BAB 10

Romance Completed 2000

Dan tiba-tiba juga, hati terasa ingin menjerit-jerit.

Tak dapat tengok orangnya, dapat tengok gerai burgernya pun jadilah. Bisik hati kecilku tak semena-mena. Sedar tak sedar, pantas aku melompat dari katil dan terus menyarung tudung lantas mencapai kunci kereta. Kerja gila. Ah, lantaklah. Aku sudah tidak mampu menahannya lagi.

Ketika keretaku melintasi di hadapan gerai burgernya, aku tidak dapat melihat kelibat Saddiq. Yang ada di situ cuma Adam dan beberapa orang perempuan dan lelaki yang mungkin sedang menunggu burger mereka. Selepas dua kali lalu lalang di situ seperti orang bodoh, akhirnya aku memberanikan diri memberhentikan kereta. Itupun selepas aku memastikan yang Saddiq benar-benar tiada di situ. Pura-pura mahu membeli. Tapi sebenarnya lebih kepada ingin menyiasat. Ah, Lis. Apa yang kau buat ni?

“ Saddiq tak ada, ke?” Selepas memesan burger, aku memulakan penyiasatanku. Sesekali mataku meliar. Bimbang juga kalau-kalau Saddiq tiba-tiba muncul di situ kerana rumahnya hanya berada di belakang lorong ini sahaja. Biar pun aku merinduinya, aku berdoa yang dia tidak muncul ketika ini.

“ Is kat hospital. Dah seminggu dia tak ada kat sini.”

“ Hospital?” Aku terkejut besar. “ Kenapa? Dia sakit, ke?” Tidak dapat aku sembunyikan rasa risau yang datang bertandang tiba-tiba. Perasaan risau itu seperti menusuk-nusuk hati. Apa yang sudah terjadi kepada Saddiq ku?

“ Tak… mak dia,” jawab Adam sambil menyiapkan pesananku. “ Barah mak dia dah merebak katanya. Dah sampai ke otak…”

“ Ya Allah!” Aku menekup mulut. Kelopak mata mula bergenang dengan rasa sebak yang tidak dapat ditahan-tahan. Kasihannya Saddiq. Bagaimana agaknya Saddiq menjaga ibunya dalam keadaan getir seperti ini. Dan siapa pula yang menguruskan adik-adiknya di rumah?

Ya Allah. Tidak. Aku tak patut mendiamkan diri. Aku harus ke hospital membantunya.

Tapi…

Ah, mahukah Saddiq menerima kedatanganku? Bagaimana kalau-kalau dia menghalauku di hadapan semua orang nanti?

“ Doktor cakap harapan untuk mak dia sembuh tipis.” Cerita Adam lagi. Walaupun dia mungkin sudah tahu apa yang telah terjadi antara aku dan Saddiq, namun dia langsung tidak bertanya apa-apa. Malah baik sahaja layanan dia kepadaku sejak mula-mula aku sampai tadi. Tiada apa yang berubah.

Aku hilang kata dan hanya mendiamkan diri. Buat seketika aku duduk termangu di situ sehinggalah Adam menghampiriku dan menghulurkan sebuah plastik kecil berwarna merah. Tersentak dengan hulurannya, aku lantas mengeluarkan dompetku. Namun, ketika sedang terseluk-seluk hendak mengeluarkan duit, Adam tiba-tiba bersuara.

“ Tak payah bayar,” ujarnya padaku.

“ Eh, kenapa pulak?” tanyaku pelik

Adam tersenyum. “ Macam biasalah…” ujarnya sambil tersenyum-senyum.

Oh, patutlah Adam tidak bertanya atau menyebut apa-apa. Rupa-rupanya dia masih belum tahu apa yang telah terjadi antara aku dan Saddiq.

Aku renung wajah Adam. Tidak. Aku tidak boleh mengambil burger ini secara percuma. Dulu lain, sekarang lain. Memang dulu aku tidak pernah bayar kerana Saddiq yang menetapkan begitu. Malah aku boleh sediakan burgerku sendiri dan letaklah seberapa banyak bahan yang aku suka di dalam burger tersebut tanpa sebarang bayaran pun. Aku cuma pura-pura membayarnya hanya apabila Seri Shazana berada denganku.

Tapi itu dulu. Sekarang berbeza. Malah kalau Saddiq berada di sini ketika ini, mungkin dia akan mengharamkan terus aku membeli di sini lagi.

“ Tak apa, Adam. Ni rezeki awak malam ni. Nah.” Aku terus menghulurkan duitku padanya. Ketika itu juga, gadis genit berkereta kancil yang datang membantu Saddiq di gerai tempoh hari muncul tiba-tiba. Dia memandangku sambil tersenyum kemudian segera mencapai apron dan melakukan kerja-kerjanya. Dalam hati aku masih tertanya-tanya. Siapa agaknya dia?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience