BAB 4

Mystery & Detective Completed 638

Sebaik-baik sahaja memasuki kelas tiga sekawan ini akan melupakan terus penyiasatan rumah banglo lama di atas puncak bukit. Yang terdapat di kampung di mana tempat mereka dilahirkan dan dibesarkan. Bagi mereka bertiga apabila menjejakkan kaki ke dalam kelas bererti mereka perlu menumpukan perhatian pada pelajaran yang diajar oleh guru. Menyedari bahawa matlamat utama mereka datang ke sekolah adalah untuk menimba ilmu pengetahuan dan menjadi insan yang berguna pada agama, bangsa dan negara.

Hari ini mata pelajaran pertama ialah Bahasa Melayu. Guru mata pelajaran ini adalah Cikgu Karim dan sebut sahaja namanya di kalangan guru-guru dan pelajar-pelajar sudah terkenal dengan sikap tegas yang dimilikinya. Sebab itulah agaknya Cikgu Karim dilantik oleh pengetua sebagai guru disiplin di sekolah ini.

Sikap patuh terhadap peraturan dan undang-undang sekolah sentiasa diterapkannya ke dalam diri setiap pelajar di sekolah ini. Sesiapa sahaja yang didapati melanggar peraturan sekolah yang telah ditetapkan akan menerima hukuman setimpal daripada dia selaku guru disiplin bersesuaian dengan kesalahan yang telah dilakukan oleh pelajar tersebut.
Namun sebelum menjatuhkan sesuatu hukuman ke atas pelajar yang didapati membuat perlanggaran peraturan sekolah Cikgu Karim tidak bertindak melulu dan tergesa-gesa. Sebaliknya dia akan menyiasat terlebih dahulu untuk membuktikannya kesahihannya dan kemudian barulah dia akan bertindak mengikut peraturan dan kuasa yang diberikannya sebagai guru disiplin. Mungkin di atas sikap yang dimiliki oleh Cikgu Karim ini telah menarik minat Maizan mengajak kawan-kawannya Ramdan dan Arshad agar mendapatkan maklumat dan bukti dahulu dalam penyiasatan yang mereka jalankan berkenaan misteri rumah banglo lama yang menjadi cerita panas di kalangan penduduk kampung mereka.

Di sebalik ketegasan sikap yang dipunyai oleh Cikgu Karim dia sebenarnya adalah seorang yang baik dan bertolak ansur serta mudah membantu pelajar-pelajar di sekolah yang mempunyai masalah sehingga membawa kepada perlanggaran undang-undang seperti ponteng sekolah, datang lambat, merokok dan sebagainya. Kata Cikgu Karim lagi dia bertindak tegas terhadap pelajar-pelajar di sekolah ini dalam soal disiplin adalah atas dasar rasa kasih dan sayang serta memberi pendidikan supaya mereka menjadikan disiplin sebagai teras utama memperolehi kejayaan dalam hidup ini.

Semasa mengajar dalam kelas dia sentiasa mengingatkan para pelajar akan memberikan tumpuan dan perhatian sepenuhnya terhadap apa yang diajarnya supaya mudah difahami dan dapat menjawab dengan baik dan lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan nanti.

“Untuk kerja rumah hari ni saya nak suruh kamu buat karangan
bertajuk Cara Untuk Mengatasi Masalah Jenayah Di Negara Ini seperti yang tertera di papan hitam. Sekali lagi saya ingatkan karangan kamu ini hendaklah seperti biasa mempunyai pengenalan, isi dan kesimpulan. Panjangnya antara 100 hingga 150 patah perkataan. Besok kamu semua mesti hantar karangan ini kepada saya. Faham!” Cikgu Karim berkata dengan penuh panjang lebar.

“Faham, cikgu!” sahut pelajar-pelajar dalam kelas beramai-ramai.

“Ada apa-apa soalan?” ulang Cikgu Karim dengan mengangkat kepala memandang ke seluruh kelas yang dipenuhi dengan pelajar-pelajar lelaki dan perempuan.

“Tak ada, cikgu!” Sekali lagi sahut pelajar-pelajar dengan beramai-ramai sehingga terasa seakan-akan bergegar seluruh kelas dengan gabungan suara lelaki dan perempuan.

“Bagus!” Cikgu Karim lalu mengangguk-anggukkan kepala bila mendengar jawapan yang diberikan oleh pelajar-pelajarnya itu.

“Itu tandanya kamu semua dah faham. Satu lagi saya nak ingat kamu semua walaupun pada tahun ini kamu berada di Tingkatan 4 itu bukan bermakna kamu boleh berbulan madu dan bersenang-lenang tanpa belajar bersungguh-sungguh. Kamu mesti terus berusaha dan membuat persediaan dari sekarang untuk menghadapi peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) yang bakal kamu semua hadapi pada tahun depan. Faham!” Dia tak putus-putus memberi peringatan kepada pelajar-pelajar yang dididiknya.

“Faham, cikgu!” Jawapan yang diberikan dengan rasa penuh semangat oleh pelajar-pelajarnya.

Tak lama kemudian kedengaran loceng berbunyi sebagai tanda berakhirnya masa mata pelajaran Bahasa Melayu dan selepas ini Cikgu Rohayati akan masuk ke kelas mengambil giliran untuk mengajar mata pelajaran Sejarah.

“Jangan lupa buat kerja rumah yang saya beri tu dan pastikan kamu semua tidak melakukan kesalahan ejaan dalam karangan yang kamu buat.” Demikianlah pesan Cikgu Karim kepada pelajar-pelajarnya sebelum meninggalkan kelas pada hari ini.

Sewaktu rehat di kantin sekolah tiga sekawan ini kembali semula membincangkan untuk mendapatkan maklumat mengenai lembaga aneh dan Tuan Smith selaku pemilik rumah banglo lama di atas puncak bukit itu.

“Mana kita nak dapatkan kedua-dua maklumat tu, Maizan?” soal Ramdan.

“Kita tanya Pak Rejab kan dia yang selalu cerita ini pada orang-orang kampung. Tentulah dia dapat beritahu kita macam mana rupa lembaga tu,” dia menjawab.

“Maklumat Tuan Smith pulak kita nak dapat dari mana?” ucap Arshad pula.

“Kita tanya Tok Ketua. Tentu dia tahu siapa Tuan Smith tu yang sebenarnya,” balas Maizan lagi.

Kedua-dua sahabatnya itu Ramdan dan Arshad amat bersetuju sekali dengan cadangannya itu mendapatkan maklumat daripada nama-nama yang disebutkannya tadi dan mereka beranggapan misteri rumah banglo lama kepunyaan Tuan Smith ini semakin menarik untuk disiasat.

Waktu berlalu begitu cepat sekali tanpa disedari hari telah pun masuk petang. Seperti biasa selepas menunaikan solat Asar dan selesai menyiapkan kerja sekolah yang diberikan oleh Cikgu Karim dan mengulang kaji pelajaran Maizan akan menolong ayahnya berkebun sayur-sayur kampung di belakang rumah.

Begitu juga dengan Ramdan yang turut membantu ayahnya berkebun. Adaketikanya dia bersama dengan ayahnya akan ke sungai yang tidak jauh dari rumahnya untuk mencari ikan bagi dijual di pekan sehari pada setiap hari Ahad. Berbanding dengan Arshad yang menolong ayahnya di kedai yang menjual barangan dapur dan harian secara kecil-kecilan.

Ringkasnya ketiga-tiga sahabat baik ini akan membantu bapa mereka melakukan kerja harian pada setiap petang dan tidak mengisi masa lapang mereka dengan perkara-perkara yang tidak baik dan tidak berfaedah sehingga memberi malu kepada nama baik keluarga mereka.

Cuaca semenjak dari pagi tadi sehinggalah ke petang ini masih lagi kelihatan baik dan cerah. Dengan matahari bersinar indah di kaki langit biru dan awan tebal memutih bersama dengan bahang panas yang jelas terasa menyelubungi seluruh kampung yang diwarnai suasana indah dan permai. Benar kata orang kalau sentiasa berbudi pada tanah akan dapat menuai hasilnya. Tanam-tanaman sayuran kampung seperti cili api, ubi kayu, keladi, keledek, serai, daun kunyit, terung telunjuk dan bermacam-macam lagi yang ditanam oleh ayah Maizan hidup subur dan mengeluarkan hasil yang banyak.

Sambil bekerja bersama-sama membersihkan pangkal pokok-pokok dan membubuh baja Maizan dan ayahnya rancak berbual-bual.

“Macam mana dengan pelajaran kau di sekolah, Maizan?” tanya ayahnya sambil mengesat peluh yang mengalir di dahinya dengan lengan tangan kanannya.

Dia sebaliknya lalu mengangguk-anggukkan kepala dan pantas menjawab pertanyaan ayahnya itu.

“Alhamdulillah, ayah!”

“Semuanya berjalan dengan baik dan lancar. Maizan juga sering menumpukan perhatian sewaktu cikgu mengajar di dalam kelas,” jelasnya lagi pada ayahnya.

Rasa gembira serta-merta nampak di wajah ayahnya apabila mendengar jawapan yang diberikannya itu.

“Baguslah macam tu!” angguk ayahnya.

“Kau belajarlah bersungguh-sungguh sampai dapat masuk universiti,” nasihat ayahnya.

“Insya-Allah, ayah!” janji Maizan.

“Ayah! Maizan nak tanya sikitlah.”

“Hah, apa dia?”

“Betul ke rumah lama di atas bukit tu berhantu?”

Ayahnya tidak menjawab pertanyaan yang dikemukakannya itu. Sebaliknya dia hanya mendiamkan diri dan menarik nafas yang panjang. Angin petang yang bertiup lembut dari arah bukit-bukau yang subur menghijau berhadapan dengan rumahnya jelas terasa. Agak lama kemudian barulah ayahnya bersuara menjawab apa yang ditanyakannya itu berkenaan rumah lama kepunyaan saudagar Inggeris Tuan Smith yang berasal dari England itu.

“Menurut cerita orang-orang kampung begitulah. Rumah tu ada penunggu.”

“Ayah pernah jumpa?” Maizan tak henti-henti menyoal ayahnya.

“Seingat ayah tak pernah pulak.” Itulah jawapan yang diberikan oleh ayahnya.

“Ayah percaya tak yang rumah tu berpenunggu?”

Mendengarkan sahaja pertanyaan yang datang daripada Maizan itu tanpa hentinya maka ayahnya hanya mengangkat bahu dan menggeleng-gelengkan kepala sebagai jawapan.

“Entahlah! Macam yang ayah cakapkan tadi ayah tak pernah terserempak dengan lembaga. Yang dikatakan oleh orang-orang kampung sering kelihatan merayau-rayau di rumah lama tu!”

“Ayah tahu tak cerita tentang Tuan Smith tuan rumah lama?” tanyanya lagi.

“Tak!” cepat ayahnya menggeleng-gelengkan kepada sambil melihat muka Maizan yang kelihatan amat berminat untuk mengetahui jawapan yang akan diberikannya.

“Ayah lahir selepas zaman merdeka. Arwah datuk Maizan dulu pernah bekerja di ladang getahnya. Tapi tak ada pulak dia cerita tentang Tuan Smith ni. Eh! Kenapa dengan tiba-tiba saja Maizan banyak tanya tentang rumah lama tu!” Senyuman jelas menguntum di wajahnya seolah-olah mengetahui yang Maizan sedang mencari sesuatu berkenaan rumah lama banglo lama di atas bukit itu.

“Tak ada apa-apalah, ayah! Saja nak tahu!” dia berdalih sambil menggeleng-gelengkan kepala.

Menjelang senja barulah mereka berhenti daripada bekerja di kebun. Sebelum masuk ke dalam rumah untuk membersihkan diri Maizan mengingatkan pesan ibunya agar ayahnya memetik pucuk ubi. Bagi dijadikan sebagai hidangan malam yang menyelerakan cicah dengan sambal belacan dan ikan kering. Biasanya selepas mandi Maizan akan mengikut ayahnya menunaikan sembahyang Maghrib secara berjemaah di masjid dengan menaiki motosikal yang ditunggang oleh ayahnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience