Basri bergegas ke arahku. Lelaki laut itu membimbit plastik penuh dengan ikan. Baru pulang dari laut. Dia menawarkan kami untuk mengambil beberapa ekor ikan yang dibawanya. Terlalu banyak untuk dia sekeluarga katanya. Kami menolak. Tidak pernah seorang pun menerima tawarannya. Setiap kali dia balik dari laut, setiap kali itu lah dia merayu kami untuk sama-sama berkongsi hasil sedekah kapten kapalnya. Basri segera menanyakan padaku hasil pencarian kami. Bacaan wajahnya pilu seketika.
“Ah jadi menyerah? Besoknya tidak sambung?”
“Macam mana mau sambung besok nya sekolah.”
“Oh iya. Jadi dia? Tidak sambung? Balik?”
“Malam tu bini nya call, anak nya sakit. Demam panas. Balik lah dia besoknya tu.”
“Kesian. Ada salinan gambar abangnya tu kan sama kau?” Mengeluarkan seekor ikan sardin segar dari dalam plastik lalu memberikannya kepada si meow yang dari tadi berjoget di kakinya.
Aku mengangguk. “Kenapa?”
“Ngam. Nanti kita pulak yang pergi cari.”
Azri ku kenalkan pada Basri. Sejak kami sepakat untuk kembali mencari saudara Budi, dia dan Basri menjadi rapat. Perkenalan sehari itu seperti benih kacang ajaib yang dimiliki Jack. Tidak perlu tunggu lama untuk mendampingi sang air, ianya tumbuh meraksasa dengan sangat cepat. Kukuh dan tinggi menucuk awan. Setiap kali Azri kerumah ku, wajib rumah Budi atau pondok usang kami dilawatnya. Apa lagi kalau bukan untuk beradu ketawa dengan si hitam manis.
Namun, ada kesedihan yang menutup kegembiraan mereka, termasuk aku. Abang Budi masih gagal ditemukan. Bermula dari Januari sampai April, singgah sekejap di bulan May, semuanya kontang. Seperti tanah yang berlepuk-lepuk kekeringan di hujani sinar mentari yang panas sepanjang hari. Budi kembali ke Sandakan dua kali dengan harapan yang sama. Setiap kali dia datang, separuh fikirannya ditinggalkan dirumah untuk isteri dan anaknya. Paling lama dia di rumah ku dua hari.
Salinan gambar abangnya aku fotostat kan beberapa keping untuk rakan-rakan sekelas. Khas untuk yang terpilih, yang tinggal dalam bulatan skop pencarian kami. Bukan lah meminta bantuan mereka untuk mencari, hanya sebagai simpanan. Manalah tahu terserempak. Budi mengirimkan salam dan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat, terutama untuk Azri dan Basri. Katanya kalau ada masa ke Tawau, jangan lupa menghubunginya.
Butir pasir bersinar-sinar digaru sang mentari. Pesisir pantai yang sunyi dari pelukan ombak kelihatan tetap indah walau tidak dipenuhi manusia bertelanjang. Beberapa orang kelihatan fokus menyuluh penglihatan ke butiran pasir-pasir. Mencari pun pun atau cacing laut. Pemancing tegar. Aku dan Azri duduk di hujung jambatan berhadapan belantara laut yang terbentang luas. Hambusan nafasnya melolong jauh ke dalam matanya yang penuh dengan sesuatu.
“Ini jak lah masanya aku boleh lepak dengan kamu geng.”
“Ahh kau. Ber-drama lagi.”
“Iya lah. Lepas ni kamu sambung belajar jauh-jauh, tinggal aku sendiri sini. Lama lagi baru dapat jumpa.” Nadanya terasa sedih. Wajahnya seperti mahu meraung tetapi dihalangi senyumannya yang sentiasa positif.
“Kalau dapat sambung…” Balasku lalu menelan nafas panjang.
“Mesti dapat. Belajar rajin-rajin. Untuk kesenangan sendiri juga nanti. Janganlah macam aku ni…”
“Macam apa pulak? Kau ~”
“Lain cerita geng. Tiada pula kita pergi rumah si Suzana kan. Manalah tau dia pernah nampak abang si Budi.” Memotong dialog ku sebelum sempat kuhabiskan. Cis kambing betul.
“Tidak jugak dia tahu tu…”
“Dia tidak sambung sama-sama kamu bah kan?”.
“Dia sambung di S.M.K Muhibbah Budak pandai kan. Ambil aliran sains lagi gila.”
“Ada nombornya sama kau?” Memandangku penuh harapan.
“Kau mau call dia tanya? Tidak payah. Kita terus pergi rumahnya nanti. Lagipun mana ada nombornya sama aku.”
“Geng…” Menghadapkan dada nya ke arah ku.
“Kenapa?”
“Aku rasa jatuh hati pula dengan si Suzana. Rindu ni…” Aku ketawa panjang.
“Betul geng. Aku serius…” Memandangku penuh dalam. Jantungku sawan, berdetak laju. Impulse yang sepatutnya pergi ke otak terlebih dahulu sesat menuju jalan lain, ke neuron konektor yang menempel pada sum-sum tulang belakang. Hasilnya, bahu ku terangkat dengan tiba-tiba. Terkejut.
“Kau rasa dia mahu kah dengan aku ya? Yang tiada pendidikan ni…” Pandangannya kembali jauh meneropong hujung lautan. Aku gembira pada masa yang sama bimbang. Gurauannya terhadap Suzana yang tak tumpah waktu dibangku sekolah dahulu tidak ku duga berakhir dengan benih cinta. Geng, dua sahabat mu jatuh cinta pada perempuan yang sama. Apa yang kau patut lakukan? Biarkan?
“Serius?” Soal ku.
“Serius geng. Rindu aku mahu kacau dia.”
“Sebab lama kau tidak kacau tu lah…Ndak kan lah kau terus tiba-tiba suka dengan dia.”
“Lama sudah. Masa dekat start paper SPM kita tu. Rindu aku senyumannya. Manis. Tolong minta kan nombornya bah dari kawan-kawan lain.”
“Wooooiiii!” Basri berjalan ke arah kami. Aduh! Satu hal lagi yang perlu dielakkan. Topik perbualan perlu ditukar serta merta.
“Bas, ceritakan bah si Azri pasal hantu air yang kacau kamu di sungai hujung tu tempoh hari” Hantu. Idea pertama yang timbul di kepalaku.
“Ahhh…Baiklah. Pada suatu hari ~” Membesarkan kedua biji matanya lalu mencerlung tajam ke arah Azri.
Bunyi laungan bacaan surah Al-baqarah dimasjid memberhentikan perbualan. Nasib baik perkataan cinta atau kasih sayang tidak pernah muncul di sepanjang dialog sepetang kami. Sekarang, aku harus segera memarut otakku untuk mengeksploitasi beberapa idea yang perlu bagi meracuni permasalahan yang bakal tercetus diantara mereka. Cinta itu geng terkadang mampu berubah menjadi fahaman terpesong yang dengan senangnya merobohkan apa pun yang berdiri didepannya. Aku tidak mahu persahabatan mereka ditebang di tengah jalan.
Aku dan Basri tidak akan dapat bertemu Azri untuk beberapa bulan bermula lusa. Dia disuruh ayahnya membantu menguruskan perniagaan kantin makciknya di satu-satunya sekolah rendah di kawasan Sugut, Paitan. Pekan kecil yang dikategorikan dalam kawasan pedalaman 2, yang terlepas dari memiliki kemudahan seperti air dan elektrik. Dia senang dapat membantu apatah lagi ayahnya sendiri merupakan orang yang dipertanggungjawabkan oleh makciknya untuk menghantar bekalan ikan ke beberapa estet sekitar Sandakan.
“Geng, jangan kau lupa ya, nombor si Suzana.” Getus nya padaku dengan nada mendesak.
“Nantilah aku usahakan. Tapi tidak janji ya”
“Ok. Aku ambil itu sebagai janji!” Menuruni anak tangga lalu menerbangkan padaku pandangan penuh harap. Ah malah kata usaha dari ku terus dianggapnya sebagai kalimat ajaib laksana poket Doraemon. Dia berjalan dengan cepat melepasi kebun kecil di tepi jambatan halaman rumahku.
“Kirim kan salamku sama si Basri! Bagitahu aku pasti rindukan dia nanti…” Membuka grill pagar perlahan-lahan. “Dengan kau juga!” Melambaikan tangannya yang pasti akan kurindukan selama berbulan mendatang.
Sejak pukul 7 pagi dia sudah terpacak di depan bilikku semata-mata untuk mengucapkan perpisahan kami yang sementara itu. Dia boleh sahaja meneruskan pelajaran di kolej tapi memilih arus lain dengan alasan otaknya sudah tidak mampu menerima. Maka, tercapailah cita-citanya untuk menceburi bidang masakan. Sebagai pembantu tukang masak di kantin sekolah sementara aku dan ahli kumpulan kami yang lain, bertaruh pendidikan dalam Tingkatan 6.
Basri sedikit kesal tak dapat berjumpa Azri. Dia kembali dari laut sehari selepas keberangkatan lelaki energetic itu menuju destinasi yang sudah pastinya segar dan indah dengan dakapan kehijauan serta kejernihan sekeliling bahkan terasing jauh dari penyakit sawan kota. Sekiranya dia mampu, mahu rasanya dia redah rempuhan masa dan tenaga bergerak ke Paitan bertemu Azri.
Setelah hampir sebulan lebih, Azri datang ke rumah. Dengan rambutnya yang ikal mayang dilepaskan paras bahu, kulit mukanya merah merah digaul sedikit warna gelap yang diusap sinar mentari, tidak henti bercerita perihal kebahagiaan mutlak yang diraihnya sepanjang berada di sana. Tubuhnya malah tampak semakin berisi. Jenis manusia yang senang tumbuh berat. Dia mengambil cuti untuk beberapa hari katanya rindu dengan sahabatnya di bandar padahal pulang bagi menambah stok bahan makanan untuk dibawa ke sana.
“Macam mana tidak gelap kulitku kalau hari-hari mandi sungai. Rasanya masih dara lagi dinding tandas di rumah tu.” Katanya sambil mata sepetnya seperti biasa ikut ketawa.
“Bahagianya geng saat kau kasi makan budak-budak sekolah tu. Sedih pun ada. Semua makan cukup-cukup, orang susah kan. Bagus juga lah pengurusan kantinnya sana. Hari-hari masak lebih jadi yang mana budak-budak kuat makan tu memang kenyang. Pokoknya tidak kedekut.” Sambungnya lagi.
“Apa jak lah hiburan kamu sana?” Tanya ku.
“Mandi sungai, memancing, menjala, itu jak lah. Sama hari tu aku ada ikut sekali pergi memburu. Tembak payau!”
“Kau yang tembak?”
“Kau rasa?”
“Pandai kah kau menembak?.. Main guli pun failed.”
“Tidak bah…Orang sana lah yang sudah biasa. Aku tukang tengok jak. Besar kami dapat. Ada dalam 60kg juga tu”
Kesekian kalinya, kepulangan Azri sekali lagi bercanggah dengan jadual kerja laut si Basri. Belum masanya mereka dipertemukan. Geng, sampai masanya nanti dua makhluk ini bertentang mata, nescaya isi dunia cuma ada kisah mereka. Aku, kau, kamu hatta kalian semua ibarat benih bunga dandelion yang hanya mengharap belas angin untuk membiak. Tidak berdaya. Dalam hati aku bersyukur mereka dipertemukan, malah sampai keakraban itu dijalin dalam lingkaran yang sangat hebat. Berharap sampai ke hujung kelingking hidup.
Talam punggungnya dikemaskan. Merah wajahnya bertambah masak dan bibirnya yang tipis dan pendek disenyumkan selebar yang boleh. “Minta aku nombor si Zana?”. Mendengar jawapan ku baginya seperti menerima khabar buruk. Mulutnya kumat kamit menjampi tentang sikap ku yang tidak serius terhadap isi hatinya. Tidak putus nafasnya bercerita tentang gadis ulat buku itu. Berbicara tentang perasaan hati tak tumpah seperti Basri. Suzana betul-betul membuatkan hidupku bergelodak. Azri meninggalkan ku petang itu dengan permintaan yang masih sama, masih bulat, hanya satu.
Belum tahu juga kalau Suzana suka salah seorang. Barangkali dalam diam dia sudah ada kekasih hati. Perkara pertama yang harus ku lakukan, menyelidik. Tapi susah sebab Suzana tidak berada dalam lingkungan penglihatanku. Kami berlainan sekolah malah bukan sekampung. Hanya dengan satu cara, menyoal siasat rakan karibnya, Mariana.
“Kau rindu sama dia ka? Kau suka sama dia ka? Sayang dia?”
Tak habis-habis soalan yang sama ditanyakan padaku. Aku pula yang di selidiknya seperti si peminta kerja manakala dia memenangi jawatan tinggi sebagai si pemberi kerja. Setiap kali nama kawan karibnya itu ku petik, bunyi alunan dari bibirnya tidak pernah berubah. Sama dengan perilakunya yang sejak dari dulu kucar kacir seperti lelaki. Senang bagi yang menjadi suaminya kelak. Ada yang membantu membuat pertukangan di rumah. Berdengkur akalku bermain dengan gadis gila ini.
“Pertama-tama nya, bagi aku sebab kenapa kau mahu tahu? Kedua, kenapa sekarang?”
“Aku mahu kasi kenal dia sama kawanku. Itu sudah menjawab soalan mu yang pertama sekaligus yang kedua, kan?”
“Tidak! Soalan kedua belum. Kenapa sekarang? Kah kawan mu tu baru kau kenal, belum cukup sifatnya yang kau tahu terus kau mahu kasi couple dengan kawan baikku? Begitu?”
“Eh tidak. Lama sudah kami berkawan…”
“Jadi kenapa tidak dari dulu kau kasi kenal? Kau ada agenda lain? Ha!”
Ya ampun. Mendidih kepalaku melayani perempuan diktator ini. Kenapa juga aku perlu susah-susah. Lebih baik aku berdoa supaya Suzana sudah ada teman lelaki. Atau salah seorang dari kawanku berhenti mengejar percintaan atau tidak akan pernah bersua muka dengan Suzana. Hubungan cinta kan hanya bisa terjalin jika sering bersua muka? Kan geng?
“Si Zana tu sebenarnya tidak pernah pun ada niat mahu bercinta ni. Uiseh men. Itu dari mulutnya lah dan sepanjang kami berkawan.”
“Perasaan dan mulut itu susah untuk berpelukan menjadi satu. Boleh jadi, mulut menidakkan tetapi perasaan sebaliknya.” Balasku.
“Siapa yang berkawan rapat dengan dia sebenarnya ni? Aku kah atau kau?” Aku ketawa pendek. Matanya membesar.
“Sorry sorry. Kau bagi ja lah aku nombor telefonnya, senang.”
“Tengoklah! Aku kena tanya empunya badan. Nanti aku update.” Menepuk bahuku lantas berlalu pergi.
Hari persekolahanku sejak dari itu dibayangi satu misi yang amat berat. Kalau diikutkan setiap hari aku bertanya soalan yang sama pada si lelaki berkerudung itu. Memang menyebalkan. Dia begitu susah untuk diyakinkan. Bermacam cara aku cuba namun berbalik pada titik asal, tetap tidak. Walaupun dia mengatakan ‘nantilah’ untuk menampakkan sisi baiknya.
“Mariana.” Panggilku dengan selembut yang boleh. Dia memandangku seperti mengajak bergusti.
“Apa?! Belum ada lagi nombor!” Bentaknya. Berlagak samseng kau ya bisik hatiku. Dia tidak tahu bahawa perkara yang bakal kukatakan akan membuatnya huru hara.
“Minggu depan hari khamis aku tidak dapat datang tu. Ada urusan keluarga.” Balasku bersahaja.
“Jadi? Apa kaitannya dengan aku?” Soalnya.
“Tidaklah. Aku cuma mau bagitahu kau awal supaya kau siap sedia.”
“Untuk?” Alisnya menggerutu.
“Ah kau lupa lah tu. Presentation dengan Cikgu Bainah bah…”
Lakunya bertukar gelisah. Pertama, Mariana tidak pernah kelihatan kecut dan menunduk semasa sesi belajar kecuali dengan cikgu Sejarah itu. Padahal kalau diamati, tidak ada tanda amaran sedikitpun yang perlu ditakuti kecuali bunyi suaranya yang bersiren. Kedua, dia paling benci acara pembentangan dan ketiga, dia tidak seberapa gemar dengan subjek Sejarah yang ironinya penuh dengan hafalan dan peta-peta ringkas.
Setiap pelajar dalam kelas dibahagikan secara berkumpulan yang mana setiap kumpulan mewakili dua orang. Setiap kumpulan bergilir-gilir memulakan sesi pembelajaran dengan penerangan secara ringkas tentang topik yang bakal disentuh. Aku dan Mariana satu pasukan. Oleh dengan ketidakhadiran ku, dia terpaksa melakukan pembentangan sendirian. Aku yakin, hal itu paling susah dia lakukan dalam hidupnya justeru boleh lah aku membuat perjanjian supaya Mariana dapat memenuhi permintaanku.
Aku menambah. “Kalau kau tidak percaya kau tanyalah Cikgu Habib. Sudah aku bagi surat sokongan.” Dia merenung ku. Renungan menghiris yang pedih. Lama.
“Kau ni kan…main kotor!”
“Bah!”. Dengan satu imbuhan tegas, Mariana membuang pandangannya. Berlalu keluar entah ke mana.
Perasaan serba salah mula membungkusku. Keadaan malah bertambah buruk. Pada mulanya aku mengharapkan paling tidak dia akan mengatakanku sebagai penipu, sekadar cuba untuk menggertak. Tidak ku sangka jawapan ku ditelannya mentah mentah. Hari-hari berikutnya bagai mengisi air dalam baldi yang bocor. Ke sekolah sekadar untuk hadir memikul masalah yang semakin berkerut. Dia tidak langsung menegur atau melihat kearah ku.
Sesi pembentangan yang sepatutnya berdansa dalam aturan silih ganti dipersembahkan sungguh lemah. Berkari telinga diasak suara nyaring cikgu Bainah. Sebagai denda, aku dan Mariana diminta untuk membentang topik baru. Arahan itu semakin menggeletek risau ku yang membengkak. Semua ini harus diselesaikan cepat sebelum bertambah parah. Aku akhirnya nekad menggunakan cara tradisional walau tampak sangat kebudakan dimata kebanyakan.
Sepucuk surat yang dilipat seribu ku sematkan kedalam bekas alat tulisnya. Kosa kata penuh dengan ‘maaf’, ‘maaf’ dan ‘maaf’. Perkara paling memalukan yang pernah ku buat tetapi harus demi kemaslahatan bersama. Lipatan kertas sudah tak kelihatan dalam kotak pensilnya pada keesokan hari. Harapan ku hanya satu, dibaca sebelum dibuang. Sayangnya, tetap sama. Tidak tergambar sebarang perubahan pada reaksi Mariana. Mungkin kosa kataku yang terlalu mendesak. Aku menulis surat lagi. Kali ini ayatnya disusun lebih rapi, seperti dalam buku teks. Pelekat gambar strawberry menghiasi halamannya. Sedikit wangian perisa anggur ku semburkan ke atasnya. Perfect!
Hasilnya, strawberry dengan anggur bukan kombinasi yang sesuai. Percubaan kali ketiga, wangian ku tukar dengan perisa pisang. Tidak ada pelekat kali ni. Senyap senyap kuselitkan ketika waktu rehat. Sekali lagi, hasilnya tetap nihil. Jenis manusia apa yang tidak suka dengan pisang? Tanya ku didalam hati. Aku buntu memikirkan cara bagaimana lagi yang perlu kulakukan. Ingin rasanya ku tanyakan pandangan sahabat yang lain. Ah! Aku tak mahu dijadikan bahan ketawa. Kalau kulakukan secara paksa, pasti budak kelas heboh dengan semua sandiwara dangkal ini.
Setelah lebih berminggu-minggu, peluang yang ku kira emas intan permata ini harus dimanfaatkan. Setelah selesai latihan kawad kaki, aku sengaja memberitahu kepada yang lain untuk pulang dahulu sementara menunggu rakan sekampung ku datang menjemput. Kononnya ingin ke rumah rakan untuk makan di kenduri akikah adiknya. Paisal kelihatan sedikit hairan tapi tidak bertanya lebih mungkin kerana kepenatan berlumur terik mentari.
Aku berjalan menuju ke bahu jalan raya sambil mataku silih ganti melihat ke arah kereta yang dipandu Nizam dengan si Mariana yang duduk di bus stop berhampiran pagar sekolah. Pandangan meniti deruan Kembara ayah Nizam melucutkan sebentar lelahku. Baru ku sedar selama ini kami kelihatan seperti ayam cina dipasar yang dikumpulkan didalam satu kandang besi tunggu giliran untuk dipenggal. 7 ke 8 orang berlipat berhimpit sambil semua mulut tak henti berpatukan sepanjang jalan. Tanganku melambai dan senyum. Dengan cepat mereka ghaib dari jangkauan.
Aku segera menghadap ke sekolah. Syukur Mariana masih tetap di situ. Barangkali dia lewat hari ni disengajakan kerana tertarik dengan wangian perisa pisangku. Aku pasti membawakan untuk nya esok 5 botol kalau benar. Dadaku bergetar, bibirku tak henti mengungkap kata-kata yang aku sendiri tak paham. Perlahan-lahan aku menghampirinya. Belum sampai separuh jalan, kakiku tertahan. Tubuhku berputar melawan arah. Serasa seperti sebiji meteor sebesar rumah sedang bergerak laju kearahku. Bila-bila masa terhempas dan aku sewajibnya hancur bersepai menjadi debu.
Ku teruskan saja langkah beratku. Spektrum cahaya yang memantul di bola mataku hanya fokus kearah Mariana. Semakin dekat semakin cahaya itu melebar. Dia duduk di hujung kerusi dengan beberapa pelajar lain berada sedikit jauh darinya. Budak-budak junior. Lantaklah! Aku sudah tak peduli biarpun sebentar lagi akan menjadi satu drama yang tidak kurang hebatnya. Apa mahu jadi, jadi lah!. Meyakinkan diriku yang berguruh.
Belum sempat aku bersuara, dia mengangkat pandangan dan terus mensasar dariku. Kakiku membeku. Kasut sekolah yang ku gantungkan pada jari telunjuk dan tengah terjatuh mencumbu tar jalan. Mulutku cuba mengukir senyum tetapi tidak ikhlas. Dia lantas berdiri.
“Maaf geng…” Rayu ku ikhlas. “Betul-betul aku minta maaf.” Sambungku lagi.
Dia menyiram penglihatannya ke arah budak-budak junior. Semuanya membalas dengan reaksi yang pura-pura tak dengar. Kemudian kembali duduk. Dalam hati aku berterima kasih kepada mereka. Mariana tidak akan tetap disitu jikalau tidak ada telinga yang melayang mencuri dengar.
“Aku janji, lepas ni aku ndak kan cakap lagi benda bukan-bukan..” Dia mengelak dari melayani ku.
“Kecuali pasal topik baru yang cikgu Bainah bagi tu.” Tubuhku ku rebahkan keatas papan besi, duduk dalam jarak yang tangannya tak sampai kalau melepaskan tumbukan.
Dia tetap berdiam. “Aku bingung. Ada sebab kenapa aku perlu betul nombor si Zana. Semua alasan tu aku buat kononnya boleh menyebabkan kau ikut kemahuanku.”
“Aku ingatkan kau tidak makan umpan busuk sebegitu…”
“Jadi aku ni bodoh sebab termakan sampah la?!” Berdiri menghadapku dengan postur tubuh semacam singa hendak menerkam pelanduk.
“Ya Tuhan. Bukan begitu. Maksud ku tu macam alasan remeh, lemah..”
“Ya. Aku memang lemah. Lembab, bodoh, les…”
“Astaga Mar…Sejujurnya, kau lah satu-satunya perempuan yang paling berani, ada pendirian sendiri, tidak mengikut-ikut orang…Yang aku kenal.” Aku memandang wajahnya. Hanya lipatan tudung dengan sedikit pipinya yang terlihat.
“Maksud ku ke dua lah, selepas ibuku..” Sambung ku lagi.
“Itu ibumu. Aku? Ku rasa tidak. Kau tidak boleh judge aku sesuka hati!”
“Ini bukan menghakimi untuk dapat sesuatu Mar. Tiada niat pun. Semua niat ku awal-awal sudah aku buang, tinggal satu, ikhlas minta dimaafkan.” Balasku.
Aku kongsikan semua nya pada Mariana. Tunggangan yang berlonggok di belakangku ku serahkan padanya untuk dilonggarkan sedikit demi sedikit. Lain bengkak lain bernanah, aku menjadi mangsa ketidakadilan cinta katanya. Baginya, cinta selamanya takkan dia ambil peduli. Cinta tak perlu wujud . Manusia sudah cukup beremosi untuk hidup sendirian tanpa perlu dihukum rasa cinta. Kasih sayang dan cinta itu lain, sambungnya. Dia akan cuba membantu ku untuk dapatkan nombor Suzana. Setakat itu sahaja, tiada talian hayat lain. Aku lega, pada masa sama tertarik. Ada sesuatu yang menambat emosi yang selama ini tak pernah ku rasa.
Share this novel