Sebuah rumah banglo lama di atas bukit. Dikatakan milik Tuan Smith seorang saudagar Inggeris yang kaya mempunyai ladang getah. Tuan Smith dan isterinya telah dibunuh dengan kejam oleh pengganas komunis. Semenjak Tuan Smith dan isterinya mati rumah banglo ini tinggal terbiar begitu sahaja tanpa dihuni oleh sesiapa. Keadaan rumah banglo ini amat menakutkan dan menyeramkan apabila dipandang.
Usang dan kawasan sekelilingnya dipenuhi dengan semak-samun dan pokok-pokok liar. Maklumlah rumah banglo ini sudah lama ditinggalkan dan tidak didiami sejak tuannya bersama dengan isterinya mati dibunuh oleh pengganas komunis pada zaman darurat. Sehinggalah sekarang negara kita telah pun berjaya mencapai kemerdekaan daripada tangan penjajah Inggeris.
Bayangkanlah usia rumah banglo ini sudah terlalu lama. Menurut cerita orang-orang kampung rumah banglo lama yang terletak di atas bukit ini berpuaka. Buktinya mereka telah terserempak dengan lembaga yang aneh dan menakutkan berkeliaran pada waktu malam di rumah banglo ini. Salah seorang daripadanya ialah Pak Rejab yang menceritakan kepada orang-orang kampung dia ternampak kelibat lembaga yang amat menyeramkan dalam kesamaran malam. Di rumah banglo itu ketika sedang memancing di sungai yang tidak jauh daripada situ.
Maka orang-orang kampung berasa amat ketakutan dan tidak berani untuk menghampiri rumah banglo itu. Justeru itu telah menarik minat tiga orang remaja sekolah Maizan, Ramdan dan Arshad untuk menyiasat misteri rumah banglo lama itu sepertimana yang dikatakan oleh orang-orang kampung. Bagi membuktikan kebenaran bahawa ia betul-betul berpuaka atau sebaliknya.
“Kita mesti siasat lembaga apakah yang sebenarnya menghuni rumah tu,” Maizan berkata di kantin sekolah pada waktu rehat sambil menikmati makanan dan minuman yang dipesan.
Suasana di kantin sekolah jelas kedengaran dengan suara riuh-rendah dan hingar-bingar pelajar. Memesan dan mengambil makanan dan minuman daripada penjual. Dua orang kawannya Ramdan dan Arshad yang begitu berselera menikmati makanan dan minuman lantas terhenti apabila mendengar katanya itu.
“Bila kita nak pergi tengok, Maizan?” soal Ramdan sambil memandang Maizan yang duduk berhadapan dengannya.
“Malam ni?” jawabnya pendek.
Arshad lantas berasa terkejut apabila mendengar apa yang dikatakan oleh kawannya itu dan lalu mencelah sambil mengangguk-anggukkan kepala.
“Malam ni?”
“Ya!” Maizan menyambut pula sebaliknya dengan anggukkan.
“Kenalah kita pergi waktu malam. Kan ke kata orang-orang kampung lembaga tu kelihatan pada waktu malam. Dan bukannya pada waktu siang macam ni!” tegasnya lagi.
Tersenyum Ramdan apabila melihat kawannya yang bernama Arshad itu terdiam dan mengangguk-angguk apabila mendengar penjelasan Maizan itu. Kenapa mereka bertiga perlu pergi pada waktu malam untuk melihat rumah banglo lama itu. Yang heboh diperkatakan oleh seluruh kampung berpuaka dan berpenunggu.
Dia kemudiannya lalu mengangkat kepala dan mengusik Arshad dengan pertanyaan.
“Kenapa? Kau takut ke?”
“Eh! Tak adelah!” pintas Arshad dengan cepat.
“Jadi penyiasat mana boleh takut,” dia menambah lagi.
Tak lama kemudian kedengaran loceng berbunyi sebagai tanda berakhirnya waktu rehat. Maizan menyuruh dua orang kawannya itu supaya datang ke rumahnya terlebih dahulu sebelum bergerak ke rumah yang penuh dengan misteri dan berpuaka itu. Ramdan dan Arshad bersetuju untuk bertemu di rumahnya pada malam ini. Mereka bertiga kemudiannya lalu beredar meninggalkan kantin bersama dengan pelajar-pelajar lain. Untuk menuju ke kelas masing-masing dan menyambung semula pelajaran.
Share this novel