Mungkin kerana minat mereka bertiga yang bersahabat sejak dari sekolah rendah lagi membaca buku cerita dan menonton kisah penyiasatan yang disiarkan di kaca televisyen menjadikan Maizan, Ramdan dan Arshad terikut-ikut menjadi penyiasat. Membongkar misteri sepertimana dalam kisah penyiasatan yang mereka baca dan tonton. Sewaktu kecil tiga orang sahabat yang sejati dan setia sering melakonkan watak-watak dan meniru adegan-adegan penyiasatan dalam permainan mereka.
Pendek kata dunia penyiasatan memang tidak dapat dipisahkan dalam diri mereka bertiga. Walaupun mereka sekarang telah pun memasuki alam sekolah menengah.
Kewujudan rumah banglo lama kepunyaan Tuan Smith itu bukan tidak mereka ketahui dan sedari selama ini. Malahan mereka sering melintasi kawasan rumah yang dikatakan penuh dengan misteri itu. Apabila mereka pergi mandi di sungai yang terletak tidak jauh dari rumah itu. Namun begitu tiada yang menyeramkan dan menakutkan tiga orang remaja yang masih lagi bersekolah Maizan, Ramdan dan Arshad.
Tentu ada sesuatu misteri yang tersimpan dan tersembunyi di rumah ini. Tidak pasti sama ada ia benar atau sengaja direka-reka. Dengan tujuan untuk menakut-nakutkan orang-orang kampung supaya tidak mendekati dan menghampiri rumah banglo lama itu.
Inilah yang menjadi tajuk perbualan utama Maizan, Ramdan dan Arshad sewaktu dalam perjalanan pulang dari sekolah menuju ke rumah.
“Perkara yang khurafat dan tahyul kita tak boleh percaya. Nanti lari akidah kita sebagai seorang Islam,” kata Maizan.
“Tapi orang-orang kampung percaya yang rumah tu berhantu da nada penunggu,” celah Ramdan pula.
“Pelik jugak, ya!” Arshad sebaliknya mengangguk-anggukkan kepala apabila mendengar apa yang dikatakan oleh dua orang kawannya itu.
“Macam yang kita bualkan tadi. Ada sesuatu yang tak kena pada rumah ni,” dia menyambung lagi.
“Semuanya akan terjawab apabila kita pergi ke sana pada malam nanti,” ujar Maizan.
“Sebelum tu jangan lupa buat kerja rumah yang Cikgu Karim beri tu. Besok bising pulak dia nanti,” ingatnya lagi pada kawan-kawannya.
Mereka kemudiannya lalu berpecah sebaik-baik sahaja tiba di rumah Maizan untuk pulang ke rumah masing-masing. Maizan masuk ke rumah dan disambut oleh ibunya di muka pintu.
“Baru balik?” sapa ibunya.
“Ya, mak!” Maizan menjawab sambil mengangguk-anggukkan kepala dan mencium tangan ibunya.
“Ayah mana, mak?” dia bertanya. Dengan mengangkat kepala memandang ke dalam seluruh ruang rumah. Apabila menyedari yang ayahnya tidak berada di rumah pada petang ini. Di mana seperti biasa macam ibunya akan menyambut dia pulang dari sekolah pada setiap hari.
“Ayah kau ke pekan. Sudahlah tu. Pergilah mandi dan sembahyang. Lepas tu makan. Mak dah siapkan,” ibunya bersuara.
“Baiklah, mak!”
Tanpa berlengah lagi Maizan menurut sahaja apa yang disuruh oleh ibunya itu dengan lalu masuk ke dalam rumah. Selepas mandi dan menunaikan solat Zuhur serta menikmati hidangan tengah hari dia akan membuat kerja rumah yang diberi oleh cikgu sekolah dan mengulang kaji pelajaran. Manakala pada sebelah petangnya pula dia akan membantu ayahnya berkebun di belakang rumah.
Share this novel