambil masa berjam-jam di ruangan kerja dalam bilik aku untuk menyiapkan beberapa babak skrip ini.

Bunyi nada dering telefon bimbit berkali-kali kedengaran, namun aku abaikan. Apabila bunyinya masih tidak berhenti dan mengganggu, akhirnya aku jawab dan lekapkan telefon bimbit di telinga.

“Yes, assalamualaikum,”sapaku.

Namun tiada sahutan yang aku dengar daripada si pemanggil.

Aikk, senyap pula.

“Hello. Siapa tu?”

Aku kerling skrin handphone. Nombor pemanggil tiada dalam simpanan telefon bimbitku. Jadi aku sendiri pun tak tahu siapa yang menghubungi aku.

“Hello.”

Masih sepi di hujung talian. Pelik! Akhirnya aku putuskan saja panggilan itu. Macam-macam hal orang zaman sekarang ni. Kaya sangat agaknya sampai nak membazir bil telefon hubungi orang tanpa tujuan.

Aku kembali meneruskan kerja-kerja menulis skrip. Kalau dibiarkan lama kerja-kerja ini, boleh terbantut segala idea!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience