BAB 10

Mystery & Detective Completed 638

Kali ini ketiga-tiga sahabat nekad untuk pergi menyiasat ke rumah misteri banglo lama di atas bukit itu. Walaupun sebelum ini terdapat pelbagai halangan dan rintangan yang menggagalkan hasrat mereka. Namun ketiga-tiga remaja ini tidak mengenal erti mengalah dan putus asa. Petang ini mereka telah mengambil keputusan untuk pergi ke rumah itu melihat sendiri apa yang sebenarnya terjadi sehingga ia dikatakan berpuaka oleh orang-orang kampung.

Dalam fikiran tiga orang pelajar tingkatan empat ini ligat dengan persoalan kenapa rumah itu menjadi ketakutan kepada orang-orang kampung dari dahulu sehingga sekarang. Ibarat orang Melayu makan nasi tak lengkap rasanya kalau tanpa sambal belacan dan ulam-ulaman sebagai pembuka selera. Begitu jugalah dengan rumah kepunyaan Tuan Smith ini sering dikaitkan dengan kisah yang menyeramkan. Tambah menghairankan mereka lagi tak semua orang kampung terserempak dengan lembaga yang mendiami rumah itu. Sebaliknya hanya segelintir sahaja daripada mereka yang melihat lembaga yang aneh dan menakutkan itu sering berkeliaran di kawasan rumah itu pada waktu malam.

Perjalanan Maizan, Ramdan dan Arshad menuju ke rumah yang penuh dengan kemisterian itu diiringi dengan cuaca yang baik dengan matahari kelihatan bersinar indah di kaki langit biru dan gumpalan awan tebal memutih memayungi seluruh kampung. Sedikit pun tidak kelihatan tanda-tanda hujan akan turun manakala angin bertiup dalam irama lembut dan sepoi-sepoi bahasa. Ketiga-tiga menanamkan harapan yang menggunung tinggi untuk dapat memasuki kawasan rumah itu sepertimana yang setelah sekian lama dirancangkan dalam penyiasatan mereka.

Kisah Maizan terdengar perbualan antara Bidin dengan Pak Rejab berkenaan rumah yang dikatakan berpuaka itu yang ditemuinya ketika membeli sarapan pagi di warung Pak Latip semalam menjadi tajuk perbualan panas dan hangat sewaktu dalam perjalanan mereka menuju ke rumah itu. Memang mereka benar-benar berasa hairan dan pelik mengapa Bidin dan Pak Rejab tetap kuat mengatakan rumah itu mempunyai penunggu yang menyerupai lembaga yang amat menyeramkan dan menakutkan.

“Dari perbualan mereka jelas nampak macam nak menakut-nakutkan orang kampung supaya jangan sesekali menghampiri kawasan rumah tu. Lagi satu Bidin memberitahu Pak Rejab yang dia pernah menghalang kita bertiga daripada memasuki kawasan rumah tu pada malam yang kita pergi tu,” jelas Maizan pada kedua-dua sahabatnya itu. Sambil mengatur langkah perlahan dan tenang mengharungi jalan menuju ke rumah itu.

“Sampai begitu sekali dia cerita pada Rejab ?” Arshad sebaliknya bertanya dengan rasa penuh terperanjat sambil memandang muka Maizan apabila mendengar apa yang diceritakannya oleh kawannya itu. Yang dianggapnya sebagai ketua dalam tugas penyiasatan yang dilakukannya bersama dengan seorang lagi kawannya Maizan. Terhadap rumah yang penuh dengan kisah misteri itu yang terletak di atas bukit dalam kampung di mana dia tinggal.

“Bukan itu sahaja Abang Bidin juga bercakap bohong dengan Pak Rejab ,” tambah Maizan lagi.

“Cakap bohong?” Ramdan pula berasa amat terkejut dengan apa yang dijelaskan oleh Maizan itu.

“Betul!” Maizan sebaliknya menyambut pula dengan mengangguk-anggukkan kepala.

“Apa yang dia bohong dengan Pak Rejab , Maizan?” sampuk Arshad yang seakan-akan tidak sabar menyampuk untuk mengetahui dengan lebih lanjut apa yang dikatakan oleh Maizan itu.

“Pak Rejab tanya dia apa yang dia buat pada malam tu sewaktu berjumpa dengan kita di kawasan rumah tu,” ujar Maizan.

“Habis tu apa dia kata?” celah Ramdan dengan pantas sama seperti Arshad yang bagaikan tidak mahu menanti lama Maizan memberikan jawapannya.

“Dia kata pergi memancing dekat sungai yang berdekatan dengan rumah tu sedangkan masa kita terserempak dengan dia tak ada pun dia bawa batang kail,” balas Maizan pula sebaliknya.

“Semakin pelik aku dengan Abang Bidin ni!” angguk Ramdan pula. Sambil rasa kerut jelas nampak di wajahnya memikirkan sesuatu sebaik-baik sahaja mendengar apa yang dijelaskan oleh Maizan itu.

“Yalah!” Arshad menyambut dengan mengangguk-anggukkan kepala pantas sebagai tanda mempersetujui dengan apa yang diucapkan oleh Ramdan itu.

“Jelas dan nyata yang Abang Bidin menjaga dan menyimpan suatu rahsia besar dalam rumah tu. Sehinggakan dia sanggup menegah kita daripada menghampiri rumah itu dan membuat penipuan dengan mengatakan terserempak dengan kita di kawasan rumah tu semasa pergi memancing. Walhal kita tengok dia bawa lampu suluh aje dan macam yang dicakapkan oleh Maizan tadi taka da pun kita nampak dia bawa batang kail dan bawa balik ikan,” tegas Arshad lagi.

“Aku cuba juga dapatkan maklumat tentang dia daripada ayah aku,” tambah Maizan.

“Hah! Apa yang kau dapat, Maizan?” Ramdan bertanya sambil mendongakkan kepala melihat muka Maizan yang berada di sebelah kirinya.

Maizan hanya menggeleng-gelengkan kepala sebaik-baik sahaja mendengar pertanyaan yang dihulurkan oleh kawannya itu dan pantas bersuara untuk menjawab.

“Tak banyak aku dapat maklumat tentang dia!”

“Apa yang ayah aku beritahu aku yang dulu dia pernah bekerja di Kuala Lumpur dan apa kerja dia tak diketahui,” ujar Maizan lagi.
“Kita mesti dapatkan maklumat siapa dia yang sebenarnya Abang Bidin ni. Sebab dia mempunyai kaitan yang kuat dan kukuh dengan rumah misteri yang sedang kita siasat itu!” cadang Arshad pula pada dua orang kawannya Maizan dan Ramdan yang kelihatan terhenti seketika daripada meneruskan perjalanan ke rumah banglo lama di atas bukit itu bila bercerita tentang Bidin.

“Aku sokong dan amat bersetuju sekali dengan apa yang kau cakapkan tu, Arshad!” nyata Ramdan.

“Maklumat tentang Abang Bidin amat penting untuk membantu dan melicinkan penyiasatan kita. Aku akan cuba dapatkan maklumat Abang Bidin aku harap kau pun jugak begitu, Arshad,” pintanya.

“Itulah yang sebaik-baiknya aku akan bantu kau untuk dapatkan latar belakang mengenai orang yang menghalang kita daripada masuk ke dalam kawasan rumah yang banyak dengan misteri itu,” janji Arshad pula.

“Baguslah kalau macam tu!” Maizan menyampuk pula sebaliknya sambil mengangguk-anggukkan kepala sebagai tanda pujian terhadap apa yang dilakukan oleh kedua-dua sahabatnya dalam menyiasat rumah yang penuh dengan teka-teki dan pelbagai muslihat itu yang mengaitkannya dengan berpuaka sehingga orang-orang kampung percaya sehingga boleh menyebabkan lari daripada akidah dan pegangan ajaran agama Islam.

“Bila ada semangat kerjasama dan saling bantu-membantu macam yang kau orang berdua tunjukkan mudahlah kerja kita untuk menyelesaikan siasatan ke atas rumah tu,” kata Maizan lagi.

Dalam asyik rancak berbual-bual tanpa disedari mereka telah pun menghampiri rumah banglo lama di atas bukit itu. Tiba-tiba Maizan terpandang kesan tayar kenderaan pada jalan tanah naik ke rumah itu. Dia kemudiannya lalu menarik perhatian kedua-dua kawannya itu supaya melihat kesan tayar tersebut. Ketiga-tiga sahabat itu seterusnya mengalihkan pandangan ke arah rumah itu dan kelihatan kenderaan pacuan empat roda di halaman rumah itu. Dengan empat orang lelaki termasuk Bidin di mana dua orang daripadanya sedang memunggah kotak-kotak turun daripada kenderaan dan membawanya masuk ke dalam rumah.

Tiga orang sahabat itu kemudiannya lalu pantas bersembunyi di celah-celah semak samun yang menutupi pemandangan rumah itu daripada jauh. Supaya tidak dapat dilihat dan dikesan oleh Bidin berserta dengan tiga orang lelaki itu akan kehadiran mereka. Nada suara yang perlahan seperti berbisik namun jelas dapat didengar antara mereka bertiga lalu dikeluarkan silih berganti oleh Maizan, Ramdan dan Arshad.

“Apa agaknya dalam kotak-kotak yang dia orang bawa masuk ke dalam rumah tu,” kata Maizan sambil mengintai dari celah-celah daun dan semak samun yang tumbuh di tempat yang mereka bertiga jadikan untuk bersembunyi daripada nampak dan dilihat oleh Bidin bersama dengan tiga orang lelaki itu.

“Tengok tu Abang Bidin pun ada sama macam dia yang bekerja dengan lelaki tu untuk menjaga rumah tu,” Arshad menambah.

“Lelaki tu macam ada beritahu perkara penting pada dia kau orang tengoklah tu dia asyik mengangguk-angguk aje bila lelaki tu bercakap menurut saja apa yang dia suruh,” celah Ramdan.

“Aku perhatikan gerak-geri dia orang tu mencurigakanlah,” Arshad bersuara.

“Yalah!” Ramdan membalas dengan mengangguk-anggukkan kepala sebagai tanda jelas menyetujui dan menyokong penuh dengan apa yang dipandang oleh Arshad terhadap keempat-empat lelaki itu termasuk Bidin.

“Kalau kau orang nak tahu mereka semua tulah lelaki yang aku nampak menaiki kereta pacuan empat roda tu bersama dengan Abang Bidin menuju ke rumah ni. Sewaktu aku membantu ayah aku menoreh getah di kebun Haji Idris tempoh hari,” jelas Maizan pula kepada kedua-dua orang sahabat karibnya itu.

“Jadi, inilah lelaki-lelaki yang kau ceritakan tu!” sampuk Ramdan.

“Yalah! Tapi aku rasa hairan jugak kenapa mereka menyimpan kotak-kotak tu dalam rumah yang dikatakan oleh orang-orang kampung ni berpuaka,” tambah Maizan.

“Tentu kotak-kotak yang mereka punggah masuk ke dalam rumah tu mempunyai rahsia kita mesti siasat!” Arshad begitu ghairah sekali untuk mengetahui apa isi di dalam kotak-kotak yang diangkat oleh kedua-dua lelaki itu.

“Jangan-jangan mereka ni semua penjenayah tak?” teka Ramdan pula sebaliknya setelah sekian lama mengintip dan memerhatikan gerak-geri ketiga-tiga lelaki itu termasuk Bidin yang juga orang kampungnya.

“Boleh jadi benar juga cakap kau, Ramdan. Tengok daripada rupa mereka semua tu macam ada yang tak kena aje dan bengis pulak tu,” Arshad mencelah.

“Kita terus perhatikan gerak-geri mereka yang mencurigakan tu,” cadang Maizan pada kedua-dua kawannya itu. Ramdan dan Arshad menurut sahaja cadangan Maizan itu tanpa banyak soal.

Mereka tidak dapat menangkap apa yang dibualkan oleh Rony dan Bidin. Jarak antara tempat mereka bersembunyi sambil memerhatikan dan mengintai gerak-geri Bidin bersama dengan ketiga-tiga lelaki itu adalah jauh. Hanya dapat melihat bibir Bidin dan Rony bergerak-gerak semasa berbual bersama dengan gerakan anggota badan mereka. Manakala dua orang lelaki itu tak henti-henti menurunkan kotak-kotak daripada kenderaan pacuan empat roda dan membawa masuk ke dalam rumah banglo lama itu.

Setelah selesai memasukkan kesemua kotak itu ke dalam rumah Bidin lalu mengunci pintu. Dia kemudiannya bersama dengan Rony, Topan dan Yazid lalu berlalu pergi dari situ dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda yang dipandu oleh Topan. Tanpa disedari segala pergerakan dan perbuatan jenayah yang mereka berempat lakukan dengan menyembunyikan dadah dan senjata api dalam kotak-kotak yang disimpan di dalam rumah itu telah diperhatikan oleh tiga orang penyiasat remaja. Cuma mereka tidak mengetahui apakah isi sebenar dalam kotak-kotak itu dan mengapa disimpan di dalam rumah yang sering diperkatakan oleh orang-orang kampung mempunyai puaka dengan lembaga aneh yang menakutkan dan menyeramkan menurut cerita mereka yang telah terserempak atau menemuinya. Kotak-kotak yang disimpan dalam rumah itu benar-benar menimbulkan rasa kecurigaan dan seperti ada suatu rahsia yang mempunyai kaitan dengan misteri rumah ini yang selama ini mereka mencari jawapannya yang sebenar sebagai penyelesaian kepada siasatan yang mereka jalankan terhadap rumah bango lama kepunyaan Tuan Smith yang menjadi perbualan hangat di kalangan orang-orang kampung sebagai berpenunggu yang menyerupai lembaga berpuaka.

Setelah kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki oleh Bidin bersama dengan empat penjenayah yang paling dikehendaki oleh polis itu hilang daripada pandangan mata Arshad lalu mengeluarkan nada suara dalam keadaan menggesa saja bunyinya.

“Mari kita pergi tengok kotak-kotak tu!”
“Macam mana kita nak tengok, Arshad. Pintu dan tingkap rumah tu semua bertutup rapat,” kata Ramdan pula sebaliknya.

Maizan, Ramdan dan Arshad lalu saling berpandangan bersama dalam fikiran mereka penuh dengan pelbagai pertanyaan. Mengapa Bidin dan tiga orang lelaki itu menyimpan kotak-kotak itu di dalam rumah yang mempunyai kisah misteri yang menarik ini. Dari raut wajah tiga penyiasat remaja itu jelas kelihatan bahawa satu lagi soalan yang mereka perlu cari jawapannya dalam penyiasatan yang mereka jalankan ini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience