BAB 9

Romance Completed 2000

Benar, tiada yang kurang pada lelaki tampan ini. Dia sempurna kerana punya pakej lengkap sebagai seorang lelaki.

Cuma silapnya, dia hadir terkemudian. Dia hadir setelah aku bertemu dan jatuh cinta dengan Saddiq.

“ Walau seribu tahun sekali pun?” kataku sekadar menguji. “ Sanggup?” Aku memberanikan diri menentang matanya. Sedang jauh di sudut hati, aku sebenarnya malu hendak bertentang mata dengan lelaki yang pernah melamarku ini. Tak tahu kenapa, walaupun orangnya bergaya, hati ini masih tidak tumbuh rasa cinta untuknya.

“ Sanggup.” Dia mengangguk.

Aku pantas mencerlungkan mata. Eh, mamat ni. Pandai pula hendak berjenaka.

“ Ha… ha… ha…” Aku ketawa sinis. Nama pun lelaki, kan. Selagi belum memiliki, buat apa pun sanggup. Tapi aku bukan jenis perempuan yang mudah cair dengan pujuk rayu dan kata-kata manis. Dan aku tidak pernah dimanjakan Saddiq dulu dengan cara yang begitu. Saddiq lain dari yang lain. Dia tidak pernah memuja-mujiku seperti lelaki-lelaki lain. Walaupun awalnya aku pelik melihat caranya yang tidak sama seperti kebanyakan lelaki di luar sana. Namun, akhirnya aku mengerti. Saddiq adalah Saddiq. Dia bukan jenis lelaki yang suka menanam tebu di pinggir bibir.

Ya. Saddiq tidak pernah berjanji apa-apa. Kerana itu bila dia pergi tanpa sepatah kata, aku tiada hak hendak menuntut apa-apa. Kerana dia tidak pernah berhutang apa-apa denganku!

“ Saya serius. Kenapa ketawa?” soal Danial tiba-tiba. Perlahan-lahan, tawaku reda sendiri. Aku geleng kepala. Malu pula kerena sikapku tadi mungkin agak keterlaluan.

“ Awak ada orang lain, ke?” soal Danial lagi. Soalan itu nyata menjunam tepat ke lubuk hatiku. Entah bagaimana aku hendak menjawab. Hendak mengangguk atau menggeleng? Sedang hanya mendiamkan diri pastilah akan memberikan jawapan yang tersendiri.

“ Sorry, saya tanya. Kalau tak nak jawab tak apa,” ucapnya. “ Tapi, sebaiknya awak jawablah agar saya tahu. Saya tak nak… esok lusa ada lelaki datang belasah saya atas tuduhan merampas kekasih orang,” sambungnya lagi sambil menghabiskan saki baki nasi di pinggannya. Riak wajahnya yang bersahaja itu membuatkan aku tidak dapat mengagak sama ada dia serius atau pun sebaliknya.

“ Tak. Saya tak ada sesiapa!”

Lambat-lambat ayat itu keluar dari bibirku. Ia keluar secara tidak sengaja dari bibirku. Tiba-tiba, aku jadi malu sendiri. Entah apa yang sudah terjadi hingga aku jadi terlalu berterus-terang begini. Mungkin, kerana aku semakin pasti yang aku dan Saddiq sudah tiada peluang untuk kembali bersama. Namun itu bukanlah suatu tanda yang aku sudah menerima kehadiran Danial dalam hatiku.

“ Alhamdulilah…” ucapnya dengan wajah gembira. Matanya tajam merenung mataku. Seolah-olah dia hampir pasti yang aku sudah menerima lamarannya. “ Tapi… itu tak bermakna yang saya sudah diterima, kan?” Dia menyoalku sekali lagi.

Aku diam dan tergamam. Tidak tahu apa yang hendak aku balas.

“ Tak apalah… bila-bila masa awak nak jawab pun, saya tak kisah. Saya tunggu. Dan saya sedia dengan apa juga jawapan awak nanti,” ujarnya seraya mengukir senyumannya padaku. Segaris senyuman yang bukan sahaja manis. Tapi juga ikhlas.

Namun senyuman manis itu tetap tidak mampu menggoda hati.

Aku bergolek-golek di atas katil sendirian. Sunyi rasanya berada di dalam bilik ini tanpa Seri Shazana. Kalau Seri Shazana ada, tentu di waktu-waktu begini kami sedang berborak-borak tentang segala macam perkara. Hendak berborak dengan teman-teman serumah yang lain, kami tidak sekepala. Bahkan mereka juga jarang-jarang berada di rumah ini kerana sibuk dengan urusan masing-masing.

“ Aku tak ada dua hari. Jaga bilik baik-baik, tau!” seloroh Seri Shazana pagi tadi sebelum dia bertolak ke Kuala Lumpur atas urusan kerja. Ah, dua hari saja. Macam dua minggu terasa lamanya. Dek kesunyian ini membuatkan aku terfikirkan Saddiq tiba-tiba. Apa khabar agaknya dia?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience