Suasana pagi ini dibungkus dengan rasa kesejukan mungkin kesan daripada hujan lebat yang turun mencurah-curah malam tadi. Rumput-rumput dan daun-daun hijau kelihatan basah. Matahari juga tidak menampakkan sinarnya dan langit nampak kelabu. Kabus menutupi puncak bukit-bukit yang terdapat di kampung. Seperti biasa tiga orang sahabat ini tetap mengatur langkah tenang dan perlahan menuju ke sekolah.
Tajuk perbualan hangat mereka sebelum loceng sekolah berbunyi menandakan waktu persekolahan bermula adalah berkenaan cerita Pak Rejab yang menemui lembaga di rumah lama itu adalah roh Tuan Smith. Maizan, Ramdan dan Arshad menganggap apa yang diceritakan oleh Pak Rejab itu adalah antara maklumat yang mereka kumpulkan dalam menjalankan penyiasatan terhadap misteri yang ada di rumah itu. Apa yang menggelikan hati mereka bertiga adalah Pak Rejab lari lintang-pukang apabila terserempak dengan lembaga itu dan tidak berani lagi melintasi kawasan rumah banglo lama itu.
Perbualan mereka yang rancak membincangkan cerita yang mereka perolehi daripada Pak Rejab itu lantas terhenti apabila kedengaran loceng sekolah berbunyi. Seperti juga pelajar-pelajar lain mereka lalu mengatur langkah menuju ke kelas.
Pagi ini mata pelajaran pertama adalah sejarah dan pelajar-pelajar akan berasa bersemangat apabila mendengar pelajaran berkenaan yang disampaikan oleh Cikgu Rohayati. Pendekatan yang digunakan oleh cikgu yang sebelum ini mengajar di salah sebuah sekolah di Perak dan baru sahaja sebulan bertukar ke sekolah ini kerana mengikut suaminya yang bertugas sebagai pegawai kerajaan memang menarik. Dia sering mengingatkan para pelajarnya agar sentiasa menanamkan semangat kecintaan yang tinggi terhadap sejarah yang terdapat di negara ini. Tanpa sejarah katanya akan menjadikan seseorang itu buta akan asal usul dan tamadun yang dimiliki oleh bangsanya sendiri. Seperti biasa Cikgu Rohayati akan meniupkan semangat ke dalam diri setiap pelajarnya agar menghargai akan erti sebenarnya sejarah dan memberikan sepenuhnya perhatian terhadapnya.
“Sejarah sebenarnya mempunyai banyak ikhtibar dan teladan yang boleh kita pelajari daripadanya,” tekannya pada para pelajar yang sedang mengikuti mata pelajaran sejarah di dalam kelas.
“Umpamanya kita sesebuah negara itu dijajah kerana berlaku pertelagahan sesama rakyatnya sehingga membawa kepada perpecahan,” ucapnya lagi.
“Sebagai generasi muda yang bakal memimpin negara pada satu hari nanti awak semua semaju mana pun yang dikecapi oleh negara kita jangan sesekali sejarah dilupakan. Terutama yang boleh membawa kepada negara kita dijajah semula akibat perbalahan. Suka atau tidak manis mahupun pahit kita harus menerima sejarah dalam hidup kita yang menjadi catatan silam yang pernah dilalui oleh negara kita,” dia mengingatkan pelajar-pelajarnya dengan panjang lebar.
Sementara itu petang ini ada latihan rumah sukan berdasarkan kepada jadual yang dikeluarkan kepada pelajar-pelajar sekolah menengah tempat tiga sahabat itu belajar. Maizan, Ramdan dan Arshad tiba awal sebelum latihan bermula dan belum lagi kelihatan kehadiran ramai guru-guru rumah sukan begitu dengan pelajar-pelajar. Kesempatan ini digunakan oleh tiga orang penyiasat remaja ini untuk membincangkan kisah misteri rumah banglo lama itu di padang sekolah.
“Aku dah tanya tentang Tuan Smith pada ayah aku,” Maizan berkata.
“Hah, apa kata dia?” Ramdan pula sebaliknya cepat memotong kerana tidak sabar-sabar untuk mengetahui maklumat yang akan diberikan oleh ayah Maizan melalui anaknya yang sebaya bersekolah dengannya sejak dari sekolah rendah sehinggalah sekarang sudah memasuki sekolah menengah.
Maizan memandang Ramdan yang duduk di sebelah kanannya dan menggeleng-gelengkan kepala diam sesekali terasa angin bertiup halus sehingga kedengaran daun-daun hijau yang bergeseran mengeluarkan irama yang sungguh merdu mengusik jiwa.
Manakala daun-daun kering jatuh berguguran satu persatu menimpa tanah dan rumput hijau di padang apabila ditiup angin. Pohon juga kelihatan bergoyangan seperti menari-nari disapu angin petang bersama cuaca yang cerah dan terik matahari. Bahang yang dikeluarkan oleh sinaran matahari yang pijar terasa seakan membakar kulit tiga orang kawan itu.
Ramdan lalu tersengih apabila melihat gelagat yang ditunjukkan oleh Maizan itu dengan gelengan kepala apabila ditanya maklumat berkenaan Tuan Smith yang diketahui oleh ayahnya. Dia kemudiannya lalu bersuara sambil mengangguk-anggukkan kepala.
“Aku tahu jawapannya, Maizan!”
“Tentu ayah kau tak tahu kan pasal Tuan Smith?” sambungnya lagi sambil mengangkat kepala melihat muka Maizan.
“Memang betul pun!” angguk Maizan pula sebaliknya dengan pantas.
“Dia tak pernah tengok pun Tuan Smith pemilik rumah yang dikatakan misteri itu hanya dengar nama saja. Sebab dia lahir selepas merdeka sedangkan Tuan Smith mati dibunuh oleh pengganas komunis pada zaman darurat sebelum merdeka. Hanya nama Tuan Smith yang disebut oleh orang-orang kampung saja yang dia dengar. Arwah atuk aku menurut ayah aku lagi tahu pasal Tuan Smith sebab dia pernah bekerja di ladang getahnya,” jelasnya lagi.
Arshad yang selama ini asyik berdiam diri lantas menyampuk sambil menyarungkan kasut sukan di kakinya.
“Yang kau tu Ramdan ada ke tanya ayah kau pasal Tuan Smith?”
“Ada!” Dia memberikan jawapan pada soalan Arshad itu dengan mengangguk-anggukkan kepala.
“Dia kata orang putih tu dah lama mati kena bunuh dengan pengganas komunis buat apa nak tahu,” ucap Ramdan lagi.
“Kau tanya tak pada ayah kau kenapa rumah yang pernah dia tinggal tu berhantu?” Arshad tak henti-henti menyoal Ramdan.
“Ewah! Kau ni banyak tanya pulak!” dia memintas.
“Mestilah!” sambut Arshad pula dengan pantas sambil mengangguk-anggukkan kepala.
“Nama pun penyiasat mestilah nak tahu maklumat. Barulah dapat petunjuk untuk selesaikan kes misteri rumah tu yang selama ini hangat menjadi buah mulut orang-orang di kampung ni,” tambahnya.
Maizan hanya tergelak kecil apabila mendengar kedua-dua kawannya itu berbahas tentang maklumat yang diperolehi daripada bapa mereka berkenaan Tuan Smith.
“Ayah aku kata buat apa percaya dengan perkara-perkara karut dan tahyul tu. Dia sendiri pun tak pernah berjumpa atau terserempak dengan lembaga sewaktu melalui kawasan rumah itu,” jawab Ramdan.
“Kau pulak ada tanya ayah kau tentang Tuan Smith?” soal Maizan dengan tiba-tiba sambil berpaling ke arah Arshad yang duduk di sebelah kirinya.
“Hah! Tadi kau asyik menyoal sekarang tiba giliran kau pulak kena soal!” usik Ramdan pula sebaliknya dengan senyuman lebar jelas nampak terukir di wajahnya.
“Dia macam ayah kau jugak, Maizan. Tak tahu sangat pasal Tuan Smith tu.” Itulah jawapan yang diberikannya pada kedua-dua sahabat baiknya itu.
“Tapi dia ada beritahu aku menurut cerita orang-orang kampung yang dia dengar dalam rumah tu tersimpan emas satu peti milik Tuan Smith,” jelasnya lagi.
Mendengarkan sahaja apa yang dikatakan oleh Arshad itu pantas menjadikan Maizan dan Ramdan berasa terperanjat.
“Satu peti emas?” cepat Maizan mencelah.
“Kau biar betul, Arshad!” Ramdan menambah pula.
“Ini cerita yang aku dengar daripada ayah aku. Dia dapat pun daripada orang-orang kampung. Tak tahulah aku betul atau tidak. Ada satu peti emas kepunyaan Tuan Smith dalam rumah tu.” Sekali lagi dia menegaskan pada kedua-dua orang kawannya itu.
Maizan nampak terdiam seketika sambil memikirkan sesuatu tentang satu peti emas kepunyaan Tuan Smith yang dikatakan tersimpan dalam rumah yang dipercayai oleh orang-orang kampung berpenunggu itu.
“Hah! Ada tak ayah kau bagitau atau dengar cerita yang orang-orang kampung cuba mengambil peti yang berisi emas tu?” tanya Maizan pada Arshad dengan rasa penuh minat.
“Ya! Baru aku ingat bila kau tanya soalan yang bagi aku cepuemas tu!” angguknya.
“Menurut ayah aku orang-orang kampung tak berani ambil peti yang dikatakan berisi emas itu. Kerana mereka percaya lembaga yang sering kelihatan berkeliaran di rumah tu juga menjaga peti yang mengandungi emas itu,” Arshad menyambung.
“Semakin menarik penyiasatan kita tentang misteri rumah lama tu,” Maizan berkata.
“Memang betul kata kau tu, Maizan!” sokong Ramdan pula sebaliknya dengan mengangguk-anggukkan kepala.
“Belum pun kita dapat maklumat tentang Tuan Smith timbul pulak cerita baru tentang peti yang berisi emas,” ujarnya lagi.
“Macam mana, Maizan? Kita nak ikut seperti apa yang dirancangkan mendapatkan maklumat berkenaan Tuan Smith daripada Tok Ketua. Atau kita terus tukar rancangan dengan menyiasat peti yang berisi emas?” soal Arshad sambil memandang muka Maizan yang kelihatan tebal sedang memikirkan sesuatu apabila timbul cerita tentang satu peti emas yang menurut orang-orang kampung tersembunyi dalam rumah banglo lama yang penuh dengan misteri itu.
“Hah! Betul jugak cakap Arshad tu. Apa yang kita nak buat sekarang? Nampaknya banyak jawapan yang kita kena cari. Aku tengok seperti ada kait-mengait antara satu sama lain terhadap lembaga yang mengganggu dan menjadi ketakutan kepada orang-orang kampung yang melintasi kawasan rumah tu pada waktu malam.” Dengan tiba-tiba Ramdan mencelah.
Maizan tetap dengan keputusannya sepertimana yang telah dirancangkan olehnya sebelum ini dan sewajarnyalah dia dianggap sebagai ketua penyiasat oleh kedua-dua orang kawannya itu.
“Kita mesti dapatkan cerita Tuan Smith daripada Tuan Ketua. Kita kena selesaikan perkara ini satu demi satu dan mengikut aturan. Kemudian barulah kita dapat perbandingan dan jawapan yang tepat pada penyelesaian kes ini. Macam kisah-kisah penyiasatan yang selalu kita baca dalam buku dan tonton di televisyen,” nyata Maizan.
Dua orang kawannya itu menurut sahaja apa yang diputuskan oleh Maizan itu tanpa banyak soal.
Perbincangan mereka yang panas lagi hangat berkenaan Tuan Smith dan peti yang di dalamnya mengandungi emas terdapat di rumah banglo lama di atas bukit itu serta-merta terhenti apabila kedengaran guru sukan sekolah memanggil pelajar-pelajar berkumpul mengikut rumah sukan masing-masing melalui pembesar suara sebagai isyarat latihan rumah sukan akan bermula.
“Dahlah tu! Cikgu pun dah panggil. Petang Sabtu nanti kita pergi ke rumah Tok Ketua. Mari kita pergi!” ajak Maizan. Ketiga-tiga sahabat itu pun bingkas bangun dan menuju ke kumpulan rumah sukan masing-masing sepertimana yang telah diarahkan oleh guru sukan sekolah untuk mendengar taklimat sebelum latihan dimulakan.
Sudah menjadi kelaziman pada hari tidak bersekolah Sabtu dan Ahad Maizan akan membantu ayahnya menoreh getah di kebun kepunyaan Haji Idris. Seawal pagi selepas menunaikan solat Subuh dan bersarapan Maizan dan ayahnya akan menoreh getah di kebun itu dalam suasana yang dibungkus dengan rasa kesejukan embun. Ketika dia membantu ayahnya memungut susu getah yang penuh dalam mangkuk tiba-tiba dia mendengar deruan kenderaan dan menoleh ke arahnya.
Dalam kenderaan pacuan empat roda itu kelihatan Bidin bersama dengan tiga orang lelaki di dalamnya menuju ke arah rumah banglo lama yang terletak di atas puncak bukit itu di mana jalannya melalui kebun getah tempat Maizan dan ayahnya menoreh.
Lantas fikiran Maizan tertanya-tanya apakah yang dibuat oleh Bidin dan tiga orang lelaki itu pergi ke rumah yang penuh dengan misteri itu pada hari siang begini. Menjelang tengah hari Maizan dan ayahnya pulang semula ke rumah setelah kerja-kerja menoreh getah di kebun Haji Idris selesai. Namun kehadiran Bidin bersama tiga orang lelaki itu dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda menuju ke arah rumah banglo lama kepunyaan Tuan Smith kuat menjadi tanda tanya dalam fikirannya sebaik-baik sahaja selesai menunaikan solat Zuhur dan menikmati hidangan tengah hari bersama dengan keluarganya.
Share this novel