BAB 1

Romance Completed 2000

“ SERIUS? Kau biar betul? Muka handsome macam James Franco ni pun kau reject jugak? Lelaki macamana lagi yang kau nak ni sebenarnya?” Seri Shazana membebel sebaik dia melihat gambar Danial yang tersimpan di dalam telefon bimbitku. Ya, Danial. Danial bin Haji Bakar, Pengurus Operasi di syarikat tempat aku berkerja yang aku tolak lamaran cintanya beberapa hari yang lalu. Aku ‘curi’ gambar itu daripada facnya semata-mata kerana mahu menunjukkan kepada Seri Shazana apabila gadis itu beria-ia mahu melihatnya.

Aku lantas merampas semula telefon bimbitku itu dan kucampakkan ke dalam beg tangan. “ Hmm… apalah ada pada rupa…” jawabku perlahan dan malas.

“ Huh! Apa ada pada rupa konon? Eh, rupa bakal suami kau tu penting tau! Untuk memastikan yang anak-anak kau nanti semuanya molek-molek… comel-comel rupanya. Kau rasa, kalau kau kahwin dengan Ajak, mamat yang suka kacau kau tu, kau boleh dapat anak comel macam anak Che Ta? Jangan mimpilah kot!”

Ah, Seri Shazana sudah mula mengarut. Apa kena mengena semua ini dengan Ajak, bahkan dengan anak pelakon Rozita Che Wan pun aku tidak tahu. Terlalu jauh rasanya Seri Shazana berimaginasi. Namun, secara tiba-tiba tanpa dipinta, wajah Ajak, salah seorang pekerja di kedai makan yang lokasinya tidak jauh dari apartment kami itu melambai-lambai di depan mata. Hendak tergelak rasanya apabila aku terbayangkan wajah lelaki berambut panjang paras bahu, berkulit gelap dan suka memakai seluar jean ketat yang suka berkirim salam padaku itu. Gayanya persis rocker zaman dulu-dulu.

Hmm… ya, memanglah aku tidak memilih rupa, Tapi, simpang malaikat 44 aku nak pilih lelaki macam dia. Lagipun umurnya jauh lebih muda dari aku. Bukan citarasa aku hendak berpacaran dengan lelaki muda, walaupun lelaki muda itu kacak bergaya, anak datuk atau anak raja sekali pun. Aku tak berminat. Maaf.

“ Kenapa kau senyum?” Seri Shazana menjeling.

“ Tak ada apa-apa.” Aku geleng kepala. Namun masih tersisa senyuman di bibirku apabila terkenangkan lelaki kurus tinggi bernama Ajak atau nama sebenarnya Razak itu. Seketika itu juga aku melihat Seri Shazana mencebik dan jelingannya padaku semakin tajam.

“ Eleh…! Seri Shazana menarik muka. “ Nak mengata akulah tu, kan!?” tukasnya.

“ Kau ni, kalau membebel macam mak nenek. Mak aku pun tak membebel macam kau, tau!”

Memang dengan Seri Shazana aku selalu berterus terang. Cakap tidak berlapik, kata orang. Sudah terlalu lama berkawan dengannya semenjak dari zaman universiti. Menjadi rakan sebilik selama hampir dua tahun membuatkan kami sudah saling kenal mengenali di antara satu sama lain. Dia tahu banyak tentang aku. Dan aku juga tahu bermacam-macam perkara tentang dia. Cuma satu cerita sahaja tentang aku yang dia tidak pernah tahu. Dan aku juga tidak tahu sampai bila aku hendak berahsia dengannya. Dan aku masih belum bersedia hendak memberitahunya tentang hal itu.

“ Aku ni membebel untuk kebaikan kau jugak. Bukan saja suka-suka. Aku naklah tengok kau dapat boyfriend yang baik… handsome… kaya. Taknaklah aku, kawan baik aku ni dapat boyfriend macam si Ajak tu. Nak mengaku kawan pun aku malu nanti.”

Menggeleng kepala aku mendengar kata-kata Seri Shazana. Dari awal lagi memang dia tidak pernah berkenan dengan si Ajak tu. Bahkan setiap kali Ajak menjadikan dia sebagai orang tengah untuk berkirim salam padaku, teruk si Ajak itu akan diceramahnya. Dan si Ajak pula jenis lelaki muka tebal. Langsung tidak makan saman. Lagi aku dan Seri Shazana tidak mahu melayannya. Lagi bersemangat dia hendak menyakat kami berdua. Malah kata Ajak kepada Seri Shazana, semakin aku jual mahal. Semakin dia suka padaku.

Gila betul! Tapi aku tidak pernah ambil serius pun perkara tersebut. Bagiku, selagi dia tidak melakukan sesuatu yang tidak baik kepadaku, rasanya tiada apa yang hendak aku takutkan. Lagipun aku yakin, si Ajak, walaupun nampak gila-gila orangnya, tapi hatinya baik. Cuma penampilannya yang serabai itu yang mencacatkan personaliti dirinya dan membuatkan dia kelihatan seperti seorang perogol bersiri. Ah, suatu hari nanti aku berharap dia akan merubah penampilannya. Mungkin selepas itu baru ada gadis yang akan berminat dengannya.

“ Come onlah beb. Terima ajelah si Danial tu. Muka handsome. Kerja pun bagus. Apa lagi yang tak kena?”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience