BAB 4

Romance Completed 2000

Gadis itu bersuara manja dengan Saddiq. Tanpa teragak-agak, aku menoleh ke arah mereka berdua. Kulihat selepas gadis itu menghulurkan beg plastik tersebut kepada Saddiq, dia terus menyarung apron yang sedia ada di situ, seolah-olah apron tersebut memang sudah disediakan khas untuknya. Mataku tiba-tiba terbelalak melihat aksi mereka berdua yang nampak mesra seperti sudah lama saling kenal mengenali.

Oh, patutlah! Patutlah Saddiq menyuruh aku balik. Patutlah dia tidak mahu langsung memandang wajahku. Patutlah dia tidak mahu aku membantunya dan Adam juga tiada pada malam ini.

Patutlah. Rupa-rupanya dia sudah mendapat pembantu baharu. Bijak sungguh Saddiq memilih. Orangnya cantik dan comel walaupun masih kelihatan terlalu keanak-anakkan. Tapi, mungkin Saddiq memang menyukai gadis muda yang masih mentah seperti itu. Biarlah. Aku memujuk hati sendiri.

Melihat aksi manja di antara gadis itu dan Saddiq, aku terus memboloskan diriku ke dalam kereta lalu memecut laju keretaku pergi dari situ. Tidak! Aku tidak akan menangis. Dan aku mampu menahan tangisanku sehinggalah aku sampai di rumah.

“ Kau kenapa ni, Lis? Apa yang dah jadi? Bagitau aku cepat!”

Aku tidak mampu menyembunyikan kesedihanku. Seri Shazana tidak berhenti menyoalku bertalu-talu apabila dia melihat aku menangis tersenggut-senggut di atas katil seperti perempuan mati laki.

“ Lis… kenapa ni? Kau bergaduhke dengan member kau tadi?” tanya Seri Shazana lagi dengan penuh bimbang. Belakang badanku diusap beberapa kali. Semakin kuat tangisanku jadinya. Dan akhirnya, aku tidak dapat bertahan lagi. Aku tidak mampu lagi memendam perasaanku seorang diri lalu aku meluahkan segala-galanya kepada Seri Shazana pada malam itu juga. Seri Shazana tidak marah kerana aku menipunya. Tetapi, dia terkejut besar bila mendengar cerita yang sebenar dari mulutku.

“ Ya Allah, Lis. Sejak bila pulak kau ada hubungan dengan mamat burger tu? Patutlah kau suka sangat pergi beli burger kat situ, kan? Pada hal bukan sedap mana pun,” bebel Seri Shazana yang nyata terkejut mendengar kisahku dengan Saddiq. Ya, akhirnya dia tahu juga walaupun dengan cara yang bukan aku kehendaki.

Bukan. Bukan aku tidak mahu berkongsi kisah ini dengannya selama ini. Tapi, aku tidak bersedia. Lagipun aku kenal Seri Shazana. Selera Seri Shazana yang terlalu tinggi terhadap lelaki membuatkan aku perlu berfikir seribu kali untuk aku berterus terang tentang Saddiq padanya. Aku tahu, Seri Shazana pasti tidak akan menyukai Saddiq, seperti mana dia tidak menyukai Ajak. Kerana lelaki bernama Saddiq itu hakikatnya hanya lelaki biasa yang mungkin kelihatan tidak sepadan denganku. Tapi, aku sayangkan dia. Aku benar-benar sayangkan dia dan aku tidak peduli siapa pun dia dan dari mana asal usulnya.

“ Tak apalah. Kalau kau tak nak jawab, tak apa. Tapi… janganlah menangis lagi, Lis. Risau aku tengok kau macam ni.” Seri Shazana memujukku.

Aku tahu, Seri Shazana terkejut bila mendapat tahu akan hubunganku dengan Saddiq. Kerana aku tidak pernah menunjukkan sebarang tanda yang aku menjalinkan hubungan dengan lelaki itu di hadapannya selama ini. Walaupun kami berdua selalu berkunjung ke gerai burger milik Saddiq sebelum ini. Tapi, aku dan Saddiq tidak pernah menunjukkan apa-apa. Kami berlagak seperti saling tidak pernah mengenali antara satu sama lain. Hakikatnya, sudah hampir enam bulan kami berhubungan. Dan kami pernah keluar bersama beberapa kali tanpa pengetahuan Seri Shazana atau sesiapa pun kecuali Adam, teman yang sering membantunya di gerai burger itu.

Sebenarnya, Saddiq bukanlah semata-mata berkerja sebagai seorang penjual burger. Dia mempunyai kerjaya tetap sebagai juruteknik di sebuah kilang di bandar ini. Namun, dia terpaksa mengambil keputusan untuk melakukan lebih dari satu pekerjaan selepas ibunya disahkan menghidap penyakit barah payudara hampir setahun yang lalu. Semenjak itu, dia sedar yang dia memerlukan wang yang banyak untuk menanggung kos perubatan ibunya. Tambahan ayahnya sudah lama meninggal dunia. Dan dia sebagai anak yang sulung merasakan yang dia bertanggungjawab untuk menyara ibunya dan tiga lagi adik-adiknya yang masih lagi belajar.

Semangat Saddiq itu yang membuatkan aku jadi tertarik padanya. Aku suka melihat kesungguhannya menjaga ibunya yang sakit. Aku suka melihat kasih sayang dan tanggungjawab yang ditunjukkan Saddiq kepada adik-adiknya. Dan aku suka melihat kerajinannya berkerja siang dan malam dan melupakan keinginannya untuk hidup bersosial dan berseronok seperti anak-anak muda yang lain.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience