BAB 8

Mystery & Detective Completed 638

Semangat Maizan, Ramdan dan Arshad tidak pernah padam dan luntur untuk menyiasat apakah sebenarnya misteri yang menyelubungi rumah banglo lama di atas bukit itu. Walaupun dihalang dan digertak oleh Bidin supaya jangan menghampiri kawasan rumah itu. Dalam suasana petang yang diwarnai dengan cuaca mendung tanda hujan akan turun sekali lagi ketiga-tiga sahabat itu menggagahkan diri pergi ke rumah yang penuh dengan tanda tanya dan pelbagai persoalan misteri itu. Bagi mereka apa yang telah dirancangkan perlu dilaksanakan segera dan tidak boleh ditangguh dalam penyiasatan terhadap rumah yang seakan-akan menyimpan satu rahsia yang besar dan tersembunyi daripada pengetahuan orang-orang kampung. Namun begitu ketiga-tiga sahabat ini sama sekali tidak mengabaikan pelajaran dalam keaktifan mereka menyiasat rumah lama yang dikatakan dihuni oleh lembaga yang menyeramkan itu dan menakutkan orang-orang kampung daripada menghampirinya terutama pada waktu malam.

Maklumat berkenaan siapa sebenarnya Tuan Smith telah pun diperolehi daripada Tok Ketua. Tuan Smith dan isterinya tidak mati dibunuh dalam rumah itu menguatkan keyakinan mereka bahawa rumah itu tidak berpenunggu dan berpuaka sepertimana yang sering heboh diperkatakan oleh orang-orang kampung. Di tambah pula dengan bukti kekuatan yang menjadi pegangan mereka bertiga bahawa tidak semua orang kampung melihat lembaga yang dikatakan selalu muncul pada waktu malam berkeliaran di rumah itu. Sepertimana yang diberitahu sendiri oleh ayah Maizan dan Tok Ketua.

Mungkin kehadiran lembaga yang menakutkan di rumah lama itu adalah satu cerita rekaan atau khayalan semata-mata bagi menakutkan orang-orang kampung daripada mendekati rumah itu dan menutup rahsia besar yang tersimpan dalam rumah ini. Dari sehari ke sehari tiga sekawan ini merasakan semakin berminat dan menarik untuk memecahkan misteri yang menghujani rumah yang didiami oleh Tuan Smith saudagar Inggeris yang baik hati dan berjasa besar melindungi orang-orang kampung daripada ancaman pengganas komunis pada zaman yang dikenali sebagai darurat. Ditambah pula dengan kisah terbaru tersembunyi peti yang mengandungi emas kepunyaan Tuan Smith berdasarkan cerita yang didengar melalui mulut orang-orang kampung menjadikan Maizan, Ramdan dan Arshad bagaikan tidak-tidak sabar lagi untuk sampai ke rumah itu untuk melihat sendiri akan kebenarannya cerita itu dan boleh jadi ia menjadi kaitan Bidin melarang mereka daripada menghampiri kawasan rumah itu.

Ketiga-tiga sahabat ini berharap pada kali ini mereka tidak terserempak dengan Bidin seperti pada malam lepas ketika mereka bertiga hampir memasuki kawasan rumah itu. Namun amaran keras yang diberikan oleh Bidin tidak menyebabkan mereka berasa gentar dan tidak mengganggu penyiasatan yang sedang rancak mereka jalankan terhadap rumah yang sudah lama ditinggalkan oleh pemiliknya Tuan Smith yang menemui ajal bersama dengan isterinya di muncung senjata petualang negara pengganas komunis. Malahan kehadiran tiga orang lelaki bersama dengan Bidin menaiki kenderaan pacuan empat roda menuju ke rumah itu sepertimana yang dilihat oleh Maizan ketika sedang membantu ayahnya menoreh getah di kebun Haji Idris menguatkan lagi petanda dan petunjuk kepada mereka untuk menyelesaikan misteri yang terpahat di rumah ini. Ternyata apa yang dilakukan oleh Bidin dan tiga orang lelaki itu di rumah yang dikatakan berpuaka itu pada anggapan mereka adalah sesuatu yang mencurigakan.

Setitik demi setitik hujan mulai turun dan lama-kelamaan bertukar menjadi mencurah-curah lebat. Ketiga-tiga sahabat itu pun bergegas masuk ke dalam kebun getah kepunyaan Haji Idris. Nasib bertiga mereka baik tidak basah kuyup ditimpa hujan kerana terdapat sebuah bangsal di dalam kebun getah itu. Di sinilah tempat ayah Maizan berehat seketika untuk melepaskan penat dan lelah setelah menoreh di kebun getah milik Haji Idris.

“Harap-harap hujan cepat teduh. Kalau tak terganggu lagi siasatan kita terhadap rumah yang penuh dengan misteri itu,” Ramdan berkata.

Bunyi rintik-rintik hujan yang menimpa atap zink bangsal dan daun-daun pokok getah jelas kedengaran memecah suasana.

“Kita mesti berhati-hati apabila melalui jalan bukit ke rumah tu. Dah tentu tanah licin bila hujan lebat begini,” ingat Maizan pula pada dua orang kawannya itu.

“Kalau rumah tu berkunci macam mana kita nak masuk?” Arshad memandang Maizan dan Ramdan silih berganti.

“Kau yakin ke rumah tu berkunci, Arshad?” tanya Maizan sambil melihat muka Arshad.

“Entahlah!” dia menjawab dengan menggeleng-gelengkan kepala.

“Aku sendiri pun tak tahu. Sebab macam kau orang jugak lalu aje depan kawasan rumah tu dan tak pernah masuk ke dalam rumah tu pun,” jelas Arshad.

Ramdan sebaliknya hanya mendiamkan diri dengan membiarkan dua orang sahabatnya itu membincangkan tentang rumah yang penuh dengan misteri itu yang terletak tidak jauh daripada kebun getah tempat mereka berteduh daripada hujan lebat. Di raut wajahnya nampak risau sambil memandang ke atas langit yang berwarna hitam.

“Bagi kau apabila tengok rumah tu rasa seram tak?” Pertanyaan yang tiba-tiba dihulurkan oleh Maizan kepada Arshad.

“Aku tengok biasa aje tak ada pun rasa seram.” Bunyi jawapan yang diberikan oleh Arshad pula sebaliknya.

Kata-kata Arshad itu membuatkan Maizan tersenyum apabila mendengarnya dan bagi Arshad Maizan seolah-olah tidak percaya dan sukar untuk menerima jawapan yang diberikannya itu dan lalu dia mencelah dengan pantas sambil mengangkat kepala memandang muka Maizan.

“Kenapa? Kau ragu-ragu ke apa yang aku cakapkan tu tentang rumah yang kita nak siasat tu?”

“Bukan itu maksud aku sahabat,” Maizan membalas.

“Dah tu?” Arshad tak henti-henti pantas memotong sambil mendongakkan kepala memandang wajah Maizan yang masih lagi terukir dengan senyuman.

“Cara kau berikan jawapan tu dalam paksa aje aku tengok. Seolah-olah nak menyedapkan hati aku dan menghilangkan rasa takut yang ada dalam diri kau. Betul tak?” Maizan menjelaskan perkara yang sebenar mengapa dia tersenyum apabila mendengar jawapan yang keluar daripada mulut Maizan itu dalam nada usikan.

“Habis? Kau ingat aku tak ikhlaslah jawab soalan kau tadi. Begitu?” Arshad melemparkan senyuman sambil melihat muka Maizan yang masih lagi kelihatan tebal dengan senyuman di wajahnya.

“Aku bergurau aje janganlah cepat terasa. Hidup ini mestilah ceria dan gembira dengan gurauan asalkan tidak berlebihan dan menyentuh perasaan. Kalau kita menyinggung kawan kita dalam gurauan cepat-cepatlah kita minta maaf,” tambah Maizan.

Lantas ketiga-tiga sahabat itu ketawa bersama-sama dalam bangsal di kebun getah Haji Idris yang menjadi tempat perlindungan sementara mereka bertiga daripada kena hujan lebat dalam perjalanan menuju ke rumah banglo lama di atas bukit itu yang kaya dengan misteri untuk meneruskan siasatan dan mencari jawapan yang sebenarnya tersembunyi dalam rumah itu. Sememangnya ketiga-tiga sahabat ini memang akrab dan rapat umpama isi dan kuku malahan macam adik-beradik tidak pernah bertengkar dan bergaduh sejak dari kecil lagi sehinggalah kini mereka memasuki alam yang kini bernama remaja.

Rasa gelisah masih lagi kelihatan belum padam di wajah Maizan walaupun telah ketawa bersama-sama dengan dua orang kawannya tadi dan untuk menyatakan rasa kerisauannya pada hujan yang masih lagi turun lebat dan tiada menampakkan tanda-tanda akan berhenti dia lalu bersuara.

“Buatnya hujan tak berhenti mahu gagal lagi rancangan kita untuk menyiasat rumah tu.”

“Kita kena bersabar Ramdan panas dan hujan adalah rahmat dari Tuhan. Insya-Allah. Kalau diizinkan Tuhan kejap lagi nanti hujan berhenti dapatlah kita meneruskan semula perjalanan ke rumah tu.” Maizan sebaliknya menenangkan kawannya yang seorang lagi itu.

“Ya tak ya jugak kata kau tu, Maizan. Apa yang dikurniakan oleh Tuhan kepada kita tak kiralah panas atau hujan kita harus menerimanya dengan rasa bersyukur. Hai! Ke situ pulak perginya aku mengeluh hujan begini sebab tak dapat pergi menyiasat ke rumah tu,” luah Ramdan apabila mendengar pesanan yang disampaikan oleh Maizan kawannya itu.

Menjelang lewat petang barulah hujan berhenti memandangkan hari semakin gelap memasuki senja dan waktu Maghrib akan masuk tak lama lagi maka Maizan, Ramdan dan Arshad membatalkan hasrat untuk meneruskan rancangan menyiasat rumah misteri yang dibina oleh Tuan Smith di atas bukit itu. Mereka lalu mengatur langkah semula pulang ke rumah bagi mengelak rasa kebimbangan ayah dan ibu masing-masing apabila tidak pulang ke rumah sejak keluar dari petang tadi dan tak eloklah rasanya sepertimana yang dinasihatkan oleh ibu bapa mereka agar tidak berkeliaran ketika hendak menunaikan kewajipan sebagai seorang umat Islam dengan mengerjakan solat Maghrib. Sebaliknya mereka harus berada di rumah dengan bersiap-siap untuk pergi ke masjid bersembahyang jemaah bersama dengan keluarga dan penduduk kampung.

Rony kelihatan mundar-mandir sambil menghisap rokok menunggu seseorang di tempat yang dijanjikan tersembunyi jauh daripada bandar raya Kuala Lumpur dalam kegelapan malam.

Memang menjadi kepantangannya kalau orang yang ditunggu lambat tiba seperti Bidin tempoh hari yang dirasakannya amat letih menanti dia muncul di salah sebuah restoran mamak di Bandar Seremban. Dua orang kawannya yang menjadi orang kanannya dalam kegiatan jenayah pengedaran dadah dan senjata api turut menjadi gelisah apabila melihat Rony menjadi tidak menentu dan marah-marah apabila orang yang dinantinya masih lagi tidak kunjung tiba.

“Bawaklah bertenang, Rony. Kejap lagi sampailah dia tu,” kata Topan salah seorang daripada kawannya itu.

“Betul kata Topan tu. Kan Tahir dah janji nak datang malam ni bawa duit. Takkan dia nak tipu kita pulak,” Yazid seorang lagi kawannya mencelah pula.

Serta-merta Rony menjadi rasa bengang apabila mendengar kata kedua-dua rakan jenayahnya itu dan lalu memandang mereka sambil membalas.

“Ah! Kau orang apa tahu. Dah lama aku tunggu ni. Barang yang dia minta kita dah beri. Kalau dia cuba mempermainkan kita siaplah dia nanti. Maut menunggu di muncung pistol aku ni!” Nada suaranya berbunyi marah bercampur geram.
Senjata pistol sentiasa dibawa bersama oleh ketiga-tiga penjenayah yang paling merbahaya dan dikehendaki oleh pihak polis ini walau ke mana sahaja. Mereka tanpa rasa belas kasihan dan perikemanusiaan akan membunuh sesiapa sahaja termasuk pihak polis yang cuba untuk menghalang dan mematahkan kegiatan jenayah yang mereka lakukan. Demikianlah kejamnya mereka sehingga menjadi buruan polis untuk diberkas dan dihadapkan ke muka pengadilan untuk menerima hukuman yang setimpal dengan kesalahan jenayah yang telah mereka lakukan selama ini.

Tak lama kemudian kedengaran bunyi kereta bersama dengan cahaya lampu tiba di tempat Rony dan kawan-kawannya menunggu kehadiran Tahir. Walaupun Tahir yang ditunggu telah sampai namun wajah Rony masih lagi nampak tebal dengan rasa kemarahan dan bosan kerana terlalu lama menunggu pembeli dadah dan senjata api yang dijualnya itu.

Tahir bersama dengan seorang lagi kawannya itu lalu turun daripada kereta manakala seorang lagi menunggu di dalam kereta di tempat pemandu. Dia membawa beg yang penuh berisi dengan wang untuk diserahkan kepada Rony sepertimana yang telah dijanjikannya melalui perbualan telefon siang tadi. Tempat ini dipilih bagi mengelakkan mereka daripada dapat dikesan oleh polis dan seterusnya diberkas. Tahir jelas dapat membaca air muka yang ditunjukkan oleh Rony itu dan lantas dia mengeluarkan suara sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Maaflah sebab aku lambat janji aku datang, kan!”

Dia pantas menyerahkan beg yang sarat berisi dengan wang itu kepada Rony. Apalagi Rony yang ibarat orang yang mengantuk disorongkan bantal dan orang yang laparkan nasi dan dahagakan air itu lalu menyambut beg yang dihulurkan oleh Tahir itu. Tahir kemudiannya lalu mengarahkan Rony agar mengira kesemua wang yang terdapat di dalam beg itu sama ada cukup atau tidak. Sepertimana harga yang telah ditetapkan oleh Rony dalam penjualan dadah dan senjata api. Wajah senyuman riang lantas menjelma di wajah Rony apabila kesemua wang yang diberikan oleh Rony dalam beg itu mencukupi macam yang telah ditetapkannya kepada Tahir dalam perniagaan yang menyalahi undang-undang dan peraturan dadah dan senjata api yang boleh membawa kepada hukuman gantung sampai mati jika didapati sabit kesalahan.

Beg yang berisi dengan wang yang banyak itu seterusnya bertukar tangan dengan Rony menyerahkannya pula kepada Topan yang kemudiannya memasukkan ke dalam kenderaan pacuan empat roda yang sering mereka menaiki.
“Rony kau kena hati-hati!” Tahir memberi peringatan kepadanya setelah melihat dia sedang bersiap bersama dengan dua orang kawannya menuju ke kenderaan pacuan empat roda untuk berlalu pergi dari situ.

“Kau tak perlu beritahu aku, Tahir. Tentang polis kan sedang hebat memburu aku!” Dia sudah dapat mengagak apa yang dimaksudkan oleh rakan perniagaannya itu yang sama-sama terlibat dengannya menjalankan kegiatan jenayah.

“Pihak polis amat menghendaki kau sama ada hidup atau mati!” Demikianlah ingatan yang diberikan lagi oleh Tahir kepada Rony.

Namun rasa gentar dan takut tidak diendahkan oleh penjenayah yang ganas dan paling merbahaya itu sehingga menjadi buruan polis dan jawapan yang diberikannya adalah dalam nada suara yang bongkak dan angkuh sangat bunyinya dengan panjang lebar.

“Hei! Ingat ya ini Rony tahu. Tak siapa yang boleh menindakkan apa yang aku inginkan. Demi untuk kesenangan dan kemewahan hidup aku tak siapa yang boleh mengganggu apa yang aku buat. Kalau polis berani mencabar aku sanggup aku berdepan dengan mereka biar dengan ramai sekalipun. Tengoklah nanti siapa yang akan tewas dan siapa yang hebat. Barulah mereka tahu nanti siapa Rony yang sebenarnya tak takut mati dan masuk penjara seumur hidup!”

“Sebagai kawan aku nasihatkan kau aje supaya tidak tumpas di tangan mereka. Segala gerak-geri kau sedang mereka perhatikan dan menunggu masa untuk bertindak ke atas kau. Baiklah! Aku pergi dulu nanti aku hubungi kau bila perlukan barang,” kata Tahir pula sebaliknya.

Rony dan kawan-kawannya begitu juga dengan Tahir dan kawan-kawannya kemudian beredar ke kereta masing-masing dan berlalu pergi dari situ.

Kegiatan pengedaran dadah semakin berleluasa dan amat membimbangkan sejak akhir-akhir ini. Ramai anak-anak muda yang menjadi mangsa musuh durjana negara itu. Ibarat wabak penyakit yang amat merbahaya perlu dicegah sebelum mengorbankan ramai nyawa. Sehubungan dengan itu Inspektor Aziz telah mendapat arahan daripada pegawai atasan agar membanteras kegiatan yang boleh menghancurkan negara ini dengan habis-habisan sehingga ke akar umbi bagi memastikan dadah tidak menjadi gejala yang boleh meruntuhkan akhlak remaja. Di mana tenaga dan kudrat mereka amat diperlukan untuk membawa kemajuan dan kejayaan pada negara di masa hadapan.
Maka sebelum operasi dijalankan Inspektor Aziz memberikan taklimat kepada anggota-anggotanya terlebih dahulu supaya apa yang telah diaturkan dan dirancangkan berjaya dilaksanakan. Mengikut perancangan tempat yang menjadi sasaran dalam operasi ini adalah di pusat-pusat hiburan yang menjadi tumpuan para remaja untuk mendapatkan bekalan dadah.

“Saya mendapat maklumat pusat-pusat hiburan adalah tempat yang menjadi pilihan anak-anak muda untuk memperolehi stok dadah dengan mudah. Saya percaya ada sindiket yang berurusan jual beli dengan mereka di tempat-tempat ini,” terang Inspektor Aziz.

“Tuan!” Sarjan Ramli tiba-tiba menyampuk sambil mengangkat tangan untuk menyatakan sesuatu kepada ketuanya itu.

“Ya, sarjan!” Dia berpaling ke arah anggotanya yang berpangkat sarjan itu dan memberi laluan kepadanya untuk berkata.

“Maklumat yang diterima mengatakan bahawa remaja-remaja yang mengunjungi pusat-pusat hiburan ini mendapat bekalan daripada seorang lelaki yang bernama Tahir. Dia juga mempunyai kaitan dengan Rony yang sedang kita buru sekarang sebagai pembekal untuk dia menjualnya kepada remaja-remaja yang datang ke pusat-pusat hiburan yang akan kita gempur nanti,” jelas Sarjan Ramli pula sebaliknya.

Inspektor Aziz pantas mengangguk-anggukkan kepala dan memberikan maklumbalas terhadap apa yang dikatakan oleh Sarjan Ramli itu.

“Benar, sarjan!”

“Seperti juga Rony dia mempunyai rekod jenayah dalam pengedaran dadah dan senjata api. Tahir memang sudah lama dikehendaki polis dan saya mahu sarjan dan anggota-anggota yang lain mendapatkan maklumat di mana tempat mereka sembunyi. Lagi satu sebelum saya terlupa saya juga mendapat maklumat yang tempat Rony menyimpan bekalan dadah dan senjata api adalah di luar kawasan Kuala Lumpur,” ucap Inspektor Aziz.

“Di mana, tuan?” Kerana rasa ingin tahu yang teramat sangat maka Sarjan Ramli cepat memintas.

“Dengarnya di Kuala Pilah tapi tempatnya masih lagi tidak diketahui di mana. Saya harap awak semua bekerja keras dan sentiasa membuat pemantauan untuk mendapatkan maklumat itu. Faham!” Inspektor Aziz memandang anggota-anggotanya dengan silih berganti.

“Faham, tuan!” sambut anggota-anggotanya dengan beramai-ramai sambil mengangguk-anggukkan kepala sebagai tanda mengerti dengan apa yang telah diarahkan oleh ketua mereka itu.

Inspektor Aziz kemudiannya menyambung semula taklimat berkenaan operasi yang akan dijalankan pada malam ini untuk membanteras kegiatan penjualan dan pembelian dadah di kalangan remaja yang bertapak kuat di tapak-tapak hiburan di sekitar bandar raya Kuala Lumpur. Dia mengingatkan anggota-anggotanya supaya melaksanakan operasi ini mengikut apa yang telah direncanakan oleh mereka dan berharap berjaya mencapai matlamatnya untuk menghapuskan gejala penagihan dadah yang dihidapi oleh anak-anak muda. Setelah tiada soal jawab dan anggota-anggota polis yang terlibat dalam operasi khas ini faham akan tugas masing-masing maka Inspektor Aziz pun mengarahkan anggota-anggotanya ke tempat-tempat yang telah ditetapkan untuk menjalankan serbuan.

Dalam serbuan yang dijalankan sehingga ke dinihari ini pasukan polis yang diketuai oleh Inspektor Rashid telah berjaya menangkap ramai anak-anak muda yang terlibat dengan kegiatan penagihan dadah. Amat menyedihkan bukan sahaja remaja lepasan sekolah yang diberkas malahan juga yang masih bersekolah lagi turut terlibat dalam kegiatan yang meruntuhkan akhlak dan tidak bermoral ini. Timbul pelbagai persoalan bagaimana mereka boleh terjebak ke lembah yang penuh dengan kehitaman dan noda ini. Jawapannya mungkin daripada kurangnya didikan agama oleh ibu bapa, pergaulan bebas dengan rakan-rakan sebaya tanpa batasan dan mencuba dadah untuk mencari keseronokan dan melepaskan tekanan bila ditimpa masalah. Seperkara lagi kejayaan polis menggempur pusat-pusat hiburan yang menjadi markas para remaja untuk mendapatkan bekalan dadah telah mendapat liputan yang meluas di televisyen dan dada akhbar.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience