Dari jauh kelihatan seorang lelaki bernama Rony bersama dengan dua orang lagi kawannya sedang menunggu seseorang di salah sebuah restoran mamak yang terletak di Bandar Seremban. Wajahnya nampak bengis dan menakutkan apabila dipandang. Ditambah pula dengan badannya yang gempal, berkepala botak dan bermisai tebal.
Sekali-sekala dia memandang ke kiri dan kanan. Tapi orang yang ditunggunya sejak dari tadi lagi masih tak kunjung tiba. Dia merasakan macam menunggu buah yang tak gugur bosan dan menunggu lama-lama begini. Suara mengeluh dan merungut tak putus-putus didengar oleh dua orang kawannya itu yang hanya memilih untuk mendiamkan diri dan menikmati minuman yang dipesan.
Bagi menghilangkan rasa bosan yang keterlaluan maka Rony mengambil keputusan untuk mengeluarkan kotak rokok dari dalam kocek bajunya dan lantas menyalakan api. Asap memutih kelihatan berkepul-kepul keluar daripada mulut dan hidungnya apabila dia menyedut dan menghembusnya.
Sedang asyik dia merokok tak lama kemudian muncul Bidin orang yang ditunggunya dengan menaiki motosikal. Setelah meletakkan motosikal di tempat yang disediakan berhadapan dengan restoran mamak dia pun masuk ke dalam untuk bertemu dengan Rony sepertimana yang telah dijanjikan. Bidin dapat membaca yang Rony mungkin berasa marah dari raut mukanya yang tak pernah nampak tersenyum itu kerana datang lambat.
“Aku minta maaf, Rony. Kau janganlah marah. Aku tinggal di Kuala Pilah. Nak datang ke sini bukannya dekat,” dia membuka kata.
“Alasan!” Ternyata Rony berasa tidak puashati dan bengis masih tebal kelihatan di wajahnya itu di atas kelewatan Bidin.
“Apa pulak alasan?” Bidin membantah.
“Aku yang dari Kuala Lumpur boleh datang awal. Hei! Bidin! Setahu aku jarak antara Kuala Pilah dengan Seremban bukannya jauh sangat dekat aje!” ujar Rony pula sebaliknya.
Sementara itu dua orang kawannya terus memilih untuk berdiam diri dengan membiarkan sahaja Rony dan Bidin bertelagah mulut kerana seorang kata jauh dari Kuala Lumpur boleh cepat sampai ke Seremban manakala seorang lagi kata jarak dari Kuala Pilah ke Seremban bukannya dekat.
“Kau lainlah naik kereta. Aku naik motor. Kau tak tahu dalam perjalanan tadi hujan lebat. Aku kenalah berhenti. Kalau tidak basah kuyuplah aku nanti,” terang Bidin.
“Hah! Macam mana dengan tempat tu?” Rony sebaliknya mengalih tajuk perbualan sambil mengangkat kepala tinggi memandang Bidin yang duduk di atas kerusi berhadapan dengannya.
“Kalau ya pun bagilah aku nak pesan minuman dulu,” pintanya. Dia kemudiannya lalu memanggil pelayan restoran dan memesan air teh tarik.
“Kau jangan risaulah, Rony. Aku dah buat macam yang kau suruh!” jelas Bidin.
“Ingat! Jangan rahsia kita ni diketahui orang-orang kampung!” dia mengingatkan Bidin.
“Tapi pada minggu lepas waktu malam ada tiga orang budak cuba masuk ke tempat tu,” beritahunya.
“Hah! Tiga orang budak? Berani dia orang. Apa yang dia orang buat di tempat tu?” Serta-merta Rony terperanjat apabila mendengar apa yang dikatakan oleh Bidin itu.
“Entahlah …! Aku pun tak tahu kenapa dia orang bertiga datang ke situ ...!” Jawapan yang diberikan oleh Bidin dengan mengangkat kedua-dua belah bahunya dan menggeleng-gelengkan kepala.
Tak lama kemudian pelayan pun muncul membawa minuman yang dipesan oleh Bidin.
“Salah seorang daripada budak beritahu aku yang dia orang saja jalan-jalan. Saja nak tengok rumah lama tinggalan orang putih tu,” katanya pada Rony sambil menghirup perlahan air teh tarik yang tidak beberapa panas itu.
“Kau kenal ke budak-budak tu?” Tak henti-henti Rony bertanya pada Bidin.
“Alah! Budak-budak kampung tu jugak. Aku halau dia orang!” tegasnya.
“Kau kena hati-hati dengan dia orang Bidin. Budak zaman sekarang bukan macam budak zaman kita dulu. Jangan sampai dia orang tahu rahsia kita di tempat tu!” Sekali lagi dia mengingatkan Bidin yang kejap-kejap menghirup air teh sambil bercakap dengannya.
“Kau jangan risaulah, Rony. Tahulah aku nanti apa nak buat. Kalau dia orang masih lagi berdegil menghampiri kawasan tu,” jaminnya lagi.
“Hah! Lagi satu macam mana dengan emas milik Tuan Smith yang kau katakan tu?” Rony bertanya.
“Apa yang aku dengar dari cerita orang-orang kampung emas kepunyaan orang kaya Inggeris tu ada dalam rumah tu. Tapi sampai sekarang tak tahu dia letak kat mana,” dia sebaliknya membalas.
“Aku nak kau cari sampai dapat emas tu. Kalau kau jumpa nanti kita bahagi dua. Tapi ingat kau jangan nak bolot seorang. Ingat! Ini Rony kau jangan nak cuba main kayu tiga. Kalau tidak nahas kau nanti!” Peringatan keras diberikan oleh Rony dengan jari telunjuk tangan kanannya ditujukan ke arah Bidin yang duduk bertentangan dengannya.
Serentak dengan itu wajah Bidin juga bertukar menjadi gentar dan cemas apabila mendengar amaran yang diberikan oleh Rony itu.
“Yalah! Yalah!” angguk Bidin pula sebaliknya dengan berkali-kali.
“Aku tak akan buat perkara yang akan menyebabkan kau jadi pembunuh,” janjinya lagi faham dengan apa yang dimaksudkan oleh Rony itu.
Rony lalu mengangguk-angguk senang sebaik-baik sahaja mendengar kata-kata yang keluar daripada mulut Bidin itu.
“Bagus!”
“Aku pegang kata kau. Dah! Aku pergi dulu. Apa-apa nanti aku hubungi kau!” Rony dan dua orang kawannya itu pun beredar meninggalkan restoran dan tinggal Bidin seorang diri sambil terus menghabiskan sisa-sisa minuman.
Dia kemudiannya lalu membayar harga minuman di kaunter dan keluar meninggalkan restoran dan menghidupkan enjin motosikal pulang semula ke rumahnya di Kuala Pilah.
Inspektor Aziz yang segak dengan beruniform polis lalu terhenti daripada menulis sesuatu apabila kedengaran pintu biliknya diketuk orang.
“Masuk!” arahnya pantas dengan menjengahkan kepala untuk melihat siapa yang datang.
Pintu biliknya lalu terbuka dan muncul Sarjan Ramli sambil membawa fail siasatan.
“Tuan!” Dia berdiri tegak dan memberikan tabik hormat pada Inspektor Aziz yang duduk di atas kerusi.
“Sarjan! Duduk!” pelawa Inspektor Aziz.
“Terima kasih, tuan!” balas Sarjan Ramli sambil menarik kerusi yang terdapat di dalam bilik Inspektor Aziz dan duduk.
“Ini dia fail siasatan kes pengedaran dadah yang tuan minta,” katanya sambil menyerahkan fail itu kepada ketuanya.
Inspektor Aziz menyambut fail yang dihulurkan oleh Sarjan Ramli itu. Dia kemudiannya lalu meneliti satu persatu kandungan fail itu.
“Rony!” Dia menyambut nama itu.
“Ya, tuan!” sambut Sarjan Ramli pula sambil mengangguk-anggukkan kepala.
“Sindiket pengedaran dadah terbesar yang sedang kita siasat ini diketuai oleh seorang lelaki yang bernama Rony. Berdasarkan daripada maklumat yang kita terima,” dia menjelaskan lagi pada Inspektor Aziz.
“Dia memang dikehendaki oleh pihak polis.” Inspektor Aziz lalu menutup semula fail itu semula dan meletakkannya di tepi meja.
“Bukan setakat terlibat dengan pengedaran dadah terbesar di bandar raya Kuala Lumpur ni tapi dia juga mempunyai rekod jenayah merompak, pembunuhan, pengedaran senjata api dan peras ugut,” Inspektor Aziz menambah.
“Nampaknya dia seorang penjenayah yang merbahaya,” Sarjan Ramli menambah.
“Benar, sarjan!” angguk Inspektor Aziz.
“Rony seorang yang licik dan bijak. Sehingga kini pihak polis sukar untuk memberkasnya,” kata Inspektor Aziz lagi.
“Sarjan!”
“Tuan!”
“Saya mahu awak dan anggota-anggota yang lain untuk mempergiatkan usaha menjejaki di mana Rony dan kawan-kawannya bersembunyi.”
“Baik, tuan!”
“Sindiket pengedaran dadah ini mesti kita tumpaskan habis-habisan. Saya yakin sepandai-pandai tupai melompat akhirnya akan jatuh ke tanah juga,” ulang Inspektor Aziz.
Sarjan Ramli kemudiannya meninggalkan bilik Inspektor Aziz untuk melaksanakan arahan yang telah diberikan oleh ketuanya itu.
Seperti yang dirancangkan tiga orang sahabat Maizan, Ramdan dan Arshad pergi ke rumah Pak Rejab . Untuk mengetahui macam mana rupa lembaga yang ditemuinya di rumah banglo lama di atas bukit itu. Mereka berharap Pak Rejab yang gemar memancing ikan di sungai berhampiran dengan rumah yang dianggap misteri itu akan menceritakan kepada mereka. Berkenaan lembaga yang menyebabkan orang-orang kampung berasa seram dan takut untuk melintasi kawasan rumah itu pada waktu malam.
Sewaktu dalam perjalanan menuju ke rumah Pak Rejab cuaca kelihatan mendung. Namun matahari tetap kelihatan bersinar tetapi tidaklah terik sangat dan tanda-tanda hujan akan turun pada petang ini tidak kelihatan langsung. Begitu juga dengan desiran angin yang bertiup terasa lemah dan mendayu-dayu. Jelas terasa segar dan nyaman mengusapi permukaan kulit tiga sahabat ini.
Setibanya di rumah Pak Rejab mereka telah disambut oleh Mak Sebah isteri Pak Rejab .
“Bang!” panggil isterinya sambil memandang ke dalam rumah.
“Ya!” sahut Pak Rejab pula.
“Ni hah Maizan, Ramdan dan Arshad nak jumpa abang.”
“Yalah! Suruhlah dia orang masuk. Kejap lagi saya datang.”
Mak Senah kemudiannya lalu menjemput ketiga-tiga orang sahabat itu masuk ke dalam rumah dan mempersilakan duduk di atas kerusi. Tak lama kemudian Pak Rejab muncul dan bersalaman dengan mereka bertiga. Maizan menyatakan hasrat sebenarnya dia dan dua orang kawannya ini datang berjumpa dengan Pak Rejab .
“Memang rumah orang putih tu berpuaka,” ceritanya.
“Macam mana rupa lembaga tu, Pak Rejab ?” Arshad yang bagaikan tidak sabar-sabar lagi pantas mencelah.
“Menakutkan!” jawab Pak Rejab dengan mengangguk-anggukkan kepala dan menghisap rokok daun. Sesekali dia terbatuk-batuk terhidup asap memutih yang disedut dan dihembusnya keluar.
“Pak Rejab tengok dengan mata Pak Rejab sendiri. Meremang bulu roma Pak Rejab pada waktu tu,” dia memberitahu.
“Jadi, memang betullah rumah tu berhantu seperti yang didakwa oleh orang-orang kampung,” duga Maizan.
“Memang betul!” tambah Pak Rejab sambil membuang habuk rokok ke dalam bekas yang berbentuk bulat itu.
“Kau orang jangan nak cuba-cuba untuk pergi ke rumah lama tu. Bukan aje kau orang terperanjat bila tengok lembaga tu. Silap-silap kau orang boleh demam,” ingatnya lagi pada tiga sahabat itu.
“Agak-agak Pak Rejab kenapa lembaga tu merayau-rayau di rumah Tuan Smith itu?” Maizan menyoal.
“Mungkin roh Tuan Smith tidak tenteram kerana dibunuh oleh pengganas komunis,” jawab Pak Rejab .
“Jadi, lembaga yang sering berkeliaran di rumah itu adalah Tuan Smith?” sampuk Ramdan pula sebaliknya.
“Yalah!” Pak Rejab membalas dengan mengangguk-anggukkan kepala.
“Siapa lagi kalau bukan dia. Kan dia dan isteri dia saja yang tinggal di rumah tu,” tambahnya lagi.
Share this novel