Seperti yang dijanjikan Ramdan dan Arshad pun pergi ke rumah Maizan. Dengan berbekalkan cahaya lampu suluh mereka bertiga meredah malam yang pekat dan gelap menuju ke rumah banglo lama di atas bukit yang penuh dengan misteri dan tanda tanya itu. Di kaki langit hitam jelas kelihatan cahaya sang rembulan dan kerlipan indah bintang-bintang menyinari seluruh alam. Ini bermakna cuaca pada mala mini adalah baik dan memudahkan perjalanan tiga orang sahabat ini ke tempat yang dituju. Angin malam yang bertiup dalam nada sepoi-sepoi bahasa mengiringi sepanjang perjalanan mereka bertiga ke rumah banglo tinggal kepunyaan seorang saudagar berbangsa Inggeris bernama Tuan Smith yang dibina pada zaman penjajah dulu.
Tiga orang sahabat ini mengatur langkah dengan berhati-hati. Takut tersepak tunggul atau apa juga yang boleh menyebabkan jatuh di atas tanah dalam suasana malam yang gelap. Dalam fikiran mereka sudah terbayang akan rupa dan wajah lembaga yang akan ditemui. Namun mereka tetap tekad dan membulatkan hati. Tidak takut mahupun gentar demi semata-mata untuk mencari rahsia dan menyiasat kewujudan misteri di rumah banglo lama ini. Sehingga membawa ketakutan dan menjadi perbualan orang-orang kampung.
Semoga jawapan yang mereka bertiga cari akan terungkai pada malam ini. Bunyi cengkerik yang bersahut-sahutan memecah kesunyian malam yang dingin jelas kedengaran memecahkan suasana belukar yang mereka tempuhi. Begitu juga dengan bunyi daun-daun yang bergeseran dan pohon-pohon bergoyangan juga jelas terdengar oleh mereka. Walaupun tidak dapat melihatnya kerana ditutupi dengan suasana malam yang hitam dan pekat hanya berpandukan kepada cahaya lampu suluh sebagai panduan arah jalan.
“Kau ingat ke jalan ni, Maizan. Gelap ni! Buatnya kita tersesat nanti susah kita.” Tiba-tiba Ramdan bersuara memberi ingatan kepada Maizan yang berjalan di depan.
“Aku ingat, Ramdan. Aku berpandukan kepada pelan yang aku lukis ni. Hah! Kau tengok ni.” Maizan mengeluarkan sekeping kertas yang di dalamnya tertera jalan dan penunjuk arah menuju ke rumah banglo itu dan menyerahkannya kepada Ramdan.
Dia kemudiannya lalu menyambut kertas yang dihulurkan oleh Maizan itu dan menyuluhkannya dengan cahaya lampu. Arshad yang berada di sebelahnya juga menengok pelan yang disediakan oleh Maizan. Rasa ingin tahu bagaimana Maizan boleh ingat jalan ke rumah banglo itu walaupun dalam malam yang gelap lantas menendang-nendang dalam dirinya.
“Hebat kau, Maizan!” puji Arshad sambil menepuk-nepuk lembut bahu kawannya itu.
“Macam mana kau boleh ingat jalan nak ke rumah tu?” ucapnya lagi.
Namun Maizan sedikit pun tidak berasa riak dengan kata-kata pujian yang dihamburkan oleh Arshad itu sebaliknya dia tenang membalas.
“Bukan ke kita selalu ikut jalan ni pergi mandi sungai dekat dengan rumah tu. Jadi, bila kita dah biasa lalu dah tentu kita ingat. Petang tadi lepas siap kerja sekolah aku buatlah peta lakaran ni.”
“Sama jugak kalau kita nak lulus cemerlang dalam peperiksaan. Kenalah kita rajin selalu menghafal dan mentelaah pelajaran. Dah tentu kita ingat dan jawab soalan dalam peperiksaan,” sampuk Ramdan pula sebaliknya.
“Memang betul cakap kau orang berdua. Hei! Jadi pelupa pulak aku ni!” Arshad berkata.
Apa yang dicakapkan oleh Arshad itu seperti biasa akan membuatkan Ramdan tersenyum apabila mendengarnya dan lantas membalas dalam nada suara yang berbunyi gurauan.
“Macam mana ni, sahabat? Belum tua lagi dah jadi pelupa!”
Mendengarkan sahaja kata-kata Ramdan itu menjadikan Arshad lalu berpaling ke arah muka Ramdan yang jelas kelihatan dalam kesamaran malam. Dia tahu sahabatnya yang seorang ini memang suka mengusik dia.
“Kau perli aku ke, Ramdan?” tanyanya sambil tersenyum kecil. Begitu juga dengan Maizan yang turut tertawa apabila melihat gelagat kedua-dua orang kawannya. Sekali-sekala terasa angin yang bertiup halus dan lembut menyapu kulit muka mereka. Berbanding dengan tangan dan kaki tidak terasa kerana memakai baju lengan panjang dan seluar tebal untuk mengelak daripada rasa dingin angin malam serta nyamuk bila melalui belukar dan semak samun yang tebal.
“Perli apa pulaknya. Memang kenyataan masih belajar lagi tapi umur macam seorang datuk.” Ramdan tak henti-henti mengusik dan ketawa.
“Habis kau tu tak jadi tua satu hari nanti. Muda aje sentiasa,” balas Arshad pula sebaliknya.
Maizan yang selama ini berdiam diri lalu pantas mencelah memandangkan mereka sudah agak lama juga berhenti daripada meneruskan perjalanan ke rumah banglo lama itu.
“Sudahlah tu! Kau orang berdua janganlah asyik nak bertekak aje. Mari kita pergi. Nanti tak dapat pulak apa yang kita nak siasat.”
Tanpa membuang masa ketiga-tiga sahabat itu menyambung semula perjalanan dengan Maizan mengetuai di depan. Manakala Ramdan berada di tengah sementara Arshad pula berada di belakang. Langkah yang mereka atur tetap tenang dan tidak tergopoh-gapah kerana mereka perlu melalui laluan bukit yang semakin hampir dengan rumah banglo lama itu. Yang ingin mereka siasat dan memecahkan misteri yang menyebabkan ia dikaitkan dengan lembaga aneh dan menyeramkan.
Ketika mereka menghampiri kawasan rumah banglo lama itu tiba-tiba mereka nampak kelibat orang dengan cahaya lampu suluh keluar daripada rumah itu. Langkah mereka lantas terhenti dan Ramdan tiba-tiba lalu bersuara perlahan.
“Eh …! Kau orang nampak tak macam orang bawa lampu suluh. Datang dekat dengan kita. Agaknya dia nampak kita datang, tak ...?”
“Yalah! Jangan-jangan itu tak lembaga yang dikatakan oleh orang-orang kampung tu!” Arshad sebaliknya menyambut tekaan Ramdan itu.
“Sabar dulu!” Maizan menenangkan kedua-dua orang kawannya.
“Aku rasa bukan lembaga atau lembaga. Kau orang tengok betul-betul. Kelibatnya macam manusia,” tambahnya lagi.
“Maizan …! Ramdan …! Kau orang tengok tu. Dia semakin dekat datang dengan kita,” kata Arshad.
“Biarkan dia datang. Boleh jugak kita tahu siapa dia yang sebenarnya. Tak usah takut bawa bertenang aje,” Maizan bersuara.
Kelibat yang membawa lampu suluh itu lalu menghalakan cahaya ke arah mereka bertiga dan mereka membuat perkara yang sama pada kelibat itu. Jawapan yang mereka temui kelibat itu rupanya adalah Abang Bidin salah seorang penduduk kampung. Dan bukannya lembaga atau hantu sepertimana yang digembar-gemburkan oleh orang-orang kampung terhadap rumah banglo lama tinggal itu.
“Hei! Budak-budak! Apa kau orang buat di sini, hah!” Bidin meninggikan suara.
“Kami jalan-jalan aje,” jawab Maizan. Dua orang lagi kawannya Ramdan dan Arshad sebaliknya hanya mendiamkan diri saja.
“Jalan-jalan apa?” balas Bidin dalam nada suara yang kuat sambil memandang wajah mereka bertiga dengan rasa yang marah. Seolah-olah mereka telah melakukan salah yang besar padanya dan tak boleh dimaafkan.
“Kami nak tengok rumah banglo lama tu,” jelas Maizan lagi.
“Hei! Kau orang bertiga ni nak mampus agaknya. Rumah tu berpuaka dan berpenunggu tahu, tak!” tengking Bidin.
“Tahu, bang!” sambut Maizan dengan anggukkan kepala yang pantas terhadap kata-kata keras yang dilemparkan oleh Bidin itu terhadapnya dan kawan-kawannya.
“Tapi …!” ulangnya lagi.
“Sudah aku kata! Lebih baik kau orang pergi balik sekarang. Pergi!” halau Bidin pada Maizan dan kawan-kawannya.
Maizan lalu berpandangan dengan Ramdan dan Arshad yang hanya mendiamkan diri sahaja sejak dari tadi tanpa berkata walau sepatah pun apabila dilayan dengan keras dan kasar oleh Bidin. Dia kemudiannya mengajak kawan-kawannya supaya meninggalkan kawasan rumah banglo lama di atas bukit yang penuh dengan misteri sebaliknya pulang ke rumah masing-masing semula. Nampaknya tujuan mereka untuk merungkai misteri yang menjadi persoalan pada rumah ini menemui jawapan yang gagal kerana dihalang oleh Bidin.
“Ingat! Kau orang jangan datang lagi ke sini. Nahas kau orang nanti!” Amaran keras diberikan oleh Bidin kepada tiga orang remaja yang masih lagi bersekolah itu yang tanpa diketahuinya adalah peminat setia kisah-kisah yang berkaitan dengan penyiasatan.
Maka pada keesokan harinya tajuk utama perbualan tiga sekawan itu sewaktu dalam perjalanan dari rumah menuju ke sekolah adalah berkisar tentang Abang Bidin menghalang mereka daripada memasuki rumah banglo lama yang dikatakan berpuaka itu.
“Kau orang tahu tak balik aje ke rumah malam tadi aku asyik memikirkan kenapa Abang Bidin tak bagi kita dekat dengan rumah tu,” ujar Maizan.
“Hairan jugak ya dengan perangai dia tu. Marah-marah dengan kita bila nak pergi ke rumah tu,” Arshad menyambung pula sebaliknya.
“Makin menarik kisah misteri rumah ni. Macam yang kau cakap tadi Arshad. Aku pun rasa pelik juga apa kaitan dia dengan rumah ni,” celah Ramdan.
“Kita tak boleh patah semangat. Kita mesti teruskan siasatan. Kali ini kita masuk dengan senyap-senyap. Jangan sampai dia tahu,” Maizan berkata.
“Kita nak pergi lagi ke malam ni, Maizan?” Langkah Ramdan serta-merta terhenti dan memandang muka Maizan.
Jawapan yang diberikan oleh Maizan pada pertanyaan Ramdan itu sebaliknya adalah dengan gelengan kepala.
“Tak!”
“Kita cari masa yang sesuai. Sebelum tu malam tadi aku ada terfikir sesuatu,” tegasnya lagi.
“Apa yang kau fikirkan, Maizan?” Arshad menyoal dengan rasa penuh minat untuk mengetahui apa sebenarnya cadangan kawannya itu untuk mendapatkan jawapan penyiasatan misteri rumah banglo lama yang baru mereka mulakan itu.
“Kita mesti cari maklumat macam mana rupa lembaga tu dan latar belakang pemilik rumah Tuan Smith,” terang Maizan pada kedua-dua orang kawannya itu.
“Macam mana pulak dengan Abang Bidin?” sampuk Arshad pula dengan tiba-tiba apabila mendengar apa yang dijelaskan oleh Maizan itu.
“Mungkin dia ada kaitan. Tapi kita mesti dapatkan cerita kedua-dua yang telah aku katakan tadi. Barulah kita dapat petunjuk dan bukti untuk melengkapkan penyiasatan kita.” Dia memberikan ulasan pada pertanyaan yang dikemukakan oleh Arshad itu.
“Memang hebat kau ni, Maizan. Sebab itulah aku dan Arshad lantik kau sebagai ketua penyiasat untuk menyelesaikan misteri ni. Macam cerita yang kita selalu baca dalam buku,” Ramdan mencelah.
Ketiga-tiga sahabat itu lantas ketawa berdekah-dekah dan mempercepatkan langkah supaya tidak lambat sampai ke sekolah dan tiba mengikut waktu yang telah ditetapkan.
Share this novel