Sebelum cuti sekolah bermula ketiga-tiga sahabat ini Maizan, Ramdan dan Arshad berserta dengan pelajar-pelajar lain akan menghadapi peperiksaan terlebih dahulu. Maka mereka bertiga melupakan seketika untuk melakukan siasatan rumah banglo lama di atas bukit yang penuh dengan pelbagai persoalan dan juga dianggap penuh dengan misteri itu. Tumpuan mereka pada ketika ini adalah terhadap pelajaran untuk mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Justeru itu mereka perlu mengisi masa pada sebelah petang selepas balik dari sekolah dengan mengulangkaji pelajaran dan menghafal serta membaiki kelemahan terhadap mata pelajaran yang lemah agar mereka dapat menjawab dengan baik dan tepat soalan peperiksaan yang dikemukakan nanti.
Ketiga-tiga sahabat ini menggunakan kaedah peta minda untuk menghafal dan memahami mata pelajaran sebagai persediaan menghadapi peperiksaan yang bakal diduduki. Selain daripada itu mereka juga mengadakan perbincangan dan membuat latihan dengan menjawab contoh-contoh soalan sebagai persediaan untuk memantapkan lagi penguasaan mereka terhadap setiap mata pelajaran. Bagi mereka bertiga peperiksaan adalah amat penting dan perlu belajar dengan bersungguh-sungguh dan berusaha gigih demi mencapai keputusan yang cemerlang.
Seperti biasa selepas bersarapan sebelum melangkah menuju ke sekolah Maizan akan bersalaman dan mencium kedua-dua tangan ayah dan ibunya memohon restu agar dia berjaya dalam pelajaran. Dia juga menyatakan kepada kedua-dua ayah dan ibunya bahawa hari ini dia akan menduduki peperiksaan dan memohon kedua-dua ayah dan ibunya berdoa agar dia tenang semasa menjawab soalan peperiksaan nanti serta lulus dengan jayanya. Ayah dan ibunya berpesan supaya dia menjawab soalan peperiksaan dengan baik dan mendoakan akan kejayaan Maizan. Dia membalas dengan menyatakan akan ingat segala pesan ayah dan ibunya itu.
Kemudian dia bergerak keluar meninggalkan rumah manakala ayahnya pula macam biasa akan menuju ke kebun getah Haji Idris dengan motosikal untuk menoreh getah mencari rezeki buat mereka sekeluarga. Sewaktu dalam perjalanan menuju ke tempat menimba ilmu cuaca pagi kelihatan baik dan bersinar indah mewarnai seluruh kampung. Seolah-olah memberikan harapan dan impian kepada mereka untuk menjalani peperiksaan dengan penuh keazaman dan semangat demi menjulang kejayaan yang cemerlang dan sejati memberikan yang terbaik. Seperti biasa ketiga-tiga sahabat ini akan rancak berbual-bual sepanjang perjalanan yang mereka lalui dari rumah ke sekolah. Kali ini tajuk perbualan hangat mereka tertumpu kepada peperiksaan yang akan dihadapi bermula hari ini selama seminggu.
“Kita mesti sentiasa tenang semasa menjawab soalan peperiksaan dan jangan gopoh,” ingat Maizan pada kedua-dua sahabatnya itu Ramdan dan Arshad.
Sampai sahaja di sekolah memandangkan waktu peperiksaan masih lagi belum bermula maka mereka bertiga mengambil kesempatan menelaah mata pelajaran pertama yang akan mereka hadapi dalam peperiksaan pada pagi ini. Sebaik-baik sahaja loceng kedengaran ketiga-tiga sahabat ini termasuk pelajar-pelajar lain lalu beratur di tempat perhimpunan dan masuk ke dalam kelas masing-masing.
Sebelum peperiksaan bermula guru kelas mereka Cikgu Nasir memberikan taklimat berkenaan peraturan dan undang-undang yang perlu dipatuhi semasa pelajar-pelajar menduduki peperiksaan dalam kelas. Salah satu daripada perkara yang paling utama diingatkan kepada para pelajar adalah tidak melakukan perbuatan meniru dan membuat sebarang perlanggaran undang-undang berkaitan dengan peperiksaan sekolah. Sekiranya terdapat ada di kalangan pelajar yang melakukan kesalahan tersebut maka tindakan tegas akan diambil dengan serta-merta di mana tidak dibenarkan untuk menduduki peperiksaan.
Setelah selesai taklimat kertas soalan pun diedarkan kepada pelajar-pelajar dan mereka mula menjawab soalan setelah diarahkan oleh Cikgu Nasir. Kertas pertama dalam peperiksaan pagi ini adalah karangan Bahasa Melayu. Tiga sahabat ini berserta dengan pelajar-pelajar lain menjawab soalan tersebut penuh cermat dan ketenangan. Seperti yang selalu diajarkan oleh Cikgu Karim mereka terlebih dahulu akan merangka isi-isi penting sebelum dikembangkan menjadi sebuah karangan macam yang dikehendaki oleh soalan. Para pelajar mengikut segala peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan dalam peperiksaan sekolah dan kerjasama yang mereka berikan menjadikan peperiksaan yang dijalankan adalah baik dan lancar. Sebaik-baik sahaja masa yang diberikan kepada pelajar-pelajar tamat untuk menjawab soalan maka mereka kemudiannya menyerahkan kertas jawapan kepada guru pengawas peperiksaan yang bertugas Cikgu Nasir.
Mereka kemudiannya lalu meninggalkan kelas yang dijadikan dewan peperiksaan menuju ke kantin untuk berehat. Tiga sahabat itu menjadikan tajuk soalan karangan Bahasa Melayu yang keluar dalam peperiksaan tadi sebagai tajuk perbualan utama. Sambil menikmati nasi lemak telur rebus dan air sirap yang dipesan daripada peniaga kantin untuk mengalas perut.
“Kau pilih tajuk karangan apa tadi, Maizan?” tanya Ramdan.
“Pencemaran alam sekitar,” Maizan menjawab pantas.
“Kau pulak, Arshad?” Ramdan kemudiannya berpaling pula ke arah Arshad yang duduk di sebelah yang kelihatan sedang meneguk air sirap. Sebaik-baik sahaja selesai menjamah hidangan nasi lemak telur rebus yang dijual oleh peniaga di kantin sekolah.
“Cara untuk mengatasi masalah keruntuhan akhlak di kalangan remaja pada hari ini,” balasnya.
Maizan yang duduk bertentangan dengan Ramdan dan Arshad kemudiannya lalu memalingkan muka ke arah Ramdan dan menyoal.
“Kau pulak buat karangan pasal apa?”
“Ke arah menyemai rasa semangat kecintaan terhadap negara.” Jawapan yang diberikan oleh Ramdan pada pertanyaan yang diajukan oleh Maizan itu.
“Menarik tajuk karangan yang kau buat tu,” ujar Maizan pula sebaliknya.
“Tentu semangat kau berkobar-kobar dan menyala-nyala macam api yang panas terbakar bila kau buat tajuk karangan tu,” usik Arshad sambil tersenyum kecil.
“Memang cukup bersemangat, kawan!” Ramdan menyambut dengan mengangguk-anggukkan kepala.
“Sampai tak cukup kertas aku nak tulis.” Senyuman juga terukir di wajah Ramdan membalas usikan kawannya itu.
“Hebat tu! Dah tentu Cikgu Karim beri kau markah tinggi!” Dari raut wajah Arshad jelas nampak dia benar-benar kagum dengan karangan yang dihasilkan oleh sahabatnya itu.
Maizan juga tumpang tersenyum apabila melihat kedua-dua kawannya itu yang gemar mengusik dan bergurau antara satu sama lain. Bagi dia gelagat Ramdan dan Arshad yang gemar saling usik-mengusik adalah sesuatu yang amat menghiburkan. Dalam persahabatan akrab dan rapat di antara mereka bertiga setelah sekian lama terjalin sejak mereka dari masih kecil lagi bersekolah rendah. Sehinggalah ke hari ini apabila mereka melangkah ke alam remaja memasuki sekolah menengah belajar dalam tingkatan empat.
“Kau ni puji dan angkat aku lebih-lebih pulak. Ada apa-apa ke ni. Nak minta aku belanja makan ke?” soal Ramdan pada Arshad sambil tersenyum lebar jelas kelihatan di mukanya.
“Kalau kau nak apa salahnya aku alu-alukan. Bak kata orang kecil tapak tangan nyiru aku tadahkan,” Arshad membalas.
Mereka lalu ketawa berdekah-dekah termasuk Maizan dan setelah ketawa mereka reda Maizan yang selama ini mendiamkan diri lalu bersuara pada kedua-dua kawannya itu mengenai soalan karangan Bahasa Melayu yang mereka jawab dalam peperiksaan yang mereka duduki tadi.
“Tak kiralah panjang mana sekalipun yang kita tulis dalam karangan. Tapi yang penting kita mesti ikut apa yang telah diajarkan oleh Cikgu Karim. Mesti ada pengenalan, isi dan kesimpulan serta tidak membuat kesalahan tatahabasa. Barulah kita akan mendapat markah yang baik.”
Apa yang dikatakan oleh Maizan itu disambut baik dan disokong oleh kedua-dua kawannya itu. Seperti biasa loceng sekolah akan berbunyi apabila tamatnya waktu rehat. Maka kantin tempat pelajar-pelajar untuk berehat sambil menjamu selera akan lengang dengan mereka akan masuk semula ke kelas untuk menduduki kertas peperiksaan berikutnya.
Selesai sahaja menduduki peperiksaan maka cuti sekolah pun bermula. Walaupun cuti sekolah Maizan tetap bangun awal pagi menunaikan solat Subuh dan membantu ayahnya menoreh getah di kebun Haji Idris dan mengusahakan kebun di belakang rumah. Pagi ini ibunya meminta dia membeli sarapan pagi di warung Pak Latip. Setibanya di warung Pak Latip kelihatan beberapa orang kampung sedang menikmati sarapan pagi. Termasuk Bidin dan Pak Rejab juga berada di situ untuk menjamu selera dengan menikmati makanan dan minuman yang dijual oleh Pak Latip.
“Assalamualaikum, Pak Latip!” Maizan memberi salam setibanya di warung Pak Latip.
“Waalaikumsalam, Maizan. Awal kamu datang beli sarapan,” jawab Pak Latip pula.
“Emak suruh beli sarapan lepas ni nak tolong ayah menoreh,” dia membalas.
“Hah, eloklah tu, Maizan! Daripada tak ada apa nak buat cuti sekolah ni eloklah kamu menolong ayah kamu menoreh. Sekurang-kurangnya terisi juga masa kamu dengan perkara yang faedah masa cuti sekolah ni. Walaupun dengan membantu ayah kamu menoreh untung-untung ayah kamu beri duit sekolah tolong dia menoreh,” kata Pak Latip lagi sambil tersenyum. Tanda rasa gembira dan memberikan sokongan kepada Maizan yang membantu ayahnya melakukan kerja-kerja menoreh getah sewaktu cuti sekolah.
“Tentang upah tu taklah saya harapkan sangat, Pak Latip. Saya kasihan tengok ayah seorang diri menoreh untuk menampung hidup saya sekeluarga. Bila ada kelapangan cuti sekolah macam ni saya pun bantulah untuk meringankan kerjanya tu,” ujar Maizan pula.
“Alhamdulillah! Syukur ayah dan ibu kamu dapat anak macam kamu ni. Nak harapkan anak-anak Pak Latip tolong berniaga di warung ni hai entahlah. Dia orang lebih suka bekerja makan gaji di bandar besar Kuala Lumpur tu. Asyik-asyik berbual ni kang lambat pulak kamu dan ayah kamu nak pergi menoreh. Kamu nak apa, Maizan?” Pak Latip bersuara sambil bersedia menunggu untuk memberikan makanan yang dijadikan sarapan oleh Maizan sekeluarga pada pagi ini.
“Beri nasi lemak tu lapan bungkus, kuih kaswi enam dan kuih karipap juga enam,” pinta Maizan.
“Yalah!” jawab Pak Latip dengan mengangguk-anggukkan kepala.
“Banyak kamu beli nasi lemak dan kuih maklumlah adik-beradik kamu ramai.” Dia kemudiannya lalu menyerahkan nasi lemak yang berbungkus dengan daun pisang itu dan kuih kepada Maizan yang menyambutnya dan seterusnya menghulurkan wang kepada Pak Latip.
“Terima kasih, Maizan!” ucap Pak Latip dalam senyuman mesra.
“Sama-sama, Pak Latip. Saya balik dulu, ya!” mohon Maizan pula.
“Baiklah!” Pak Latip mengangguk-anggukkan kepala.
“Sampaikan salam Pak Latip pada ayah dan ibu kamu,” tambah Pak Latip lagi.
“Insya-Allah, Pak Latip!” Maizan membalas dengan anggukkan kepala.
Semakin ramai orang kampung mengunjungi warung Pak Latip. Begitulah kelazimannya pada setiap pagi untuk bersarapan dan membeli makanan. Ketika hendak meninggalkan warung Pak Latip dia terdengar perbualan antara Bidin dan Pak Rejab yang duduk semeja sambil menikmati sarapan pagi. Perbualan mereka berdua yang rancak itu berkisar tentang rumah banglo lama yang berpuaka di atas bukit itu yang sudah lama terletak di kampung ini. Namun mereka tidak menyedari kehadiran Maizan yang membeli sarapan di warung Pak Latip sedang giat bersama dengan kawan-kawannya Ramdan dan Arshad menyiasat rumah lama itu membuktikan sama ada benar ia berpuaka atau sebaliknya sepertimana yang sedang diceritakan oleh Bidin dan Pak Rejab . Untuk mengetahui apa yang diceritakan oleh Bidin dan Pak Rejab maka Maizan mengambil masa sedikit bagi mencuri dengar macam yang sering dibacanya dalam buku kisah penyiasatan untuk mendapatkan petunjuk dan bukti dengan berdiri jauh daripada mereka yang berada di warung Pak Latip.
“Memang betul kata kau, Bidin. Rumah tu memang berpuaka aku sendiri pernah beberapa kali berjumpa dengan lembaga yang menakutkan dan menyeramkan. Berkeliaran di rumah tu sewaktu aku pergi memancing di sungai yang tidak jauh dari rumah tu,” Pak Bidin berkata.
“Tapi ada jugak yang berani dekat dengan rumah tu. Pernah satu malam satu terserempak dengan beberapa orang budak cuba masuk ke dalam kawasan rumah tu,” jelas Bidin.
“Berani dia orang ya dah tahu rumah tu berpenunggu nak masuk pulak ke rumah tu. Kau kenal ke budak-budak yang tunjuk berani tu?” Pak Rejab menyoal dengan memandang muka Bidin.
“Entahlah!” gelengnya dengan pantas.
“Tapi saya rasa dia orang tu budak-budak kampung ni,” sambung Bidin lagi sambil menghabiskan sisa-sisa air teh yang dipesannya daripada Pak Latip.
“Yang kau pulak buat apa kat situ malam-malam dah tahu rumah tu berpuaka?” Tiba-tiba Pak Rejab bertanya pada Bidin yang menjadikan dia berasa terperanjat dan tidak menyangka Pak Rejab akan menghulurkan soalan itu. Dari raut wajahnya itu jelas nampak dia perlu mencari jawapan yang kuat dan kukuh. Supaya tidak bocor rahsia yang dipegangnya selama ini terhadap rumah itu.
“Saya pun macam Pak Rejab jugak pergi memancing. Jadi sewaktu dalam perjalanan balik tu saya terserempaklah dengan budak-budak tu sewaktu melalui kawasan rumah tu,” dia berdalih.
Memandangkan dia sudah terlalu lama berada di warung Pak Latip dan keluarganya sedang menanti dia pulang membawa sarapan yang dibeli dan ayahnya pula hendak keluar pergi menoreh maka dia mengambil keputusan untuk berlalu pergi dari situ dan pulang semula ke rumah. Sepanjang perjalanan pulang menuju ke rumah dia asyik memikirkan Bidin yang berbohong dengan Pak Rejab mengatakan pergi memancing sewaktu terserempak dengan dia bersama dengan kawan-kawannya. Ketika menghampiri rumah banglo lama di atas bukit yang penuh dengan misteri itu yang menarik minat dia dan kawan-kawannya untuk menyiasat. Maka lantas tergerak dalam pemikirannya akan penemuan terbaru dalam penyiasatan ini yang semakin kuat kaitan Bidin dengan rumah yang sering hangat dan panas menjadi perbualan orang-orang di kampung ini yang dikatakan berpenunggu dan berpuaka. Ringkasnya Maizan ingin mendapatkan latar belakang Bidin untuk melengkapkan dan mengukuhkan siasatan terhadap rumah misteri itu daripada ayahnya sewaktu membantu ayahnya di kebun petang nanti.
Tanpa disedari hari telah pun memasuki petang sedangkan pagi baru saja dirasakan menjelma sebentar tadi. Seperti biasa Maizan tidak melupakan jadual hariannya sebagai seorang pelajar dengan membuat ulang kaji pelajaran walaupun pada masa cuti sekolah. Tengah hari tadi sewaktu menikmati makan tengah hari bersama dengan keluarga ayahnya mengingatkan Maizan supaya membantu dia memetik sayur-sayur di belakang rumah untuk diambil oleh Pak Ahmad ayah Arshad untuk dijual di pekan sehari. Selepas menunaikan solat Asar dan menikmati juadah minum petang Maizan dan ayahnya pun memetik sayur-sayur di kebun belakang rumah untuk dijual oleh Pak Ahmad di pekan sehari pada keesokan hari iaitu Ahad.
Suasana petang disinari dengan cuaca cerah dan panas bersama dengan iringan angin yang bertiup halus dan sepoi-sepoi bahasa. Sambil memasukkan sayur-sayur kampung yang telah dipetik cili api, pucuk ubi, keladi, keledek, serai, daun kunyit, terung telunjuk dan lain-lain lagi ke dalam guni Maizan dan ayahnya rancak berbual-bual tentang kebun yang mereka usahakan secara kecil-kecilan di belakang rumah.
“Syukur alhamdulillah hasil tanaman kita ni hidup subur. Selain daripada kita dapat makan hasil daripada jualannya dapatlah menampung hidup kita sekeluarga. Nak harapkan duit hasil daripada menoreh tak menentu. Maklumlah kalau harga getah naik banyaklah kita dapat duit. Kalau harga getah turun tak banyaklah duit yang kita dapat musim hujan langsung tak dapat menoreh,” ayahnya berkata dengan penuh panjang lebar.
“Sekurang-kurangnya duit hasil daripada jualan sayur-sayur kampung ni ayah dapat kita jadikan tabung yang boleh kita gunakan bila kesempitan wang,” Maizan menambah.
“Memang betul, Maizan!” ayahnya pantas mengangguk-anggukkan kepala.
“Daripada tanah ni terbiar bila masa lapang petang-petang begini elok kita usahakan dapat juga kita menikmati hasilnya macam sekarang,” sambung ayahnya lagi.
“Ayah dah lama ke bekerja mengusahakan kebun sayur-sayur kampung macam ni?” Maizan menyoal ayahnya dengan rasa penuh minat.
Pertanyaan yang diajukan oleh Maizan itu lantas membuatkan ayahnya terhenti seketika daripada memasukkan sayur-sayur kampung yang telah dipetik ke dalam guni. Dia kemudiannya lalu menarik nafas yang panjang dan menyapu peluh yang mengalir di mukanya dengan tuala yang diletakkannya di lehernya dengan topi menutupi kepalanya. Memang bahang panas cuaca pada petang ini jelas terasa seperti hangat membakar kulit mukanya. Air suam di dalam botol lalu diteguknya buat penghilang dahaga dan jelas terasa segar dan nyaman bagai air terjun di pinggir kali bila membasahi tekaknya yang kering itu. Ayahnya lalu memandang wajah Maizan yang kelihatan setia menanti jawapan daripadanya dengan bersuara.
“Sejak ayah masih lagi berusia remaja macam kau ni ayah dah membantu arwah datuk mengusahakan kebun seperti ini. Sekarang giliran kau pulak membantu ayah supaya kau dapat mengisi masa lapang selepas belajar pada waktu petang dengan perkara yang berfaedah dan menyihatkan.”
“Memang benar, ayah!” sambut Maizan pula sebaliknya dengan anggukkan kepala apabila mendengar kata-kata ayahnya itu.
“Bila badan sihat dengan menolong ayah berkebun macam ni badan pun sihat dan otak jadi cergas untuk belajar.”
Ayahnya lantas tersenyum diam sebaik-baik sahaja mendengarkan apa yang dicakapkan oleh Maizan sebagai tanda anaknya itu faham tujuan kenapa dia mengajaknya berkebun pada setiap petang sambil memasukkan sayur-sayur kampung yang telah dipungut bersama dengan Maizan ke dalam guni. Menanti Pak Ahmad datang untuk mengambilnya sepertimana yang telah dijanjikan untuk dijual di pekan sehari esok. Tiba-tiba Maizan teringatkan untuk bertanya tentang Bidin pada ayahnya dengan harapan untuk mendapatkan maklumat siapa dia yang sebenarnya di mana jelas mempunyai kaitan rapat dan erat dengan rumah banglo lama di atas bukit yang mengandungi misteri yang perlu dirungkaikannya melalui penyiasatan yang dijalakannya bersama dengan dua orang sahabat karibnya Ramdan dan Arshad.
“Tadi Maizan jumpa Abang Bidin sewaktu membeli sarapan di warung Pak Latip,” ujarnya.
“Kenapa dengan dia?” tanya ayahnya sambil terus memasukkan sayur-sayur kampung ke dalam guni.
“Dia tu sebenarnya kerja apa, ayah?” soal Maizan pula.
“Setahu ayah dulu dia kerja di Kuala Lumpur tak tahulah ayah dia kerja apa di sana. Eh, tiba-tiba aje Maizan tanya pasal dia kenapa?” ayahnya membalas.
Mendengarkan sahaja apa yang dikatakan oleh ayahnya itu Maizan lalu sengaja berdalih dengan menggeleng-gelengkan kepala dan bersuara.
“Tak ada apa-apa, ayah!”
“Bila jumpa dia pagi tadi tiba-tiba aje nak tahu dia sebagai orang yang sekampung kerja apa manalah tahu kalau ada orang cari dia dan tanya pasal kerja dia,” kata Maizan lagi.
Perbualan antara Maizan dan ayahnya tentang Bidin pantas terhenti serta-merta apabila kedengaran bunyi van memasuki kawasan rumahnya. Pak Ahmad telah datang untuk mengambil sayur-sayur kampung yang telah dimasukkan ke dalam guni oleh Maizan dan ayahnya. Sebaik-baik sahaja Pak Ahmad turun daripada van dia lalu memberi salam dan disambut bersama oleh Maizan dan ayahnya kemudiannya Pak Ahmad bersalaman dengan kedua-dua beranak itu.
Ayah Maizan dan Pak Ahmad berbual seketika manakala Maizan pula mengangkat guni-guni yang berisi sayur-sayur kampung dan memasukkannya ke dalam van. Perbualan antara ayah Maizan dan Pak Ahmad adalah berkenaan sayur-sayur kampung yang menjadi pilihan pembeli di pekan sehari. Setelah membayar harga sayur-sayur kampung yang dibeli oleh Pak Ahmad dia kemudiannya lalu meminta diri untuk pulang ke rumah semula. Setelah van yang dipandu oleh Pak Ahmad tidak lagi kelihatan di kawasan rumah Maizan maka kedengaran pula suara ibunya yang menyuruh adik-adiknya yang sedang bermain di halaman rumah supaya masuk ke dalam rumah untuk membersihkan diri. Kerana sebentar nanti selepas waktu maghrib mereka akan pergi mengaji ke rumah Lebai Daud yang terletak di jauh dari rumah mereka.
Share this novel