Selepas menunaikan solat Asar tiga orang sahabat Maizan, Ramdan dan Arshad pun menuju ke rumah Tok Ketua. Suasana petang diwarnai dengan cuaca merah dan ketika melintasi rumah Pak Dollah dalam perjalanan menuju ke rumah Tok Ketua pohon nyiur yang tumbuh di halaman rumah Pak Dollah kelihatan melambai-lambai ditiup angin yang bernada lembut dan girang. Seolah-olah mengajak anak-anak kampung yang mencari rezeki di kota besar Kuala Lumpur agar pulang seketika bila ada kelapangan ke desa yang tercinta dan indah permai.
Sudah pasti tujuan utama tiga orang sahabat ini pergi ke rumah Tok Ketua adalah untuk mendapatkan maklumat sebenar tentang Tuan Smith setelah tidak dapat memperolehinya daripada ayah masing-masing apabila ditanya saudagar Inggeris yang kaya mempunyai ladang getah dan pernah tinggal di kampung ini sewaktu penjajahan Inggeris dahulu.
Sepanjang perjalanan menuju ke rumah Tok Ketua tiga sekawan ini juga melalui kebun sayur yang diusahakan oleh orang-orang kampung di atas tanah sawah yang dahulunya terbiar. Fikiran Maizan masih lagi melekat sejak dari tadi berkenaan melihat Bidin bersama dengan tiga orang lelaki menaiki kenderaan pacuan empat roda menuju ke kawasan rumah banglo lama di atas bukit yang dianggap penuh dengan misteri sehingga kini dan perlu dibuktikan kebenarannya agar orang-orang kampung tidak lari daripada akidah dan berpegang kuat kepada ajaran agama Islam yang sebenarnya bahawa Tuhan sahaja yang berkuasa ke atas segala-galanya dalam dunia ini. Sambil berjalan Maizan membuka cerita kepada dua orang sahabatnya yang baik dan setia itu apa yang dilihatnya pagi tadi sewaktu membantu ayahnya menoreh getah di kebun milik Haji Idris seorang pesara polis yang pernah berkhidmat pada masa negara menghadapi zaman darurat ancaman pengganas komunis sehingga ramai anggota pasukan keselamatan dan rakyat terkorban.
“Kau kenal ke tiga orang lelaki tu, Maizan?” Ramdan bertanya.
“Entahlah!” gelengnya.
“Tapi aku tengok dia orang tu orang luar bukan orang kampung ni,” dia menjawab lagi.
“Pelik!” Muka Arshad nampak berkerut memikirkan sesuatu apabila Maizan memberitahu berkenaan Bidin bersama dengan tiga orang lelaki yang tidak ketahui dari mana datangnya menaiki kenderaan pacuan empat roda menuju ke rumah banglo lama yang sedang mereka siasat itu.
“Apa yang dia orang buat kat rumah tu, hah?” tambah Ramdan lagi.
“Dan yang tambah menghairan aku lagi apa kaitan Abang Bidin dengan tiga orang lelaki ini. Macam ada sesuatu rahsia yang mereka simpan dalam rumah ni,” kata Maizan pula.
Serta-merta Arshad mengangguk-anggukkan kepala apabila mendengar andaian yang dibuat oleh kawannya sambil bersuara.
“Aku amat bersetuju sekali dengan apa yang kau katakan tu, Maizan!”
“Buktinya kau orang ingat tak masa kita pergi ke rumah tu pada malam tu Abang Bidin melarang keras supaya kita jangan menghampiri kawasan rumah tu,” ulangnya lagi.
“Ya tak ya, jugak!” celah Ramdan pula sebaliknya.
“Boleh jadi dia halau kita takut nanti kita tahu apa yang menjadi rahsia dalam rumah tu,” dia meneka.
Langkah tiga orang sahabat ini pantas terhenti dengan tiba-tiba apabila mereka membicarakan Abang Bidin bersama dengan tiga orang lelaki dan rahsia yang mungkin tersembunyi dalam rumah banglo lama di atas puncak bukit yang benar-benar menjadikan mereka tertarik dan penuh minat untuk membongkarnya. Lalu mereka bertiga mencapai kesepakatan hasil daripada apa yang diputuskan oleh Maizan untuk melicinkan lagi penyiasatan mereka terhadap rumah banglo lama yang dipunyai oleh Tuan Smith seorang saudagar Inggeris yang kaya dan terkenal di kalangan penduduk kampung sewaktu berpayung di bawah pemerintahan Inggeris pada suatu ketika dahulu.
“Kita mesti intip dan awasi gerak-geri Abang Bidin dan tiga orang lelaki ni. Aku nampak mereka adalah petunjuk yang kuat dalam penyiasatan kita ni,” ujar Maizan pula pada dua orang sahabatnya itu.
“Memang bijak dan pintar kau ni, Maizan. Aku harap pada satu hari nanti kau akan membuka syarikat yang menjalankan penyiasatan. Untuk menyelesaikan macam-macam kes terutama yang berkaitan dengan rumah yang dikatakan bermisteri dan berpenunggu. Sedangkan semua itu adalah tidak benar belaka!” puji Ramdan dengan senyuman lebar jelas kelihatan di wajahnya.
“Aku dan Ramdan pun mintalah kerja dengan kau kenalah panggil kau bos. Baik, bos! Ya, bos! Ok, bos!” usik Arshad pula.
“Hah! Siaplah kau orang nanti kalau aku betul-betul jadi bos kau orang nanti. Silap aje! Malas aje! Aku potonglah gaji kau orang berdua!” Maizan membalas juga dengan gurauan.
Lalu disambut dengan ketawa berdekah-dekah oleh mereka ketiga. Memandangkan mereka sudah terlalu lama berhenti daripada meneruskan perjalanan ke rumah Tok Ketua dan ketawa telah pun reda maka Maizan mengajak kedua-dua kawannya itu supaya menyambung semula perjalanan.
Sedar-sedar mereka telah pun sampai di rumah Tok Ketua. Harap-harap Tok Ketua ada di rumah dan tak pergi ke mana petang ni. Itulah yang berbisik dalam hati kecil tiga orang sahabat itu atau juga dikenali sebagai penyiasat yang mahu belajar menyelesaikan kes misteri yang melanda rumah banglo lama di atas bukit itu. Sebagai mengikut ajaran Islam apabila bertandang ke rumah orang Maizan pun menghulurkan salam. Kemudian disambut oleh Tok Ketua dengan menjawab salam sambil muncul di muka pintu.
Dia menjemput ketiga-tiga sahabat itu naik ke rumah dan setelah bersalaman dan duduk di atas kerusi Maizan lalu menyatakan tujuan sebenar mereka datang ke rumah Tok Ketua pada petang ini. Namun Maizan tidak berterus terang kepada Tok Ketua dengan menjelaskan bahawa kedatangannya bersama dengan kawan-kawannya adalah untuk mendapatkan maklumat berkenaan Tuan Smith. Sebaliknya dia memulakan apa yang telah dirancangkannya bersama dengan Ramdan dan Arshad dengan bertanya tentang sejarah dan asal usul tempat mereka bertiga tinggal sekarang.
Sebagai ketua yang dilantik oleh orang-orang kampung untuk memimpin kampung ini Tok Ketua atau nama sebenarnya Haji Rashid seorang bekas pesara tentera yang pernah berjuang dengan Haji Idris menentang ancaman pengganas komunis sehingga Tanah Melayu pada ketika itu terpaksa diisytiharkan darurat lalu menceritakan sejarah kampung ini.
“Menurut cerita orang tua-tua kampung ini dinamakan Kampung Bukit Tembusu kerana seluruh kawasan di kampung ini berbukit dan mempunyai banyak pokok tembusu.”
Maklumat yang diberikan oleh Tok Ketua itu lalu dicatit di dalam buku tulis yang dibawa bersama oleh ketiga-tiga sahabat itu.
“Tok tahu tak cerita tentang Tuan Smith tuan rumah banglo lama di atas bukit itu?” Dengan tiba-tiba Ramdan menyoal Tok Ketua.
“Setahu tok walaupun Tuan Smith seorang yang kaya dan mempunyai ladang getah di kampung ini pada waktu itu tapi dia tidak sombong dan baik hati serta sentiasa membantu orang-orang kampung yang bekerja di ladang getahnya bila ditimpa kesusahan. Dia juga pandai bercakap dalam bahasa Melayu dan hormat pada adat dan budaya yang dipegang oleh kita sebagai orang Melayu. Ringkasnya orang-orang kampung amat menghormati dan menyenangi Tuan Smith walaupun dia seorang yang berbangsa Inggeris,” terang Tok Ketua dengan penuh panjang lebar.
“Pertolongan apa yang selalu diberikan oleh Tuan Smith kepada orang-orang kampung?” Arshad bertanya sambil memandang Tok Ketua yang duduk bertentangan dengannya.
“Kampung ni pernah pada satu ketika dulu menerima ancaman yang kuat daripada pengganas komunis. Orang-orang kampung sentiasa diugut oleh pengganas komunis supaya menyokong perjuangan mereka dengan memberikan bantuan makanan dan ubat-ubatan. Bagi memastikan keselamatan orang-orang kampung terpelihara dan bebas daripada ancaman komunis Tuan Smith telah menempatkan ramai anggota pasukan polis khas atau SC yang bukan sahaja menjaga ladang getah kepunyaannya malahan juga membanteras pengganas komunis yang cuba mengganggu gugat orang-orang di kampung ini. Hasilnya ancaman pengganas komunis di kampung ini dapat dipatahkan apabila Tuan Smith berjaya menyatakan seluruh penduduk kampung untuk bersama-sama bangkit dengan penuh semangat menghapuskan pengkhianat negara itu. Tambahan pula Tuan Smith adalah seorang bekas pegawai tentera Inggeris yang pernah berkhidmat semasa perang dunia kedua berlaku dan dia telah mengajar orang-orang kampung cara untuk menggunakan senjata dan berperang melawan komunis,” beritahu Tok Ketua lagi.
Ternyata ingatan Tok Ketua masih lagi kuat terhadap ancaman pengganas komunis yang pernah berlaku pada zaman darurat dahulu di kampung ini.
“Besar sungguh jasa Tuan Smith terhadap orang-orang kampung ni. Betul ke tok Tuan Smith dan isterinya mati dibunuh oleh pengganas komunis dalam rumah mereka tinggal di atas bukit tu?” soal Maizan pula.
“Sebenarnya tidak!” Tok Ketua sebaliknya menyambut dengan menggeleng-gelengkan kepala apabila mendengar pertanyaan yang dikemukakan oleh Maizan itu.
“Tuan Smith dan isterinya mati akibat diserang hendap oleh pengganas komunis ketika keluar dari rumah dalam perjalanan untuk menghadiri satu majlis keramaian di rumah kawannya di Kuala Pilah. Kejadian ini berlaku tidak jauh dari kawasan kebun getah yang terdapat sekarang tempat ayah Maizan selalu menoreh. Serangan ini dilakukan oleh pengganas komunis berkemungkinan untuk membalas dendam kepada Tuan Smith yang telah berjaya melumpuhkan kegiatan mereka melalui gabungan pasukan SC dan orang-orang kampung. Namun arwah Pak Harun pemandu Tuan Smith terselamat dalam kejadian ini,” sambung Tok Ketua lagi.
“Tok tahu tak di mana mayat Tuan Smith dan isterinya dikebumikan?” ucap Arshad.
“Mayat Tuan Smith dan isterinya dibawa balik ke England dan dikebumikan di sana,” jelasnya.
“Tuan Smith ada anak, tok?” sampuk Ramdan dengan menyoal Tok Ketua.
“Dia tak ada anak sebab itulah bila dia dan isterinya mati rumah tu tinggal begitu saja,” Tok Ketua membalas.
“Benar ke tok rumah tu berpuaka?” Pertanyaan yang tiba-tiba dihulurkan oleh Maizan kepada Ketua Kampung Bukit Tembusu itu.
“Macam-macam cerita yang tok dengar daripada orang-orang kampung tentang rumah tu. Ada yang kata nampak lembaga yang berkeliaran dan tidak kurang pula yang berkata terdengar bunyi suara yang aneh dan menyeramkan datang dari rumah tu. Tapi bagi tok kita tak boleh percaya sangat pada perkara-perkara tu. Yang jelas berunsurkan khurafat dan tahyul sebagai orang Islam kita harus takut pada Allah SWT. Yang berkuasa menjadikan manusia dan alam di atas dunia yang kita sedang berada ini. Tok sendiri pun tak pernah melihat lembaga dan mendengar suara yang menakutkan bila melalui rumah tu pada waktu malam sepertimana yang didakwa oleh orang-orang kampung.” Jawapan yang diberikan oleh Tok Ketua pada pertanyaan Maizan itu.
Tak lama kemudian muncul Mak Milah sambil membawa minuman air kopi dan sepinggan goreng keledek panas. Selepas meletakkannya di atas meja Mak Milah berlalu pergi dari situ sambil membawa dulang yang telah kosong untuk meneruskan semula kerja-kerjanya di dapur. Sambil menikmati juadah petang Tok Ketua bersama dengan tiga sahabat itu rancak berbual-bual.
Tok Ketua menceritakan pengalamannya bertempur dengan pengganas komunis sewaktu berkhidmat dengan pasukan tentera dahulu dan berpesan kepada Maizan, Ramdan dan Arshad agar sentiasa rasa bersyukur dan menghargai nikmat kemerdekaan sepertimana yang dirasai pada hari ini serta tidak melupakan jasa mereka yang telah berkorban demi memastikan negara ini terus aman dan sejahtera tanpa dapat diceroboh oleh musuh walau seinci pun. Semangat Tok Ketua masih lagi panas menyala umpama api yang membakar dan berkobar-kobar untuk mempertahankan negara daripada jatuh ke tangan pihak musuh walaupun dia telah lama bersara dalam pasukan tentera di mana pangkat terakhir yang disandangnya adalah sarjan.
Sebelum masuk waktu maghrib ketiga-tiga sahabat itu pun beredar dari rumah Tok Ketua dan mereka bertiga mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih di atas bantuan dan kerjasama yang telah Tok Ketua berikan kepada mereka untuk mendapatkan maklumat mengenai Tuan Smith.
Sementara itu Bidin dan Rony sibuk menggeledah seluruh rumah banglo lama itu untuk mencari peti yang dikatakan mengandungi emas sepertimana yang didengar melalui cerita orang-orang kampung. Manakala dua orang kawan Rony pula memunggah kotak-kotak yang berisi dadah dan senjata api ke dalam rumah ini untuk disembunyikan agar tidak dapat dikesan oleh pihak berkuasa. Bahawa kegiatan haram dan menyalahi undang-undang yang mereka lakukan adalah di luar rumah yang menjadi tempat persembunyian mereka di Kuala Lumpur. Apabila ada yang mahu membelinya maka mereka akan mengeluarkannya dan menjualnya dalam harga yang mahal.
Kesimpulannya Rony dan kawan-kawannya menjadikan rumah banglo lama kepunyaan seorang saudagar Inggeris bernama Tuan Smith yang terletak di atas puncak bukit di kampung ini sebagai stor untuk menyimpan dadah dan senjata api. Rony sebagai ketua sindiket dalam kegiatan ini mewah dengan untung di mana memperolehi wang yang banyak dan lumayan hasil daripada menjual dadah dan senjata api yang disorokkan dalam rumah ini serta mengupah Bidin salah seorang daripada penduduk kampung ini untuk menjaga barang-barang yang menjadi musuh utama negara dan merbahaya yang disimpan dalam rumah banglo lama ini.
“Kau cakap peti tu ada dalam rumah ni. Mana dia? Dah puas aku cari!” rungut Rony sambil mengeluh pada Bidin kerana sudah puas mencarinya sejak dari tadi dan masih lagi tidak ditemuinya sehingga dia merasa bosan.
“Kata orang kampung peti tu memang ada dalam rumah ni. Kau pun nampak kan aku pun tengah sama cari ni,” Bidin pula membalas.
“Kalau kita dapat emas tu kita kaya tahu tak!” ingatnya pada Bidin.
“Itu aku tahu, Rony. Memang peti yang mengandungi emas tu berharga kepada kita. Tapi masalahnya kita masih lagi tak jumpa peti tu. Dah puas kita geledah dalam rumah ni tapi tak jumpa,” jawab Bidin pula sebaliknya.
“Jangan-jangan peti tu dah diambil orang tak melepaslah kita jawabnya, Bidin,” teka Rony seakan-akan berputus asa apabila gagal menemui peti yang di dalamnya ada emas itu.
Mendengarkan sahaja apa yang dikatakan oleh Rony itu Bidin lalu menggeleng-gelengkan kepala sebagai tanda bantahan terhadap apa yang dikatakan oleh ketua penjenayah yang paling dikehendaki oleh polis itu.
“Tak mungkin peti tu dah dikebas oleh orang!”
“Mana kau tahu kau nampak ke peti tu tak pernah dibawa keluar oleh orang dari rumah ni! Dengan serta-merta Rony memotong bila mendengar apa yang dikatakan oleh Bidin itu.
“Tak siapa pun yang berani masuk ke dalam rumah ni bila apa yang kau suruh tu aku buat,” dia menjelaskan kepada Rony.
Setelah kawan-kawan Rony selesai memunggah dan menyusun kotak-kotak yang penuh berisi dengan dadah dan senjata api itu di dalam rumah Bidin bersama dengan Rony dan dua orang kawannya itu pun bergerak meninggalkan rumah banglo lama di atas bukit itu seperti biasa dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda yang dipandu oleh salah seorang daripada kawan Rony.
Share this novel