BAB 2

Romance Completed 2000

Seri Shazana ternyata ralat bila dia tahu aku menolak cinta si James Franco. Namun hendak diapakan, cinta itu tidak boleh dipaksa. Lagipun, hatiku ini sebenarnya sudah dimiliki oleh seseorang yang lebih istimewa bagiku. Walaupun hubungan kami masih belum menemui hala tuju yang jelas, namun hati ini tetap mencintainya. Hanya dia satu-satunya lelaki yang bertakhta di hatiku buat masa ini.

Dan Seri Shazana, ya… Seri Shazana tidak pernah tahu akan hal ini. Walaupun dia adalah teman baikku. Yang rapat denganku seperti isi dengan kuku. Namun, dia tidak pernah tahu tentang hal yang satu ini.

Malam itu, usai makan malam dan menunaikan solat Maghrib, aku terus bersiap-siap hendak keluar. Melihat aku yang sedang bersiap-siap di hadapan cermin, Seri Shazana terus memandangku dengan pandangan yang pelik. Kemudian, pantas dia bercekak pinggang dan mula menyoal siasatku seperti seorang polis menyoal sang pesalah.

“ Amboi! Lawa-lawa nak pergi mana ni?”

Soal siasat sudah bermula.

“ Nak keluar kejap. Kejap je.” Jawapanku membuatkan Seri Shazana bertambah pelik. Ah, aku hanya berseluar jean lusuh, berbaju pasar malam dan bertudung bawal kangaroo sahaja, kot. Entah di mana yang cantiknya pun aku tidak tahu.

“ Dengan siapa? Pergi mana?” soal Seri Shazana sambil duduk di birai katil. Namun matanya masih melekat pada wajahku. Aku tahu, dia tidak berpuas hati dengan jawapanku tadi.

Aku berpura-pura sibuk membetulkan lipatan tudung bawalku yang sedikit berkedut di bahagian atas kepala. Mencelak mata dan sekali lagi menyapu bibirku dengan gincu berwarna merah jambu kegemaranku. Seri Shazana yang sedang mencerlung merenungku di sebelah tidak kupedulikan. Ah, adakah garis-garis penipuan sedang kelihatan pada wajahku sekarang? Harap-harap tidak.

“ Hmm… nak keluar dengan officemate aku kejap. Ada hal sikit nak discuss, fasal kerja,” jawabku sebaik memastikan solekan di wajahku sempurna. Maaf Seri Shazana, aku terpaksa menipumu. Sungguh-sungguh aku terpaksa.

“ Oh… ya, ke?” Wajahnya kelihatan tidak percaya.

“ Ya… sebelum pukul 10 aku balik,” janjiku padanya. “ Kau tidurlah dulu. Tak payah tunggu aku.”

Seri Shazana kemudian hanya diam dan tidak bertanya apa-apa lagi. Cuma dia sempat berpesan agar aku tidak balik terlalu lewat dan terus menghubunginya jika ada apa-apa berlaku. Begitulah Seri Shazana, seorang teman yang sangat mengambil berat tentangku sejak dulu lagi.

“ Okey. Don’t worry,” ujarku ceria sebelum melangkah keluar dari bilik. Rasa tidak sabar hendak pergi ke tempat yang ingin aku tuju sebentar lagi ini.

Aku pantas memandu kereta Nissan Grand Livinaku lalu menuju ke suatu tempat. Rasanya sudah hampir dua minggu aku tidak menjejakkan kaki ke sana dan menatap wajah lelaki yang kesayanganku itu. Entah apa khabar dia? Marah benar dia padaku agaknya sehinggakan dia langsung tidak mahu menelefonku dan menjawab setiap panggilan dan mesej yang kuhantar padanya. Tak mengapa, kali ini biar aku yang mengalah dan memujuknya. Lagipun, memang aku yang bersalah dalam hal ini.

Aku memberhentikan keretaku di hadapan sebuah gerai burger yang berada tidak jauh dari lokasi apartment sewaanku sebenarnya. Kebetulan, hanya dia seorang yang sedang berada di gerai burger itu ketika aku sampai. Adam, teman yang sering membantunya tiada ketika itu.

“ Nak tolong,” ujarku girang sebaik keluar dari kereta lalu terus menuju ke arahnya. Tanpa disuruh, pantas aku mencapai sebilah pisau dan sebiji tomato. Namun belum sempat aku hendak berbuat apa-apa, dia pantas merampas tomato dan pisau tersebut dari tanganku.

“ Tak payah!” ujarnya kasar.

“ Nak jugak!” Aku kembali mengambil pisau dan tomato tersebut.

“ Tak payah!” Dia merampas semula.

“ Nak jugak!” Aku tetap berdegil.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience