Puteri Amanda

Others Series 850

Pasangan hot Mulder dan Scully, Skinner serta beberapa makhluk asing termasuk lubang jamban kebingungan yang hobinya membunuh antara wayang gambar era kini dari tanah barat yang paling mahsyur. Setiap rabu malam selepas berita, saluran televisyen RTM diasak-asak penonton dari para ibu yang sedang menggosok baju sekolah anaknya, gadis-gadis yang suka mengupas kulit bawang depan filem Korea, sampailah golongan ahli nujum yang kerjanya menangkap kesudahan jalan cerita. Semua terkesan. Paling tak ku duga, kaum ayah yang sentiasa berwaspada memerhati sekeliling rumah, bimbang sekiranya ada pinggan terbang dari singki lalu menculik anak gadis mereka.

Aku tidak terikut-ikut dengan kegilaan semua orang. Bagiku, slot seram itu yang hanya sekadar dari muziknya sudah cukup membuatku histeria kalau-kalau lubang tandas mengunyah punggungku. Entah bagaimana bunyi opening yang sekadar muzik tanpa sebarang lirik mampu menyekat keberanianku. Sedangkan ngauman Ibu pun ku tangkis sebelah tangan. Nescaya, kalau jurutera bunyi yang menghasilkan karya itu adalah bangsa Melayu, pasti ada unsur pemujaan kubur diterapkan. Mungkin dia mendapatkan ilham selepas mendengar bunyi dendangan puaka penjaga kubur bermain trambolin sambil tiup seruling menunggu nombor ekor timbul di atas busut.

Tapi geng, ada kisah romantis disebalik kegalauan takutku yang membuat sukma ini tenteram. Aku langsung sama sekali tidak ingat perihal kengerian malam itu. Biasanya, awal senja aku sudah termangu didalam bilik menyiapkan kerja sekolah. Maka, tersebutlah kisah, yang terjadi beberapa purnama lepas. Sedang aku asyik dibuai redup kipas siling yang bunyinya seperti angsa lapar, tidak semena-mena, aku disentap luluh oleh muzik keramat berhantu itu. Tubuhku bingkas lari membelakangi kerusi malas yang kerjanya memalaskan orang. Kedua telapak tangan kutelangkupkan ke telinga. Ibu ketawa, marah memerli. Aku menuju keluar ke kaki lima lantas bersandar pada anak pagar.

Tiba-tiba, ‘debukkk!’. Tubuh kering ku jatuh dihisap graviti. Dua batang anak pagar yang lapuk tak berdaya menampung beban beratku memandangkan usianya yang merangkak menghampiri alam spiritual. Jemariku sempat meraup rel kayu yang mendatar tapi tak tertahankan. Nah, babak ini lah pembuka selera sajian kisah cinta ku dan Putri Amanda. Landing tepat di atasnya, dia menyelamatkanku dari ditelan tanah becak dan mungkin boleh luka kecil atau parah sekiranya ada kayu tajam atau pecahan kaca. Ibuku pucat mayat sambil menunggu pakcik Salleh bergegas turun kebawah dan menggendongku naik.

“Nyuk, sini kejap!”

“Kenapa? Aku mau tengok Keluang Man ni! Mau main suda. Aduh...” Menggaru-garu kepalanya.

“Sini lah. Kejap ja...Ada aku mau bagitahu kau. Penting ni.” Aku berkeras, tetap menunggunya datang.

“Diaaaa ~ bagai seorang pahlawan ~ Nah kan. Main suda....” Dengan cepat menuju ke arahku. “Kenapa?...”

“Kau ingatkah hari tu kita tengok di bawah kolong si Kenong, masa naik air. Ada budak botak tu duduk dalam esbok dibuatnya macam perahu.” Esbok (icebox) - merujuk pada peti ais.

“Ada bah tu rambutnya. Siiikit. Ingat. Kenapa?” Kepalanya silih ganti ke arah suara tv dan suaraku.

“Ada ku jumpa. Di bawah kolong rumahku. Kaki lima di belakang tu kan, ha dibawahnya. Yang ni kecil.”
Dia memandangku kebengongan. “Buat apa dia disitu? Mancing ketam?”

“Bukan budak tu...esbok...”

“Oh...Jadi esbok tu, budak tu ndak ambil balik?

“Aduhai...Budak tu tiada kaitan. Esbok tu bukan budak tu punya. Yang budak tu hari punya mana la aku tahu di mana dia simpan. Lain dia punya tu. Panjang dari yang aku jumpa ni!”

“Oh...Ok Ok. Tapi macam mana kau tau anu nya panjang? Kau jumpa esbok, bukan dia?.”

“Astaga! Kau ni bah! Aku maksudkan esbok tu yang panjang!.”

“Jangan darah tinggi bah...” Menggaru-garu pipinya. “Hebatnya tu. Aku tahu, mesti kau mau kita kasi masuk ikan laga di dalam. Biar dorang berkahwin, baru beranak. Nanti anak nya kita jual. Kan?” Aku menyengguk. Biarkan sahaja geng. Usah ditembak. Simpan dulu pistol. Nanti sampai masa, kita bedil.
Berkat perkembangan Ilmu Hidrografi, cerapan air pasang surut membolehkan data-data serta perbezaan fasa yang menjana ke arah fenomena mempesonakan itu dijadual buat tatapan para kaki pancing dan pelayar. Tidak banyak dan mungkin tak ada sebarang ramalan pun di dunia ini yang ketepatan outputnya sehampir ramalan air pasang surut. Terbaik. Bagi kami, budak yang membesar dalam riuh perkampungan berhampiran kelengkeng kaki pantai dan perut sungai, belum masanya untuk mutalaah cabang ilmu alam itu. Kami tidak menebak paras air tapi kami mengaplikasikan rumus tertua peradaban manusia. Manusia seawal usia lima bulan pun lulus dengan kepujian secara lahiriah. Bukan ilmu pestaka, tapi nikmat mata dan penglihatan. Pasang surut air jelas mencolok mata.
Mercun dibakar yang harusnya menghalau nasib malang, malah makan diri. Acap kali penglihatan dituang ke tanah, sampah sarap tak lekang berkerumun di mana-mana selangit mata memandang. Begitulah nasib setinggan, sukar untuk memastikan persekitaran bebas dari pemandangan yang mengenyangkan. Pasti ada sahaja kawanan sampah singgah parkir di beberapa sudut yang kelihatan nyaman dan selesa. Mungkin agak letih berenang berbatu-batu jauhnya selama berbulan, malah bertahun-tahun. Lalu, tinggal menetap tanpa segan silu meminta kebenaran dari tuan rumah. Apabila pasang surut melanda, segala sarap dan sampah diajak ikut tanpa tujuan. Nah, akibat tangan sendiri, kawasan rumahku turut menjadi mangsa destinasi penghijrahan mereka.

Puteri Amanda kami iring buat pertama kalinya berlayar menjauh ke kawasan jambatan dalam. Aku dan Bunnyuk menyusupi kolong-kolong rumah, merentas denai-denai tinggalan ketam batu, berhati-hati mengikut jejak titik-titik buta para mata-mata gelap. Hari itu, Amanda ku kami larikan dari belenggu sia-sia yang membiarkannya terkontang-kanting. Setiap malam aku membayangkan agar mimpi-mimpiku penuh dengan masa bersamanya, hanya berdua. Air yang merenduh di dalam baldi saat ku biarkan pili air ternganga berdentam mendidihkan rasa rinduku.

Aku melantik diri sendiri menjadi kapten, duduk di hadapan, Putri Amanda hanya milikku seorang. Bunnyuk ku khabarkan lebih awal agar jangan melebihi garis-garis setiakawan. Pernah kuberikan mandat padanya untuk mengemudi Amanda sebagai kapten sekali dua. Atas belas simpatiku yang kesian melihatnya sering sahaja menggalas tugas kelasi. Hakikatnya, tidak kira apa pun pangkat, sama-sama mendayung. Tiada pengkhususan tugas di kenakan.

“Depan sana tu dalam sudah bah kan Nyuk?” Beberapa batang kayu terpacak di antara riuh rendah kawasan rumah dan desiran kopi susu yang pekat bertugas selaku rumah api pelayaran kami. Tanpa perlu menyuluhkan cahaya api, fizikalnya sahaja sudah mampu mengingatkan bahwa ada jurang kematian buat kami jika berani mendekatnya. Arus bila-bila masa boleh membelah.

“Iya. Hanyut ke sungai besar kita nanti. Jangan geng, lemas kita. Terus ke laut tu. Sini-sini jak kita.” Balas Bunnyuk.

“Jangan bah kau terlampau kuat bergoyang...Terbalik kita.”

“Susah mau tukar arah kalau duduk...Kena berdiri jugak.”

“Berpaut ja di tiang-tiang sambil tolak. Arus naik ke sana juga. Kita ikut ja kemana arus... Biar ja dulu jangan kau dayung.” Kataku pada Bunnyuk.

“Gila kau geng. Mana ada duyung. Ndak kan pernah ada. Tidak logik langsung. Laut lepas sana lain cerita...” Balasnya penuh yakin.

Pelayaran kedua kami berkunjung ke pengetahuan Ibuku. Dari mulut ke telinga, telinga ke mulut, aku dilibas getah paip. Menggerogot kulit nipis pahaku. Merah bagai tomato. Pedihnya menyucuk ke belakang. Bersiren seluruh kaki kanan, diikuti laungan “ampun mak ~ ampunnn ~” berulang-ulang kali. Mujur kekasihku tidak menyaksikan segala penderitaan yang ku lalui. Cukuplah hanya aku yang terseksa demi untuk perjuangkan cinta kita. Berapa kalipun libasan hinggap ditubuh kering ini, tidak akan kulepaskan makna pelayaran dalam hidup. Cinta agungku terhadap Putri Amanda tak kan bisa terpisahkan.

Luar dari aktiviti belayar, Putri Amandaku kami amanahkan pada rakan sekelas Bunnyuk, Fauzi. Budak lelaki montel itu seorang yang penuh dengan tanggungjawab dan senang memberi bantuan. Lagi pula rumahnya tidak jauh dengan rumah Bunnyuk. Aku tak terlalu bersusah payah oleh kerana bakti dari 3 batang kayu bakau yang condong 30 darjah kami gunakan sebagai medium laluan untuk mendorong amanda ke atas sementara Fauzi dan Bunnyuk, menariknya menggunakan tali yang digantung melewati rasuk lantai. Bergegar kaki rumah, drett drett tapi tak pernah dihiraukan ibunya. Amanda ku kami baringkan sebelah timbunan bongkah kayu-kayu pendek.

Belayar boleh diangkat sebagai bapa kepada perkembangan agama, budaya, bahasa, mahupun pembentukkan masyarakat. Setiap pelayar, setidak-tidaknya nakhoda, ilmu di dada perlu penuh dengan pengetahuan ilmu falak, bedah sistem bintang, susunan paras muka bumi serta tiupan angin. Gemerlapan buruj yang berlegar-legar di ruang langit dijadikan penanda akan tibanya badai taufan, atau tangisan awan yang akan menderau bumi dengan gemersik hujan lebat. Semua ini dilakukan pelayar Melayu terdahulu jauh sebelum lahirnya kompas dan alat bantu navigasi lainnya. Pemaliman dilakukan menggunakan mata kasar, mentelaah dan bertalaqi pada alam sesuai dengan tanda-tanda dan kesannya terhadap sesuatu fenomena. Banggalah anak melayu!

Antara intipati terindah yang boleh dikecap oleh setiap pelayar adalah fakta yang mana mereka mampu bertamu ke tanah yang tak terjangkau para pelancong. Seperti pelayaran aku dan Bunnyuk, kami menjadi saksi bisu keadaan kampung ini yang mengagumkan sekiranya dilestarikan. Bau lumpur yang membuak tak kami endah. Terumbang-ambing disiat anak arus air, dirisaukan oleh si Bunyyuk yang tak henti-henti membetulkan duduknya, kami tetap mampu merasakan secebis renik pengalaman para pendekar laut. Putri Amanda ku usap-usap penuh syahdu. Namanya ku ukir dengan penuh rasa sayang ditubuhnya menggunakan pisau cukur biar tak terhapus dilanggar air keruh.

“Kau tengok tu!” Menudingkan jari telunjuknya ke arah kumpulan sampah sarap yang tersangkut pada dahan pokok bakau muda yang hidup sendirian.

“Semua tempat begitu. Penuh sampah. Berapa banyak kita lalu tadi.” Kataku.

“Bukan sampahnya, pokok bakaunya tu. Boleh dikira berapa ja yang tinggal.”

“Kau tahukah, bakau ni lah tempat anak-anak ikan belindung dari kena makan. Disitu juga lah burung-burung yang berhijrah ni kan...santai berehat...bertelur.” Dalam hati aku berfikir, dia yang seusia denganku, ada ilmu yang membuatnya bangga. Seperti taraf ilmu permainan gulinya.

“Kalau ada ombak besar, rata kampung kita ni. Itulah sebab kenapa akar-akar bakau tu melingkar-lingkar macam ular. Benteng terakhir tu. Kuat! Ndak senang roboh. Bukan macam ubi boleh ditarik. Kau cuba lah tarik tu bakau. Muntah kentut kau tu!” Sambung nya lalu memecah sepi ku dengan ketawanya yang menjengkelkan. Aku terkesima. Tak ku duga semua infromasi tu keluar dari mulutnya.

“Macam mana...Tanam balik jak lah cara kan?” Soalku.

“Mungkin. Tapi macam mana mau tanam nya tu. Hidup ka dia kalau selalu naik air begini?”

“Aik. Tadi bukan main kau cong ceng cong ceng. Sekarang ndak tau pulak?”
“Si Izhar cerita sama aku...” Seluruh rasa kagum ku ranap. Berderai.

“Seingat aku, itu ja dia cakap. Tahun lepas tu. Cara-cara tanam tiada dia bagitahu aku. Itu la pasal. Nanti lah aku tanya dia.” Balasnya. Kagum ku kembali menguncup. Sudah berbulan-bulan, dia masih ingat?

Cinta adalah kesanggupan segenap jiwa raga untuk menciptakan kebahagiaan tanpa lelah, tanpa keterpaksaan dan tak kan pernah berpaling dari penyiksaan. Seperti penghayatan lagu Amanda Gadisku, seorang lelaki yang dahulunya pernah dikecewakan, meratapi sengsara tak berpenghujung, membuang dirinya ke lembah kedukaan yang berlapis-lapis lalu meruntuhkan semangat hidupnya. Akhirnya, setelah bertahun berdamping dengan putus asa, kuntuman cinta berputik hadir menghapuskan sepi hatinya biarpun pernah dibunuh oleh kepahitan yang sama. Kini, harapan lelaki itu sama sepertiku, cinta ini akan kami genggam takkan dilepaskan.

Oh..Putri Amanda..
Engkau Bukan Sekadar Satu Nama...
Putri Amanda...
Engkau Bagai Muzik Dalam Pustaka Hati Yang Sepi...

Bagai air yang diminum terasa duri, kampung ini sebenarnya sakit sampai nasi dimakan terasa sekam. Ditimpa bencana demi bencana. 1989 dan 1999 adalah titik tragedi yang akan tetap terpahat di memori episodik buat selamanya. Selaku generasi kedua yang digemparkan azab sama sedekad sebelumnya, riwayat ini umpama sisi gelap kisah cintaku pada Putri Amanda. Dua cerita perihal perjuangan yang terjadi dalam garis masa yang sama. Aku, Izhar, Bunnyuk dan Aidil sudah cukup masak untuk merasai bahang amukan dua tahun lepas, di bulan Ogos yang tak terkembari. Perajurit media massa diseluruh tanah air berlumba-lumba membingkaikan beratus olahan ayat mengajak setiap jiwa ikut berduka. Kampung kami direjah api.

“Api! Api! Kebakaran! Api!...Terbakar!...” Melolong-lolong dari segenap penjuru.

“Bangun nak! Api! Keluar cepat ikut makcikmu!” Masih dapat kurasakan getaran tangan mak cik Ati menggapai ku keluar menuju hamparan tanah merah yang dibanjiri manusia.

“Tolong ~ Tolong ~ Tolong dulu selamatkan...piring Giacomo ku...” Jerit makcik Subaidah.
Tiang-tiang cakerawala pada pagi itu yang sepekat dosa dipenuhi doa-doa khusyuk dan ikhlas mengharap agar dugaan tidak membelenggu nasib. Asap hitam berkepul-kepul menebarkan sisa-sisa hampas yang dibahamnya. Jambatan dan jalan-jalan dipukul hentakan kaki memindahkan apa sahaja yang boleh diselamatkan. Tidak ada lagi kelekaan, tak berbakti apa pun dari keegoan. Berkali-kali aku berdiri di tempat tinggi semata-mata untuk melihat api yang marak namun gagal. Ibu menjerit melarangku ke mana-mana. Detik hatiku berdoa supaya batang sungai yang menjadi pemisah kejiranan kami mampu menahan gelora api yang marah.

Bumbung bumi berwarna jingga kemerahan sudah cukup menjadi bukti betapa dahsyatnya pembantaian hari itu. Ragam Uncle berambut alfro memanjat bumbung dapur rumahnya kelihatan terang-terang laras. Tidak berbaju, seluarnya gelap, ada kain merah yang diikat di pinggang dan dililitkan di kepalanya. Dia menghadapkan tubuhnya ke sumber api, lalu mulai semacam menari atau bersilat. Tangan dan kakinya berirama seperti menahan angin yang bertiup ke seluruh badan. Jeritan anaknya bertubi-tubi menyuruhnya turun tak dihirau. Persembahan nya itu barangkali ditujukan buat dewa api sebagai tanda minta maaf. Aku hanya mampu menggumam.
Keesokan hari, gambar adik parempuan ku terpampang di depan salah satu muka surat khabar cina. Sendu matanya mampu menggoncang setiap jiwa tanpa perlu memahami sepatah ayatpun. Disitu dia tergeletak di atas tilam yang entah milik siapa. Dia hanya diam, tak bertingkah. Di usia tiga tahun, seakan nalurinya yang suci mengajak semua untuk sabar. Ujian Tuhan tetap datang, sekarang mahupun esok. Lebih seribu mangsa kehilangan tempat berlindung. Ada yang sehelai sepinggang, tinggal hanya harapan supaya diangkat Tuhan darjat baginya yang tetap berpegang pada as-sabarul minal iman.
Aku kehilangan Putri Amanda. Duka ini tak tertahankan. Berhari-hari aku mencarinya namun, dia tetap tak ku temui. ‘Kenapa harus dia yang hilang. Kenapa bukan aku’. Bisik hatiku. Hatiku hancur direjam sepi. Rasa kosong mengikut ku kemana saja diri ini ku bawa. Bahtera cintaku dirampas orang tanpa meninggalkan sebarang petunjuk. Fauzi, yang ku amanahkan untuk menjaga Putri Amanda, dikhianati. Dia tak henti-henti memohon maaf padaku walhal aku tak pernah meletakkan posisinya sebagai wadah keterlanjuran pedih cintaku. Akibat dari kebakaran tragis beberapa hari yang lepas, Amanda ku sudah pasti dilarikan orang samada sengaja atau tidak.
Kini, setelah bertahun kehilangan Amanda, kesedihan ku kembali dijentik. Musim baru X-Files membawaku kembali pada kesinambungan cinta yang porak-peranda kan hidupku. Aku mengejar sisa bayangnya yang tak kelihatan, menghajati suatu keajaiban boleh mempertemukanku dengan dia, kembali. Seluruh pelosok kampung aku cari, tetap ditebas kekecewaan. Kalau boleh, ingin rasanya aku kembali bersandar di anak pagar, biar jatuh di atas Putri Amanda. Apakan daya, pagar kayu sudah ditukar menjadi besi berkelikir.

“Sudahlah...Nanti kita cari lain. Lagipun sekarang musim layang-layang. Lama ndak besonteng ni. Punya best kejar layang-layang lambai. Kau ndak ingat ka?” Bunnyuk cuba menenangkan kemasyghulan hatiku.

“Kau ndak faham bah Nyuk...Kau tidak rasa kah? Hebatnya kita dua. Budak-budak lain banyak yang cemburu tengok kita. Sampai kita dikejar-kejar, diikut-ikut di jambatan.” Balasku mencuba pertahankan semua yang ku kecap selama ini.

“Aku faham. Aku dengan kau. Duduk dalam tu, mendayung sama-sama. Aku rasa!”

“Jadi, tolong lah aku cari!”

“Kau tahu, bukan Si Putri Amanda yang kau paling kesal. Bukan. Kau percayalah cakapku...” Sampuk Izhar.

“Apa?” Tanyaku.

“Kau kesal sebab ndak dapat belayar. Putri Amanda mu tu ibaratkan macam gayung kau pakai mandi. Gayung nya bocor, ganti baru. Amanda hilang, cari penggantinya. Usah lah kau muram terus geng.”

“Perasaaan mu masa kau siram air ke badan, dari kepala, air tu mengalir ke kelopak mata, telinga, hidungmu, bahumu, dadamu, paha, sampai ke lantai tandas, itu lah orang panggil excitement. Keseronokan yang sebenarnya kau hilang. Samalah dengan kes sekarang. Rasa takjub mu masa belayar. Dia punya best tu...Ndak dapat di capai kecuali cara sama.”

“Kalau kau betul-betul faham, buat perahu sendiri.” Berseloroh lalu menghulurkan padaku plastik, benang, dan lidi. “Buat lah layang-layang mu.” Getusnya.
Ibu menjawab salam lalu meletakkan gagang telefon perlahan-lahan. Pasu bunga di atas meja ditolak sedikit agar duduknya rapi di tengah-tengah. Tabir jendela dikepalkan, kemudian disimpul membiarkan cahaya masuk ke ruang tamu. Anak tingkap dibuka dengan cermat membiarkan bau pagi menyapa. Tombol pintu ditarik, tubuhnya dirapatkan kedinding. Penghadang getah disumbatkan ke kakinya agar tidak dipalu angin. Aku duduk dengan mata terkebil-kebil. Rasa mengantukku tak mahu beredar. Telapak tangan masih terasa pedih gara-gara berhabisan bermain tepuk terup semalam.

“Siapa telefon mak?”

“Bapakmu...Mau siap sudah rumah di sana.”

“Ha?..Bila kita pindah?”

“Mungkin lagi dua tiga minggu. Tinggal atap nya belum habis dipasang. Sama jambatan dari luar tu mau dikasi bagus dulu. Susah nanti mau angkat barang masuk rumah.”

“Alaaa...”

“Ada juga nanti kawan kau sana tu. Kesian bapak disana sendiri. Susah lagi dia mau ulang alik terus. Kerjanya tu disana terus sudah...” Jelas ibu. Sayu hati rasanya untuk meninggalkan kampung ini, nenek, atuk, makcik, pakcik, rakan sekelas, sepupuku. Semuanya.

Luka parah ku dalam, lingkaran jahitan yang penuh suka duka merobek-robek semangatku. Aku akan kehilangan landskap keperibadian seorang budak lelaki setinggan, dikelilingi sahabat-sahabat hebat seperti Izhar dan Bunnyuk, yang berkongsi getir keringat serta manisnya berkejaran. Tak kan pernah tergantikan tawa Bunnyuk yang seperti geseran bunyi besi berkarat tapi memiliki hati murni sesubur mata air. Kebijaksanaan Izhar membunuh setiap kesulitan yang ku alami tak kan ada disiku lagi untuk hari-hari mendatang. Hidungnya yang berkernyut setiap kali berkata-kata akan melekat dalam jiwaku.

Kakiku sakit memikul kesedihan berduyun-duyun. Ketika pandanganku ku lepaskan ke halaman rumah, tubuhku beku, jemariku kaku, bagai penghidap Skizofrenia Katatonik. Nenek dan makcik-makcik mencium pipi dan dahiku. Rumah berusia tujuh tahun yang dihiasi pahit manis kehidupan kami, keluarga topi merah, menjadi saksi sedu-sedan perpisahan yang amat berat. Tumpahnya tangisan di atas pipi seorang anak yang pergi meninggalkan semua kebahagiaan untuk mendapatkan kebahagiaan lain adalah perjuangan yang paling susah dimenangkan.

“Beginilah hidup nak...Ada masanya kita sama-sama, ada masa kita jauh. Tidak semua yang Tuhan atur itu sesuai dengan kemahuan kita...Jaga diri, jaga suami, jaga anak-anakmu...” Nenek tak mahu melepaskan ibu dari dakapannya.

“Kirimkan salam sama suami mu...si Darma, semua keluarga-keluarga di sana...”

Seorang anak itu akan tetap menjadi si kecil di pangkuan ibunya. Perlu dibelai, dinyanyikan lagu-lagu mendodoi, diajarkan merangkak, dibetulkan apabila salah. Ibu adalah wira sebenar yang sering dilupakan padahal Ibu lah yang akan mempertahankan mu walau seluruh isi dunia menentang. Tak kan pernah berundur, tak kan pernah mengalah. Kasih sayang ibu ibarat jantung. Tanpanya, kita akan mati. Sekalipun ada yang mampu hidup tanpa degupan jantung, tubuhnya akan membusuk dan lambat laun tetap akan mati. Kecuali bagi mereka yang sudah ditakdirkan untuk kehilangan seorang Ibu lebih awal dari dirinya, jantung itu akan terus berdegup menunggu mu di pengakhiran.
“Ingat nak, doakan kami disini...Bapakmu, adik-adikmu...Aku tidak putus berdoa minta umur ku dipanjangkan, nanti boleh datang lawat kau di sana nak...” Ibuku kelu. Tidak ada sepatahpun ayat dia keluarkan dari ratapan mulutnya. Pedih matanya yang ditenggelami esakan tidak mampu dihentikan. Dibiarkan sahaja melara.

Pemandu teski memasukkan beg dan kotak-kotak ke dalam bonet lalu menyusunnya dengan cermat agar potensi ruang dapat dimanfaatkan sepenuhnya. Penutup bonet kereta diturunkan dan system suspension menjalankan tugas saat bunyi berdentum terkunci di bibir bonet. Kepalaku di usap-usap makcik Ati. Takungan air matanya tak surut sejak tadi. Dia menyuruhku agar rajin belajar, rajin tolong ibu, jaga adik-adik. Sebelum sempat ibu masuk ke dalam kereta, makcik Ati merampas tubuhnya untuk dipeluk kali terakhir sebelum dua beradik itu berpisah tak tahu untuk berapa lama. Keluarga ku tersayang kami tinggalkan dengan lambaian dan kenangan abadi. Suasana lengang untuk beberapa minit kemudian bertukar ceria tatkala Ibu mengkhabarkan pasal kegembiraan yang akan kami teguk saat berjumpa dengan ayah yang sangat dirindui.

Bas ekspress bunga raya hampir penuh. Penumpangnya mula naik memenuhi ruang duduk. Ibu meminta tolong pada seorang penumpang lelaki mengangkat beg bimbit untuk diletakkan di kompartmen penyimpanan barang. Aku mendengar namaku disahut-sahut tapi bunyinya agak meredam. Tabir tingkap yang ku turunkan saat duduk dalam bas kubuka. Izhar! Bunnyuk! Aku bergegas keluar dari bas, memohon diberikan laluan secepat mungkin ditengah kesibukan penumpang lain yang mencari padanan nombor kerusi.

“Nah...Ambil ni. Ni ja aku dapat bagi untuk kau ingat pengembaraan kita!” Izhar melemparkan senyuman yang paling tinggi martabatnya. Buku itu yang membawa aku dan dia jauh ke tempat yang selama ni tak pernah kami pijak, ku sambut dengan perasaan haru-biru. Bunnyuk menghulurkan kedua-dua belah tangannya. Dua-duanya digenggam.

“Buka salah satu. Pilihlah.” Katanya. Aku membuka genggaman tangan kanan. Sebiji guli marble yang diberinya nama, Si Badang. Corak isinya beralun berwarna merah keperangan. Pembawa tuah yang tak pernah mengecewakannya. Tangan kirinya pula berisi pemadam pensil bendera Brazil, juga ayam tambatannya yang tak tertumpaskan.

“Geng...” Mataku menghiris. Aku menundukkan kepala lalu memeluk kedua-dua sahabat kecil ku itu dengan erat. Tak ku lepaskan. Linangan air mata ku membasahi bahu mereka. Kami menangis bagai anak camar yang lapar. Berharap persahabatan ini kekal buat selamanya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience