BAB 11

Mystery & Detective Completed 638

Sejak dari semalam fikiran ketiga-tiga sahabat itu Maizan, Ramdan dan Arshad tertumpu kepada kotak-kotak yang disimpan oleh Bidin bersama dengan tiga orang lelaki itu yang disimpan di dalam rumah banglo lama di atas bukit itu. Nampaknya tugas penyiasatan mereka sekarang semakin bertambah dan berat di mana perlu dilaksanakan namun ini bukanlah bermakna mereka akan berhenti dan mengalah daripada menyiasat rumah yang bermisteri itu. Timbul juga pertanyaan dalam fikiran mereka bertiga mengapa Bidin bersama dengan tiga orang lelaki yang tidak mereka kenali itu menjadikan rumah itu sebagai stor untuk menyimpan barang-barang yang dimasukkan di dalam kotak-kotak yang saiznya tidak sama ada yang pendek dan ada yang panjang.

Satu lagi pertanyaan yang tak henti-henti menendang benak fikiran mereka semenjak melihat kehadiran Bidin bersama dengan tiga orang lelaki itu di rumah itu dengan kotak-kotak dipunggah masuk daripada kenderaan pacuan empat roda dan disimpan di rumah itu adalah Bidin bercerita kepada Pak Rejab rumah itu berpuaka namun dia menjaga kotak-kotak tersebut sepertimana yang diarahkan oleh salah seorang lelaki yang dari raut wajahnya jelas kelihatan dengan penuh kecurigaan di mana dia mengunci pintu rumah itu setelah kotak-kotak itu selesai dimasukkan ke dalam rumah itu. Mungkin kotak-kotak yang disimpan di dalam rumah itu penuh dengan rahsia dan boleh jadi sebab itulah Bidin melarang mereka bertiga daripada memasuki rumah Tuan Smith itu. Takut nanti rahsia akan terpecah dan tambah pulak Bidin menjadikan rumah itu macam rumahnya sendiri di mana dia adalah pemegang kunci rumah yang diletakkan dengan mangga kunci di depan pintu rumah itu. Itulah andaian kuat yang dibuat oleh ketiga-tiga sahabat itu setelah melihat gerak-geri Bidin dan tiga orang lelaki itu bersama dengan kotak-kotak yang dibawa masuk ke dalam rumah itu.

Dari pemerhatian dan penelitian yang dilakukan oleh ketiga-tiga sahabat itu terhadap perlakuan Bidin dan tiga orang lelaki itu bersama dengan kotak-kotak yang disimpan di dalam rumah itu nampak gayanya mereka seperti menjalankan satu perniagaan. Namun mereka tidak mengetahui perniagaan yang dijalankan oleh Bidin bersama dengan tiga lelaki itu menerusi kotak-kotak tersebut. Tentu perniagaan mereka ini perlu disembunyikan daripada pengetahuan orang ramai di mana barang-barang yang dimasukkan dalam kotak-kotak itu disorokkan dalam rumah tinggal dan jauh terpencil dari kawasan kampung ini. Selain daripada itu melihat daripada kenderaan yang digunakan oleh tiga orang lelaki itu ketiga-tiga sahabat ini dapat menduga dan mengagak bahawa perniagaan yang dijalankan oleh mereka adalah dengan membawa keuntungan yang banyak dan mewah. Hasil daripada tafsiran yang mereka buat ini memberikan petunjuk dan bukti kukuh dalam penyiasatan yang mereka jalankan terhadap rumah yang dikatakan dihuni oleh lembaga yang menyeramkan dan menakutkan setelah kematian Tuan Smith dan isterinya akibat dibunuh oleh pengganas komunis ketika negara pada waktu itu dikenali sebagai Tanah Melayu menghadapi zaman yang dinamakan darurat.

Dalam pada itu sekolah kembali semula dibuka setelah seminggu bercuti. Ini bermakna tiga sekawan ini akan menumpukan sepenuh perhatian semula kepada pelajaran dan sudah pasti hari ini mereka akan mengetahui keputusan peperiksaan yang mereka duduki sebelum cuti sekolah bermula. Semangat mereka juga terus menyala untuk menunaikan tanggungjawab dan kewajipan sebagai pelajar menuntut ilmu di sekolah sebagai bekalan pada hari muka.

Tiada istilah rasa malas dan berat kaki untuk melangkah ke sekolah dalam kamus diri mereka walaupun cuti yang mereka lalui agak panjang juga. Malahan rasa tidak sabar-sabar untuk tiba di sekolah juga semakin kuat menyelubungi perasaan mereka untuk bertemu semula dengan kawan-kawan dan guru-guru di sekolah yang mengajar mereka bertiga. Seperti biasa mereka tetap tenang mengatur langkah ke sekolah dengan datang membawa harapan dan pulang membawa kejayaan. Kata-kata itu tertulis di depan tembok pagar sekolah bersama dengan tertera nama sekolah tempat mereka belajar Sekolah Menengah Kebangsaan Za’ba. Nama sekolah ini diabadikan sempena nama tokoh Pendeta Za’ba atau nama sebenarnya Zainal Abidin bin Ahmad anak kelahiran Kampung Bukit Kerdas, Batu Kikir, Jempol yang telah banyak menaburkan jasa dan sumbangan dalam bidang bahasa, sastera, sosio-budaya, agama, politik dan pendidikan.

Kata-kata semangat datang membawa harapan dan pulang membawa kejayaan ditulis di depan tembok pagar sekolah dengan tujuan untuk meniupkan semangat kepada pelajar-pelajar supaya belajar dengan bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan dalam pelajaran dan seterusnya menyumbangkan tenaga demi kemakmuran dan kesejahteraan negara. Memandangkan hari ini sekolah dibuka semula maka perhimpunan bulanan sekolah diadakan pada pagi ini. Kebiasaannya dalam perhimpunan ini pengetua sekolah Cikgu Zulkifli akan menyampaikan amanatnya di mana mengingatkan para pelajar agar sentiasa belajar dengan bersungguh-sungguh dan mencontohi semangat perjuangan yang ditinggalkan oleh Pendeta Za’ba. Dalam amanatnya juga beliau berharap akan lahir ramai Za’ba baru dari sekolah ini sepertimana yang dihasratkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Negeri Sembilan.

Selesai sahaja perhimpunan pagi para pelajar yang beratur mengikut kelas lalu bergerak ke kelas masing-masing. Pagi ini juga Cikgu Nasir guru kelas ketiga-tiga sahabat itu yang mengajar mata pelajaran Geografi mengumumkan keputusan peperiksaan dan ketiga-tiga mereka telah berjaya mencapai keputusan yang cemerlang. Rasa kesyukuran jelas tergambar di wajah Maizan, Ramdan dan Arshad tanpa sedikit pun rasa bangga dan riak dengan kejayaan yang dicapai kerana menyedari mereka perlu terus kuat berusaha dengan meningkatkan lagi prestasi pelajaran untuk menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang menanti mereka pada tahun hadapan.

Ucapan tahniah saling dihulurkan antara satu sama lain oleh ketiga-tiga sahabat ini. Di waktu rehat seperti biasa sambil menjamu selera di kantin sekolah tiga sahabat ini akan rancak berbual-bual. Kejayaan mereka memperolehi keputusan cemerlang dalam peperiksaan masih lagi menjadi tajuk perbualan utama mereka.

“Rajin dan usaha itu adalah tangga kejayaan,” Maizan berkata sambil menikmati mi goreng yang dibeli daripada peniaga kantin sekolah Pak Razak namanya.

“Inilah habuan yang kita nikmati kalau kita sentiasa rajin berusaha untuk berjaya dalam pelajaran.” Ramdan menyatakan sokongan terhadap apa yang dikatakan oleh Maizan itu.

Sementara itu Arshad yang telah selesai menjamah bihun goreng dan menghirup air sirap lalu menyampuk.

“Tak ada yang mudah dalam hidup ini sama jugaklah kalau kita mahu berjaya dalam pelajaran. Mesti terus berusaha dan sentiasa memberi tumpuan sewaktu guru mengajar di dalam kelas serta rajin mengulang kaji pelajaran. Aku yakin kalau kita sentiasa mengamalkan cara pembelajaran ini insya-Allah kita akan berjaya mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan nanti.”

“Memang bertepatan sekali dengan apa yang kau cakapkan tu, Arshad,” celah Maizan pula dengan pantas sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Bagi aku dalam hidup ini kalau kita mahu berjaya kita mesti ada peraturan. Sama seperti yang kita amalkan di sekolah ini walaupun nampak ketat tapi sebenarnya untuk kebaikan diri kita jugak,” sambungnya lagi.

“Memang betul apa yang kau cakapkan tu, Maizan!” Ramdan sebaliknya mengangguk-anggukkan kepala sebagai tanda menyetujui dengan apa yang dikatakan oleh Maizan itu. Sambil memalingkan muka ke arah Maizan yang duduk bersebelahan dengannya.

“Bayangkanlah kalau hidup kita tanpa peraturan dah tentu kucar-kacir dan tak tentu arah hidup kita sebab tidak ada panduan yang harus kita ikuti dan amalkan,” ujarnya lagi.

“Itu sebabnya apa saja yang kita lakukan dalam hidup ini perlu ada disiplin tak kiralah belajar ke bersukan ke malahan dalam penyiasatan yang sering kita tiru dalam cerita-cerita yang berkaitan dengannya perlu ada disiplin dalam diri kita. Selain daripada yang paling penting aku nak pesan pada diri aku termasuk kau orang berdua jangan sesekali tinggalkan solat dan taatilah pada kedua-dua ibu bapa kita yang telah banyak berkorban dan bersusah payah membesarkan kita barulah hidup kita berjaya dan mencapai kejayaan yang cemerlang,” tambah Maizan.

Mendengarkan sahaja nasihat Maizan yang penuh dengan makna itu menjadikan kedua-dua sahabatnya itu Ramdan dan Arshad mengangguk-angguk diam. Tanda amat bersetuju sekali dan menerima segala yang dikatakan oleh Maizan itu demi kebaikan bersama jua. Serentak dengan itu juga apabila Maizan menyebut perlu adanya disiplin dalam melakukan kerja-kerja penyiasatan walaupun dengan meniru watak-watak hero dalam kisah-kisah penyiasatan melalui buku-buku yang berkenaan dengannya yang dibaca oleh mereka maka mendorong Arshad dengan tiba-tiba menukar tajuk perbualan. Apalagi kalau bukan tentang kotak-kotak yang disimpan oleh kawan-kawan Bidin di dalam rumah misteri yang sedang mereka siasat itu.

“Bercakap tentang disiplin dalam penyiasatan tadi Maizan aku teringatlah kotak-kotak yang disimpan dalam rumah banglo lama di atas bukit itu. Sepertimana yang kita bincangkan dan tafsirkan sewaktu dalam perjalanan ke sekolah pagi tadi.” Itulah antara bunyi kata-kata yang diucapkan oleh Arshad kepada Maizan dan Ramdan yang berada di depannya sambil memandang mereka berdua dengan silih berganti.

“Yalah, Maizan! Aku pun baru teringat mengapa dia orang memilih rumah yang dikatakan berpuaka itu untuk menyimpan kotak-kotak itu. Kenapa tidak diletakkan di tempat yang lain sebaliknya di rumah yang usang dan tersembunyi pulak tu,” ulas Ramdan pula sebaliknya.

Dari raut muka Maizan jelas nampak dia hanya memilih untuk berdiamkan diri saja apabila kedua-dua kawannya itu membuka cerita berkenaan kotak-kotak yang disimpan oleh tiga orang lelaki yang mereka lihat bersama dengan Bidin di rumah itu. Sambil menarik nafas yang panjang fikiran Maizan juga ligat memikirkan perkara sama yang difikirkan oleh kedua-dua sahabat karibnya itu. Rasa kesabaran dan ketenangan tanpa sedikit pun desakan jelas terpancar di wajah Ramdan dan Arshad. Menanti jawapan yang bakal diberikan oleh Maizan yang diaanggap oleh mereka berdua sebagai ketua penyiasatan dalam tugas yang mereka laksanakan terhadap rumah banglo lama di atas bukit itu yang jelas dengan pelbagai persoalan misteri yang perlu dirungkaikan jawapannya yang selama ini tersembunyi daripada pengetahuan orang-orang kampung. Di mana mereka hanya dimomok-momokkan dengan kisah rumah itu adalah berhantu dan berpuaka tidak boleh dihampiri dan didekati kawasan rumah itu terutamanya pada waktu malam menjelma.

Maizan lalu memberikan jawapan sepertimana yang ditunggu oleh kedua-dua kawan sekolah dan sepenyiasat dengannya itu.

“Kita mesti siasat apa yang terkandung dalam kotak itu.”

“Susah Maizan sebab pintu rumah tu berkunci tambah pulak kunci rumah tu Abang Bidin yang pegang. Macam mana kita nak masuk takkan kita nak minta kunci rumah daripada Abang Bidin jawabnya nahas kita nanti,” potong Ramdan dengan pantas.
Maka ketiga-tiga sahabat yang berlagak seperti penyiasat untuk menyelesaikan kes rumah yang penuh dengan misteri itu lantas terdiam. Memikirkan kesukaran untuk masuk ke dalam rumah itu melihat kotak-kotak yang penuh dengan tanda tanya dan persoalan mengapa ketiga-tiga lelaki itu menyimpannya di dalam rumah itu dengan Bidin ditugaskan untuk menjaga kotak-kotak tersebut. Namun ia bukanlah bermakna ketiga-tiga penyiasat ini akan mengalah dan berputus asa disebabkan kunci rumah itu sekarang berada di dalam tangan Bidin orang kampung mereka sendiri. Tiga sekawan itu tetap mencari jalan untuk masuk ke dalam rumah itu dan melihat apakah yang terkandung dalam kotak-kotak yang seolah-olah disembunyikan oleh tiga orang lelaki itu di dalam rumah banglo lama di atas bukit itu.

Maizan juga sempat bertanyakan maklumat tentang Bidin kepada kedua-dua kawannya itu. Bermula dengan Ramdan apa yang diketahui daripada ayahnya Bidin adalah seorang pemuda yang mempunyai perbuatan jahat di mana pernah ditangkap polis kerana mencuri getah di kebun Pak Awang namun dibebaskan oleh arwah ayahnya dengan ikat jamin dan kemudiannya pergi ke Kuala Lumpur untuk mencari pekerjaan kerana berasa malu dengan perbuatan buruknya itu namun kembali semula ke kampung ini. Apabila ditanya oleh orang-orang kampung apakah pekerjaan yang dilakukannya di Kuala Lumpur dan mengapa dia berhenti kerja dia sebaliknya hanya mendiamkan diri sahaja. Begitu juga dengan Arshad mendapat maklumat yang sama seperti yang diberitahu oleh Ramdan melalui bapanya. Hasil daripada maklumat yang diberikan oleh Ramdan dan Arshad itu Maizan membuat kesimpulan bahawa Bidin mempunyai budi pekerti yang tidak baik. Buktinya dia mengeluarkan kata-kata kasar dan bengis kepada mereka bertiga sewaktu menghampiri kawasan rumah banglo lama yang terletak di atas bukit itu oleh yang demikian maka ketiga-tiga sahabat ini menguatkan tekad dan azam untuk menyiasat rumah yang penuh dengan misteri ini tambahan pula dengan latar belakang Bidin yang pernah terlibat dengan jenayah dan kaitannya dengan ketiga-tiga lelaki itu yang menyimpan kotak-kotak yang tidak diketahui apakah sebenarnya isi kandungannya disimpan di dalam rumah yang dikatakan oleh orang-orang kampung berhantu itu.

Sementara itu pihak polis menggiatkan usaha untuk memburu dan menumpaskan sindiket pengedaran dadah dan senjata api yang terbesar di bandar raya Kuala Lumpur yang diketuai oleh Rony. Di samping itu juga pihak polis sedang memburu seorang lagi lelaki yang bernama Tahir di mana menjadi orang tengah dalam sindiket pengedaran dadah di kelab-kelab hiburan serta pengedaran senjata api. Hasil daripada maklumat yang diperolehi melalui serbuan ke pusat-pusat hiburan yang dijalankan oleh pihak polis yang diketuai oleh Inspektor Aziz sindiket ini amat licik dan sering bertukar tempat dalam menjalankan kegiatan pengedaran dadah dan senjata api agar tidak dapat dikesan oleh pihak polis.

“Macam mana dengan maklumat Rony dan Tahir dengan kumpulan-kumpulannya, sarjan?” Inspektor Aziz menyoal Sarjan Ramli.

“Kita masih lagi mencari maklumat untuk mengesan tempat persembunyian mereka, tuan!” jawab Sarjan Ramli pula sebaliknya.

“Jejaki mereka sampai dapat kerana merekalah anak-anak muda musnah dan jenayah penggunaan senjata api berleluasa. Kita mesti tumpaskan kegiatan mereka walau dengan apa cara sekalipun,” tambah Inspektor Aziz lagi.

Mendengarkan sahaja kata-kata ketuanya yang berpangkat inspektor itu Sarjan Ramli lalu mengangguk-anggukkan kepala sebagai tanda menerima tugas yang telah diberikan kepadanya.

“Baik, tuan! Saya dan anggota-anggota lain akan bekerja keras untuk menghapuskan sindiket ini!”

Sarjan Ramli kemudiannya lalu meninggalkan bilik Inspektor Aziz yang kemudiannya menengadah ke siling sambil memikirkan sesuatu setelah bayangan Sarjan Ramli hilang daripada pandangan matanya. Bersama-sama dengan pintunya yang telah tertutup rapat sebaik-baik sahaja Sarjan Ramli mengatur langkah keluar daripada biliknya. Inspektor Aziz yang duduk tersandar di atas kerusi pusing sambil masih lagi memandang siling ligat memikirkan cara untuk menumpaskan sindiket jenayah yang bermaharajalela yang dilakukan bersama oleh Roy dan Tahir dengan ahli-ahli kumpulannya.

Kelicikan mereka nyata menyukarkan pihak polis untuk membanteras mereka. Namun Inspektor Aziz yakin dengan usaha kerasnya bersama dengan anggota-anggota dalam pasukan polis yang diketuainya Roy dan Tahir berserta dengan ahli-ahli kumpulannya akan tumpas juga pada satu hari nanti. Memandangkan tempat yang digunakan oleh Rony untuk menyembunyikan dadah dan senjata api adalah di Kuala Pilah maka dia akan meminta bantuan daripada polis di Daerah Kuala Pilah untuk mengesan tempat yang dijadikan oleh Rony dalam kegiatan tersebut agar dapat bersama-sama memberkas dia bersama dengan anggota-anggota kumpulannya. Dia sama sekali tidak mengharapkan ganjaran pingat mahupun kenaikan pangkat andainya berjaya menumpaskan kegiatan jenayah yang dilakukan bersama oleh Roy dan Tahir begitu juga dengan ahli-ahli kumpulannya yang lain. Cukuplah dengan sekadar berasa amat gembira kerana dapat melaksanakan tugas yang telah diamanahkan oleh negara kepadanya untuk membanteras kegiatan jenayah yang semakin menjadi-jadi dan berleluasa pada masa kini sehingga berada di tahap membimbangkan yakni pengedaran dadah dan senjata api.

Kejayaan pihak polis tempoh hari menghancurkan kegiatan pengedaran dadah di pusat-pusat hiburan sebagaimana yang terpampang luas di dada akhbar dan televisyen jelas membangkitkan rasa kemarahan dan berang yang teramat sangat dalam diri Roy. Dia benar-benar merasakan bahawa pihak polis telah mencabar dan mengacau kegiatan jenayah yang selama ini dilakukannya tanpa menyedari bahawa apa yang dilakukannya itu adalah mengundang kesalahan jenayah yang akan membawa hukuman setimpal sekiranya dia dapat diberkas oleh pihak berkuasa dan dihadapkan ke muka pengadilan nanti. Sudah pasti mereka-mereka yang diberkas oleh pihak polis akan membongkar rahsianya dengan memberitahu tempat persembunyiannya bersama dengan ahli-ahli kumpulannya.

“Jahanam!” Rony melepaskan kemarahan dengan melepaskan satu tumbukan kuat di atas meja yang berbentuk empat segi yang terdapat di ruang tamu rumah yang menjadi tempat persembunyiannya. Seluruh ruang tamu rumah seakan-akan kedengaran bergegaran dan hampir meruntuhkan dengan bunyi tumbukan yang dilepaskannya di atas meja itu.
“Berani mereka mengganggu kegiatan aku!” tempiknya lagi.

“Habis apa kita nak buat sekarang, Rony?” celah Topan pula dengan tiba-tiba.

“Betul tu, Rony!” sambut Yazid dengan mengangguk-anggukkan kepala sebagai menandakan menyokong dan bersetuju dengan apa yang dikatakannya oleh rakannya itu yang bersama-sama dengannya dan Rony terlibat dalam kegiatan jenayah pengedaran dadah dan senjata api sehingga menjadi buruan pihak polis.

“Dah tentu polis akan mencari kita sampai dapat,” ingatnya pada Rony yang nampak sedang memandang ke atas dan dari raut wajah yang ditunjukkannya itu jelas kelihatan bahawa dia sedang memikirkan sesuatu berkenaan ancaman polis terhadap kegiatan jenayah yang hangat dan panas dilakukannya.

Ternyata Rony berasa tidak senang dan menyemarakkan lagi api kemarahannya apabila mendengar kata-kata yang dikeluarkan oleh kedua-dua orang kuatnya itu dan lantas memandang wajah kedua-dua mereka dengan rasa penuh geram dan bengis sambil membalas.

“Kau orang ingat aku tak fikirkan tu semua ke, hah?”
Mendengarkan sahaja nada suara ketua kumpulannya yang keras dan tinggi itu menjadikan Topan dan Yazid lalu jadi terdiam. Mereka berdua dah faham akan perangai Rony bila naik meradang dan marah. Adakalanya dia akan bertindak ganas apabila ada orang cuba menaikkan lagi api kemarahan yang membakar di dalam dirinya. Pernah dia menembak mati salah seorang daripada ketua kumpulan penjenayah yang telah membangkitkan bahang kemarahannya disebabkan membuat penipuan tidak membayar wang pembelian senjata api yang telah dibekalkannya. Memang Rony seorang penjenayah yang kejam dan tidak berperikemanusiaan di mana akan bertindak luar batasan apabila kemahuannya tidak diturut.

Begitu juga dalam kegiatan samun senjata api yang dilakukannya dia juga telah membunuh ramai mangsa yang cuba melawan dan tidak mengikut apa yang dimahukannya tanpa berfikir panjang lagi tanpa mengira tua, muda, lelaki mahupun perempuan. Kedua-dua kawannya itu Yazid dan Topan yang hanya duduk di atas kerusi dengan memilih mendiamkan diri tanpa bersuara sepatah pun bila melihat wajah Roy dipenuhi dengan rasa kemarahan yang menggunung tinggi menjadi sasarannya untuk melepaskan rasa kemarahan yang mendalam kepada pihak polis yang cuba mengganggu kegiatan jenayah yang dilakukannya di mana selama ini yang menjadikan hidupnya mewah dan kaya-raya. Rony kemudiannya bingkas bangun daripada kerusi dan mendongakkan kepala tinggi memandang ke arah luar melalui tingkap kaca. Yazid dan Topan sebaliknya hanya memandang sahaja gelagat yang dipamerkan oleh Rony itu sambil terus mendiamkan diri.

“Kita tunggu mereka datang kita ajar mereka cukup-cukup! Biar mereka tahu siapa kita yang sebenarnya dan menerima padah kerana cuba menghancurkan apa yang kita buat selama ini!” nekad Rony pula sebaliknya dalam nada suara yang masih lagi berbunyi keras seperti seketul batu besar yang sukar untuk dipecahkan apatah lagi diangkat.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience